|
TJ SP MGG: Ketari V: Demokrasi Dalam Kediaman Yang Terhad By M.G.G. Pillai 24/3/2002 1:37 am Sun |
Ketari V: Demokrasi Dalam Kediaman Yang Terhad
(Democracy In Restricted Residence) Oleh: M.G.G. Pillai - 20/3/002. Ketika berada di Russia minggu lalu, Perdana Menteri,
Mahathir Mohamed telah menyuarakan satu pendapat yang
tidak mungkin dituturkannya ketika berada di negara
sendiri. Beliau menyebut bahawa Russia seharusnya berusaha
menjadi sebuah kuasa besar dunia semula, memandangkan
dunia sedang dibayangi sebuah kuasa besar sahaja. Dunia
akan menjadi terlalu berbahaya seandainya dicengkam oleh
sebuah kuasa besar sahaja. Kalau andaian ini dipanjangkan
untuk mengambil-kira politik Malaysia, dia menganjurkan
betapa sebuah parti politik ataupun sebuah gagasan politik
tidak seharusya mendominasi sesebuah negara; bahawa
parlimen dan dewan-dewan undangan negeri memerlukan lebih
banyak lagi suara pembangkang untuk mengimbangi pengaruh
gagasan Barisan Nasional dan mengawasinya. Tidak ada yang
lebih tepat dalam kebenaran ini. Bahaya dunia yang dibayangi kuasa unipolar memang amat
bertepatan dengan andaian beliau. Cuma dia sengaja
memperlekehkannya. Di negara ini dia amat percaya dengan
hak BN memerintah tanpa pihak pembangkang yang
mengawasinya. Apabila Bush merasakan dia tidak dapat
memerintah dengan rakusnya, dia mengugut untuk melancarkan
senjata nuklear. Begitu juga dengan Mahathir yang amat
ghairah menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri
yang zalim) untuk menahan sesiapa yang berani menyanggah
pemerintahannya. Dia dan Presiden Bush, memerintah dengan
peraturan yang sama di mana apa yang dipermudahkan kepada
dewa Yunani tidak boleh dihulurkan kepada orang lain.
Ucapannya mengenai kuasa dunia berunsur unipolar bukannya
untuk pengetahuan orangnya di tanahair, apatah lagi kalau
saranan itu memperkasakan demokrasi. Di Malaysia,
demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang
terbelenggu, terhencot-hencot di kawasan perumahan yang
menghantui musuh regim Mahathir, yang mesti mengikut
paluan cambuk tuannya di Malaysia; Barisan Nasional dan
sekali-sekala oleh polis Malaysia seperti yang dihadapi
dengan teruknya oleh mantan timbalan perdana menteri Anwar
Ibrahim satu ketika dulu. Di pihak dunia bebas pula, sudah
wujud satu budaya betapa mereka diperlukan tunduk dan akur
kepada Amerika Syarikat gara-gara munculnya satu cabaran
besar terhadap kekuasaannya pada September dulu sehingga
membuatkannya naik minyak. Begitulah juga dengan BN yang
naik minyak mahu terus menguasai negara ini. Sebarang
usaha pihak pembangkang untuk melukakan martabat BN
dianggap sebagai satu ancaman serius laksana Bush
menganggap sebarang ancaman terhadap kewibawaannya dengan
cara mahu melepaskan bom nuklear terhadap musuhnya.
Sebenarnya BN tidak senang hati menghadapi satu
pilihanraya kecil yang kalau boleh tidak dipertandingkan.
Kuasa besar politik di Malaysia betapapun pandangan
pemimpinnya di arena global, memang tidak mahu
pembangkang, yang dipandangnya dengan jijik sebagai
golongan anti-nasional, walaupun kewujudan mereka adalah
untuk mengimbangi kuasa di Malaysia. Kerana itu pemimpin
politik pembangkang ditangkap dan ditahan tanpa
perbicaraan mengikut ragam kerajaan Amerika Syarikat. BN
mengancam mereka yang berpaling tadah dan melompat kepada
parti lawan . Tidak jauh bezanya dengan Amerika Syarikat
yang takut bertembung dengan pembangkangnya secara
bersemuka tetapi lebih gemar menyerang daripada berbincang
dengan mereka. Demikian halnya di Ketari. Presiden
Gerakan, Lim Kheng Yaik, sedang menggelabah. MCA pula
sedang berkecamuk dan terpaksa melupakan masalah dalaman
untuk turut serta berkempen. UMNO tidak mahu melihat PAS
menayangkan bendera parti pada hari penamaan calon, kerana
itu polis membuat peraturan tidak membenarkan bendera lain
kecuali bendera DAP yang dikibarkan di kawasan
pembangkang. Tetapi BN diizinkan mengibarkan semua bendera
parti komponennya walaupun calon Gerakan bertandinng atas
nama BN. Sejak pemilu 1999, UMNO, MIC dan MCA dan kini Gerakan
terpaksa menghadapi pilihanraya kecil dengan suasana yang
penuh mencabar. Kemungkinan akan muncul satu lagi
pilihanraya kecil memang membuatkan Mahathir menggigil
kalaulah ADUN Pahang, Dato Fauzi Abdul Rahman, yang
merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim, mengancam
melepaskan kerusinya sebagai tindakan menyagat UMNO
Pahang. Kemungkinan ini memang ditakuti oleh UMNO dan BN
kerana besar kemungkinannya PAS akan menang. Kerana itu
UMNO mengalah secara berlembut dan mengharapkan Fauzi
tidak berbuat begitu sebelum 30 November tahun ini.
Selepas itu tidak lagi ada pilihanraya kecil yang
dipertandingkan. Undang-undang pilihanraya Malaysia
melarang sebarang pilihanraya kecil pada dua tahun
terakhir sesi parlimen dan dewan undangan negeri.
Dalam lawatan Mahathir ke Russia itu, ada satu lagi
kejutan yang dibuatnya dalam membeli 30 buah jet pejuang
Sukhoi. Memang tidak ada cacat-celanya dalam pembelian itu
kecuali agen jualan di Malaysia yang tidak diketahui umum.
Dalang yang paling utama dalam pembelian itu ialah seorang
insan bernama Rosmah Yaakob, yang secara kebetulan
merupakan isteri kepada Najib Razak, menteri pertahanan
kabinet Mahathir. Secara lazimnya, Soviet Union dan
kemudiannya Russia tidak mempunyai agen khas untuk
penjualan alat ketenteraan di negara barat. Sesiapa sahaja
boleh menjadi agen kalau memintanya, sambil membayar balik
apa juga harga komisen yang patut diterima oleh insan yang
menjayakan penjualannya. Rosmah Yaakob berjaya merencana
jual-beli itu. Ini perkara mudah kalau dikirakan siapa
suami yang menolongnya. Satu ketika dulu Mahathir
mendapati gelagat ini sungguh menjijikkan dan menukarkan
Najib ke Kementerian Pendidikan Di sana Rosmah
mengembangkan sayapnya menjadi ejen komisen untuk
penjualan perisian komputer untuk projek 'Sekolah Bestari'
yang sudah kantul kini. (Perisisan itu masih belum siap
lagi walaupun bertahun dulu dia menjanjikannya.)
Tetapi Dato' Najib sudah menjadi sekutu yang bermutu dalam
pencarian panjang insan yang akan menggantikan tempatnya.
Kerana itu Mahathir menutup sebelah mata apa juga yang
dilakukan oleh isteri Najib. Ini merupakan amalan biasa
dalam Darulboleh seandaiya seseorang itu tukang ampu
kepada Insan Yang Berfikir Dialah Maharaja Seluruh
Malaysia. Anda akan dituduh sebagai rasuah seandainya anda
dan saya sendiri melakukan apa yang Anwar Ibrahim lakukan,
tetapi perkara itu dikira perkara biasa seandainya anda
dianggap anak-didik dan peliharaan orang tua yang gila
kuasa. Itu sebabnya Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara
dalam apa yang disebut oleh Ling Liong Sik kisah Sarjan
Senapang bin Peluru masuk Sungai Bulu dulu, sedangkan
Rafidah Aziz berlagak sakan di Putrajaya.
Demikianlah kiasan sindiran yang menghantui setiap
pemimpin BN, setiap kali munculnya pilihanraya kecil di
negara ini. BN berpendirian bahawa taktik terbaik untuk
menang di Ketari ialah dengan menyerang DAP sebelum hari
penamaan calon diisytiharkan. Dengan mengenepikan cara
berhemah dan berunsur mulia, Gerakan memilih jalan aib
untuk menang di sana. Kuasa besar politik Malaysia tidak
mampu membiarkan sebarang jentikan terhadap kuasanya.
Mereka sanggup berlagak laksana harimau yang terluka untuk
mempertahankan maruahnya. Rencana BN dalam serangan
keganasan ala-11 September adalah merupakan batu
penghenyak Anwar Ibrahim. BN berlagak sama caranya dengan
tingkah-laku Washington. Itu sebabnya Mahathir berlagak
semacam Presiden Bush, dengan pendapat yang saling
bertukar nadanya di hadapan hadirin yang berbeza, untuk
menunjukkan betapa sebarang kuasa besar, dalam dunia
politik ataupun global mempunyai hak istimewa yang tidak
boleh diperolehi oleh orang lain. Keupayaan BN dan Mahathir berlagak sombong tanpa banyak
bantahan berbanding bantahan yang dihadapi oleh Presiden
Bush, adalah satu gambaran betapa lompongnya kuasa
pembangkang di Malaysia. Seperti yang disebut oleh MP PAS,
Shahnon Ahmad, dalam tulisannya di Harakah terkini, UMNO
telah merampas ketuanan feudal Melayu selama 55 tahun dulu
lagi dan berjaya menguasai ketuanan politik dan feudal
Melayu itu dan berjaya menyerkap ketuanan politik
bukan-Melayu sehinggakan BN dan parti pembangkang dipaksa
akur menerimanya. Yang mencabarnya ialah kebangkitan
kesedaran di kalangan orang Melayu ekoran pengaiban Anwar.
UMNO telah berusaha melancarkan perdebatan politik dan
merencana hegemoni feudal dengan cara meruntuhkan peranan
warga istana dan ulama. Apabila UMNO cuba menonjolkan perananya sebagai pejuang
budaya dan ketuanan feudal Melayu, sepatutnya ia menerima
pakai segala hukum-hakam budaya yang lama tersusun itu.
Tetapi ia enggan menerimanya, dan kini dihantui satu
hukuman kerana melanggarnya, dan bertindak ganas dengan
penuh kemarahan. Sebagai seorang ketua Melayu, Mahathir
tidak pernah dicabar - kepimpinannya sebagai ketua feudal
dapat bertahan bukan disebabkan aturan ragaman budaya
tetapi oleh kerana kuasa dan putar-belitnya sehinggakan
kuasa feudal itu lari daripadanya - begitu juga halnya
dengan Presiden Bush yang disanggah oleh musuhnya dari
kalangan golongan pejuang Islam. Kerana itu Mahathir menyibuk di pentas dunia mengemukakan
pendapat betapa AS tidak seharusnya dibenarkan berlagak
sendirian sebagai kuasa dunia, sambil beliau merasa yakin
betapa dunia tidak akan memandang serius segala mainan
wayangnya. Kalau dia boleh berlagak celupar di Moscow mengenai hal
ehwal politik dalaman, dia juga tidak mempunyai sebarang
niat untuk memenuhi janjinya seperti yang pernah dibuat
mengenai sekolah Cina, akan dianggap sebagai sesuatu yang
serius hingga memaksa ianya dipenuhi di Malaysia. Sekarang
ini anda sukar mengamati pergerakan bibir Mahathir untuk
meneka apakah dia berkata benar ataupun sengaja berbohong.
Kalau ada kebenarannnya ialah apakah tindakannya ketika
menyatakan sesuatu itu. Teori yang mengatakan Mahathir
mahukan pihak pembangkang menang di Ketari tidakpun
disokong oleh kenyataan. Kalaulah DAP menang, kesannya
nanti adalah lebih serius daripada yang dijangkakan.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6896 |