Laman Webantu KM2: 6579 File Size: 10.3 Kb * |
TJ SP MGG: Songlapan Siang Hari Melibatkan Teksi Sewa Petronas By M.G.G. Pillai 9/1/2002 10:22 pm Wed |
Songlapan Siang Hari Melibatkan Teksi Sewa Petronas
(Highway Robbery And Skulldruggery At The Petronas Taxi Cab Rank)
Oleh: M.G.G. Pillai, 8/1/2002. Ini adalah kisah bagaimana keangkuhan dan kuasa berlebihan menindas
kebenaran dan pihak yang tertekan; dan ini juga kisah betapa angan-angan
yang meninggi tingginya dan kepercayaan taksub kepada takdir tidak dapat
dipertahankan selepas ghaibnya segala gembar-gembur dan kelentongan
mengenainya. Negara yang sungguh kaya raya ini (satu ketika dulu -
penterjemah) merelakan keangkuhan terus bermaharajakutty membolehkan (si
kutty) melakukan pembaziran bermaharajagila dalam pembinaan projek mega
dengan kos yang menggunung tingginya untuk dicatatkan dalam buku 'Guiness
Book of World Records' sebelum segala projek itu menjadi bahan gajah putih
untuk rakaman sejarah. Apabila siap, dan ghaibnya segala lolongan dan
ribut-ribut mengenainya, projek itu tebiar begitu sahaja untuk mereput
menemani masa. Yang untung ialah para kroni yang menyauk wang ringgit,
membina segala projek itu untuk dibiarkan mereput menjadi bahan sejarah yang
mahal harganya. Apabila Malaysia memenangi peluang menjadi tuanrumah Sukan Komanwel 1998,
satu pusingan pembikinan pelbagai stadium, projek rel keretapi laju antara
Kuala Lumpur dengan apa yang dianggap sekarang sebagai projek lapangan
terbang antarabangsa berstatus gajah putih, dan sebuah sistem rel transit
ringan di Kuala Lumpur. Semua itu diswastakan kepada para kroni dengan
alunan mantra kecekapan sektor awam yang dikatakan cekap. Semuanya kantul,
dan semuanya balik semula kepada kerajaan, sambil alunan mantara itu dicemuh
sebagai falsafah biul, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung semua
perojek yang sudah lama berbisul. Segala kemudahan yang dijanjikan dulu
terpaksa disudahkan, seperti projek laluan keretapi laju, dan pengangkutan
dalam bandaraya. Apabila segala laungan dan ribut-ribut itu menghilang,
segala projek matjenin ini pun terbogel satu persatu.
Saya ingin rakamkan satu kisah - perihal sebuah perkhidmatan teksi yang
beroperasi dengan menggunakan gas asli - yang sudah bertukar rupa menjadi
satu songlapan berciri rompakan sianghari ekspres, lengkap dengan
kesamsengannya, laporan polis yang berjela dan menyerlahkan kejijikan budaya
korporat Malaysia. Semata-mata untuk Sukom 1998, Malaysia telah mengimport
1,800 unit van Renault (Enviro 200 NGV) yang digerakkan dengan kuasa gas
asli untuk memberikan khidmat yang berkesan. Pembelian itu dilakukan dengan
segala songlapan untuk mengambil kira keperluan perkhidmatan susulan ataupun
kewujudan alat gantian yang diperlukan. Pemegang franchais Renault di
Malaysia telah diketepikan dalam urusan niaga itu. Enjin yang dipilih adalah
enjin yang tidak bersesuaian dan tidak pula ada pertimbangan mengenai
khidmat susulan dan gantian alat yang diperlukan kemudiannya. Projek itu
membisul pada mulanya lagi. Insan yang membelinya dengan arahan Perdana
Menteri telah menghembuskan nafas terakhir dalam satu kemalangan helikopter.
Petronas, lembu tenusu Malaysia yang nombor satu, telah tertambat dengan
projek itu. Ia tidakpun mempunyai lesen menguruskan perkhidmatan teksi.
Kerana itu perkhidmatan itu diserahkan kepada satu syarikat yang bernama
Eco-Transit. Pemandu teksi membayar wang pendahuluan yang tinggi dan diberi
gaji harian kerana khidmat mereka dan projek usahasama itu berjalan dengan
licin gamaknya. Muncullah satu ketika apabila Petronas yang terdesak kerana
hutang yang tidak berbayar oleh pembeli kenderaan itu, bertindak untuk
menekan Eco-Transit. Dalam kontrak jualbeli dengan para pemandu teksi,
Eco-Transit telah bermuslihat seolah-olah ia adalah tuanpunya kenderaan yang
dijadikan teksi itu. Tetapi ia hanya mampu menguruskan operasi 200 teksi
sahaja. Di tempat lain ia tidak dapat beroperasi kerana Petronas tidak
pernah mengusahakan penabungan gas asli di rangkaian stesen minyak
kepunyaannya di merata negara. Banyak teksi lain yang bergerak dengan gas
asli mempunyai kemudahan 'converter' untuk bergerak dengan kuasa petrol.
Tetapi, kenderaan Eco-Transit tidak mempunyai kemudahan itu. Sebanyak 800
lagi kereta yang berbaki dan tidak terpakai yang satu ketika dulu diparkir
di bahagian 'basemen' KLCC kini sedang tersadai di ruang lapang di Shah
Alam. Ada yang sudah dibogelkan untuk mendapat alat gantian kepada kereta
lain yang beroperasi. Kali pertama para pemandu menyedari wujudnya sesuatu yang tidak kena adalah
ketika mereka pergi mendapatkan bekalan gas asli di stesen gas Petronas pada
25 Disember 2001. Mereka telah diunjukkan satu risalah yang dikatakan
terbitan Petronas yang berbunyi: 'Pemberitahu kepada semua pemandu teksi
ENVIRO 200 NGV: Pada 27 November 2001, PNGV (Petronas/Petronas NGV Sdn Bhd)
telah menghantar satu surat menamatkan perjanjian jualbeli teksi Enviro 2000
kepada Eco-Transit (M) Sdn. Bhd. Sila ambil perhatian bahawasanya hakmilik
teksi Enviro 2000 NGV adalah kepunyaan Petronas/PNGV dan Petronas /PNGV
berhasrat untuk memiliki semua teksi ini semula. Dengan ini anda sebenarnya
menggunakan teksi Enviro 200 yang menjadi hakmilik Petronas/PNGV. Sila
kembalikan teksi Enviro 2000 NGV kepada Petronas/PNGV di ruang terbuka
tempat letak kereta KLCC (berhampiran masjid Assyakirin KLCC). (Antara 9.00
pagi hingga 5.00 petang). Petronas/PNGV akan bertindak menyekat bekalan gas
asli (NGV) kepada semua teksi Enviro 2000 NGV dengan berkuatkuasa pada 27
Disember 2001.' Risalah ini telah diserahkan dengan iringan satu kertas
putih yang tertulis: 'Pemandu Enviro 2000 yang masih berminat memandu teksi
Enviro, boleh menghubungi Sunlight Radio Taxi Services Sdn Bhd. Tel.
03-92001166 (Mr. Lim).' Seperti yang mungkin diberitahu oleh mana-mana peguam, kenyataan risalah itu
tidak membawa sebarang makna. Ia bukannya merupakan salah satu pihak yang
berbabit dengan kontrak antara Eco-Transit dengan para pemandu. Kalau
masalah berpunca pada Eco-Transit, sepatutnya tindakan mahkamah ataupun
guaman harus dirundingkan dengan Eco-Transit untuk mencari jalan
penyelesaiannya. Ia tidak boleh mengugut mereka yang tidak ada kaitan
perjanjian dengannya. Sudah tentu ia tidak boleh menyekat bekalan gas kepada
mereka yang memerlukannya. Malahan, Mr. Lim tidak boleh mengiklan sesuatu
yang dia masih tidak miliki lagi.
Ada tanggapan bahawa Petronas sudahpun membatalkan perjanjiannya dengan
Eco-Transit dan menandatangani satu perjanjian baru dengan Sunlight Radio
Taxi Services. Tetapi, perkara ini sepatutnya tidak mungkin berlaku. Notis
tamat perjanjian Petronas berakhir dengan Eco-Transit hanya pada 27
Disember. Bagaimana pula Sunlight mampu menawarkan teksi Enviro 2000 NGV
yang belumpun dimilikinya? Betapapun kedudukan guaman Petronas terhadap
kenderaan yang tersebut, Petronas tidak mempunyai hak untuk merampas
kenderaan itu tanpa notis guaman yang wajar, dan ia tidak boleh menafikan
bekalan gas asli kepada teksi Enviro 2000 NGV disebabkan wujudnya perbalahan
dengan teksi Eco-Transit. Seperti yang dijangka, para pemandu terbabit naik gelabah. Satu jawatankuasa
bertindak telah ditubuhkan oleh syarikat kerjasama mereka, untuk berdepan
dengan pegawai Petronas dan mendapatkan ihsan sambungan bekalan gas sehingga
10 Januari 2002. Eco-Transit pula bertindak merapatkan barisan para
pemandunya setelah mereka yang menuduhnya melakukan kerja busuk itu enggan
berurusan dengannya lagi. Bayaran sewa harian kini disalurkan kepada akaun
seorang peguamnya, kata syarikat itu, dan tindakan guaman sedang dimulakan.
Pada waktu yang sama, para penyokong Eco-Transit yang wujud di kalangan para
pemandu teksi itu, para pengambil-balik kenderaan dan ramai orang lain
bertindak memulas telinga para pemandu lain untuk menyokong perjuangan
mereka. Kesannya ada pemandu yang diancam dan didera, dikejar di lebuh raya,
sehingga polis terpaksa campur tangan pula. Pada kemuncak kisah mencelaru
ini, para pemandu cuba mendapatkan perhatian perdana menteri, tetapi para
balaci beliau menyuruh mereka pergi dan tidak mengganggunya lagi.
Kisah ini sampai ke tahap bercelaru. Saya tidak akan hairan kalau ada
peristiwa lain yang akan berlaku. Petronas sudah kehilangan wibawa
kewarasannya. Pada satu ketika seorang pegawai tinggi Petronas pernah
memberiahu para pemandu teksi itu bahawa Petronas mempunyai hak ke atas
semua teksi dan boleh melakukan apa juga tindakan sesuka hati. Ini adalah
satu tindakan yang mengaibkan sekali. Petronas mesti menjelaskan bagaimana
Mr. Lim boleh turut terbabit. Kenapa pula pentingnya semua teksi itu
diuruskan oleh sebuah syarikat. Kenapakah teksi itu tidak dijual terus
kepada para pemndu secara ansuran dan biarkan mereka mengendalikannya
sendirian? Apa pula yang sudah terjadi kepada bayaran pendahuluan berupa
'goodwill' yang disauk oleh Eco-Transit sebanyak RM4,500 daripada para
pemandu teksi di tahap awalan dulu? Kini, Sunlight Taxis menuntut bayaran
RM5,000 daripada setiap pemandu yang mahukan teksi mereka. Tidak ada sesiapa
yang muncul ke depan cuba menyelesaikan kekusutan yang terjadi. Seperti yang
saya katakan dulu, ini bukannya kisah yang menonjolkan kisah yang tinggi
moralnya. Inilah kisah segala kerja bajingan, salah guna kuasa, keangkuhan
dan satu ketaksuban dalam budaya kerja Darulboleh di mana mereka yang
beranggapan tidak mampu melawan untuk mempertahankan hak asasi mereka akan
ditindas secara penyalahgunaan apa juga hukum-hakam yang ada tertulis.
Pejabat Perdana Menteri mesti mulakan pelbagai soalan. Semua soalan yang
berkaitan dalam hal ini mesti dimulakan sekarang.
[Catatan Penterjemah: Oleh kerana Mahathir merupakan Raja Penyangak
Petronas, beliau harus minta maaf kepada semua pemandu teksi Eco-Transit dan
memecat setiap individu yang terbabit dalam skandal van Enviro 200 NGV ini,
sejak kemasukan kenderaan itu sehingga ia tersadai selama ini.]
Terjemahan: SPAR |