|
TJ SP MGG: Bila S/Dewata Bersuara: Tiada Pengasingan Kaum di Sekolah! By M.G.G. Pillai 1/4/2002 1:29 am Mon |
Bila Sang Dewata Bersuara: Tiada Pengasingan Kaum di Sekolah!
(The Oracle Speaks: No racial discrimination in
schools) Oleh: M.G.G. Pillai - 30/3/2002. Perdana Menteri Mahathir muncul laksana Sang Dewata purba
untuk menenangkan sesuatu yang sudah bercelaru. NUTP pernah
mengadu akan perihal pengasingan kaum di sekolah-sekolah
rendah. Kerajaan telah menafikannya dan menubuhkan satu
jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pendidik veteran
untuk merakamkan kesalahan kepada NUTP dan mencetuskan satu
kebangkitan suara mahukan NUTP meminta maaf secara terbuka.
Tindakan kerajaan ini mencetuskan satu suana yang ia tidak
mampu menanganinya.Seperti biasa, kerajaan tidak berfikir
apa yang patut dilakukan. Ketua pemuda UMNO yang juga
merupakan seorang menteri kabinet, Hishamuddin Hussein,
telah membebek mengatakan tindakan NUTP itu adalah satu
percubaan untuk memperlekehkan sekolah kebangsaan. Rakan
kabinetnya Siti Zaharah Suleiman, mendedahkan perangkaan
yang merangkumi 500 perkampungan yang mempunyai masalah
perkauman yang mudah meledak seandainya tidak dilakukan
sesuatu untuk menanganinya. Dua orang guru besar telah
mengugut mahu menyaman Setiausaha Agung NUTP sebanyak RM1
juta. Nampak sangat semua yang ditonjolkan itu adalah satu
tipu muslihat untuk menonjolkan kewibawaan seseorang
disebabkan martabatnya yang sudah terhumban ke dalam
longkang. Konfrontasi seperti ini menonjolkan kualiti pencernaan yang
tersendiri, betapa kerajaan sudah hilang air-muka
disebabkan kenyataan yang dibuatnya. Kerajaan sengaja tidak
mahu menerima hakikat betapa diskriminasi kaum dan
pengasingan adalah satu cara hidup di sekolah rendah dan
dalam seluruh sistem pendidikan, dan di setiap tahap
kehidupan itu. Hanya Sang Dewata yang dikatakan mampu menyelesaikannya.
Dia memang terpaksa melakukannya. Jika tidak,
pentadbirannya akan menjadi satu kandang di mana banyak
suara menguak dan membebek yang lebih lantang. Lantas dia
mahu perkara itu dianggap sudah beres dan selesai sahaja.
Guru besar yang gatal mulut seharusnya menghentikan ura-ura
mahu menyaman malu, kerana 'mereka sengaja mahu membuat
duit'. Tetapi, bagaimana mungkin mereka menyaman-malu tanpa
merujuk perkara itu kepada Kementerian Pendidikan? Kalaupun
mereka merujukkannya dulu, apakah kementerian memberikan
ihsan? Kalau mereka tidak meminta izin dulu, kenapa pula
begitu? Apakah kementerian akan mendisiplin mereka? Media
perdana sengaja mengipaskan angin hasutan, sambil memberi
tumpuan kepada orang yang membuat tohmahan dan bukannya
kepada tohmahan itu sendiri. Terlalu banyak persoalan yang
dibangkitkan. Tidak satupun yang menampilkan ketokohan
pihak kerajaan. Kenapakah laporan jawatankuasa khas itu
tidak diumumkan secara terbuka? NUTP hanya diberikan
salinan rumusan dan bukan laporan siasatan itu sepenuhnya.
Apakah kemungkinan segala hasil siasatan itu, seandainya
diberitahu secara sepenuhnya, menjadi satu skrip lelucon
sahaja? Kerana itu, seperti yang selalu berlaku, keputusan yang
sengaja diada-adakan kepada krisis yang memang sengaja
dilakonkan, menghaprakkan keyakinan awam secara rasminya.
Malahan timbalan perdana menteri, yang memegang tampuk
pentadbiran ketika Sang Dewata mengadakan lawatan rasmi di
luar negara, yakin betapa diskriminasi ras dan pengasingan
boleh terjadi di negara Apartheid Afrika Selatan, tetapi
tidak di Malaysia yang dikuasai regim Mahathir. Kalaulah
perkara yang sepenting ini, yang merupakan satu pembaharuan
yang mendasari konsep kepelbagaian kaum, kerajaan
menghaprakkannya dan gagal segagal-gagalnya, apakah
kerajaan yang sama boleh diharapkan bertindak dengan
saksama terhadap isu perkauman yang lebih serius lagi?
Kalaulah seorang perdana menteri kena turun padang
memadamkan bara krisis perkauman, ia memberi gambaran
betapa kabinet yang ada tidak tahu menjalankan peranan
mereka, hanya pandai dan suka mengipas untuk memburukkan
keadaan, dan menutup mulut apabila perdana menteri campur
tangan. Apakah ini penyelesaian terbaik yang dapat
dikemukakan oleh Barisan Nasional? Mana perginya menteri
India dan Cina yang mengetahui kisah sebenarnya tetapi
turut menjadi bisu belaka? Akhirnya, ini hanya merupakan ribut dalam cawan kopi yang
berlaku di Darulboleh di mana memang jutaan cangkir pecah
kerana ribut setiap hari. Inilah caranya kerajaan cuba
menyelesaikan ribut kehidupan itu mengikut seleranya,
sambil ia terus mengecewakan dan gagal segaga-gagalnya.
Yang menakutkan ialah cara sesuatu isu itu dipengapkan dan
tidak diselesaikan secara wajar, tenang dengan ada andaian
untuk membetulkan keadaan. Setiap kali muncul campur tangan
perdana menteri, ia adalah satu permulaan menyapu isu itu
ke bawah permaidani. Untuk menghentikan perkara itu terus
menjadi isu perdebatan, Akta Hasutan dikuatkuasakan. Tetapi
setiap yang disapu untuk disorokkan terus membusut dan
membengkak. Satu hari nanti yang membusut itu akan menanah
hingga meledak, menjadikan rusuhan 13 Mei dulu laksana
kisah jamuan di taman sahaja. Apatah lagi kalau setiap kali
kerajaan berlagak angkuh betapa setiap masalah itu hanya
kerajaan yang tahu cara terbaik untuk menanganinya, dan
sesiapa yang tidak bersetuju lebih baik dipenjarakan
ataupun dikenakan tuduhan kemuflisan sahaja. Inilah yang
menjanjikan ketegangan perkauman pada masa hadapan, apabila
pemimpin haprak yang merencana semua ini sudah lama mampus
dan hanya melihat 'daripada atas sana sahaja'.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR |