Laman Webantu KM2: 6622 File Size: 11.8 Kb * |
TAG SP 566: KQ: Keadilan Yang Terus Dinafikan Kepada Anwar By Kim Quek 17/1/2002 2:30 am Thu |
[Catatan Awal Penterjemah: Kalaulah ada sesiapa di IK yang
berupaya membaca tulisan Kim Quek ini dengan bersahaja, saya
yakin para pengundi Melayu, India, Cina dan lain-lain lagi akan
membuat janji dengan jejari mereka memangkah calon Keadilan bila
tiba masanya. Kim Quek ialah seorang pemikir DAP. Tetapi
tulisannya ini adalah tulisan seorang rakyat Malaysia yang amat
dahagakan Keadilan - Penterjemah.]
(Justice Continued To Be Denied To Anwar)
Oleh: Kim Quek, 16.01.2002 Tipu muslihat puak Penguasa sekali lagi menunjukkan
kemusibatannya apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar
Ibrahim, dinafikan sekali lagi rayuan terhadap hukuman yang
dideritainya yang telah ditangguhkan untuk kali ketiga tanpa sebab
yang dapat diterima akal yang waras. Daripada sebegitu ramai manusia di dunia ini, bolehkan si Gani
Patail yang kini sudahpun menerima sogokan terbaru menjadi
Peguam Negara, yang menggunakan alasan 'tidak bersedia' untuk
menangguhkan kes itu didengar semula. Sedangkan dia merupakan
raja segala khadam dalam pendakwaan tersohor terhadap Anwar,
baik dari permulannya kepada penyudahnya, yang berakhir dengan
hukum memenjarakan Anwar selama 15 tahun.
Sepatutnya si musibat Gani, adalah manusia yang begitu arif dalam
kes ini, termasuk segala butiran sebesar zarah sekalipun, kerana
beliau pernah hadir di ibupejabat Bukit Aman ketika Anwar dilanyak
hampir maut oleh bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor, pada hari
Anwar ditangkap bertarikh 20 September 1998. Gani juga merupakan
pelakon utama dalam kes perbicaraan dalam perbicaran, apabila
peguam Anwar memohon agar Gani diketepikan sebagai pendakwa
raya kerana perbuatan jijik Gani memujuk (dengan ugutan hukuman
mati) rakan permainan tennis Anwar, Nallakarupan, agar
bersekongkolan dengannya untuk merencana satu tohmahan
terhadap Anwar. Peranan jenayah yang dilaksanakan oleh Gani
telah dipersoalkan dengan kritis oleh Mahkamah Persekutuan pada
28 Jun 2001. Ketika itu Mahkamah Persekutuan telah mengenepikan
hukuman kerana mencela mahkaman terhadap peguam Anwar,
Zainur Zakaria, gara-gara Zainur menolak Gani sebagai seorang
pendakwa raya. (Sehingga hari ini Gani masih belum menjawab
tuduhan mengadakan bahan bukti terhadap Anwar).
Selain kearifan Gani dalam kes ini, keseluruhan petugas dalam
jabatan Peguam Negara tidak boleh diberikan kelulusan sebagai
tidak bersedia, kerana rayuan ini telah mula sekali dijadualkan untuk
dihakimi pada tahun 2000, dan telah ditangguhkan sekali lagi pada
tahun 2001. Kini muncul 2002, kenapa pula pihak pendakwa raya
masih tidak bersedia? Alasan Gani bahawa dia baru sahaja dilantik
dan tidak punyai masa bersedia untuk kes ini mesti dikutuk dengan
sekeras-kerasnya. Kita seharusnya tidak lupa betapa Anwar sudah lama merana dalam
penjara dikurung sendirian sejak tiga setengah tahun dulu,
sedangkan dia punyai hak untuk berada di luar penjara dengan ikat
jamin selama itu, seandainya proses perundangan dibenarkan
berkuatkuasa pada tempatnya. Sepanjang tempoh itu, dia telah
melalui satu jalan kehidupan yang sungguh dahsyat bermula dari
penangkapannya di mana dia telah dihenyak sehingga lebam mata
dan hampir hilang nyawa. Dia diaibkan melalui dua perbicaraan yang
panjang, yang telah dikutuk sebagai satu manifestasi selewengan
keadilan. Kemudian dia menanggung penderitaan ancaman dahsyat
kerana dirasuk keracunan arsenik yang dirancang, yang terbantut
hanya apabila racun itu dapat dikesan di sebuah makmal di
Australia. Selama satu tahun setengah yang lalu, dia menanggung
kesakitan berterusan kerana penyakit tulang belakang sebab
dinafikan rawatan perubatan pilihannya. Kini dia terpaksa bergantung
kepada kerusi beroda. Sebagai satu bentuk bantahan kepada
penangguhan yang tidak bertepian, dia sudah mula berpuasa,
sehinggalah tarikh perbicaran untuk menghakimi rayuannya
ditetapkan. Memadailah kita bayangkan, bantahan secara berpuasa
itu akan menjejaskan keadaan kesihatannya.
Ketika ini, hampir semua orang terpaut kepada kisah keganasan
sejagat, tetapi, adalah amat relevan untuk kita mengimbau semula
ingatan kepada keadaan yang menyebabkan Mahathir merencana
satu penderaan terhadap orang yang diramalkan untuk menggantikan
beliau hampir 4 tahun yang lalu. Ketika itu Malaysia dihantui satu keadaan kewangan dan ekonomi
yang kritikal, seperti juga banyak negara lain di rantau ini. Suharto
baru sahaja digulingkan oleh kebangkitan rakyat disebabkan
ekonomi Indonesia yang merudum kerana hutang bertapuk yang
menggunung disebabkan korupsi merata, kronisme dan nepotisme
(KKN - penterjemah) dan perbelanjaan yang membazir. Keadaan
Malaysia turut terancam, disebabkan penyakit yang serupa,
walaupun pada skala yang kurang sedikit dahsyatnya.
Nilai matawang Malaysia jatuh meragam begitu juga dengan pasaran
saham. Pasaran saham semacam terkena senggugut disebabkan
skandal yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa. Penyebab yang
amat dahsyat ialah penyedutan dana yang banyak nilainya daripada
UEM untuk membeli saham Renong yang dimiliki oleh penjual misteri.
(Inilah yang membuatkan Halim Saad menandatangani satu akujanji
yang kini amat tersohor sekali dalam bentuk 'put option' yang bernilai
RM 3.2 bilion kepada UEM untuk meredakan pelabur awam yang
sudah panik. Inilah dia perjanjian (put option) yang sudah dimaafkan
oleh kerajaan, sebaik sahaja ia mengambil-alih UEM, dalam satu
kerja penyamun untuk menyelamatkan Halim Saad dan Kumpulan
Renong). Terlalu banyak perusahaan besar para kroni menjadi muflis,
menyebabkan pihak yang berkuasa mencurahkan berbilion dana
marhaen untuk menyelamatkannya. Perbuatan menyelamatkan para
kroni haprak ini telah mencetuskan satu pertelagahan antara Anwar
dan sekongkolan Mahathir-Daim sehinggakan keadaan semakin
hangat. Sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab kepada
kepentingan marhaen ketika itu, Anwar telah menentang sikap
penyelamatan secara melulu, sehinggakan dia terpaksa berdepan
dengan cemuhan dan kebencian Mahathir dan Daim, yang sudah
nampak bahawa Anwar merupakan penghalang besar yang
mengancam nafsu serakah mereka untuk menyelamatkan empayar
niaga yang sudah terjerut keadaannya. Antara pelbagai perbalahan
konflik itu, Mahathir menjadi tertekan kerana marah apabila Anwar
memotong pembayaran kepada anak Mahathir bernama Mirzan oleh
Petronas daripada RM2.2 bilion kepada RM1.7 ketika Petronas
'dipaksa' membeli syarikat kapal kepunyaan Mirzan. Pembelian itu
merupakan satu urusniaga yang tidak kena pada tempatnya, dipacu
hanya oleh keinginan Mahathir menyelamatkan anaknya daripada
menjadi muflis disebabkan keadaan kewangannya yang semakin
tipis. Kerana takutkan Malaysia berkemungkinan meniru jejak langkah
Indonesia yang sudah hilang keyakinan pelabur dan semakin
tersungkur, pergerakan Pemuda UMNO yang ternyata dicuit oleh
desakan Anwar telah bertindak melaksanakan satu gerakan
perubahan dengan melancarkan satu kegiatan memerangi korupsi,
kollusi dan nepotisme bertepatan dengan Persidangan Tahunan
UMNO pada pertengahan 1998. Laungan perang Pemuda UMNO ini
menyebabkan bergegar pertubuhan politik itu sehingga menghambat
sekongkolan Mahathir-Daim. Ketika itu mereka membuat satu
keputusan muktamad. Anwar mesti dilanyak sehingga lumat.
Sejurus setelah dipecat daripada Kabinet dan UMNO pada awal
September 1998, Anwar bertindak balas dengan mendedahkan
kegiatan korupsi yang maha besar dan salahguna kuasa pihak
atasan dalam beberapa ucapan yang dihadiri oleh rakyat marhaen
yang jumlahnya masih tidak ada tandingan sehingga kini. Eloklah
dirakamkan di sini, dalam rencana mengisytiharkan pelancaran
pergerakan Reformasi pada beberapa hari kebebasan yang masih
dinikmatinya sebelum beliau ditangkap pada 20 September itu,
agenda beliau tidak terhad kepada memerangi korupsi, tetapi ke arah
mengembalikan keadilan dan demokrasi, yang sudah hampir dikasi
keseluruhannya oleh Mahathir melalui perubahan undang-undang
dan perampasan kebebasan dan kedaulatan institusi yang bebas
sepanjang cengkaman kuasanya. Jeritan 'Reformasi' Anwar telah menyedarkan satu generasi baru
orang Melayu daripada ketaksuban begitu lama menyokong UMNO
yang mempunyai pemimpin yang sudah lupa daratan dan yang
sudah melupakan kewibawaan kaum yang lain. Korupsi yang
berleluasa yang memperkayakan hanya segelintir Melayu aristokrat
bukan sahaja telah menggagalkan usaha memperbaiki status
ekonomi masyarakat Melayu yang lebih besar, tetapi telah
menghancurkan corak kehidupan masyarakat Malaysia seolah-olah
diserang penyakit kanser yang membarah sehingga mengancam
keberkesanan keseluruhan marhaen Malaysia. Kegagalan struktur
kewangan yang menyeluruh disebabkan gegaran 'Krisis Asian'
terutama sekali yang menghunjam masyarakat niaga Melayu, telah
meyakinkan ramai orang Melayu sendiri betapa perjuangan politik
mereka tidak semestinya terhad kepada perjuangan UMNO vs. Kaum
yang lain. Sejak dari itu, Bangsa Melayu mesti sama-sama berjuang
berganding bahu dengan kaum yang lain di Malaysia yang mereka
cinta untuk memerangi korupsi dan pemimpin yang rasuah, untuk
mengembalikan martabat bangsa dan memperbaiki corak pentadbiran
negara. Demikianlah, melalui kejatuhannya dan segala penderitaan yang
ditanggungnya, Anwar telah membuka tirai gerbang politik Malaysia
yang baru. Inilah ketikanya apabila orang Melayu keluar bebas
daripada belenggu yang dirantai oleh UMNO dan ketaksuban
feudalnya. Inilah kesedaran yang telah diserlahkan oleh
penghijrahan undi Melayu daripada UMNO kepada pihak
Pembangkang dalam Pemilu yang lalu. Sehingga hari ini, kebuasan
masyarakat akademik dan perkhidmatan awam terhadap Mahathir
dan UMNO terus menyerlah berbanding semangat empati mereka
menyebelahi perjuangan Anwar. Di sebalik segala episod perbicaraan Anwar yang mengaibkan
beliau, penghukuman dan pemenjaraannya, rekod wibawa Anwar
yang ternyata telus dan ikhlas dan imej pejuang bangsa yang tidak
mudah patah semangat walaupun sentiasa disengat, telah
menjadikan beliau tunjang semangat baru masyarakat Melayu dan
juga bukan-Melayu yang terpanggil untuk sama-sama bangkit di
bawah kepimpinannya. Sememangnya, kepimpinan dan
ketokohannya yang hebat itu dapat dirasa kemesraannya oleh
pemimpin ulung di merata dunia. Di negara maju seperti Jepun dan negara barat yang lain, pemimpin
kebangsaan kerap datang dan pergi, kerapkali tanpa sebarang
kesan yang membawa bencana besar kepada rakyatnya. Tetapi di
negara membangun (seperti Malaysia) yang terpaksa bertungkus
lumus untuk mencapai kemajuan ekonomi dan kematangan berpolitik,
kualiti kepimpinan atasanya kerap sangat menjadi bahan penentu
apakah negara itu mampu berjaya dalam segala usahanya.
Bukannya selalu sesebuah negara membangun itu diberkati dengan
pemimpin yang baik. Tatkala kita dianugerahkan pemimpin baik
semacam itu, apakah kita mampu melihatkan beliau pergi disebabkan
budaya 'tidak apa' kita dan sifat berpeluk tubuh sahaja?
Anwar telah mengorbankan segala yang ada pada dirinya untuk
menegakkan prinsip hidup dan mempertahankan kepentingan negara. Kim Quek Asal: KM2 6618 |