|
TJ SP MGG: Keangkuhan Yang Menakutkan By M.G.G. Pillai 12/4/2002 12:23 pm Fri |
Harakah (Frightening Arrogance in the Land of Fear and Loathing)
Oleh: M.G.G. Pillai Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi,
berterimakasih kepada ketua Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia), Tan Sri Musa Hitam atas jasanya sebagai
pengerusi badan itu. Tetapi, Abdullah masih samar siapa
yang akan menggantikannya. Orangnya terpaksa dicari, kata
beliau. Kenapa begitu caranya? Kerajaan bertindak
menghentikan khidmat beberapa hakim mahkamah perindustrian
di akhir tempoh khidmat mereka, dan meminta Majlis Peguam
menamakan calon pengganti yang baru. Ada hakim yang
bersara itu masih mempunyai kes mahkamah yang belumpun
disiapkan penghakimannya. Sepatutnya kekalutan ini sudah lama dapat ditelah oleh
kerajaan sejak dulu lagi. Tetapi demikianlah jadinya.
Setiap kali berlaku sesuatu yang mengaibkannya, kerajaan
mengalah dan menyuruh manusia yang terbabit menunggu dulu.
Sedangkan hakim yang terbabit sudah naik mual, sehingga
ramai yang mengucapkan terima kasih kembali. Ada seorang
yang merungut betapa mereka tidakpun diberikan ucapan
terima kasih, walaupun itu adalah satu sikap sopan santun
yang bermakna bahawa kerajaan sudah melupakan mereka.
Bukan itu sahaja. Kemelut mengenai Sijil Amalan Guaman, di
mana kertas soalannya telah dibocorkan dan orang yang
dituduh mendedahkan soalan itu kerana ganjaran yang biasa
menjadi amalan Darulboleh adalah dilantik untuk menentukan
martabat kerajaan begitu jadinya. Mahkamah negara ini
sengaja diliwat supaya unsur keutuhan yang amat diharapkan
daripadanya - keadilan - menjadi begitu sukar untuk
diharapkan. Parlimen sudah dihaprakkan begitu hina
tarafnya, sehingga hilang kilauan martabatnya. Kini sudah
ada keputusan bahawa gaji dan elaun menteri bukannya boleh
dibincangkan di Parlimen. Jika ia dibincangkan, ia hanya
akan menjadi satu alat mengaibkan BN dan pentadbirannya,
dan Parlimen tentulah bukan sesuai untuk dijadikan tempat
membincangkannya. Ketua Polis Negara boleh membaham seorang timbalan perdana
menteri yang baru sangat ditangkap, digari tangannya di
bahagian belakang dan matanya dipekap. Dia diberi peluang
untuk menafikan perbuatan kejinya itu, tetapi dibenarkan
pula mengaku bersalah, dan dibebaskan setelah dihukum
dengan satu jentikan sahaja. Apabila oarang yang
dimangsakannya itu yang kini terpenjara, dihadapkan ke
mahkamah kerana rayuannya yang berpanjangan, beliau
dianggap sebagai penjenayah yang berbahaya dan gerak
gerinya dijadikan sumber memperkasakan mahkamah laksana
satu kubu tentera. Tindakan itu bukannya disebabkan apa
yang akan dicetuskannya tetapi kerana wujudnya ketakutan
apa yang boleh berlakunya kalau berlaku cetusan itu.
Pada 1970 dulu, Tunku Abdul Rahman Putra telah bersara.
Wang pencen beliau telah lambat diserahkan disebabkan
kerenah birokrasi seorang pegawai kerajaan yang pada
awalan Dasar Ekonomi Baru telah menunjukkan betapa bagak
dan angkuhnya kuasa yang ada di tangannya untuk mendera
bekas perdana menteri itu. Tunku pernah memberitahu saya
betapa dia disuruh membuktikan yang dia dilahirkan pada
1903. Surat itu ditulis begitu bisa sindirannya,
sehinggakan Tunku menyimpannya dan menunjukkan kepada
saya, sambil bertanya apa sebenarnya yang menjangkiti
pegawai kerajaan. Hanya apabila Dato Hussein Onn menjadi
seorang perdana menteri barulah pencen Tunku dibayar
sepenuhnya. Pengalaman yang dilalui oleh almarhum memang
bukannya sesuatu yang ganjil dan luarbiasa.
Seorang lagi menteri kabinet, Dato' Bahaman Shamsuddin,
yang bersara pada 1969, tidak diberikan pencennya
sehinggalah 20 tahun (bukannya 25 tahun seperti yang
diterbitkan - MGG) kemudiannya. Itupun setelah seorang
peniaga yang ternama masuk campur untuk menentukan elaun
bulanan itu dibayar kepadanya. Satu ketika dahulu Perdana
Menteri Mahathir Mohamed menjadi terkejut melihatkan
keadaan kediamannya di Kampung Baru sehinggakan beliau
mengarahkan pencen itu diserahkan secepat mungkin. Jabatan
Pencen mempunyai soalan yang bergunung tingginya untuk
menyoal beliau, sehingga beliau tidak larat menjawabnya.
Ada seorang menteri kabinet yang menyediakan penyata dan
butiran untuk mendapatkan pencennya dan menyerahkan
penyata itu sebelum beliau keluar daripada menganggotai
kabinet. Ia menanti lapan tahun dan campurtangan Yang
Dipertuan Agong waktu itu untuk membolehkan beliau
menerima pencennya. Orang Melayu yang mempunyai kuasa dalam perkhidmatan awam
kini terjebak dalam satu cengkaman yang besar gara-gara
kemelut Anwar menghantui negara. Persona budaya pegawai
Melayu itu sudah menjadi satu anatema (sumpahan) kepada
pendirian kerajaan itu sendiri. Satu ketika dulu pegawai
Melayu itu digalakkan bergiat cergas untuk menentukan
ketuanan Melayu dalam segenap penjuru kerajaan, kini dia
menggunakan kuasa yang sama untuk mencabar kerajaan kerana
dia sudah memutuskan hubungan budaya dengannya. Kerana itu
kerajaan dihaprakkan supaya keangkuhannya bukan lagi
disebabkan kekuatan yang ada tetapi kerana ketakutan dan
kelemahannya. Sudah ada segelintir alasan untuk dipercayai
betapa peristiwa yang tidak boleh diampuni terjadi kerana
pegawai awam sudah bersedia membiarkan kerajaan terus
gelabah dengan pelbagai urusan yang akan menghinjak
martabatnya. Keadaan demikian tidak sahaja memendungi perkhidmatan
awam. Perbalahan antara Malaysia dan Singapura digambarkan
sebagai perbalahan politik antara dua pemimpin politik di
mana satu pihak mengasah pisaunya sambil mengarahkannya
kepada kesilapan Singapura. Itu sebabnya Malaysia masih
tidak mampu mengirim satu nota rasmi diplomasi dengan
bantahannya terhadap salahlaku Singapura.
Malaysia mendebatkan isu itu dengan cara cakap politik
membabitkan tiga orang politik: seorang ialah Abdul Ghani
Othman yang kini menjadi Menteri Besar Johor, seorang lagi
ialah Muhiyuddin Yassin seorang menteri kabinet
persekutuan yang pernah menjadi menteri besar Johor dan
seorang lagi ialah Menteri Luar bernama Syed Hamid Albar
yang merupakan wakil rakyat di kawasan yang berdepan
dengan kawasan laut yang ditambak oleh Singapura.
Kehangatan isu ini semakin memanas setiap hari, malangnya
isu yang semacam ini, kehangatan yang itu membara di
tempat lain pula. Yang peliknya, Singapura melakukan sesuatu yang mesti
dilakukannya dengan merujuk kepada beberapa kenyataan yang
pernah disuarakan oleh Mahathir mengenai pembangunan di
bahagian Malaysia di tebing Selat Tebrau itu. Turut sama
menonjol ialah penonjolan mendadak seorang peniaga beras
Kedah, sebagai proksi kepada Muhiyuddin dengan persetujuan
Mahathir, dalam urusan menguasai kemudahan pelabuhan di
selatan Johor. Inilah yang menonjolkan satu percaturan
politik yang tidak menyerlah: Betapa Kedah mempunyai
pengaruh yang kuat ke atas Johor, tetapi ini merupakan satu
isu yang lain pula. Satu ketika dulu Malaysia mempunyai pengaruh yang kuat
dalam hubungannya dengan Singapura. Disebabkan kerakusan
untuk mengisi tembolok sendiri dalam setiap urusan negara
dengan sebuah negara yang memberi tumpuan kepada
kepentingan negaranya sahaja, Malaysia kini terpaksa
mengambil tindakan berjaga-jaga. Malaysia sudah hilang
kuasa ke atas tanah landasan keretapi, malahan kuasa
menentukan tapak baru tambak yang mahu dibina. Namun,
Malaysia masih berdegil mahu menentukan tapak satu
jambatan yang baru yang dijangka berkesudahan di tengah
laut untuk disambung oleh Singapura agar menyudahkannya.
Begitulah satu ketika dulu, semasa Muhiyuddin mahu membina
satu bandaraya terapung, dan kemudiannya satu kompleks
kastam di Tanjung Petri yang diilhamkan oleh Ghani Othman
pula. Dua projek itu kantul menjadi sejarah ilham dan
angan-angan sahaja. Kalau adapun hubungan dalam
perencanaan Malaysia yang begitu haprak di selat itu ialah
perbalahan UMNO untuk menentukan siapa panglima perang
yang mengasah pisau kontot di tepian untuk menentukan
peperangan sebenar akan terlepas begitu sahaja.
Inilah kesannya apabila agenda kebangsaan itu dil*wat,
sehinggakan institusi yang ada jatuh martabatnya,
tersungkur dan menyembah hanya kepada seorang insan
sahaja. Inilah pendedahan satu dasar yang bermula dengan
usaha memberikan hak dan faedah yang wajar kepada orang
Melayu secara sama rata sama rasa, tetapi berakhir dengan
dasar haprak sehingga majoriti bangsa Melayu itu
terpinggir untuk merempat di tepian sahaja. Semuanya
bermula dengan nawaitu yang suci, tetapi mudah bertukar
rupa sehingga menjijikkan segala kesucian itu pada hari
ini. Yang lebih menyulitkan keangkuhan ini ialah ketakutan
kerajaan dan kebenciannya terhadap mereka yang
menentangnya. Disebabkan mahu terus mencangkam kuasa, UMNO dan BN serta
Mahathir terpaksa bertindak lebih ganas untuk memperagakan
betapa tiga pihak ini masih mempunyai kuasa yang dapat
bertahan. Inilah yang menakutkan kita kerana untuk
mencantas sebarang getaran kebangkitan revolusi yang
meledak dari dalam yang hanya mereka mempunyai kuasa
menafikannya, adalah satu tindakan autokratik yang
berpunca bukan disebabkan kekuatan tetapi disebabkan
kelemahan. Lagi galak mereka menggigil di hujung mata
pedang, lagi menakutkan segala harapan terhadap masa depan
Malaysia. M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR Asal; KM2 6976 |