|
TAG SP 631: KWSP Boleh! [Mesti Baca] By Martin Jalleh 27/3/2002 12:54 am Wed |
KWSP Boleh! (EPF Boleh!) Pengurus dana yang terbesar di Malaysia - dengan dana yang
bernilai kesemuanya melebihi RM181 bilion pada 2001 -
hanya mampu membayar kepada pencarumnya, dividen yang
paling kecil sejak 38 tahun - dengan diiringi bermacam
alasan haprak. Harta kekayaannya mempunyai kekuatan untuk membeli hampir
separuh syarikat yang tersenarai di negara ini - tetapi ia
mampu membayar dividen sebanyak lima peratus sahaja -
sedangkan dana yang lain seperti Permodalan Nasional
Berhad telah mampu mengeluarkan dividen yang lebih tinggi!
Ketika negara dihenyak krisis ekonomi pada tahun 1986, ia
telah mengeluarkan dividen sebanyak 8.5% dan sewaktu
ekonomi mengerang kerana merudum pada tahun 1997, dividen
yang dikeluarkan ialah 6.7%. MALANGNYA, ketika ekonomi
negara dikatakan semakin pulih dan segala fundamentalnya
disebut semakin kukuh dividen yang mampu dikeluarkan hanya
5% sahaja. Daripada segi kekayaannya, ia adalah lebih kaya daripada
sebarang bank di negara ini, malahan kalau semua bank
dicantumkan, ia masih lebih kaya lagi. Namun ia hanya
berkemampuan membayar dividen yang sama dengan kadar
deposit tetap yang ditawarkan oleh sistem perbankan di
negara ini. Inilah institusi yang lantang mengatakan betapa ia
beriltizam kepada kemajuan negara yang dianggapnya sebagai
'pembangun sosio-ekonomi negara' tetapi apa yang mampu
diberikan kepada pencarumnya sekarang ialah dividen
tahunan yang dianggapnya satu kemajuan sejak 1995.
Pengerusinya mendakwa 'kerana wujudnya keadaan susut nilai
yang begitu tinggi terhadap ekuiti dan bertambanhnya
pinjaman yang disangsikan' menyebabkan dividen yang tidak
seberapa ini - tetapi pada waktu yang sama, membisu sahaja
kenapa dana ini telah terus membuat takrifan terhadap
pelaburannya yang dikatakan 'pinjaman yang disangsikan'.
Pada tahun 2001, ia telah mengambil-kira RM1.41 bilion
pelaburannya sebagai 'pinjaman yang tidak boleh
diharapkan' - ini merupakan pertambahan daripa RM754 juta
pada tahun 2000 - hingga mencetuskan kesangsian marhaen
apakah sebenarnya yang dikatakan pinjaman yang disangsikan
itu. Lebih suku daripada pinjaman yang disangsikan itu bernilai
sekitar RM500 juta telah digunakan untuk menyelamatkan
syarikat telekom Time dotCom Bhd., pada tahun 2001,
sehinggakan pelaburan ini dianggap sebagai pelaburan yang
haprak dan mengecewakan. Pada tahun yang sama ia kerugian sekitar RM110 juta dalam
urusniaga yang mengecewakan - namun ia masih bertegas itu
adalah satu pelaburan yang tidak disangsikannya tetapi
'berasaskan pertimbangan kewangan yang jitu'.
Pengerusinya masih dapat membuat pengumuman dengan penuh
keangkuhan betapa 'Setiap sen wang marhaen adalah selamat.
Tidak ada sebarang bahaya wang itu akan hilang kerana ia
dilaburkan dengan cermat.' (The Sun 13.04.01)
Dia menyebut betapa di sebalik segala kerugian yang
sungguh besar itu, dana awam telah dilaburkan 'secara
cermat' untuk menyelamatkan beberapa syarikat yang nazak
seperti Perwaja Terengganu Sdn. Bhd (RM600 juta
kerugiannya) dan Sistem Transit Aliran Ringan Sdn. Bhd.
(STAR). (STAR telah diberikan pinjaman sebanyak RM500 juta
walaupun syarikat itu sedang beroperasi dengan kerugian -
menyebabkan ekuiti dana bernilai RM135 juta terpaksa
dipupuskan kerana susut-nilai dan sahamnya hanya bernilai
RM96 juta pada 1999) Kemudian tercetus berita kerugian besar anak syarikatnya
seperti Malaysia Building Society Berhad, YTR Harta Sdn
Bhd., Affordable Homes Sdn.Bhd., Malaysia Capital Venture
Sdn. Bhd. Projet bandar Samarian, dan banyak lagi.
Tidak ada sesiapa yang mengetahui apakah kerugian KWSP
yang sebenarnya gara-gara 'pelaburan yang berhemah' selama
ini. KWSPpun sengaja diam membisu mengenainya - walaupun
disiarkannya berita betapa ia mahu mengeluarkan kenyataan
umum untuk 'berhubung secara terbuka dan dengan penuh
ketelusan'. Pengerusinya telah menggunakan alasan betapa wujudnya
'unsur suasana kewangan luaran' sebagai dalil kenapa
diedarkan dividen sebanyak lima peratus - tetapi tidak ada
sepatahpun perkataan menyebut akan segala kelemahan
dalaman, masalah dan muslihatnya - yang semakin terserlah,
dan sudah lama bernanah. Dalam 'missi utamanya' yang mahu diumumkannya kepada semua
pihak ialah 'menyediakan kemudahan persaraan kepada
anggota keahlian' - namun begitu sejak beberapa tahun yang
lalu, ia sudah mencipta beberapa bentuk rancangan agar
para pencarum mengeluarkan wang mereka lebih awal dan
bukan untuk memperkasakan tabungan mereka ketika bersara
nanti. Pengerusinya berkata 'sistem perakaunan yang wajar
dilaksanakan untuk semua bentuk pelaburan selepas kajian
yang jitu dilaksanakan oleh satu panel yang arif akan
pasaran' - tetapi dia lupa untuk menambah bahawa panel
pelaburan itu adalah bertanggungjawab kepada Menteri
Kewangan dan tertakluk kepada badan Lembaga.
Demikianlah hapraknya segala kelentongan, pembohongan dan
drama muslihat menipu rakyat yang akan berterusan - hanya
mampu dilaksanakan oleh KWSP. Martin Jalleh Terjemahan: SPAR |