Laman Webantu KM2: 6584 File Size: 20.9 Kb * |
TAG SP 552: HR: Dongeng Hikayat Al-Maunah By Harun Rashid 10/1/2002 11:47 pm Thu |
Dongeng Hikayat Al-Maunah (The Framing of the Al-Maunah) Oleh: Harun Rashid Perdana Menteri Mahathir bertegas bahawa rompakan Al-Maunah adalah satu
kejadian yang sebenar, dan segala kisah karut yang menyelubungi peristiwa
itu bukannya hasil lakonan yang dirancang oleh Kerajaan. Dia berkata bahawa
semua fakta yang dilaporkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan,
yang bertindak sebagai jurucakap bersama bagi pihak kerajaan, adalah betul
belaka. Hikayat yang penuh dongeng ini seperti yang diatur untuk santapan
media oleh KPN Norian Mai dan Menteri Pertahanan Najib Razak begitu
berkecamuk dan bercelaru. Kisah hikayat mereka berbeza antara satu babak ke
satu babak seperti kisah penglipur lara dulu kala, sememangnya tidak
tersusun dengan fakta yang logik dan masuk akal. Kisah yang mereka
dongengkan tidakpun seragam dengan segala kenyataan yang dibentangkan di
mahkamah yang mendengarnya. Kerajaan telah gagal dalam usaha berlanjutan untuk menyogok minda rakyat
jelata dengan maklumat songsang yang tidak masuk akal. Masalah mudah dalam
hal ini ialah adanya perkara yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras.
Minda yang menuntut jawapan jelas mudah diperlekeh oleh butiran yang tidak
waras, sambil menguji apakah PM sendiri sudah sewel dalam perjalanan otak
penipunya. Ataupun kebijaksanannya berpolitik sudah mengecut sehingga dia
sendiri tertipu memikirkan rakyat jelata masih boleh terus ditipunya dengan
dongeng murahan yang begitu bahlul jalanan skrip ciptaannya.
Kisah di mahkamah yang mengadili kumpulan Al-Maunah itu memperakukan rumusan
rakyat betapa itulah propaganda politik yang memang berunsur satu sandiwara,
dilakonkan dulu di atas kertas sahaja tetapi dilaksanakan tanpa sebarang
raptainya, oleh sebuah kerajaan yang begitu terhimpit untuk membuktikan
secara tipu-helah betapa PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang
menyanggahnya, mempunyai ahli yang 'menyimpang' dan dianggap ekstremis
ataupun pelampau dalam fahaman hidup mereka.
Empat orang lelaki mati dalam episod itu sedangkan 25 orang lagi menghadapi
masadepan yang hancur lebur. Ramai antara mereka yang sudah tidak lagi
stabil pemikirannya. Tiga orang sudahpun dijatuhkan hukuman gantung sampai
mati, dan majoriti yang lain akan terus terpenjara seumur hidup mereka tanpa
peluang untuk merasakan nikmat kebebasan di luar penjara.
[Catatan penterjemah: Bagaimana pula dengan ahli keluarga mereka yang
terpenjara????] Dengan sikapnya yang sudah sewel perdana menteri berkata bahawa hukuman
gantung yang dikenakan kepada para tertuduh telah membuktikan betapa tuduhan
terhadap mereka adalah sesuatu yang memang-memang benar. Di zaman dulu kala,
orang yang tertuduh dikehendaki membuktikan mereka tidak bersalah dengan
mencuba mengandar besi panas sepanjang sembilan langkah. Yang lain dipaksa
berjalan atas tenggala yang panas menyala, ataupun disumbat dalam guni yang
betutup kemas dan dihumban ke arus sungai yang deras. Mereka yang didapati
terapung-apung didapati bersalah, dikait ke darat dan dibakar ditiang
penderaan. Apakah kita fikir perdana menteri Malaysia akan melepaskan
sesiapa antara orang yang dihukum mati itu seandainya mereka berjaya
melepasi hukuman tali gantung? Kali pertama rakyat jelata mempersoalkan kesahihan peristiwa haprak itu
kerajaan bertindak pantas menjanjikan satu Kertas Putih. Seperti ikutan satu
amalan tradisi, kertas putih itu tidakpun kunjung tiba. Kini, perdana
menteri mengulang lagi janji kosong itu. Ia tidak menjadi satu bahan lelucon
kepada rakyat jelata, di mana jua. Janji manis semacam itu sudah lama
dianggap sebagai satu pengakuan bahawa perkara siasatan itu adalah satu
peristiwa yang ditaja oleh kerajaan sahaja. Janji manis terbaru PM itu
hanyalah laksana basong-penyumbat yang digunakan untuk menutup mulut botol
ketidak-puasan hati rakyat. Kalaulah kerajaan tunaikan segala janji manis dulu-dulu mengenai kertas
putih yang dijanjikannya selama itu, sudah tentu ia memerlukan satu bangunan
baru yang indah tersergam untuk menyimpan segala maklumat yang tersurat.
Mujur juga terdapat dua alasan kenapa kemestian itu kecundang selama ini.
Pertama, adalah satu kenyataan bahawasanya tidak ada Kertas Putih untuk
difailkan, dan kedua, terlalu banyak bangunan tinggi yang kosong-kosang di
bandaraya Kuala Lumpur. Penghijrahan beberapa kementerian ke Putrajaya
menyebabkan melambaknya ruang kosong untuk dijadikan pejabat yang mudah
disewa. Mungkin juga ruang kosong yang masih melopong di Menara Kedua KLCC
boleh digunakan untuk tugasan ini. Dulu, ada satu kertas putih yang dijanjikan oleh kerajaan untuk melaporkan
episod Medan. Satu lagi telah dijanjikan mengenai kebakaran di Universiti
Malaya. Banyak lagi kertas putih yang sepatutnya sudah disiapkan, tetapi
tidak muncul-muncul juga. Apakah Malaysia kekurangan kepakaran untuk
menyediakan Kertas Putih Kerajaan? Ketandusan kertas yang dijanjikan ini
menjadikan satu bahan ketawa yang memalukan. Rakyat jelata kerugian besar
dengan ketiadaan kertas putih ini. Mereka sudah semakin tidak sabar dan
perdana menteri dengan menteri balacinya menjadi bahan ketawa dengan gelagat
mengulang kembali janji menyediakan kertas putih itu.
Terlalu banyak yang masih tidak tertulis mengenai Al-Maunah dan cara mereka
dilayan oleh pegawai kerajaan. Laksana kisah lama yang penuh kehebatan dan
kesegaran yang memukau Charles Boudelaiare, segala semerbak yang mewanginya
hilang lenyap sebaik sahaja kisah sebenar diketahui orang. Apabila terdedah
segala kelentongan yang direncana, satu usaha menjelaskan perkara 'sebenar'
itu telah dilaksanakan mengelilingi negara untuk memberi taklimat kepada
kakitangan kerajaan. Tujuan utamanya ialah untuk mengembalikan maruah
kerajaan yang terhenyak oleh kesangsian rakyat. Walaupun sesiapa sahaja
dibenarkan menyertai majlis taklimat yang percuma itu, ia mencetuskan reaksi
yang menakutkan. Tidak ramai yang berminat menghadirkan diri membuang masa
mendengar kelentongan malbari. Dua pasukan telah diwujudkan untuk meyakinkan rakyat jelata bahawasanya
peristiwa Sauk itu benar-benar telah berlaku seperti yang didakwa oleh
kerajaan. Anggota pasukan khas itu adalah daripada dua pasukan yang berbeza
latarbelakangnya. Satu pasukan dianggotai mereka yang berlatar pengetahuan
agama dan yang satu lagi disauk daripada anggota bawahan jabatan polis
sahaja. Pihak tentera sengaja tidak diambilkira untuk memainkan peranan
mereka. Tayangan di malam pertama tidak mendapat sambutan sedangkan
persediaan yang diberikan mencetuskan lebih banyak tandatanya daripada yang
mampu dibuktikan. Wakil petubuhan Islam telah berusaha menjelaskan keseluruhan 29 cara
bagaimana amalan Islam boleh dianggap amalan yang sesat. Kemudian, secara
mengejutkan hadirin yang datang, mereka membuat pengumuman kenapa mereka
tidak dapat memutuskan apakah anggota Al-Maunah itu kumpulan yang sesat
ataupun tidak. Para hadirin naik menyampah. Apakah gunanya mereka dijemput oleh kerajaan,
dengan menafikan mereka menjalankan kerja harian setengah hari, hanya untuk
tidak diberitahu apa-apa yang bererti. Sepatutnya satu kenyataan ringkas
yang dipaparkan di mesin perakam waktu sudah memadai untuk memberikan
penjelasan akan hikayat dongeng itu. Kemudian wakil pihak polis membuat penjelasan mengenai Al-Maunah dan kisah
yang terjadi. Segala kisah penglipur lara polis itu sukar untuk dipercayai
dan mencetuskan banyak tandatanya. Segala soalan yang dikemukakan
menunjukkan rakyat jelata tidak puashati dengan penjelasan sedangkan jawapan
yang diterima tidak pula meyakinkan. Wakil polis itu berdiri tercacak laksana patung batu yang tegak sedangkan
satu rakaman video amatur ditayangkan. Itulah gambaran yang dihasilkan
daripada beberapa rakaman yang disunting di sana sini yang ditonjolkan
sebagai aktiviti latihan Al-Maunah. Dalam tayangan itu diselitkan pula satu
babak menyayat hati bagaimana dua mayat digali keluar daripada satu lubang
kubur. Dua mayat itu ditunjukkkan terkambus secara tertindih dengan lubang
yang menampung mayat itu kelihatan cukup dalam untuk menampungnya.
Satu mayat itu dikatakan mendiang Sarjan SB Sagadevan. Yang lagi satu
dikatakan mayat Ranger Matthew a/k Medan. Lubang kubur dan mayat ahli
Al-Maunah yang dikatakan terbunuh tidak pula dirakamkan oleh video, malahan
tidak pula disebut ketika itu. Sudah tentu kumpulan Al-Maunah turut
mengebumikannya dan penggalian mayatnya tentu dilakukan dengan cara yang
sama, walaupun di satu masa dan tarikh yang mungkin berbeza.
Bukit Jenalik ialah satu kawasan pertanian yang tidak mempunyai tumbuhan
penutup bumi yang mampu menjadi bahan menyorokkan diri. Dari situ terletak
sebuah sekolah yang berada hanya beberapa ela sahaja jauhnya. Segala
pandangan para penoreh getah, penanam sayur (berada di ruang masuk Bukit
Jenalik, bersebelahan kawasan Sekolah - penterjemah) dan juga kanak-kanak
sekolah tidak pernah diambil kira untuk dirakamkan di pita rakaman.
Mereka yang menyaksikan video itu berpendapat bahawa jurukamera video itu
memang hadir melihat bagaimana mayat digali keluar daripada lubang yang
terletak di kaki bukit kecil di situ. Identiti jurukamera itu tidak pula
diperkenalkan, begitu juga tarikh rakaman video itu dilaksanakan. Mayat yang
dibawa ke bilik mayat hospital memang sudah kejang kerana tempoh kematian
yang sudah lama, kerana itu pakar pathologi membuat laporan betapa kematian
telah terjadi dalam kedua kes itu sekitar empat hari sebelum itu. Mayat yang
dibawa ke bilik mayat hospital menunjukkan kematian telah berlaku empat hari
sebelum itu. Tetapi, dalam perbicaraan ada saksi yang bersumpah mengatakan
kematian berlaku hanya satu ataupun dua hari sebelumnya sahaja. Bagaimanakah
perkara semacam ini boleh berlaku? Semua butiran itu mungkin diketepikan
secara disengaja, untuk dijadikan satu bahan rujukan dan penjelasan dalam
satu kertas putih yang dijanjikan oleh perdana menteri.
Ketika perbicaraan dilangsungkan, seorang anggota polis menceritakan kisah
dia diarahkan pergi ke Bukit Jenalik pada satu malam yang gelap gelita
selepas penyerahan diri anggota Al-Maunah pada siang harinya. Waktu itu jam
10 malam apabila dia terserempak lubang yang menampung dua mayat yang
tertanam dengan menggunakan cahaya lampu suluh. Apakah dia benar-benar
dihantar untuk mencari kubur itu? Dia juga menceritakan bagaimana dia
terjumpa selaras senapang raifel M16 dan kelengkapan lain di tepi kubur itu.
Rakaman video menunjukkan dua mayat digali pada siang buta. Tetapi rakaman
mahkamah mencatatkan pengakuan bahawa kubur itu digali pada jam sepuluh
malam. Apakah kita boleh percaya bahawa mayat itu digali pada waktu malam
dan menunggu kedatangan jurugambar pada keesokan harinya sebelum dialihkan?
Soalan yang menarik ini tidak pula dapat menarik minat ahli mahkamah yang
mendengar perbicaraan itu. Malahan, video rakaman polis tidak dijadikan
bahan bukti perbicaraan, walaupun ketika itu ada seorang peguambela yang
sungguh berpengalaman terlibat dalam perbicaraan itu. Bagaimanakah kisah
semacam ini boleh dilupakan begitu mudah sekali?
Anggota polis yang menjumpai kubur di malam hari itu sudah tentu mempunyai
penglihatan malam dalam gelap yang sungguh menakjubkan. Kawasan pucak bukit
itu adalah terlau kecil, dan seseorang amat mudah terfikirkan bagaimana satu
regimen tentera yang menggeledah tempat itu sepanjang siang hari mencari
bahan bukti untuk digunakan di mahkamah. Mereka tidakpun menjumpai kubur
manusia ataupun raifel. Tetapi, seorang anggota polis boleh menjumpainya
dalam gelap gelita, bersama selaras raifel dan peralatan lain. Orang yang
pernah melawat tempat kejadian tentu akan merasa kehairanan begaimana cerita
yang dibuat oleh saksi polis itu adalah satu dongeng yang sungguh
menakjubkan. [Catatan penterjemah - ada beberapa anggota Wataniah yang berada di tempat
kejadian selepas pengunduran angota tentera yang mengaku bahawa lubang yang
ditayangkan kepada rakyat awam adalah lubang yang digali selepas anggota
Al-Maunah keluar daripada tempat itu.]
Anggota Al-Maunah yang terbunuh dikatakan telah terbunuh semasa mereka
dikepung selama empat hari. Tetapi tidak ada sebarang butiran mengenai
pengebumiannya ataupun penggalian mayatnya. Semua maklumat mengenainya
hampir tidak wujud seolah-olah dia sengaja dilupakan. Begitu juga dengan
laporan autopsi akan keadaan mayat beliau ketika digali. Apakah kematian itu
tidak penting dalam kisah tersebut? Dia dikatakan mati kesan tembakan askar
yang mengepong tempat itu. Apakah seseorang yang mati terbunuh tidak layak
diberikan penghormatan terakhir untuk menyemadikan mayatnya betapapun
keadaan kematiannya itu? Siapakah yang sepatutnya mesti menjawab semua ini?
Apakah maklumat yang telah diberikan kepada keluarga si mati? Apakah
kedudukannya sebagai pegawai keselamatan atapun perisik Al-Maunah mempunyai
sebarang kaitan dengan kematiannya? Peristiwa yang penuh drama sebelum penyerahan diri terakhir, seperti yang
diulang-tayang oleh cakap-cakap seorang panglima tentera yang sanggup
menerima jolokan sebagai wira, mengisahkan bagaimana salah seorang tertuduh
telah terkena tembakan senapang Mohd Amin ketika penglima komando itu dengan
beraninya menepis muncung senapang yang sedang meledak itu daripada mengena
dirinya. Identiti anggota Al-Maunah yang terkena tembakan itu tidak pula
disebut dan begitu juga dengan segala butiran akan rawatan yang diterimanya.
Hospital tempatan tidak pula mempunayi catatan orang yang memerlukan rawatan
itu. Siapa yang patut menjelaskan tekateki ini?
Seorang lagi anggota polis cawangan khas (SB) telah hadir sebagai orang
tahanan (tebusan?). Dia berkata bahawa dia tidak nampak apa-apa kerana dia
telah dipaksa duduk sedangkan tangannya terikat di belakang memeluk sebatang
pokok durian, bersama dua orang lain yang turut dijadikan orang tebusan.
Apabila dibebaskan pada satu tengah hari dia terlupa pula menyebut bahawa
rakan sejawatannya sedang tertanam bersama seorang tentera, Ranger Matthew
anak Medan. Kegagalan melaporkan lokasi sebenar kubur itu menjadi satu bahan pelik
kepada rakyat marhaen. Sudah tentu isteri dan ahli keluarga si mati mahu
tahu perkara sebenarnya. Apakah kita mesti mempercayai hakikat bahawa tidak
ada sesiapa yang mahu menyoal mata-mata gelap yang hidup itu (dan dinaikan
pangkat menjadi Sarjan - penterjemah) lokasi sebenar dua orang lagi yang
ditahan bersama dirinya? Sudah tentu pihak berkuasa polis mahu tahu
kedudukan mereka yang hilang. Lagipun masyarakat awam mahu tahu cerita
sebenar. Sehingga kini tidak ada jawapan sebenar akan misteri itu.
Jaafar Puteh seorang peraih durian, telah ditangkap sebagai tebusan pada
tengah hari Sabtu, pada hari sebelum berlakunya kecurian senjata di khemah
tentera. Dia hadir pada upacara penyerahan diri. Dia tidak pula menyebut dan
menunjukkan kubur yang menyimpan orang yang mati. Kenapa pula? Dia telah
ditahan oleh pihak polis selama sepuluh hari, sebelum dia mati secara
tiba-tiba tanpa sebarang simtom sebab-musababnya. Kematian yang sungguh
misteri ini menunjukkan polis yang bertanggungjawab, tetapi tidak ada
satupun fakta yang ada kaitan dengan layanan yang ditanggungnya sejurus
selepas Al-Maunah menyerah diri pernah dikemukakan oleh pihak peguambela
dalam perbicaran itu. Beberapa bulan selepas kejadian Al-Maunah, pokok getah di Bukit Jenalik
telah ditoreh semula setiap hari seperti biasa. Itu adalah satu kawasan yang
sunyi di mana beberapa petani menguruskan kebun sayur di kiri kanan jalan
yang mendaki bukit yang tidak berapa tinggi itu. Ribuan manusia, yang
ghairah melawat tempat itu, pergi kepuncak bukit itu melihat sendiri segala
bukti yang ada mengikut peristiwa yang diceritakan.
Para pengunjung terus muncul berbondong-bondong kerana keseluruhan kisah itu
begitu bercelaru dan menakjubkan sehingga tidak ada yang boleh dipercayai.
Penduduk setempat yang menetap di kawasan berdekatan memperakukan segala
dongeng dan pembohongan yang telah diberikan kepada para wartawan dan
jurugambar yang berada berbatu jauhnya daripada tempat kejadian. Penduduk
kampung telah menceritakan kisah kedatangan ratusan anggota polis dan
tentera di Bukit Jenalik sebelum berlakunya peristiwa kecurian. Mereka telah
berlonggok dan berkerumun di situ pada minggu menjelang peristiwa itu dan
berada di tempat yang sama beberapa hari selepasnya. Mereka mengeluarkan
amaran agar sesiapa tidak menceritakan apa yang mereka alami dan dengar
kepada orang luar. Kini, ribuan manusia yang mendaki Bukit Jenalik sudah melihat betapa lubang
yang digali adalah terlalu sempit untuk dijadikan kubur manusia. Tidakpun
ada tandas di situ seperti yang didakwa, dan tidak adapun tanda-tanda tempat
itu pernah diduduki oleh manusia. Cuma terdapat beberapa pembetung yang
tertegak, yang dikatakan digunakan utnuk menyimpan air untuk pertanian. Para
wartawan diberitahu betapa senjata yang dicuri tersimpan dalam pembetung
yang tegak itu. Tetapi, apabila para wartawan memeriksa segala senjata yang
dipamirkan untuk tontonan masyarakat marhaen, di balai polis, mereka
mendapati semua senjata itu kelihatan baru, seolah-olah baru dikeluarkan
daripada petinya. Semua senjata itu tidak menunjukkan kesan pernah digunakan, tanpa ada
sebarang calar, tanda hakmilik, menandakan semuanya masih baru; berminyak
dan belum digunakan. Memang jelas senjata itu belum pernah diguna, walaupun
oleh askar biasa, di mana senjata itu dikatakan telah dirampas. Segala
pengamatan ini yang dilaksanakan oleh ratusan manusia yang berminat, sudah
tentu tidak dapat dikecualikan daripada sebarang catatan penjelasannya.
Kita kembali kepada video yang ditayangkan kepada umum itu. Di mana dan
bilakah video itu dirakamkan? Sudah tentu ia tidak dilaksanakan di Bukit
Jenalik kerana tidak terdapat sebarang lubang yang begitu luas untuk menanam
seekor khinzir, apalagi dua orang manusia yang sudah mati. Setiap kakitangan
kerajaan diberikan peluang melihat video ini, dan setiap orang melihatnya
berpendapat video itu dibuat selepas kejadian. Kemudian video itu ditayang
dengan tujuan utama untuk menegakkan benang basah kerajaan. Ia tidak mampu
menyokong kisah dongeng yang dihikayatkan oleh KPN Norian Mai dan Menteri
Pertahanan Najib ketika mereka mengumpulkan pemberita yang berkerumun untuk
mengetahui perjalanan kisah Bukit Jenalik. Kenapakah mereka dijauhkan
daripada tempat kejadian yang sebenar untuk membolehkan mereka membuat
rumusan dan andaian sendiri akan peristiwa yang terjadi?
Seandainya PM mahu semua orang mempercayai Al-Maunah itu adalah satu
pertubuhan yang bukan sahaja bergiat dalam ilmu mempertahankan diri, dan
segala dakwaan rompakan itu adalah bukan satu sandiwara yang
direncanakannya, dilakonkan oleh balaci upahannya, dia seharunya membenarkan
semua orang yang tertuduh peluang untuk mempertahankan diri mereka mengikut
peraturan yang sewajarnya. Apa yang direngeknya selama ini sebagai satu
perbicaraan yang memberikan keadilan adalah sebenarnya tidak jauh berbeza
daripada satu mahkamah kangaroo bikinan partinya.
Ada satu artikel (bertarikh September 9, 2000) yang menyebut betapa
perbicaraan tidak mungkin akan terlaksana, tetapi kejadian yang menyusul
menunjukkan perkara yang berbeza. Segala keangkuhan dan gembar-gembur yang
dipaparkan memang di luar anggapan. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka
muncul semula. Kertas putih yang dijanjikan itu akan bernanah dengan penuh
bahan fitnah, begitu berbisa dengan bukti yang gila-gila, penuh disaluti
bahan kelentongan yang akan membuatkan perdana menteri menjadi pengecut
untuk mengeluarkannya. (He.he...inikan Raja Kelengtong yang takut
menghadirkan diri apabila disapina oleh mahkamah????)
Seseorang mudah menerima dengan segala rendah diri akan kesilapan yang
terdahulu, di mana pengaruh syaitan membuatkan manusia gelabah telah
disalah-ertikan.Tetapi, apabila peluang mula muncul sekali lagi untuk
merasuk keadaan, ia akan muncul mendadak dengan segala kelentongan yang
memuncak. Kelentongan dan penipuan akan mencetuskan kemarahan manusia. Akan
muncul nanti laungan dan desakan; keluarkan semua Kertas Putih yang
dijanjikan itu, dengan segala butiran yang terperinci, sekiranya anda
betul-betul berani!!!!!. -Harun Rashid- Terjemahan: SPAR |