|
TAG SP 635: CPunch: Apa silapnya dengan 'Black Hawk Down'? By Brendan Sexton III 28/3/2002 10:27 pm Thu |
Counterpunch Apa silapnya dengan 'Black Hawk Down'?
(What's Wrong With Black Hawk Down) Oleh: Brendan Sexton III Pertama kali saya membaca skrip 'Black Hawk Down', saya
tidak memikirkan ia sebagai sesuatu yang terbaik di dunia
ini - jauh sekali anggapan saya ketika itu. Namun, saya
terfikir bahawa skrip filem itu setidak-tidaknya
membangkitkan beberapa persoalan penting yang sekian lama
menghilang daripada hasil pembikinan yang terakhir.
Rupa-rupanya saya dipesongkan untuk berfikir bahawa
beberapa persoalan itu dapat diberikan jawapannya. Dalam
beberapa babak tertentu, askar AS - sebelum mereka
kelihatan terlibat dalam pertempuran sengit di Mogadishu,
telah bertanya apakah AS sepatutnya berada di sana, dan
betapa berkesan kehadiran AS itu, dan kenapa pula AS
mencari hanya seorang panglima perang secara khususnya di
Somalia, General Mohammed Farah Aidid?
Semakin kami menghampiri hari penggambaran, skrip yang
disediakan itu semakin bertukar rupa dan semakin bertukar
pula ciri-ciri perfileman yang dicetuskan oleh persoalan
yang menghantuinya. Pada bulan Februari tahun lalu, seorang lagi seniman telah
pergi bersama saya ke Georgia untuk menjalani latihan
menyesuaikan diri kami di 'Ranger Orientation Training' di
Fort Benning, Colombus, Georgia. Dari Atlanta kami menaiki pesawat 'shuttle' terbang ke
Columbus, dan dalam penerbangan itu terdapat beberapa
orang anak muda yang menggayakan potongan rambut
ala-komando tetapi mereka bercakap sesama mereka dalam
Bahasa Sepanyol. Kami terpegun beberapa minit sebelum
menyedari bahawa anak-anak muda itu adalah 'pelajar' di
'School of the Americas'. Inilah sekolah di mana tentera
Amerika melatih pasukan 'pengganas' untuk Latin America,
yang berpangkalan di Fort Benning. Penemuan kami itu
membuatkan pengalaman saya mempunyai perspektifnya.
Selama lima hari kemudiannya, kami telah menjalani satu
latihan ketenteraan secara intensif di Fort Benning, dan
saya telah mempelajari banyak pengetahuan. Tentera 'US
Army Rangers' seperti yang digambarkan dalam filem itu,
merupakan satu kumpulan elit yang berjumlah sekitar 1,500
sahaja. Umur purata mereka ialah 19 tahun. Mereka bukannya
'Special Forces' (pasukan khas), tetapi mereka sebenarnya
menjalankan tugas khas ataupun Operasi Khas (Special
Operations). Sejarah penubuhan Pasukan Khas ini boleh disorot begitu
jauh ke lembaran sejarah peperangan ketika mereka
ditugaskan menghapuskan peribumi Amerika Utara dan
menunjukkan keberanian dalam Peperangan Saudara memihak
kepada Pasukan Selatan. Kumpulan Rangers pada zaman moden
ini merupakan satu alat untuk menyuntik semangat baru
kepada jentera perperangan imperialis AS yang sudah kalah
teruk dan ketandusan moral berperang selepas kekalahan di
Vietnam. Sejak itu, mereka telah terlibat di beberapa
medan perang - daripada Lubnan ke Grenada hingga Panaman,
dan semestinya, Somalia. Pasukan Rangers ini mempunyai cogankata (motto) pasukan
yang berbunyi: 'Rangers lead the way' - adalah menjadi
lambang semangat kepada pasukan tentera Amerika. Latihan
yang mereka jalani, beret yang mereka pakai dan potongan
rambut yang mereka gayakan adalah ciri-ciri khusus yang
membezakan mereka daripada ratusan ribu askar Amerika yang
lain Sebelum seseorang memasuki latihan di sekolah Rangers, dia
terpaksa dihayun dulu oleh proses latihan lasak yang
dipanggil RIP ataupun 'Ranger Indoctrination Program'. RIP
memakan masa hanya tiga minggu. Di sekolah Rangers itu
anda hanya diberikan satu sajian makan setiap hari dan
tidur untuk dua jam sehari selama 10 minggu.
Tujuan latihan ini ialah untuk menyesuaikan diri anda
kepada keadaan peperangan. Apapun yang anda lalui dan apa
bentuk latihan yang anda rasakan di Fort Benning, ia
sebenarnya tidak dapat menyediakan anda sepenuhnya kepada
keadaan kombat yang sebenar, bilamana peluru hidup
bersimpang-siur di atas kepala. Semasa perang dingin dahulu, Somalia adalah anak-didik
bekas kerajaan USSR, kerana kerajaan AS ketika itu
menyogok regim Haile Selasse di negara jirannya Ethiopia.
Apabila Haile Selassie digulingkan, keadaan bertukar rupa,
dan AS bertindak memberi sokongan kepada Siad Barre di
Somalia. Dari akhir 1970-an dan seterusnya, AS telah mengirim
sekitar US50 juta setahun dalam bentuk kelengkapan perang
kepada regim Siad Barre untuk memperkasakan cengkamannya
terhadap rakyat. Apabila penindasan difikirkan tidak
mencukupi, Barre telah memecah-belahkan semangat penyatuan
rakyat jelata dengan menggugat pula setiap suku kaum di
Somalia. Apabila Barre digulingkan, pertandingan suku kaum
meledak. Peperangan saudara yang tercetus kemudiannya telah
menyebabkan kebuluran secara besar-besaran hingga 300,000
nyawa terkorban. Kaum yang berperang saling merampas
ladang musuh mereka dan membakar tanaman yang ada.
Kalaulah AS membangunkan Somalia secara memberikan bantuan
seperti wang untuk kemajuan pertanian dan infrastruktur,
dan bukannya alat ketenteraan, kebuluran mungkin tidak
menjadi seteruk itu. Campurtangan AS itu pada asalnya
adalah untuk menghentikan kebuluran, tetapi apa yang
sebenarnya dilakukan adalah amat jauh berbeza.
Filem 'Black Hawk Down' (BHD) menggambarkan rakyat Somalia
sebagai kumpulan manusia yang liar. Elvis Michell, yang
telah menonton previu filem itu untuk New York Times pada
Disember dulu telah menulis: 'Kurangnya perwatakan dalam
filem itu menjadikan orang Somali sebagai satu kumpulan
haiwan yang berkulit hitam dan gigi yang menjeringai -
dengan tujuan tertentu ataupun sebaliknyua, ia adalah satu
tayangan yang sengaja diadakan untuk menyuntik semangat
perkauman.' Saya berpendapat betapa gambaran itu memang tepat sekali.
Orang Somali dipaparkan seolah-olah mereka tidak
tahu-menahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Mereka
digambarkan seolah-olah merka mahu membunuh askar Amerika
kerana mereka - seperti orang jahat yang lain - bersedia
melakukan apa sahaja untuk menggigit tangan yang
menghulurkan makanan kepada mereka. Tetapi, orang Somali bukannya satu bangsa yang sebodoh
itu. Malahan, ramai antara mereka menjadi begitu mual dan
tertekan kerana kehadiran askar AS adalah bertujuan untuk
menyokong kumpulan manusia yang ada kaitan degnan regim
Siad Barre yang begitu lama dan korup. PBB tidak berapa
dihormati oleh orang Somali kerana waktu itu PBB dipimpin
oleh Boutros Boutros Ghali, seorang bekas pegawai
tertinggi Mesir yang memang menyokong kegiatan regim Siad
Barre. Orang Somali mempunyai banyak dalil kenapa mereka membenci
kehadiran AS, terutama sekali apabila matlamat AS berubah
daripada 'penderma makanan' bertukar kepada penculikan
General Aidid. Aidid naik tangga pangkat regim Barre, dan
kemudian membantu menggulingkan beliau untuk bertukar
menjadi 'Musuh Nombor Satu' kerajaan AS.
Tidak ada banyak perbezaan antara Aidid dengan panglima
perang yang lain dalam usaha mereka mahu mencengkam kuasa.
Perbezaan yang utama adalah dia belum lagi bersedia ketika
itu untuk bersekongkol dengan kemahuaan AS.
Panglima perang, diktator, pengganas (dan Raja Penyangak)
selalunya dianggap mesra oleh AS selagi mereka sanggup
bersekongkol untuk menjaga kepentingan korporat AS.
Malahan AS telah menonjolkan Aidid untuk satu ketika yang
lama. Dia merupakan anggota yang dirakamkan namanya dalam
senarai panjang Amerika yang membolehkannya melakukan
kerja jijik dengan bebas, tetapi apabila mereka terkeluar
daripada landasan kemesraan Amerika, merekapun ditohmah
dan dikutuk sebagai seorang 'Hitler baru' - dalam satu
senarai baru yang telah tersenarai nama Osama bin Laden,
Saddam Hussein dan Slobodan Milosevic.
Apa yang mahu dicapai oleh AS di Somalia adalah sesuatu
yang belum terjadi di mana-aman lagi. Tujuannya ialah
untuk mengembangkan sayap kuasa di beberapa benua dan cuba
menculik seseorang yang dikawal ketat oleh pasukan
bersenjata. Beberapa percubaan awal untuk menangkap Aidid dan pegawai
tingginya kantul dengan aibnya. Pertama, tentera Amerika
telah menyerang rumah yang salah, yang rupanya adalah
pejabat UNDP (United Nation Development Program).
Kemudian, mereka menyerang beberapa pejabat milik badan
amal 'World Concern' dan 'Doctors without Borders'.
Malangnya, tidak banyak maklumat apa sebenarnya terjadi di
Somalia pada 1993 sehinggakan ia menjadi penglibatan
Amerika yang paling kurang diselidiki sejak pembabitan
Amerika selama 50 tahun. Inilah yang menyedihkan kerana terlalu banyak yang perlu
dipelajari daripada Somalia. Sebagai contohnya, ramai
manusia yang terkejut dengan kemusnahan yang dilakukan
oleh bom yang digugurkan oleh Amerika ke bumi Afghanistan.
Inilah yang menyebabkan AS menggunakan askar darat untuk
mengurangkan pembunuhan. Kita harus tidak melupakan betapa tentera darat AS telah
menghancurkan sebahagian besar Mogadishu - membunuh
sekurang-kurangnya 10,000 manusia dalam tempoh beberapa
minggu sahaja. Kita harus tidak melupakan betapa tentera
darat AS telah memusnahkan keseluruhan perkampunan di
Panama City menjadi runtuhan pada tahun 1989, dengan
mengorbankan banyak nyawa. Kita tidak mampu menyoal taktik Amerika dan ketenteraannya
begitu sahaja. Kita perlu menyoal kerajaan AS apakah ia
mempunyai nilai hidup yang murni untuk membabitkan diri
pada bila-bila masa dan di mana jua yang disukainya.
Dalam banyak hal, Somalia merupakan satu tema pembabitan
AS di luar negara, Ia merupakan salah satu negara
termiskin di dunia ini, berdepan dengan negara yang paling
kaya dan paling perkasa - seperti juga Afghanistan.
Salah satu tragedi peperangan sebenar di Somalia adalah
dalam bentuk sokongan yang diterimanya daripada kumpulan
liberal dan juga radikal. Apabila kuasa besar ketenteraan yang paling perkasa di
dunia ini menyerang satu negara yang sedang
bertungkus-lumus mahu membebaskan cengkaman penjajah
seperti yang dihadapi oleh Vietnam, ia telah menerima
bantahan di negaranya sendiri. Inilah yng mencetuskan apa
yang kini dikenali sebagai 'Vietnam Syndrome' -
keenggaanan Amerika membabitkan tentera darat di negara
luar. Vietnam Syndrome itu memang sesuatu yang baik. Ini bererti
AS terpaksa menarik diri keluar daripada Indochina, dan
ini juga membawa erti pembuli terbesar dunia tidak lagi
boleh pergi menjajah di mana ia suka, sekaligus
menyelamatkan nyawa orang yang tidak berdosa.
Tahun 1980-an memulakan kebangkitan semangat imperialisme
AS - selangkah demi selangkah - dengan beberapa operasi
rahsia dan operasi terbuka di Granada, Nicaragua, El
Salvador dan Panama. Tetapi, pemulihan itu hanya bertapak pada 1990-an - dengan
satu pembaharuan imperialise AS melaluui apa yang disebut
sebagai 'penglibatan perikemanusian' - inilah operasi yang
menyerupai 'Operation Restore Hope' (Operasi Mengembalikan
Harapan), di Somalia, 'Operatiaon Restore Democracy'
(Operasi Mengembalikan Demokrasi) di Haiti pada 1994, dan
pembabitan yang lain di bekas Yugoslavia pada tahun 1995
dan 1999. Apabila AS menyerang pergerakan kebebasan kebangsaan yang
tulen, adalah semakin jelas kenapa Amerika bertindak
begitu dan kenapa ia mesti ditentang habis-habisan.
Tetapi, apabila AS bertindak menyerang 'evil dictators'
(diktator syaitan) dengan tipu-muslihat untuk 'membantu
penduduk setempat', tujuan Amerika itu menjadi sesuatu
yang mengelirukan. Pegawai AS kerap mengunakan program 'campurtangan
kemanusian' itu sebagai satu topeng untuk melancarkan
missi seberang laut yang sebenarnya menghenyak dan
mempapa-kedanakan penduduk di negara yang 'dibantu' oleh
AS itu. Afghanistan - yang dibom sedangkan negara itu adalah
negara yang hancur oleh peperangan yang panjang, telah
mengakibatkan 3,700 nyawa terkorban dan ratusan ribu yang
kebuluran. Kosovo - 2,000 naywa yang terkorban dalam
kempen pengeboman 1999, sehinggakan peperangan menjadi
hebat mencetuskan krisis pelarian perang, dan generasi
mendatang akan mengidap barah yang lebih dahsyat
disebabkan AS menggunakan senjata yang bersalut 'depleted
uranium'. Inilah yang dikatakan keinsanan pembabitan
insani AS. Kita harus sedar bahawa Amerika sebenarnya mencetuskan
keganasan sesitap kali ia campur tangan di negara luar.
Ramai orang berkata bahawa manusia di kalangan kita yang
menentang peperangan tidak mempunyai jawapan kepada
masalah dunia. Mereka berkata kita sebenarnya tidak
berjaya melakukan sesuatu yang baik. Tetapi menyekat
pembabitan AS untuk campurtangan sebenarnya mencetuskan
sesuatu yang baik - kerana ia menyelamatkan nyawa.
Lagipun pergerakan kita boleh menonjolkan slogan dan
tuntutan seperti 'Wang untuk pekerjaan, bukan untuk
peperangan' dan 'AS mesti keluar daripada Timur Tengah'.
Kalau kita menang dalam perkara ini kita sebenarnya
berjaya memperbaiki keadaan hidup berjuta manusia di
dunia. Inilah projek yang sewajarnya diperjuangkan, dan
seandainya anda tidak telibat dengan perjuangan ini, saya
menggalakkan anda agar menceburkan diri.
Brendan Sexton II telah mengambil peranan dalam filem
'Welcome to the Dollhouse' dan 'Boys Don't Cry'. Dia
memegang peranan 'Alphabet' dalam Black Hawk Down. Inilah
tadi teks ucapan beliau pada 11 Februari yang
dibentangkannya dalam satu forum mengenai peperangan, di
Columbia University. Terjemahan: SPAR |