|
TJ SP MGG: Ketari VI: KPN campurtangan selesai masalah By M.G.G. Pillai 22/3/2002 11:14 pm Fri |
Ketari VI: KPN campurtangan selesai masalah
(The IGP steps in to undo a mess) Oleh: M.G.G. Pillai - 21/3/2002. Pilihanraya kecil Ketari sudah bertukar menjadi satu skrip
kehaprakan belumpun hari pencalonan diadakan pada hujung
minggu ini. SPR telah bertindak menjadikan hari mengundi
pada cuti Easter Sunday. Polis Pahang bertindak menghadkan
penggunaan bendera parti hanya untuk parti yang
mendaftarkan calonnya, tetapi membenarkan BN mengibarkan
semua bendera parti komponennya. Rombongan penyokong
dihadkan juga dan setiap calon hanya dibenarkan 100 orang
penyokong bersama bendera partinya sahaja berarak ke pusat
pencalonan. Pihak berkuasa memang sanggup tunduk ke bumi
dengan ketaksuban betapa BN seharusnya dibantu selalu dan
pihak Pembangkang diperlekehkan begitu.
Demikianlah hapraknya keadaan yang sudahpun sampai ke
telinga rakyat jelata. Sedangkan SPR yang sepatutnya lebih
berkuasa dan bukannya polis yang ada kuasa menetapkan
pelbagai syarat untuk mereka mengada-ngada. Kehaprakan ini
menjadi semakin menyerlah apabila KPN Norian Mai
campurtangan semalam 20/3/02 (sila lihat Bernama mengenai
kisah ini) dan menarik balik arahan mengenai penggunaan
bendera parti sehinggakan tindakan itu menyebabkan banyak
soalan yang lain pula. Kenapakah polis Pahang berlagak seolah-olah iapunya kuasa?
Apakah ia tidak merujukkan dulu kepada ibupejabat polis
dan SPR sebelum mengumumkan peraturan itu? Kenapakah
arahan itu dikeluarkannya tanpa berbincang dengan parti
politik dan SPR? Yang lebih penting lagi, kenapa pula
arahan polis itu ditarik balik? Norian Mai berkata
beberapa pihak telah membantahnya. Sejak bila pula polis
mendengar bantahan orang ramai, kecuali bantahan 'beberapa
pihak' itu datangnya daripada BN? Apakah polis tidak
mendengar rintihan orang ramai sebelum mengeluarkan
peraturan itu dulu? Apakah benar pegawai polis kita sudah bertaraf Pak Pandir
kerana mudah membuat keputusan sambil lewa tanpa
memikirkan kesan buruknya? Ataupun apakah itu satu kiasan
kepada Perdana Menteri betapa polis boleh diharapkanya
untuk menjaga kepentingannya dan juga BN? Ataupun itu satu
taktik salah langkah oleh polis Pahang mahu
menunjuk-nunjuk yang ia taat dan setia? Dengan keupayaan
menentukan peraturan tanpa merujuk kepada SPR apakah itu
caranya menunjukkan kecekapan polis? [Catatan penterjemah: Campurtangan Norian Mai dalam hal
ini memang kita kagumi. Tetapi, adalah lebih baik Ketua
Polis Pahang direhatkan sepanjang proses pilihanraya kecil
Ketari untuk mengelakkan beliau memberi arahan lain yang
mungkin menjejaskan suasana pilihanraya kecil itu. Kalau
mahu lebih berkesan, suruh sahaja Ketua Polis Pahang itu
bersara awal ataupun mengambil kursus bagaimana menjadi
penjaja pasembor bersama-sama Ketua Polis Daerah
Baling!!!!! ] Dalam satu pilihanraya kecil di mana BN tidak mempunyai
isu ataupun minat ataupun keduanya sekali, para pegawai
membuat kesilapan yang tidak sepatutnya, dengan fitnah
berleluasa mengambil tempat perdebatan terbuka walaupun
hari pencalonan belum selesai, tindakan pengharaman oleh
polis dan sikap acuh-tak-acuh SPAR menunjukkan betapa
angkuhnya BN seolah-olah ia mampu berbuat sesuka hati dan
bermegah dengan anggapan tidak ada sesiapa yang akan
bertindak untuk membantah. Kerana itu juga presiden
Gerakan, Lim Kheng Yaik mengungkit semula segala kisah
dendam kesumat dengan DAP sedangkan apa yang patut
diperjelaskan ialah rencana yang akan dibuat oleh
calonnya, kalau menang kali ini. Pada waktu yang sama
semua akhbar perdana Malaysia yang merupakan alat
propaganda BN sengaja diam membisu. Setakat ini BN berpendirian taktik memburukkan DAP adalah
cara terbaik untuk membuka minda pengundi Ketari
mengalahkan calon pembangkang. Kerana itu taktik
menyulitkan DAP dianggapnya dapat menjadikan DAP tempang
dan sukar mendapatkan sokongan pihak pembangkang datang
membantu. Kedua-dua taktik kotor ini sudah jelas memakan
tuannya. Kalaulah arahan polis itu dipatuhi, sudah tentu
ia akan menyulitkan BN dan bukannya DAP.
Sekurang-kurangnya pihak pembangkang akan mengusahakan
satu kemenangan juga. BN hanya berkempen di kawasan yang
diduduki oleh penyokongnya, kerana itu bendera parti
komponen adalah lambang terpenting ketika kempen
berbanding mengibarkan bendera BN sahaja.
Seperti yang saya rakamkan, pilihanraya kecil Ketari ini
bolehlah dianggap sebagai satu titik-tolak perubahan di
mana proses demokrasi dalam pilihanraya di masa hadapan
menjadi satu proses yang boleh disangsikan. (Raja
Pasembor) Norian Mai bercakap mengenai masalah keselamatan
di Ketari. Bilakah masalah itu muncul? Ketika pilihanraya
kecil diumumkan ataupun sebelum itu lagi? Kalah masalah
itu berlaku sebelum pengumuman pilihanraya kecil itu,
kenapakah polis tidak mengambil tindakan untuk
membanterasnya? Kalau masalah timbul selepas pengumuman
pilihanraya kecil itu, apakah yang menjadi penyebabnya?
Apakah kerana kemungkinan pilihanraya kecil itu? Ataupun
apakah itu satu tipu-helah untuk menangkap dan mengugut
sesiapa sahaja dengan menggunakan pilihanraya kecil itu
sebagai alasan sahaja? Apakah itu muslihat menyerkap
sesiapa yang boleh lesap selepas hari pencalonan? Dengan
lain perkataan apakah BN terlalu galak menyalak
'Serigala.. serigala ... tolong.... tolong serigala...
lebih kerap daripada yang sepatutnya???
Seorang bekas menteri kabinet yang pernah menjadi MP
Bentong, Dato' Seri Chan Siang Sun, pernah membawa saya
melihat kawasan pilihanraya mendiang pada 1970-an.
Mendiang pernah memberitahu betapa MCA Bentong memang amat
dibenci, kerana itu dia tidak mampu melawat kawasan itu
dalam apa keadaanpun, dan terpaksa pemandunya memecut
kereta setiap kali melalui tempat itu. Inilah kawasan
perkampungan baru Cina yang bertegas dengan sikap
anti-komunis ketika darurat tetapi apabila kemerdekaan
dicapai telah diabaikan untuk hidup sendirian. Contohnya
pada 1979, peruntukan negara untuk kemajuan perkampungan
baru hanya sekitar $5 juta untuk memberi kemudahan kepada
456 perkampungan baru di seluruh negara. Peruntukan untuk
tujuan itu tidakpun banyak peningkatannya pada waktu ini.
Setiap kali pilihanraya kecil terjadi, segala kehaprakan
pengabaian perkampungan itu terserlah untuk semua
melihatnya. Perkara ini memang boleh diperaku oleh presiden Gerakan.
Ketika beliau menjadi menteri yang bertanggungjawab dengan
perkampungan baru Cina di awal 1970-an dulu, rungutan
beliau yang terbesar ialah peruntukan yang diberitakan
padanya tidak mampu memajukan satu perkampungan baru,
apatah lagi keseluruhan 456 kampung itu. Inilah yang
menyulitkan BN, disebabkan keangkuhan dan riak betapa
hanya BN yang dapat menyelesaikan masalah negara ini. Pada
waktu yang sama BN tidak mampu meraih perhatian rakyat
untuk mereka mendengarnya apatah lagi mempercayainya.
Pihak tertentu yang turut angkuh dan menjadi degil seperti
pihak polis, beranggapan betapa hanya kekerasan dan arahan
haprak memadai menentukan keamanan negara. Sedangkan
jawapan sebenar tidak lagi seperti itu. Jurang perbezaan
sudah terlalu besar dan sudah bergegar. Inilah yang
membuatkan BN dan bukannya pembangkang yang sedang
menggeletar. Tidak kiralah kalau Ketari, seperti yang
ramai menjangkakan, akan dimenanginya sekali lagi.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6902 |