|
TJ SP MGG: Diskriminasi Kaum: Pisau mula dihunus By M.G.G. Pillai 1/4/2002 1:14 am Mon |
Diskriminasi Kaum: Pisau mula dihunus
(Racial discrimination: The Knives Are Out)
Satu jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan oleh kerajaan
dan diketuai oleh seorang sahabat baik kepada Menteri
Pendidikan, telah membuat keputusan secara tiba-tiba,
bahawa pengasingan kaum tidak wujud di sekolah-sekolah
Malaysia. Timbalan perdana menteri amat yakin bahawa
laporan itu sudah memadai dan Setiausaha Agung NUTP, Dato'
N.Siva Subramaniam mesti meminta maaf kerana mengeluarkan
kenyataan yang tidak berasas. Setiap anggota jawatankuasa
penyiasat itu adalah manusia yang sudah bersara. Tidak ada
seorangpun wakil ibu bapa ataupun guru-guru di dalamnya.
Kenapa? Tetapi ketua pemuda UMNO dan menteri kabinet
Persekutuan berkata bahawa segala tuduhan itu adalah
bertujuan menjatuhkan martabat sekolah kebangsaan.
Dengan lain perkataan, kerajaan membuat keputusan
seandainya wujud pengasingan perkauman, ia adalah kesilapan
ibu bapa bukan-Melayu dan sesiapa yang menyokong mereka
harus dikenakan tindakan sekeras-kerasnya. Pihak NUTP
mendakwa wujudnya 261 buah sekolah yang mempunyai masalah
seperti ini. Takkan jawatankuasa penyiasat itu mampu
melawat semuanya, ataupun bertemubual dengan segelintir ibu
bapa yang membuat rungutan adanya pengasingan terhadap
anak-anak mereka. Tentu kita mahu memikirkan kalau
berdasarkan apa yang sudah terjadi, apakah serba mungkin
adanya hasil siasatan yang melepaskan tuduhan terhadap
pihak kerajaan? Kerajaan memang seronok dengan krisis seperti ini, bukannya
untuk membetulkan sesuatu kesilapan tetapi untuk
memberitahu para pengkritik betapa kesilapannya itu yang
tidak boleh dibuktikan, dan sesiapa yang cuba
menyulitkannya perlu dikenakan penderaan. Kerana itu dua
orang guru-besar di Johor menyaman Dato' Siva Subramaniam,
sebanyak RM1 juta kerana menyatakan bahawa sekolah mereka
melaksanakan pengasingan kaum terhadap pelajar
bukan-Melayu. Pengasingan warga negara sudah menjadi satu
dasar kerajaan selama ini, kenapa pula ia menjadi terkejut
apabila kerenahnya itu terpalit pada setiap rupa bentuk
kehidupan? Apabila kerenah semacam itu berlaku di sekolah,
adalah satu perkara yang logik, walaupun ia sepatutnya
tidak berlaku seperti itu, sebenarnya itulah yang sudah
berlaku sejak berdekad yang lalu. Seorang warga bukan-Melayu merasakan dirinya tidak lengkap
secara automatis, dan tidak dibenarkan mencampuri aktiviti
kumpulan kecuali dalam keadaan yang amat istimewa, dan dia
dibenarkan menonjol bukan sebagai anggota masyarakat yang
diwakilinya. Seandainya mereka bergerak sendirian, mereka
boleh menonjol seperti orang lain. Insan bukan-Melayu itu
akan menghadapi risikonya sebaik sahaja dia bersekutu dalam
satu perkongsian atau secara satu organisasi yang formal.
Tidak kiralah apa kerjaya mereka, pakar jantung, jurutera
sivil, arkitek, pakar matematik dan sebagainya. Ramai yang
melepaskan jawatan untuk berhijrah ke luar negara. Mereka
selalunya menghadapi banyak masalah yang merugikan kerana
bersikap berdiam sahaja. Lainlah kalau mereka diterima
sebagai seorang kroni. Apabila khidmat mereka tidak lagi diperlukan, mereka
ditendang ke tepi dan dipandang sipi. Laksana oren yang
habis disedut, ia menjadi kecut, demikian kata K. Nilakanta
Sastri. Dia merujuk perkara ini kepada kisah pekerja India
di perladangan, pada 1930-an dulu, tetapi ia juga merujuk
kepada orang bukan-Melayu di Malaysia moden. Apabila
seorang Melayu membeli rumah, dia mendapat keistimewaan
potongan harga yang tidak dapat dinikmati oleh pembeli
bukan-Melayu. Dia menerima keistimewaan untuk memasuki
universiti walaupun markahnya adalah tidak seberapa,
berbanding pelajar bukan-Melayu yang perlu mendapat markah
tinggi dan terpaksa melepasi pilihan kuota yang dikenakan
kepadanya. Apakah anda mahu menganggotai perkhidmatan awam?
Anda perlu mempunyai nasib yang baik antara 20 peratus
orang bukan-Melayu yang diberikan kuota itu. Jadi,
kenapakah setiap orang terkejut apabila ada pelajar
bukan-Melayu yang dilayan begitu di sekolah rendah?
Lagi galak dipertahankan perkara haprak ini, lagi bergolak
perbalahan mengenainya. Dato' Hishamuddin Hussein
berpendapat bahawa ibu bapa bukan Melayu sengaja
mencemburui sistem di sekolah kebangsaan dan berusaha untuk
memperlekehkannya dengan tuduhan seperti itu. Dia adalah
seorang menteri kabinet dan pemimpin Pemuda UMNO, sudah
tentu dia bersuara dengan penuh kuasa. Tetapi apabila dia
membebek dengan pertahanan seperti ini, ia menghaprakkan
sebarang perdebatan dengan kerajaan yang kelihatan mahu
menyorokkan sesuatu. Lagipun inilah cara yang terbaik untuk
memusnahkan ketokohan seorang insan yang dipercayai oleh
UMNO telah naik begitu tinggi dalam tangga kesatuan sekerja
yang mesti dibaruakan untuk jatuh setakuk dua. Ini
merupakan satu bidang yang UMNO enggan merelakan orang lain
menguasainya. MTUC dan kesatuan sekerja Malaysia yang lain
sengaja diketepikan kerana pemimpin yang kebanyakannya
orang bukan-Melayu. Di Dewan Negara, ada satu kerusi yang khusus untuk kesatuan
sekerja. Ia tidak pernah diisi untuk beberapa tahun kerana
tidak ada calon yang difikirkan sesuai oleh kerajaan.
Akhirnya muncul seorang ketua kesatuan sekerja menganut
agama Islam dan diapun telah dilantik mengisi kerusi dewan
itu. Ketika mendiang P.P. Narayanan mula-mula sekali
ditawarkan kerusi itu, ketika pemerintahan Perdana Menteri
pertama Tunku Abdul Rahman, dia meminta agar MTUC
mencalonkan dirinya dulu. Dia tidak dapat membaca
arah-aliran (mood) kesatuan sekerja ketika itu, dan tidak
mendapat persetujuan ramai. Kemelut rusuhan kaum 13 Mei,
1969 dan petua Melayu-dulu yang merupakan kesan dari
kemelut itu telah menyingkirkan kepentingan menonjolkan
orang yang terbaik untuk mengetuai kesatuan sekerja. Dengan
lain perkataan untuk menyedapkan perkara ini, seandainya
orang yang diperlukan itu bukan berbangsa Melayu, makanya
dia tidak dianggap sesuai untuk sesuatu pencalonan jawatan
itu. Cara kerajaan menangani keributan dalam cangkir itu sudah
mencapai satu tahap kecanggihan sehinggakan sesuatu
keributan itu dianggap laksana satu taufan yang mampu
mempunah-ranahkan cangkir tersebut. Ia bertindak
seolah-olah ketuanannya dicabar oleh orang Melayu yang
menyokongnya dengan anggapan ia tidak mampu bertahan lama
kalau ada bukan-Melayu yang mampu mencabarnya pula. Inilah
dilemma yang menyerupai kemelut yang menghantui kerajaan
Singapura dalam kisah pengharaman tudung terhadap pelajar
sekolah. Apabila tiga orang pelajar itu bertegas tidak akan
berganjak, kerajaan PAP merasakan keaibannya. Ia
beranggapan ketiga-tiga pelajar itu berdegil kerana adanya
sokongan rakyat Malaysia daripada seberang tambak.
Sebenarnya tidak ada, tetapi apakah penting perkara itu?
Demikian juga halnya dalam kisah ini. Adalah dianggap satu
perkara penting untuk Dato' N.Siva Subramaniam dan NUTP
diajar sedikit. Inilah harapannya betapa krisis yang
sengaja diada-adakan itu dapat melalaikan rakyat Malaysia
kepada kerja haprak yang sebenarnya telah lama direncana.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR
|