|
TAG SP 592: TheAge: Malaysia Halau Pekerja Indonesia By Mark Baker 4/2/2002 12:19 pm Mon |
The Age Malaysia Halau Pekerja Indonesia
(Malaysia deports Indonesian workers)
Oleh: Mark Baker, Asia Editor, Singapore - 28/1/2002.
Malaysia telah mengharamkan pengambilan pekerja Indonesia dan
sudah mula mengusir puluhan ribu pekerja asing dalam satu
gerakan besar-besaran yang mendingini hubungan antara
kedua-dua buah negara. Timbalan Presiden Indonesia Hamzah Haz telah merayu terhadap
tindakan itu pada akhir minggu lalu ketika penguatkuasa Malaysia
merencana penghantaran 30,000 pekerja Indonesia daripada
Sabah dan seramai 10,000 lagi daripada Sarawak.
Namun, Perdana Menteri Mahathir Mohamed telah menolak
cadangan untuk menemui Presiden Megawati Sukarnoputri untuk
membincangkan perkara itu. Beliau bertegas bahawa Malaysia
mempunyai lebihan pekerja asing dan tidak ingin lagi menerima
kemasukan mereka daripada Indonesia. 'Kami sudah menghentikannya dan tidak ada lagi pekerjaan untuk
mereka,' kata Mahathir. Gerakan besar-besaran itu telah dicetuskan oleh satu rusuhan 10
hari lalu di sebuah kilang di Negri Sembilan di mana 147 pekerja
Indonesia telah ditangkap setelah menyerang polis yang dikatakan
membuat pemeriksaan dadah - dan pekerja itu dikatakan telah
merosakkan bangunan dan kenderaan. Lima belas pekerja Indonesia yang dikatakan telah mengambil
bahagian dalam rusuhan itu akan didakwa di mahkamah esok,
demikian laporan akhbar semalam. Tenaganita, kumpulan hak asasi manusia di Malaysia telah
menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan berkata bahawa
rusuhan itu adalah cetusan provokasi pihak polis, yang telah
memaksa para pekerja berbaris dan mula menampar muka mereka
semasa memaksa mereka menjalani ujian air kencing.
Para pekerja bertindak balas dan pihak polis terus menggunakan
kekerasan untuk mendera para pekerja itu,' demikian kenyataan
Irene Fernandez, pengarah Tenaganita. 'Mereka tidak dapat
bersabar sehingga mencetuskan rusuhan yang terus membesar. Mahathir menolak tuduhan itu, yang disokong oleh kumpulan hak
asasi pekerja di Indonesia, Kpobumi - bahawasanya polis yang
mencetuskan provokasi. 'Mereka harus tunjukkan bukti dakwaan mereka,' kata Mahathir.
'Kalau kita bandingkan apa yang disebut sebagai keganasan polis
kita dengan keganasan polis mereka, saya fikir mereka bertindak
ganas lagi. 'Kalau dilihat gambar keganasan polis mereka, memang ternyata
mereka lebih mengganas di sana.' Menteri Tenaga Manusia Indonesia, Jacob Nuwa Wea telah
membuat pengakuan minggu lalu betapa Indonesia merasakan
aibnya peristiwa di Negri Sembilan itu - yang merupakan ekoran
satu rusuhan oleh 1600 pekerja Indonesia di sebuah kem tahanan
di Johor bulan Disember lalu - dan telah mengumumkan satu
rencana mengirim satu pasukan guaman untuk mempertahanakn
pekerja yang tertahan itu. Seramai 38 pekerja yang ditangkap di Negri Sembilan telah
dihantar pulang ke Indonesia pada hari Sabtu.
Ini bermakna 129 sudahpun dihantar pulang sejak peristiwa itu.
Mahathir menuduh 'pembuat kacau' di kalangan pekerja asing
yang mencetuskan salahfaham antara Malaysia dan Indonesia dan
bertegas betapa hubungan dua hala antara dua negara tidak akan
terjejas oleh isu itu. 'Itu adalah tindakan mereka yang
menyebabkan Kerajaan Malaysia bertindak dan membuatkan
rakyat kurang senang terhadap pekerja imigran Indonesia,' kata
beliau. 'Mereka telah mencemarkan hubungan ini, dan bukannya kita.
Apabila rusuhan dicetuskan oleh satu kumpulan, dan diikuti oleh
kumpulan yang lain, saya fikir kita tidak boleh berdiam diri. Kita
telah bersabar banyak kali dan memberikan keistimewaan kepada
mereka. Sekarang kita tidak lagi berminat menyimpan mereka.'
Kebanyakan pekerja Indonesia di Malaysia yang dianggarkan
berjumlah satu juta itu adalah dipercayai pendatang tanpa izin,
yang diseludup masuk oleh sindiket haram untuk menyediakan
tenaga murahan kepada syarikat di Malaysia.
Ms. Fernandez berkata satu sindiket industri penyeludupan
manusia adalah hasil persekongkolan polis Malaysia dan pegawai
imigresen. Tamat. Terjemahan: SPAR. Asal: KM2 6676 Ref: http://theage.com.au/news/world/2002/01/28/FFXOY5KPXWC.html |