Laman KM2: 6708 KM2 Index File Size: 8.8 Kb


TJ SP MGG: Dasar BN Mengenai Perkauman
By M.G.G. Pillai

4/2/2002 12:15 pm Mon

Dasar BN Mengenai Perkauman

(BN policy of racial disintegration)

Oleh: M.G.G. Pillai - 2/2/02

Ketika bersidang minggu lalu, BN (Barisan Nasional) membuat keputusan untuk menolak permohonan tiga parti politik menganggotai gagasannya. Tidak ada alasan yang diberikan, kerana perkara itu memang tidak diperlukan. Namun, tiga parti itu adalah parti kaum India; ditolak kerana MIC, yang merupakan parti kaum India dalam BN telah membuat bantahan. Tiga-tiga parti itu ialah IPF (Indian Progressive Party), PPM (Punjabi Party of Malaysia) dan KIMMA (Congress of Indian Muslims of Malaysia). PPP (pimpinan Kayveas) yang gagal memujuk IPF untuk membubarkan sendiri parti mereka, kini mengharapkan PPM akan membubarkan parti mereka. KIMMA memang sudah lama mahu menjadi anggota BN sebelum tertubuhnya PPM dan IPF. Memang tidak syak lagi bagaimana majlis tertinggi BN ketawa besar terhadap semua pemeram impian ini, walaupun kesannya adalah satu gambaran penyakit besar yang akan melanda.

UMNO dan rakan sekutunya dalam Perikatan yang kemudian bertukar nama menjadi BN, telah mencengkam kuasa sejak 1955, mewakili tiga kaum terbesar, dan kini menjadi sarang kumpulan kepada 14 parti politik. Tiga parti (pengasas) itu sepatutnya bertambah menjadi lima dengan penyertaan dua lagi daripada Sarawak dan Sabah, tetapi UMNO yang bertindak bijak telah membenarkan parti kecilan dalam parti perikatan di Sabah dan Sarawak untuk terus menjadi anggota gagasan. Putar-belit ini terpaksa dilakukan apabila UMNO kalah sokongan akar umbi selepas kejadian rusuhan kaum 13 Mei, 1969. Kemudian, disebabkan keangkuhan yang wujud dalam MCA dan MIC, menyebabkan sokongan masyarakat mereka turut terbelah-bagi. Tidaklah menghairankan sangat apabila kaum India menjadi berpecah-belah kepada beberapa bahagian disebabkan wujudnya perbezaan bahasa ibunda, dan asal-usul perkampungan di negara asal. MIC telah bertegas betapa hanya Bahasa Tamil menjadi pertubuhan rasmi mereka dan ini membuatkan kumpulan minoriti dalam masyarakat mereka mencari helah menubuhkan parti yang dianggotai oleh kumpulan tertentu yang menggunakan bahasa ibunda mereka pula. Keangkuhan MIC mengambil-kira masyarakat India yang tidak bertutur bahasa Tamil, menyebabkan masyarakat yang berasal daripada Utara India menjadi tertekan, dan merekapun menjadi lebih terbelah kepada beberapa puak yang lebih banyak bilangannya daripada jejari yang ada pada seseorang insan.

Senario kisah silam ini telah terabai ketika BN menolak permohonan tiga parti kaum India itu untuk menganggotai gagasannya. Sekaligus UMNO dan BN telah menolak tepi janji-janji untuk mewujudkan penyatuan masyarakat berbilang kaum dalam integrasi politik negara. Sebaliknya, negara ini telah berpecah menjadi kumpulan caca-marba yang menyagat pelbagai unsur perkauman, keagamaan, sempadan wilayah, bahasa, budaya dan dinaungi oleh hegemoni politik Melayu beragama Islam. Negara ini melangkah terhencut-hencut tanpa keruan kepada satu arah ketuanan Melayu, di mana orang bukan-Melayu dibiarkan hidup terkapai-kapai sahaja. Perkhidmatan awam adalah begitu tebal dengan fahaman Melayu dan Islam sehinggakan wujud satu kumpulan Melayu yang hidup mirip kehidupan Ayatollah yang mendalangi perilaku mereka secara paksa. Tidak ada sesiapa yang berani mencabar mereka, dan apabila muncul seorang pegawai baru, dia terpaksa mengampu mereka sehinggakan pegawai itu nanti akan menjadi seolah-olah lebih Islamik dan Melayu berbanding hari pertama ia memasuki perkhidmatan itu. Dia bertindak demikian walaupun dibantah oleh pegawai atasannya, tetapi dia terus menyondol sahaja tanpa membincangkannya terlebih dahulu dan membentangkan cadangannya dengan alasan tertentu. Tidak ada sesiapa yang berani memperbetulkan amalan songsang ini. Ketua Setiausaha Kementerian memang takut kepada mereka, dan tidak terdaya menyanggah amalan haprak ini. Terwujud satu 'siling kaca' yang menyekat kenaikan pangkat seseorang pegawai bukan-Melayu dan sekatan ini wujud di setiap kementerian dan pejabat kerajaan. Sekatan yang nyata ini adalah persis pangkat major-general dalam angkatan tentera, dan memang wujud tidak lebih daripada dua jawatan itu dalam setiap kementerian.

Kini, parti politik bukan-Melayu sudah kehilangan punca. Sepatutnya mereka telah membangkitkan perkara ini menerusi saluran politik. Tetapi, para pemimpin masyarakat mereka sengaja mengabaikan perasaan kaum dan bangsanya dan sibuk dengan kemewahan jangka pendek berseronok dengan pangkat sehingga sanggup tidak mencetuskan perkara hangat kerana mereka terlalu ghairah mahu kekal hidup selesa. Kesannya, masyarakat mereka berpecah-belah kepada satu sayap politik yang tidak mempunyai banyak kuasa kerana ditindas oleh sayap budaya yang lebih berkuasa. Demikianlah halnya dalam semua masyarakat bangsa dan parti politik mereka - Melayu, China, India dan UMNO, MCA dan MIC. Ketiga-tiga masyarakat ini mempunyai presiden parti politik yang turut sama menerajui sayap politik dan budaya masyarakat mereka. Tetapi, masalah besar sudah wujud apabila sayap budaya masyarakat kaum mereka bertelagah dengan puak yang berpolitik. Inilah yang membuatkan setiap masyarakat kaum itu berkecamuk jadinya dan dijangka berterusan dalam suasana yang penuh balas dendam tanpa kewujudan kepimpinan yang berwibawa. Sayap budaya masyarakat kaum itu sudah tidak sebulu dengan parti politik masyarakat mereka dan cuba menenangkan keadaan dengan menganggotai BN. Apabila BN turut menolak mereka, bererti akan muncul kumpulan lain yang akan menyatupadukan sayap kebudyaan masyarakat yang ditolak oleh BN itu.

Kuasa politik dalam BN sudah menjadi kuasa yang diperibadikan sehingga membolehkan sesiapa yang menjawat kuasa itu akan merembat segala kuasa masyarakat yang sepatutnya menjadi ikutannya. Apa sahaja yang diingini oleh UMNO, semua anggota BN akan akur sahaja. Perbuatan betapa mudahnya pegawai kerajaan mendesak masyarakat bukan-Melayu mengengkari gesaan ketua masyarakat kaum mereka sendiri untuk memilih wakil dewan undangan negeri ataupun majlis tempatan yang mereka cadangkan, adalah gambaran betapa seriusnya keadaan hidup sekarang. Mereka telah memperlekehkan peraturan kerja Kerajaan yang menegah, sebagai contohnya, sikap menukar nama jalan secara sembrono tanpa memahami sejarah yang tersorok di sebalik alasan nama-asal jalan yang mahu diberi nama baru itu. Kerana itu, Jalan Khoo Chong Kong ditukar dengan nama baru tanpa alasan tertentu menjadi Jalan Tabung Haji. Begitu juga dengan nama Batu Caves di Selayang. Majlis Bandaraya Kuala Lumpur menaikkan harga lesen anjing lima kali menjadi RM50, dan mengambil kira jumlah anjing yang boleh dipelihara adalah berbanding tempat pendudukan. (Tetapi, selepas dua tahun anjing yang ada tidak memakai lencana di leher lagi; kerana lesen itu dipesan terlalu lewat - hanya selepas lesen anjing sudah diluluskan. Inipun adalah satu cerita lain pula).

Inilah kisahnya bagaimana negara ini hanyut sehanyutnya, sehinggakan tidak ada satu parti politik yang mampu menonjol ke hadapan dengan kekuatan yang menyerlah selain kuasa dominasi yang disauk secara rahsia. BN sudah berada pada satu keadaan di mana mereka sendiri sudah sangsi apa yang akan terjadi. Ini terserlah melalui cara mereka mentadbir kerajaan. Setiap ketua parti individu mempunyai satu tujuan sahaja: menutup mulut sesiapa yang berani mencabar mereka. Terlalu ramai yang tidak berani berdepan dengan masyarakat yang mereka wakili di Kabinet. Semua masyarakat kaum berpecah-pecah kepada kumpulan politik dan kumpulan perkauman. Tidak ada sesiapa yang berkuasa mahu ambil peduli. Semuanya sudah takut dan risau akan tercetusnya pertembungan secara berdepan antara UMNO dan PAS untuk merembat sokongan padu orang Melayu sehinggakan bintang baru, Keadilan, sudah boleh mengancam mereka untuk menarik sokongan orang Melayu yang semakin percaya bahawa politik orang Melayu itu lebih baik diurus oleh orang yang tidak fanatik agamanya. Sudah tidak ada pilihan seiras untuk orang Cina dan Melayu. Perkara ini jelas dilihat kepada jumlah parti Cina dan India yang ingin menyertai BN walaupun kekuatan anggota mereka tidak seberapa. Hasrat mereka itu memang menggambarkan bahayanya, tetapi UMNO dan BN seperti biasa tidak memperdulikan mereka seperti yang pernah mereka lakukan selama ini.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Tamat.

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6706