|
TJ SP MGG: Kemunculan Masyarakat Fasis di Malaysia By M.G.G. Pillai 28/1/2002 1:50 am Mon |
Kemunculan Masyarakat Fasis di Malaysia
(A fascist society in the making, if it is not already)
Kakitangan kerajaan dimestikan menandatangani 'Aku Janji' sebelum mereka
diberi izin meneruskan perkhidmatan. Pemuda UMNO menggalakkan mahasiswa
membuat laporan seandainya ada pensyarah mereka yang difikirkan mempunyai
unsur anti-kerajaan. Malahan mereka yang mengemukakan segala kebiadaban
kerajaan dan kelentongan politiknya, kerana sikap mereka yang dianggap
sebagai pembangkang itu diberikan takrifan menderhaka.
Konsep 'Aku Janji' bukannya ada sebarang kaitan untuk menguat-kuasakan
undang-undang. Mahathir fikir perkara ini akan menyekat segala usaha pihak
yang mahu menentang kepimpinan dan pentadbirannya. Usaha itu tidak akan
berjaya. Semua pegawai kerajaan telah menandatangi perjanjian yang lebih
berat implikasinya ketika mereka memulakan kerja, kerana wujudnya peraturan
kerja yang ketat dan begitu berkesan yang mempunyai hukuman yang keras
seandainya perjanjian itu dicemari. Jadi, kenapakah kerajaan jadikan satu
isu baru yang mendedahkan perpecahan dalam masyarakat kita yang mahu
dilawannya? Jawapannya terletak kepada tindakan pegawai kerajaan yang sudah
bersatu dan tidak lagi mahu menyokong kerajaan yang dipimpin oleh UMNO
seperti yang mereka lakukan pada masa dulu.
Tindakan mereka ini adalah satu gambaran betapa wujudnya penderhakaan atapun
gerakan yang disengajakan untuk menghadapinya disebabkan sudah wujud kini
satu jurang yang luas dalam masyarakat Melayu yang sengaja digalakkan oleh
Mahathir. Inilah dia jurang luas yang sengaja diada-adakan yang bermula
dengan UMNO diharamkan dulu. Kedua, pengaiban Dato Seri Anwar Ibrahim; dan
yang lebih berbahaya lagi ialah munculnya banyak tandatanya yang
mempertikaikan kewibawaan Mahathir mengaibkan seorang ketua masyarakat. UMNO
tidak berminat menyelesaikan perkara ini kecuali mahukan semua pihak
memperakui pandangannya sahaja. Inilah yang ditentang oleh orang Melayu, dan
sekaligus mendedahkan jurang perbezaan yang tidak dapat ditangani oleh UMNO.
Lagi dahsyat UMNO bertegas dengan pendirian haprak mereka - walaupun ia
mengada-ngada lebih dahsyat lagi daripada BN yang sudah dikuasainya - lagi
cepat Malaysia menjadi satu negara fasis. Cuma ada satu sahaja pendirian
yang mesti dianuti oleh pegawai kerajaan dan sesiapa sahaja yang menerima
gaji daripada kerajaan. Inilah yang dikuat-kuasakan di sekolah-sekolah,
maktab-maktab dan semua universiti. Tidak lagi ada lagi dalil lain yang
berbeza dengan tohmahan betapa guru-guru dan para pensyarah membiakkan
propaganda anti-kerajaan. Tidak ada siasatan ataupun bukti yang wujudnya
satu kajian mengenainya. Kerajaan hanya menerima sebarang bukti yang
ditonjolkan oleh Pemuda UMNO, kerana kenyataan Pemuda UMNO itu sudah
dianggap sebagai kata-kata keramat oleh pihak yang berkuasa.
Kini, kerajaan sudah menyediakan satu senarai pensyarah yang dikatakannya
sebagai anti-kerajaan yang mengikut pandangan Dr.Adham Baba, ketua biro
pendidikan Pemuda UMNO sebagai; 'mereka yang menyebarkan mesej anti-Kerajaan
dan berkempen untuk mempengaruhi kakitangan dan pelajar'. Di situ ada
terselit satu rumusan, yang amat jelas dalam kenyataan beliau bahawa
pensyarah universiti hanya dibenarkan menganggotai parti politik yang
menjadi komponen BN. Memang ramai dalam kerajaan sekarang ini - baik di
pusat ataupun di peringkat negeri - yang memilih jalan ini. Saya kenal
beberapa orang pensyarah kelas ini yang melobi untuk mendapatkan kerusi
parlimen dan negeri ketika masih bersyarah di universiti. (Sehinggakan yang
hanya mampu mempunyai ijazah sarjana haprak sanggup mengaku mempunyai ijazah
kedoktoran - penterjemah). Berasaskan prinsip bahawasanya hanya pandangan politik yang menjilat
kerajaan dibenarkan, Pemuda UMNO terkejut beruk melihatkan kebebasan
berfikir dalam bidang politik yang didedahkan kepada mahasiswa mengikut
fahaman pemikiran kritis. Kejutan kepada Pemuda UMNO ini menyebabkan
munculnya satu usaha menggalakan golongan mahasiswa membuat aduan terhadap
tenaga pengajar yang mereka fikirkan tidak memihak kepada kerajaan. kaedah
ini memang pernah diamalkan dalam era pemerintahan Nazi Jerman dan Komunis
Russia dan China, ada kalangan ibu bapa yang dihukum mati kerana perbuatan
anak-anak mereka yang menentang kerajaan.
Jadi, bagaimanakah si Adham dan orang-orangnya membuat siasatan terhadap
penyelewengan terhadap 'politik yang betul' itu? Mereka dapatkan kerjasama
mahasiswa untuk membuat aduan terhadap sikap para pensyarah yang berkelakuan
berbeza daripada apa yang mereka anggap perbuatan yang normal. Tetapi,
golongan pelajar di universiti ditegah berpolitik, kenapa pula perkara ini
dibenarkan? Kementerian Pendidikan, katanya, akan menjalankan siasatan,
tetapi nama tali-barutnya tidak akan didedahkan selagi mereka tidak
diberikan perlindungan, teristimewa daripada para pensyarah mereka.
Bagaimanakah perkara ini dapat dilaksanakan sedangkan siasatan diperlukan
terhadap golongan mahasiswa yang melanggar peraturan aktif berpolitik?
Apapun, apa gunanya kementerian bersetuju menyiasat aduan daripada sayap
pemuda sebuah parti politik? Apakah keistimewaannya sayap pemuda ini
sehingga dikira mempunyai maruah untuk menuntut satu pembetulan, sedangkan
mereka seharusnya mengemukakan aduan mereka kepada Majlis Tertinggi UMNO
untuk tindakan selanjutnya. Apakah ini satu cara baru yang membolehkan
Pemuda UMNO berkelakuan begitu? (satu perubahan daripada cara berdiri atas
tembok dan mengugut membakar sebuah Dewan Perhimpunan Cina? - penterjemah).
Jikalau demikianlah caranya, barulah boleh difahami kenapa kakitangan
kerajaan naik jelak dengan usaha untuk menyauk mereka menyokong UMNO. Sudah
banyak petanda yang berbahaya: sudah menjadi satu amalan bahawa biasiswa
hanya diberikan kepada pemohon yang dapat membuktikan betapa ibu dan bapa
mereka adalah anggota UMO dan parti BN.
Inilah yang membogelkan satu corak berbahaya yang memecah-belahkan negara
ini antara mereka yang menyokong UMNO dan BN, yang meraih segala imbuhan
kerajaan, dengan mereka yang tidak berbuat begitu dan seharusnya diberikan
layanan sehinggakan anak-anak mereka dianak-tirikan oleh kerajaan kerana
prinsip ibu bapa mereka, yang kebanyakannya lebih rela tidak menganggotai
sebarang parti dan mengambil sikap berkecuali. Keputusan sebegini dibuat
begitu bersahaja sehingga ia memberikan gambaran betapa sudah wujud
masyarakat fasis di negara ini, yang meruntuhkan martabat dan nilai murni
kehidupan di Malaysia. M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6660 |