|
TJ SP MGG: Pelawat Tidak Dibenarkan Soal W/Rakyat BN Di Parlimen By M.G.G. Pillai 10/4/2002 10:33 pm Wed |
Pelawat Tidak Dibenarkan Menyoal Wakil Rakyat BN Di Parlimen
(Parliament decides visitors cannot question BN MPs)
Oleh: M.G.G. Pillai Apabila sistem (pentadbiran) jatuh tersungkur, yang paling
berkuasa bukannya orang yang berada di mercu kuasa, tetapi
kakitangan yang paling bawah kedudukannya dan sudah berlagak
dengan kuasa yang disauknya walaupun tugas rasminya adalah
tukang ensot pintu pagar sahaja. Demikianlah kisahnya apabila seorang pengawal keselamatan
diberikan kuasa menentukan siapa yang boleh diberikan laluan
memasuki Parlimen sambil mengeluarkan syarat yang dia tidak
berhak mengeluarkannya sedangkan gelagatnya itu dibiarkan
begitu sahaja oleh pihak yang berkuasa.
Seorang pengawal keselamatan telah mengizinkan seorang
wartawan Malaysiakini memasuki Parlimen pada 3 April dengan
syarat dia menghabiskan masanya berbual dengan wakil rakyat
parti pembangkang. Tetapi, pas lawatan beliau boleh
ditarik-balik seandainya beliau menanayakan sesuatu kepada
wakil rakyat BN. Syarat ini dikenakan juga kepada semua
wartawan lain yang tidak mempunyai pas wartawan ataupun pas
mereka sudah lupus tarikhnya.. Saya beranggapan bahawa Parlimen adalah sebuah institusi
yang bebas daripada mainan kotor politik. Jadi, apakah
tujuan sebenar mengenakan syarat semacam itu? Speaker
parlimen diam membisu setiap kali parlimen menguasainya,
apabila hak asasi perlembagaan tercabar.
Menteri kabinet yang bertanggungjawab dan sepatutnya arif
akan hal ini, Rais Yatim, boleh berdengus di sana-sini,
tetapi dia masih tidak melihatnya sebagai usaha merembat
kuasa eksekutif. Memang benar dia pernah menulis satu tesis kedoktoran yang
baik mengenainya. Tetapi itulah tulisan yang disebutnya
sebagai satu kebenaran hasil tanggapan fikiran ilmiahnya.
Kini, kalau boleh dia tidak mahu menyentuh buku ilmiah itu
lagi kerana dia sudah menolak setiap kebenaran yang tertulis
itu yang dianggapnya satu tesis untuk mendapatkan ijazah
kedoktoran sahaja. Tetapi, yang menjadi isu sekarang ialah kisah seorang
pengawal keselamatan memberi syarat kepada seorang pelawat
sedangkan syarat yang sama tidak boleh dikenakan oleh
seorang speaker parlimen. Wartawan Malaysiakini tidak
mempunyai pas wartawan, kerana itu syarat yang
dikuatkuasakan padanya dianggap satu perkara wajar. Tetapi
itu bukan persoalannya. Soalnya ialah kenapa Parlimen boleh
menguatkuasakan satu syarat membolehkan seseorang pelawat
bertemu wakil rakyat tertentu dan tidak kesemuanya?
Betapa arahan itu dikeluarkan bukannya satu kesilapan. Ada
seseorang di bahagian tertinggi yang mengeluarkan arahan
itu. Lantas dikuat-kuasakan satu peraturan baru betapa
Parlimen adalah satu kesinambungan BN dan bukannya negara
ini. Kesannya amat menakutkan. Parlimen menerima syarat itu.
Begitu juga pihak pembangkang. (Pihak pembangkang pernah
mencetuskan isu itu di parlimen tetapi beritanya tidak
dilaporkan - pengarang Malaysiakini) Tidak ada sesiapa yang
membangkitkan perkara ini dalam dewan dan menganggapnya
sebagai pencabulan kuasa atasan. Akhbar perdana sengaja
mendiamkannya. Semua pihak menganggapnya sebagai keghairahan seorang
pengawal keselamatan yang mahu menunjuk lagak, dan bukannya
sebagai satu pencemaran perlembagaan yang sepatutnya boleh
mengheret pengawal keselamatan itu kepada pengadilan agar
perkara ini dapat diperbetulkan. Apakah tindakan MP (ahli parlimen) pembangkang apabila
diberitahu akan perkara ini? Kenapakah mereka tidak mendesak
agar speaker parlimen menggunakan hak beliau untuk
mempersoalkan martabat badan yang sudah terjejas itu?
Apa sahaja yang berlaku dalam sempadan Parlimen adalah
tanggungjawabnya. Jelas, dia sudah memperkenankannya,
walaupun pada masa yang lalu demikianlah amalannya. Pada
hakikatnya Parlimen dianggap sebagai satu kesinambungan BN,
pihak pembangkang dibiarkan masuk untuk didera dan kini
secara sindirannya tidak mempunyai hak mendapatkan jawapan
daripada MP BN. Sekurang-kurangnya kita sedar kenapa Speaker parlimen tidak
mahu meluluskan perdebatan dan usul yang dibuat secara
tergempar daripada pihak pembangkang kerana ia akan
memperlekehkan pihak kerajaan. Tetapi, setakat ini dia
kelihatan berwaspada mengikuti hukum perlembagaan.
Adalah hak parlimen menentukan siapa yang boleh memasuki
kawasan parlimen dan dikenakan syarat kerana kemasukannya.
Tetapi semua peraturan itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh
seorang pengawal keselamatan. Malahan semua orang harus
dikenakan peraturan parlimen seperti itu.
Adalah bukannya satu kemestian bahawa sesiapa yang meminta
pas masuk mesti berjawatan seorang wartawan. Tetapi kita
sudah boleh mengagak sesiapa yang diberikan pas masuk itu
tidak boleh berjumpa dengan wakil rakyat BN. Namun, ini
bukannya alasan kenapa masalah ini timbul.
Masalah yang tercetus adalah satu masalah remeh sahaja:
wartawan Malaysiakini sepatutnya tidak dibenarkan masuk,
tetapi sebagai satu sekatan dan hambatan, peraturan itu
dikenakan terhadapnya sebagai syarat untuk menyulitkan
tugasnya. Tidak ada sesiapa yang ambil peduli apakah
peraturan itu akan mencemar martabat parlimen.
Adalah satu kesilapan apabila Malaysiakini cuba
menggembar-gemburkan isu ini. Hukum-hakam mengenai kelulusan
pas masuk adalah amat jelas. Tetapi Malaysiakini bergerak
dalam satu persekitaran yang baru, satu media yang baru.
Peraturannya tidak lagi seperti dulu.
Monopoli Yang Tercabar Monopoli kerajaan terhadap pemberitaan kini sudah tercabar,
sehinggakan kerajaan kebingungan cara mengawal sesuatu yang
sukar untuk diamalkannya. Kerana itu kementerian penerangan
sudah mencuba pelbagai cara untuk menyebabkan Malaysiakini
tersungkur menyembah bumi. Malaysiakini berurusan tanpa sebarang pas wartawan. Tetapi
Malaysiakini, seperti kebanyakan kita semua, mempunyai satu
semangat berani untuk berkonfrontasi, terutama apabila ada
perkara yang memihak kepadanya. Ia meneruskan tugas
kewartawanan dengan penderaan itu dengan mencuba membuktikan
ia masih mampu dapat mengumpul berita walaupun ia kerap
dihalang menyertai setiap peristiwa yang mencetuskan sumber
berita itu. Tiga dekad yang lalu ketika saya bertugas dengan Singapore
Herald, keadaannya adalah lebih dahsyat berbanding keadaaan
yang dihadapi oleh Malaysiakini. Kami dinafikan kenyataan
akhbar yang rasmi, kerana kerajaan sengaja mengeluarkannya
selepas tengah malam agar kami tidak dapat maklumat itu
untuk disiarkan bertepatan masanya. Yang lebih merunsingkan
ialah di waktu persidangan ketua kerajaan Komanwel yang
berlangsung ketika itu. Tetapi Singapore Herald masih mampu meneruskan usahanya
dengan jaya. Secara yang tidak disangka seorang perdana
menteri Komanwel telah bermurah hati menghantar nota
persidangan ke pejabat Herald secara rahsia, lengkap dengan
beberapa nota tulisan tangan mengenai beberapa persidangan
yang akan dilangsungkan. Rakan kami di bidang kewartawanan kerap memberi pelbagai
maklumat mengenai perkembangan biasa. Kami menang peperangan
itu, walaupun kerajaan Singapura menutup pejabat Herald
dalam masa setahun. Namun, kami tidak pernah merasa malu
dengan peristiwa yang berlaku. Saya adalah antara tiga orang
yang diarah keluar daripada bumi Singapura. Sehingga kini
saya masih diharamkan menjejak kaki ke republik itu.
Saya sudah masak dengan pengalaman itu. Seperti juga
Malaysiakini. Ia menjadi sebuah akhbar internet yang lebih
baik lagi dengan segala sekatan ini. Hambatan semacam ini
mencetuskan kekuatan dalam pelbagai cara.
Yang lebih penting, apa yang didedahkan oleh kemelut
Malaysiakini itu ialah betapa mereputnya negara ini dari
segi perlembagaannya. Yang menakutkan kita bukan disebabkan
ia sudah terjadi, tetapi tidak ada seorangpun wakil rakyat
BN ataupun pembangkang yang sanggup meminta penjelasan
speaker kenapa berlakunya fenomena ini.
Tidak ada sesiapa yang prihatin kepada perkara yang sungguh
serius ini. Bahkan, Malaysiakini juga. Menyatakan pendapat
bahawa peraturan baru itu akan menjejaskan banyak pihak
tidak menggambarkan penentangan yang berkesan.
Isu yang lebih besar, seperti yang pernah saya katakan,
ialah cara kuasa perlembagaan itu yang disauk secara haram. Asal: KM2 6971 |