|
TJ SP MGG: Bila Gajah dengan Gajah Bertempur, Rumput Di Bumi Turut Lebur By M.G.G. Pillai 29/1/2002 11:52 am Tue |
28/1/2002. Bila Gajah dengan Gajah Bertempur, Rumput Di Bumi Turut Lebur
(The elephants fight, the grass gets trampled)
Oleh: M.G.G. Pillai Ketika Perdana Menteri Mahathir Mohamed, mengisytiharkan
Malaysia sebagai sebuah negara Islam, maka terdedahlah kisah
jihad antara dua orang insan yang bernama 'Abdul Hamid'.
Mahathir telah meminta dulu nasihat daripada penasihat khasnya
Abdul Hamid Othman yang menyokong hasrat Mahathir itu. Tetapi,
apabila dirujuknya soalan yang sama kepada menteri hal ehwal
Islam di Jabatan Perdana Menteri, Brig-Gen. (B) Hamid Zainal
Abidin, jawapan yang diberikan menunjukkan penentangan pula.
Demikianlah, dalam setiap perkara menyangkuti agama, dua menteri
(bahlul - penterjemah) ini tidak pernah sekata.
Si Hamid (tua) merupakan seorang ilmuan dalam pengajian agama
Islam yang memegang ijazah kedoktoran. Beliau menunjukkan
kewibawaan setaraf ilmu pengetahuannya, dan memberikan kata
nasihat setelah mengkajinya dalam-dalam. Si Hamid (B) terlalu
ghairah menjalankan tugas untuk menekan wibawa si Hamid (tua).
Dengan lain perkataan, mereka berdua ini mentadbir urusan
pentadbiran Islam di Jabatan Perdana Menteri dengan cara berjihad
bersaing sesama sendiri. Pertelagahan dua insan ini amat ketara
dalam urusan Lembaga Tabung Haji, di mana Hamid Baru sedang
berusaha melantik para kroninya untuk menggantikan pegawai lama
yang merupakan pilihan Hamid Tua. Mereka yang sedang bertugas
merasakan bahang peperangan ini kerana ramai orang lama
dikatakan tidak diperlukan lagi atas pelbagai sebab selain daripada
pekerjaan yang tidak cekap. Sekitar 1,000 petugas akan kehilangan
pekerjaan mereka. Hamid Baru menjalankan tugas secara memandai-mandai, laksana
seekor tikus membaiki labu. Dia telah melantik beberapa pengerusi
dan ahli lembaga anak syarikat Tabung Haji dengan orang
pilihannya. Mereka pula memainkan peranan seolah-olah syarikat
itu semua milik emak dan bapak mereka. Ada seorang pengerusi
yang tidak berstatus eksekutif telah melantik dirinya menjadi
Pengerusi Eksekutif syarikat dalam jangkamasa beberapa minggu
selepas perlantikannya sebagai pengerusi biasa sahaja. Perubahan
begini terjadi hanya selepas berlakunya perubahan penting dalam
pengurusan Tabung Haji. Danaharta, sebuah agensi kerajaan yang
ditubuhkan untuk menyelamatkan para kroni dan suku-sakat untuk
membantu pengurusan dan perubahan syarikat, telah dibawa masuk
untuk membetulkan Tabung Haji selepas mantan pengerusi syarikat
kerugian RM1 billion dalam pelaburan haprak di Indonesia.
Di sinilah letaknya risiko masa depan Tabung Haji. Hampir semua
pegawai baru Danaharta adalah akauntan yang menerima sekitar
RM30,000 hingga RM40,000 sebagai gaji bulanan, ataupun dua
kali ganda seandainya mereka bertugas untuk memulihkan Tabung
Haji. Selalunya mereka bertugas menjual asset, menyatukan
syarikat yang perlu dan menutup syarikat seandainya didapati perlu.
Mereka tidak mahu melihat penyata akaun yang bewarna merah.
Pendekatan baru mereka, kalau berdasarkan pendirian Hamid Baru,
akan menjanjikan bencana besar kepada Tabung Haji dan akhirnya
kepada kerajaan juga. Antara Hamid Zainal Abidin yang memang goyah kedudukannya,
dan para akauntan yang bertindak berjimat cermat untuk
memudahkan penyelamatan syarikat, sudah wujud kini satu situasi
betapa beberapa asset anak syarikat Tabung Haji yang
berkemungkinan dicuri. Kini sudah wujud kehadiran seorang tokguru
dalang yang mahu memindahkan harta berharga Tabung Haji
kepada sebuah syarikat kecil yang di bawah kawalannya.
Bagaimana cara beliau melaksanakan ini? Pertama dia cari
beberapa syarikat kecil yang kerugian dalam urusan perniagaan,
dan memang banyak terdapat dalam kumpulan syarikat yang
tercungap, untuk digunakan mengambil-alih syarikat yang lebih
besar dan dikendalikan dengan lebih kemas. Contohnya ialah
Tabung Haji Properties yang mengambil alih Enstek, yang
mempunyai banyak tanah sebagai harta asetnya berdekatan
dengan MSC (Multimedia Super Corridor). Satu lagi contoh ialah
Tabung Haji Technology, mengambil alih sebuah syarikat
pembinaan, Tabung Haji Universal Builders. Ini adalah contoh
betapa syarikat kecilan bertaraf ular lidi cuba menelan syarikat lebih
besar bertaraf naga, yang akan mengorbankan 1,000 pekerjaan,
akhirnya. Menteri yang bertanggungjawab sepatutnya
campur-tangan, tetapi dia tidak berani melakukannya. Orang utama
yang melakukan kerja putarbelit ini ialah bekas pelajarnya di
Victoria Institution ketika dia mengajar di sekolah itu, dulu.
Tetapi, si tukang putar ini melakukan segala kerja itu tanpa dapat
difahami muslihatnya. Kerajaan mempunyai satu dasar yang
menentukan agar syarikat pembinaan tidak dianggotai oleh barisan
lembaga pengarah yang sama. Peraturan ini telah dicemari.
Seorang pengarah dalam satu syarikat pembinaan yang tersenarai
di pasaran saham kini dilantik menjadi ahli lembaga pengarah
Tabung Haji Universal Builders. Ini mencetuskan tandatanya apakah
putar-belit ini melibatkan syarikat pembinaan yang lain pula.
Betapapun diamati perkara ini, seolah-olah sudah wujud satu
penyelewengan, yang mungkin tidak akan direstui oleh Si Hamid
Tua kalaulah dia masih mempunyai kuasa. Situasi menjual khazanah
rakyat ini menyebabkan para petugas di syarikat kawalan Tabung
Haji tidak mempunyai semangat segar untuk meneruskan kerja.
Para akauntan daripada Danaharta, seperti yang diketahui oleh
semua pihak, menjual asset syarikat yang mereka kawal secara
melulu semata-mata mahu menonjolkan aktiviti ekonomi untuk
menghiasi penyata kewangan. Merekapun berundur daripada
syarikat yang mereka telanjang-bogelkan itu dua hingga tiga tahun
kemudiannya, setelah menunjukkan adanya susun-atur organisasi
syarikat, hanya beberapa bulan sebelum terdedah segala kerugian
yang mereka buat. Cuba lihat apa yang terjadi kepada Bank
Bumiputra Malaysia Berhad. BBMB dirombak kerana 'dirompak'
setiap empat hingga lima tahun sekali, dengan kerugian berbilion
yang tidak termimpi. Dengan lain perkataan, syarikat yang
diambil-alih untuk diuruskan oleh para akauntan hanya untuk
menjamin kemunculan mini-Enron yang menunggu untuk meletup.
Tabung Haji adalah satu institusi besar yang begitu penting untuk
dibiarkan terus dicekik dalam rompakan lebuhraya kroni Mahathir.
Kini, Perdana Menteri sedang bersiap untuk keluar negara
mendapatkan rawatan kesihatannya, dan dia mempunyai banyak
lagi masalah yang lebih serius yang perlu diberikan perhatian
berbanding segala titik-bengik Tabung Haji. Tetapi dia tidak ada
pilihan tetapi menilai semula apa yang berlaku kerana dialah yang
menggembar-gemburkan Malaysia sebagai sebuah neggara Islam.
Dia tidak mampu melihat satu hari nanti betapa asas keIslaman
pentadbirannya diliwat dan dirembat oleh kegiatan perniagaan yang
disebabkan menteri bertanggungjawab ke atas aktiviti itu tidak faham
satu bendapun mengenai dunia perniagaan yang penuh penipu.
Seandainya ini berlaku, kesan yang akan menyengat perdana
menteri (yang tidak ingat mati - penterjemah) adalah amat
membahayakannya. Inilah situasi yang memberikan PAS senjata
canggih untuk menghentam perdana menteri betapa dia sengaja
membiarkan para kroninya menyamun khazanah berharga Tabung
Haji, selain meruntuhkan moral dan etika bekerja para petugas
syarikat yang tergugat. Yang pasti ini akan menjadi isu politk pada
pemilu yang akan datang. M.G.G. Pillai Tamat. Terjemahan: SPAR |