|
TAG SP 637: B3: Time: Osama-Laden Asia By Simon Elegant 30/3/2002 1:11 am Sat |
Time Magazine OSAMA-LADEN ASIA - Bahagian 3 Oleh: Simon Elegant- Sungei Manggis Sahabat handai Hambali dan juga ahli keluarganya tidak
tahu-menahu kenapa dia bertindak berlepas ke Afghanistan
dan apa pula yang dibuatnya di sana. Lagipun Hambali
sengaja tidak suka bercerita akan pengalamannya selama tiga
tahun sebagai seorang mujahidin. Ketika dia berdakwah di
Malaysia dalam 1990-an dahulu, ada juga dia sekali-sekala
menyebut pengalaman berjuang menentang Soviet, sambil
berbangga menceritakan kisah dia bertemu muka dengan Osama
bin Laden, sambil menyebut tarikhnya dan tempat pertemuan
mereka. Seperti ramai tokoh radikal generasinya,
Afghanistan merupakan medan perang yang menukarkan
ketokohan Hambali menjadi penyambung ajaran Osama untuk
mengembangkan fahaman Wahabi yang menyarankan bahawa
perjuangan bersenjata adalah satu cara yang wajar untuk
mengembalikan ajaran Islam yang suci yang pada asalnya
menjadi asas perjuangan Nabi Mohammad SAW. Apabila pulang
ke Malaysia pada akhir 1980-an, seperti yang diceritakan
oleh rakan pendakwahnya (dan apa yang disebut oleh Barat
sebagai pengganas yang disyaki) bernama Abubakar Ba'asyir,
Hambali telah membawa bersamanya satu semangat yang
membakar betapa untuk mengembangkan pengaruh ajaran Islam
ialah dengan cara berjihad. 'Seperti saya juga, Hambali
menggalakkan umat Islam berjihad, yang pada waktu itu
tidakpun difahami oleh orang Malaysia.'
[Ha..ha.ha.....dia ingat Melayu lawan British dan Komunis
dulu bukannya berjihad??? - SPAR]
Abubakar yang kini menetap di Solo, Jawa Tengah, memang
amat dikehendaki oleh polis Singapura dan Malaysia. Mereka
percaya dia dan Hambali adalah pengasas pergerakan JI, dan
merupakan perancang usaha mengebom kedutaan AS dan beberapa
kedutaan serta tapak membeli-belah di Singapura. Abubakar
telah disoal-siasat oleh polis Indonesia pada Februari lalu
tetapi dibebaskan begitu sahaja kerana dia menolak segala
dakwaan itu. Namun, dia kerap berbangga betapa dia dan
Hambali pernah menjalankan kegiatan aktif mencari derma
untuk kumpulan militia Islam yang memerangi masyarakat
Kristian di Kepulauan Maluku, yang mengakibatkan lebih
5,000 mati terbunuh selama empat tahun yang lalu. 'Hambali
memang giat mencari derma,' kata Abubakar yang sudahpun
berusia 64 tahun dan mempunyai janggut yang sudah memutih.
'Dia juga memimpin sesiapa yang mahu berjihad di Ambon,'
bandar yang menjadi medan utama peperangan agama itu.
Polis di Malaysia dan Singapura mendakwa bahawa dua orang
itu telah mengatur satu rencana yang lebih besar untuk
menubuhkan sebuah negara Islam di Asia Tenggara yang dapat
ditadbir dengan undang-undang Islam. Penubuhan 'Daulah
Islamiah Raya' direncana merangkumi Indonesia, Malaysia,
Singapura, Brunei dan sebahagian wilayah selatan Filipina,
Thailand dan juga Kemboja. Impian penubuhan gagasan negara
Islam itu merupakan sebahagian sejarah pengembangan
kekuasaan Indonesia yang tercetus daripada harapan besar
oleh penggiat dakwah Islamiah seperti Hambali dan Abubakar
yang merasa tertekan di zaman Suharto dan lari untuk
berdikari di bahagian lain di rantau Asia Tenggara. 'Ketika
berada di luar Indonesia, mereka sedar kemungkinan mereka
tersisih seandainya sebuah negara Islam terbina di
Indonesia. Kerana itu mereka memilih menubuhkan Daulah
Islamiah,' kata Al Chaidar, seorang anggota lama pertubuhan
itu, yang kini merempat dalam buangan di Thailand.
Ketika dia sampai di Sungai Manggis pada tahun 1991,
Hambali memang sibuk dengan beberapa perkara yang perlu
diselesaikannya. Dalam keadaan papa kedana dengan hanya
satu beg plastik yang mengisi pakaian hariannya, Hambali
bertungkus lumus untuk bertahun lamanya menyara
keluarganya. Mohammed, tuanpunya rumah yang disewa oleh
Hambali pernah bercerita betapa Hambali pernah menjaja ubat
bikinan Indonesia dan Arab. Kemudian beliau memulakan
penjualan kebab di atas kereta tolak di luar perkarangan
masjid di pekan Banting. Walaupun ketika dia berusaha untuk
menyara nafkah kehidupan ahli keluarganya, Hambali masih
mampu menonjolkan keterampilan persona yang amat
menyerlahkan ketokohannya. 'Orang ramai amat mengkaguminya,
dan amat mempercayainya,' kata Mohammed. Inilah ketokohan
yang menjadi senjata Hambali untuk memaut para penyokongnya
kepada wawasan untuk berjihad. Pada tahun 1994, nasib pendakwah itu mula berubah. Dia mula
menerima lawatan tetamu yang kelihatan menyerupai 'orang
Timur Tengah' di rumahnya yang kecil. Mohammed mengimbau:
'Ada yang kelihatan semacam orang Arab, dan ada yang
semacam orang putih.' Mereka kerap muncul di malam hari dan
berpisah di sebelah pagi. 'Memang sukar mengajak mereka
berborak, walaupun kesemuanya bersikap bersopan santun.'
Malahan mereka bersikap pemurah. Pada 1994, Hambali
sudahpun mempunyai sebuah kereta 'hatchback' berwarna merah
dan memiliki beberapa telefon bimbit. Dengan keupayaan
memiliki wang, Hambali mula menjadi seorang pemborong untuk
membuat beberapa kerja kontrak kecil-kecilan, sambil
mengambil khidmat mereka yang satu ketika dulu merupakan
pembeli barang ubatan jualannya. Pada Mac 1995, kata
Mohammed, Hambali telah menganjurkan rumah terbuka
menyambut Idul Adha kepada beberapa ratus tetamu khas.
Majlis seperti itu menjadi amalannya setiap tahun kepada
warga Indonesia kebanyakannya, yang datang berkumpul di
halaman rumahnya untuk bersolat beramai-ramai dan
menyembelih kambing korban untuk dipanggang dan menjamu
selera bersama-sama. Pada tahun itu juga, Hambali pulang ke
Indonesia menyambut Idul Fithri yang merupakan upacara yang
paling utama mengikut kalendar Islam.
....bersambung.... Terjemahan: SPAR |