Laman Webantu KM2: 6610 File Size: 7.5 Kb * |
TJ SP MGG: Ketokohan Anwar Masih Menghantui Mahathir By M.G.G. Pillai 15/1/2002 2:08 am Tue |
Malaysiakini 14/1/2002 (Anwar's specter still haunts Mahathir)
Oleh: M.G.G. Pillai Kalau ada sesuatu yang membuatkan kerajaan ini bergegar ke akar
umbinya, ia akan dicetuskan oleh kematian mengejut banduan
ulungnya, mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim yang
kini merengkok dengan penuh kesakitan dan bergerak dengan
menggunakan kerusi beroda. Itu sebabnya pihak yang berkuasa di
Penjara Sungai Buluh semakin tertekan dan kita harus
memahaminya kenapa, apabila Anwar enggan menjamah makanan
yang disajikan kepadanya selepas Mahkamah Persekutuan
menolak rayuannya untuk kali ketiga pada Jumaat lalu. Peguam
Anwar telah dipanggil untuk memujuk beliau makan semula.
Sakit belakang yang ditanggungnya telah membuatkan rayuan itu
ditangguhkan pada November 2000; keadaan salah seorang hakim
yang jatuh sakit menangguhkan rayuan itu untuk kali yang kedua,
setahun kemudiannya; dan kini penangguhan sekali lagi pula.
Peguam Negara adalah orang baru, demikian kita diberitahu, dan
beliau memerlukan masa untuk bersiap sedia. Benarkah itu?
Ataupun apakah ini masanya orang sibuk berkempen di Indera
Kayangan? Ataupun masih lagi ada perundingan berahsia antara
proksi Perdana Menteri dengan Anwar yang masih belum selesai
lagi? Pejabat Peguam Negara (AG) mempunyai dua tahun membuat
persiapannya, dan sudah tentu segala persiapan itu sudahpun
tamat kini. AG yang baru, Abdul Gani Patail, adalah orang yang
mengetahui kes itu sejak dulu-dulu. Jadi, apakah alasannya yang
haprak itu? Ini menunjukkan alasan yang kedua dan ketiga
mempunyai kaitannya. Apapun yang menjadi sebab musababnya, mogok lapar yang
terjadi, mengejutkan kerajaan yang sedang dihenyak dilema
kempen pilihanraya Indera Kayangan. Apatahlagi ia menarik
perhatian orang Melayu, yang diperlukan memberi sokongan
kepada Barisan Nasional untuk mengekalkan pencapaian
matlamatnya: mencapai majoriti yang lebih besar daripada
pilihanraya 1999 dulu. Besar kemungkinan matlamat itu tercapai, walaupun pertempuran itu
akan mereka menangi, tidak mesti mereka menang peperangan
keseluruhannya. Dua calon yang bertanding adalah orang Cina, tetapi masalah
yang menjadi isu kempen bukannya mereka, menteri besar Perlis,
Shahidan Kassim adalah penyebabnya. Kini, ditambah satu lagi isu
yang ada kena mengena dengan mogok lapar Anwar. Inilah yang
mencetuskan masalah sampingan yang dipertikaikan: ia ada
sangkut paut dengan keengganan kerajaan menyelesaikan masalah
Anwar secepat mungkin. Inilah yang menyulitkan. Kesilapan kerajaan mendakwa Anwar dulu
sudahpun mencetuskan keadaan haru-biru dan orang Melayu
sudah memilih jalan di tepi sebaik sahaja Anwar dipecat dan
diaibkan, kerana itu adalah satu sikap yang kurang ajar terhadap
budaya Melayu dan amalan hidup mereka. Majoriti bangsa Melayu
sudah memilih menjarakkan diri daripada kerajaan yang ada.
Tiga tahun kemudian, dengan arus perdana menyanggah mereka,
kerajaan yang ada sudah menjadi semakin menggila. Kemelut
Anwar sudahpun membuatkan masalah kerajaan itu kejang dan
kaku. Ia terus hanyut dengan keadaan negara yang
terumbang-ambing. Namun, kerajan terus berlakon menutup segala
lubang dan rekah yang menyerlah sambil meraba-raba dan
merayau-rayau mengharapkan munculnya sinar harapan yang
dapat mengembalikan kilauan kepada politik, kewangan dan
ekonomi negara yang terus merudum tanpa ada tepiannya.
Semua itu masih tidak mencukupi. Perkhidmatan awam sudah
menjadi satu perkhidmatan yang tidak mesra (kepada kumpulan
penguasa - penterjemah) walaupun gaji dan imbuhan sudah
dinaikkan untuk memancing sokongan. Warga muda Malaysia
sudah melarikan diri. Mereka menghadapi kesulitan mendapat
pekerjaan, sedangkan mereka terus diberitahu betapa kesetiaan
mereka masih tidak dikira laku.
Tetapi bagaimana mungkin seseorang itu taat dan setia kepada
sebuah kerajaan yang mengugut, berkhutbah tanpa menunjukkan
sebarang keupayaan untuk memerintah? Mengikut tradisi budaya
Melayu, di mana feudalisme menjadi akar umbinya, adalah satu
kemestian bahawa seseorang pemimpin itu mengalahkan
pencabarnya; seandainya dia tidak mampu dan berani berbuat
begitu, sampai masanya dia melepaskan jawatan untuk berlalu.
Inilah yang tidak mampu dilaksanakan oleh Mahathir kerana dia
tidak berani dan tidak mampu. Masadepannya di Putrajaya adalah
bergantung kepada keadaan kesihatan insan yang diaibkannya
untuk terpenjara di Sungai Buluh Itu juga sebabnya banyak desas-desus wujudnya perundingan
berahsia antara mereka berdua melalui wakil peribadi walaupun
mereka tidak bersemuka sama sendiri. Namun, para penyokong
kedua pihak memeperlekehkan desas-desus itu sebagai omongan
semata. Mereka cuba menghiburkan hati sendiri sedangkan UMNO sudah
tiba terkapai di satu persimpangan jalan. Semua kerana Anwar,
laksana seorang jagoan jalanan dia yang memimpin rentak
perlawanan itu. Untuk meredakan rentak itu UMNO perlu
memulihkan martabatnya. Kini sudah dipersalahkan segalanya dan termasuk yang menjadi
penyebabnya. Kisah sodomi dan korupsi bersama hukumannya
sekali yang mendera Anwar untuk 15 tahun lamanya sudah
dianggap oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang penuh
kesangsian. Semua itu mesti diterbalikkan. Seandainya perkara itu dipersetujui
walaupun oleh pihak yang paling kuat menyanggah Anwar satu
ketika dulu, bererti dia telah dijadikan mangsa dan diaibkan dengan
beragenda dari mula. Itu semua perlu dibetulkan semula.
Langkah Pertama Mahkamah Persekutuan adalah tempat yang paling sesuai untuk
membuat pembetulan itu: seandainya rayuannya dibenarkan, dia
masih kekal dipenjara kerana hukuman yang kedua, tetapi ia akan
membuka pintu untuk membetulkan semua itu sekali untuk semua.
Kalau hukuman pertama diperbetul, pembetulan hukuman kedua
pasti menyusul. Inilah kesnya bagaimana seorang peguam negara bersekongkolan
dengan ketua hakim negara untuk menyalah-gunakan kuasa
keadilan. Para peguambela beliau dikenakan hukuman kerana
menghasut dan dihukum kerana mencela mahkamah yang
diwujudkan ala-kangaroo. Peguam Negara yang baru telah dituduh
memesongkan minda para saksi dan barangbukti; dan banduan
yang dimangsakan pernah menolak tawaran mahkamah yang
pernah memberikan kemudahan kepadanya.
Semua ini masih diingati oleh orang Melayu yang terus
membengkak kemarahannya kerana cara bersahaja mahkamah
mengaibkan seorang insan yang tidak berdosa. Inilah bangsanya
yang kini mencabar segala putar-belit pameran keadilan yang
dilakonkan oleh kerajaan. Memang ramai pemimpin UMNO yang sudah kecut telur
kalau-kalau Anwar akan muncul kembali menjadi seorang Perdana
Menteri gara-gara sekongkolan mereka menghapuskan kerjaya
politiknya. Mereka tahu bahana yang mereka perlu hadapi.
Keberanian Anwar melancarkan mogok lapar sudah menakutkan
mereka lagi. Keadaan mesti dipulihkan dan mesti dipercepatkan,
sebelum Mahathir menghadapi bahana kerja rakusnya untuk
memajukan orang Melayu dengan formula abad ke-15 untuk
mereka maju di abad ke-21. |