|
TJ SP MGG: Hak Asasi Manusia dan Gulag di Teluk Guantanamo By M.G.G. Pillai 28/1/2002 2:16 am Mon |
Malaysiakini Hak Asasi Manusia dan Gulag di Teluk Guantanamo
(Human Rights and the Gulag of Guantanamo Bay)
Oleh: M.G.G. Pillai Afghanistan telah memangkah lebih banyak negara berkuasa di dunia ini
berbanding Amerika Syarikat. Sejak Iskandar Dzulkarnain menakluk sebahagian
negara itu pada abad ke-4 sebelum masehi, tidak ada negara lain termasuk
Great Britain dan Soviet Union yang berjaya bertahan di negara itu untuk
satu tempoh yang lama. Sejarah negara itu adalah satu sambungan hikayat
kemusnahan setiap penjajah asing. Yang terakhir ialah Amerika Syarikat, satu dekad selepas Soviet Union
kecundang, disebabkan keghairannya untuk menakluki Afghanistan. Kini
Washington sedang dipaksa menafikan impiannya disebabkan ejekan yang tidak
dapat diterimanya - bahawa serangan pengganas pada 11 September 2001 adalah
satu bentuk serangan terhadap kuasa sejagat ekonomi AS dan pusat perancangan
ketenteraan mereka. Amerika menjadi begitu ghairah gembira sakan, memuji diri sendiri kerana
cara mereka menumpaskan Taliban dan al-Qaeda dengan menanggung hanya sedikit
bencana kerugian nyawa yang terkorban pada orang mereka, betapa kecanggihan
peralatan tentera menghancur dan menghuru-harakan 'musuh', betapa hebatnya
menjadi seorang warga Amerika, bukan kerana kemampuan meletakkan tukang
angguk pilihan bertkahta di Kabul, sehingga mencetuskan perasaan takut
kepada kerajaan lain untuk turut mengikuti kehebatannya.
Demokrasi sudah berada di ambang Afghanistgan, demikianlah janji molok yang
disogokkan kepada kita, sehinggakan menteri pelancongan baru kerajaan yang
baru naik, angkuh dengan rencana membina semula patung Bamiyan yang pernah
dimusnahkan oleh Taliban yang amat mereka benci dulu walaupun tindakan
Taliban itu adalah menepati ajaran keIslaman fundamental mereka. Kini, para
pelancong dipelawa melawat Afghanistan yang dikatakan begitu selamat untuk
mereka. Inilah jaminan keselamatan daripada satu kerajaan yang mempunyai
kuasa sekitar hanya beberapa kilometer jaraknya daripada lingkungan ibukota
kerajaan mereka di Kabul! Sudahpun dirancang beberapa persidangan antarabangsa untuk menunjukkan dunia
betapa mereka bertanggungjawab berkongsi sama mewujudkan sebuah Afghanistan
yang bebas dan berdemokrasi. Namun, persis usaha yang dulu-dulu di mana juga
di dunia ini, semua janji dan jaminan ini dilupakan begitu sahaja sejurus
selepas perhatian bertukar hala. Segala bantuan mempunyai erti hanya apabila
kontrak mendapatnya memang sebenarnya telah diperolehi. Itu sebabnya Britain
cepat menghantar askarnya, walaupun mereka dibenci kerana sejarah silam
mereka, mereka tangkas datang membina markas dengan muslihat ada projek
ekonomi dan industri yang mahu dirembat.
Segala perilaku Amerika Syarikat sekarang adalah sama ragamnya dengan
gelagat Soviet Union di Kabul pada 1970-an dulu. Memang tidak ada bezanya,
dalam sejarah Afghanistan, antara Babrak Karmal pilihan Moscow dulu, dengan
Hamid Karzai yang merupakan nomini Washington, sekarang.
Seperti juga dengan Moscow, AS telah berpihak kepada satu kumpulan dalam
peperangan saudara yang banyak fraksinya, dan cuba mendalangi satu kedamaian
yang tidak mendatangkan kepuasan kepada sesiapa. Kerajaan sementara
(interim) tidak dapat memacak kuasa kerana Karzai amat dibenci oleh semua
panglima perang, yang berkuasa sendiri di takhta wilayah mereka. Untuk satu
jangka pendek, di bawah pentadbiran Taliban dulu, mereka terpaksa menjilat
luka sendirian, tetapi kini mereka muncul semula dengan penuh dendam. Pihak
British, Soviet dan banyak lagi penjajah yang dulu-dulu dalam sejarah tidak
berjaya menundukkan mereka; takkan Washington boleh berjaya.
Dendam dan mahkamah tentera Dengan berpandukan senario ini seharusnya menjadi asas untuk memahami kisah
Gulag di Teluk Guantanamo. Washington hanya mahu membalas dendam, mengikut
cara yang dirancangnnya. Setiausaha pertahanan AS Donald Rumsfeld, tidak
pernah menafikannya: betapa bangsa Afghan dan orang lain yang mereka tangkap
adalah bukan POW (Tahanan Perang) dan mereka akan dibicarakan oleh mahkamah
tentera di luar AS mengikut keadaan hidup yang akan menafikan mereka segala
hak asasi yang membolehkan mereka dibicarakan secara saksama.
Mahkamah seumpama ini di negara lain, kerap menerima cemuhan Jabatan Negara
AS. Ia tidak pernah berkata lembut dalam laporan tahunannya mengenai hak
asasi manusia di negara luar, yang tidak menghormati hak asasi manusia
mengikut tafsiran Amerika. Dalam laporannya untuk tahun 2000, ia menggunakan
perkataan keras mengutuk Mesir kerana menggunakan mahkamah tentera untuk
mengadili orang awam, dan juga kumpulan komunis.
'Menggunakan mahkamah tentera' demikian laporan itu membebek, 'untuk
mengadili orang awam adalah satu pencabulan hak asasi manusia kepada satu
pembicaraan yang adil di hadapan badan penghakiman bebas...... walaupun
hakim ketenteraan berkelulusan undang-undang, mereka adalah pegawai tentera
yang dilantik oleh Kementerian Pertahanan dan tertakluk kepada disiplin
tentera. Mereka bukannya bebas ataupun berkelayakan sebagai hakim sivil
untuk menggunakan 'Penal Code' '. Tentu menarik apabila laporannya untuk
tahun 2001 tersiar nanti, dan apa pula komen mereka terhadap amalan
menghantar sekurang-kurangnya 70 manusia untuk dihukum dan ratusan lagi yang
terpenjara (oleh Amerika terhadap orang asing - penterjemah).
Presiden Hosni Mubarak merasa bangga apabila AS menerima cara beliau
memperuntukkan peraturan melaksanakan keadilan. Seperti Mesir, Malaysia
turut merasa ceria apabila AS turut meniru piawai (standard) mencetuskan
kekejaman dan amalan hak asasi manusia yang sudah lama terlaksana di
Malaysia. Inilah yang membenarkan kerajaan di merata dunia turut sama
mencemari hak asasi terhadap warga kerakyatan mereka.
Usaha AS memerangi keganasan mencekik peluang pembangkang di banyak negara
luar. Di Malaysia, kerajaannyapun meluru dengan tindakan mencemuh pihak
pembangkang sebagai kumpulan yang seiras Taliban, dan lebih dahsyat lagi
bertindak untuk terus mencengkam kuasa haram mereka dengan menggunakan
segala cara jahat dan tidak sah. Kegiatan kerajaan ini dipandang oleh
sebahagian besar rakyat negara ini sebagai satu kejijikan yang tidak jauh
bezanya dengan amalan komunis. Kini, Kerajaan Britain sudah menanggung kehangatan kerja bedebah ini. Rakyat
Britain dalam kumpulan Gulag Amerika berkemungkinan dijatuhkan hukuman mati.
Kerana itu Britain merayu agar rakyatnya diberikan layanan yang istimewa.
Antara mereka yang ditahan, ada seorang rakyat Amerika yang diberikan
layanan istimewa oleh kerajaannya. Dia dihadapkan kepada mahkamah sivil
Amerika sedangkan hak itu dinafikan kepada semua orang lain di Teluk
Guantanamo. Orang lain yang bukan daripada pusat tamadun manusia yang dua
ini, tidak guna dipertimbangkan. Dengan lain perkataan, ada satu bentuk undang-undang untuk kita dan satu
bentuk lagi untuk mereka. Kesatuan Eropah (European Union - EU) naik minyak
melihatkan sikap membeza-bezakan ini, dan mengemukakan bantahan keras
terhadap AS sehingga membawa kesan. Sejak itu Amerika menghentikan
pengangkutan 'pejuang yang tidak sah'. Namun, baik Britain mahupun AS enggan
memperbaiki ketidak-adilan yang ketara itu ketika mereka membincangkan
layanan istimewa kepada warga mereka dan tidak mengambil-kira layanan kepada
warga negara lain. Mencari Seteru Baru Sepanjang sejarah silamnya, Amerika Syarikat memerlukan satu musuh untuk
menjadi sasaran dan tumpuan seluruh negaranya. Selama empat ratus tahun,
sejak kisah Salem yang penuh cerita momokannya, diikuti kisah gereja Roman
Katholik, yang terubat hanya apabila John F. Kennedy ditabalkan menjadi
seorang presiden. Kemudian muncul sejarah panjang kumpulan kulit hitam.
Perang saudara membolehkan mereka mendapat kebebasan oleh puak-puak
berperang saudara yang menang. Tetapi, ia merlukan 99 tahun lagi, selepas
perisytiharan Kebebasan (Emancipation Declaration) oleh Presiden Abraham
Lincoln sebelum Hak Asasi Manusia mencetuskan Akta 1996, untuk membebaskan
mereka. Perang Dingin melahirkan fahaman komunisme, mengikut tafsiran Presiden
Reagan yang mewujudkan 'Evil Empire' (Empayar Momokan - penterjemah). Perang
Dingin sudah lama berlalu. Kini mereka memerangi Islam, walaupun perkara itu
dianyam begitu rapi dan bijak sebagai peperangan menentang keganasan, ia
akan menjadi terdedah dan keluar laksana muntah sebagai satu tindakan yang
akan memakan tuannya mengikut perjalanan masa.
Seperti dengan kempen yang banyak sebelum ini, tujuannya hanya tertumpu
kepada seorang insan sahaja, dan inilah yang menjadi satu masalah besar
seranta awam: Seandainya seorang insan, seperti Osama bin Laden boleh
mencetuskan huru-hara bukan sahaja terhadap Amerika Syarikat, malahan dunia
sejagat gara-gara kewujudan Islam fundamental yang kelihatan di merata
dunia, apa yang akan terjadi selanjutnya adalah sesuatu yang tidak dapat
diramalkan. Inilah yang membesarkan kemarahan umat Islam terhadap pelbagai isu yang
tertangguh selama ini seperti Palestin kerana Amerika Syarikat, kalaupun
bukan seluruh negara barat, memang tidak mahu isu itu diselesaikan. Lagi
lama perkara ini berlaku, lagi tebal fahaman dunia betapa kesengsaraan dunia
Islam itu memang kena pada keadaannya.
Itulah sebabnya peperangan itu tidak ada kesudahannya. Inilah bahananya
apabila Presiden Bush ataupun sekutunya tidak dapat menjelaskan apa
sebenarnya matlamat peperangan mereka. Dia memerlukan satu pergolakan di
luar negara untuk mengekalkan kuasa perundangannya. Perang di Afghanistan
dilaksanakan seolah-olah seorang pembuli mendera seorang yang lemah
anggotanya. Tetapi, negara yang lemah itu bukannya lemah, cuma tidak
berdaya. AS telah mencampuri satu perang saudara dengan memihak kepada satu
pihak yang terus memenanginya. Ini juga yang pernah dilakukan oleh Moscow
satu ketika dulu. Washington telah merancang terlalu banyak medan perang yang diharapkannya
akan disertai oleh kumpulan penjilat dan sekutunya. Tetapi peperangan secara
kawalan jauh (remote), telah mencetuskan satu kekuatan dalaman terhadap
mereka yang menjadi bahan sasaran. Inilah yang menjadi asas peperangan pada
masa hadapan. Semangat perjuangan manusia tidak dapat dimusnahkan oleh
ugutan kekuatan senjata nuklear. Kerana itu, keangkuhan Washington tidak banyak berbeza daripada keangkuhan
Moscow satu ketika dulu dan juga keangkuhan Britain di zaman keagungannya.
Kini Amerika sudahpun melupakan Afghanistan kecuali di hadapan majlis
seranta awam. Apa yang sebenarnya dilakukan oleh Amerika di Afghanistan
ialah himpunan dan longgokan jerangkap samar yang sungguh berbahaya dan
segala perlatan perang yang akan menjadi bencana kepada rakyat Afghan
berdekad-dekad lamanya selepas perang itu tamat. Itulah yang terjadi di
Kambodia, Laos dan Vietnam. Sejak Perang Dunia Kedua, tidak ada seorangpun presiden Amerika Syarikat
yang menawarkan kerja membaik-pulih segala bencana perang yang dihimpun oleh
AS ke atas negara dunia Ketiga. Kecuali seorang presiden sahaja, Presiden
Truman, yang mencipta Marshall Plan, tetapi itupun untuk kebaikan Eropah,
dan bukannya untuk negara di dunia ketiga. Yang membuatkan perkara ini
sungguh menakutkan ialah, ketiadaan kuasa dunia lain, seperti yang pernah
wujud di Soviet Union satu ketika dulu, yang mampu mencabar Amerika
sekarang. Inilah yang sepatutnya menjadi kerisauan kita semua.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6668 Ref: http://www.malaysiakini.com/Column/2002/01/2002012602.php3 |