|
TAG SP 633: B2: Time: Osama-Laden Asia By Simon Elegant 28/3/2002 10:19 pm Thu |
Time Magazine OSAMA-LADEN ASIA - Bahagian 2 Oleh: Simon Elegant- Sungei Manggis Setelah meneliti ketokohannya, polis dan pegawai
keselamatan di rantau ini telah mengsyaki betapa Hambali
telah merencana beberapa rancangan yang sungguh
terperinci, tetapi tidak dapat dikesan lagi, melibatkan
rencana keganasan sebelum beliau menghilangkan diri pada
awal Januari 2001. Besar kemungkinan beliau pergi ke
Pakistan. Apabila siasatan polis diteruskan setiap minggu
yang berlalu menyerlahkan banyak kisah yang menunjukkan
wujudnya satu organisaasi payung-pelindung untuk Al-Qaeda
dan kegiatan keganasannya di Asia Tenggara yang dipimpin
oleh Hambali. Kumpulan itu dikenali dengan nama Jemaah
Islamiah (JI). Setelah berlakunya banyak penangkapan,
kewujudan pertubuhan itu di Malaysia dan Singapura
sudahpun dirakamkan sedangkan penangkapan minggu lalu akan
tiga orang anggota JI Indonesia di Filipina telah
memperkuatkan dakwaan betapa pergerakan itu memang aktif
di dua buah negara. Walaupun banyak aktiviti pergerakan
itu yang masih samar, masih ada dalil bahawa ia merupakan
satu pergerakan yang memberi tumpuan besar terhadap
perancangan jangka panjang. Usaha mengebom di Singapura,
sebagai contohnya, telah dapat ditumpaskan akhir tahun
lalu dengan tertangkapnya 13 orang petugas utama yang
dikatakan oleh polis, adalah dalam proses mengumpulkan 21
tan bahan letupan yang diperlukan oleh projek itu.
Adalah sesuatu yang menyeramkan apabila difikirkan Hambali
masih bebas untuk merencana projek kemusnahan; empat tan
bahan ledakan yang dipesan di bawah arahannya di Malaysia
dan Filipina masih belum dijumpai lagi. 'Kami baru sedar
betapa Hambali adalah seorang manusia pintar,' kata Ketua
Polis Negara Indonesia, Engkesman Hillep, yang mengetuai
satu pasukan penyiasat menghambat Hambali. Seorang pegawai
kanan AS di rantau itu ada berkata dengan selambanya:
"Kami memang risau akan kegiatannya setiap masa. Itulah
yang membuatkan kami tidak dapat melelapkan mata di malam
hari.' (supaya ada alasan sahih boleh dapat ponteng dan
tidur di siang hari - penterjamah). Asal-susul ketaksuban Hambali dan kegiatannya menjadi
terserlah pada satu hari di kampung asalnya di Sukamanah
di Jawa barat. Waktu itu suara ibu saudaranya berkumandang
di corong pembesar suara di kampung itu meminta kaum ibu
menghadiri kelas membaca Al-Quran. Panggilan itu menjentik
semangat sekumpulan wanita yang berbaju batik dengan
kepalanya tertutup kemas dengan skaf, sambil mereka
berlenggang di jalan melepasi masjid dan surau yang wujud
di setiap beberapa ratus rantai di tepi jalan itu. Inilah
gambaran sejak berabad lamanya betapa wujud sebuah
masyarakat yang kuat pegangan agamanya. Kaum wanita itu
berjalan menuju ke sebuah sekolah di mana majlis pengajian
Al-Quran itu akan diadakan. Itulah sekolah pengajian yang
sama yang diasaskan oleh datuk moyang Hambali satu ketika
dulu. Tetapi perlakuan berkumpul secara bebas itu adalah satu
fenomena baru kepada orang kampung Sukamanah. Ketika
Hambali membesar pada tahun 1970-an hingga 1980-an,
seperti yang diceritakan oleh seorang bekas rakan
pengajiannya, Ridwan, yang kini menjadi pengetua sekolah
pengajian yang tertua di kampung itu, adalah amat sukar
dan berbahaya untuk menunjukkan keghairahan terhadap
pengajian Islam pada satu ketika dulu. Sewaktu Suharto di
puncak kuasa kediktatorannya, sesiapa yang berminat untuk
berdakwah dan memberikan kuliah agama, melibatkan tiga
orang pengikut, dia perlu mendapatkan kebenaran daripada
panglima tentera setempat. 'Pada waktu itu, adalah sesuatu
yang lumrah untuk kelas pengajian Al-Quran terpaksa
dibatalkan kerana guru yang mengajar itu ditangkap untuk
disoal-siasat,' kata seorang kawan lama Hambali yang tidak
mahu namanya disiarkan. Sebagai seorang muda yang begitu kuat pegangan agamanya,
Hambali dapat merasakan getaran sekatan yang menindas itu.
'Dia memang kuat beriman,' kata ibunya Eni Mariani yang
sudah berusia 60 tahun, 'tetapi beliau amat pendiam dan
suka menyendiri." "Pada mulanya," kata Eni, "Hambali
beranggapan dia dapat menyambung pengajian Islam di
Malaysia, di mana aktiviti keIslaman masih bebas lagi.
Tetapi apabila dia tidak berjaya memperolehi biasiswa,
lagipun sebagai seorang abang sulung kepada 12 lagi
adiknya, Hambali diharap untuk menjadi pencari nafkah
untuk menyara ahli keluarganya. 'Kami tidak mempunyai wang
untuk membantu beliau,' kata ibunya. 'Tetapi dia
memberitahu ketika berusia 20 tahun, dia bertindak pergi
ke Malaysia, sambil berjanji kepada ibunya betapa dia mahu
bekerja keras untuk mengirim wang ke kampung. Itu adalah
caranya ramai pendatang Indonesia berhijrah untuk mencari
kekayaan. Tetapi dalam hal Hambali, akan berlaku satu
lencongan yang amat besar. Dalam masa beberapa tahun
sahaja di Malaysia dia bertolak pergi ke Afghanistan.
....bersambung.... Terjemahan: SPAR |