Laman Webantu KM2: 6578 File Size: 6.0 Kb * |
TJ SP MGG: Indera Kayangan Dan Nasib Seorang Menteri Besar By M.G.G. Pillai 9/1/2002 10:22 pm Wed |
Indera Kayangan Dan Nasib Seorang Menteri Besar
(Indera Kayangan may determine fate of a distant menteri besar)
Oleh: M.G.G. Pillai Pilihanraya kecil Indera Keyangan di Perlis yang dijadualkan pada 19 Januari
seharusnya menjadi penting hanya apabila Barisan Nasional kecundang.
Daripada penelitian saya tidak wujud sebarang petanda perkara itu mungkin
berlaku. Namun, semua pemimpin sama ada dalam pihak kerajaan ataupun di
pihak pembangkang amat mengharapkan suasana kedamaian sepanjang kempen
memancing undi. MCA sudah terbelah, walaupun Mahathir difahamkan bahawa dua
pemimpin tertinggi parti it mengusahakan satu bentuk damai yang dingin
sepanjang tempoh berkempen, ia dijangka terbelah lagi sebaik sahaja pusat
mengundi ditutup. UMNO sudah begitu lama tidak menyelusuri kawasan pengundian, tetapi pihak
pembangkang begitu berkecamuk untuk menjadikan kelemahan UMNO itu satu
senjata untuk mereka. Contohnya, DAP telah mengugut untuk menyingkir sebarang
ahli yang berkempen di kawasan itu. Ini menunjukkan betapa perlunya sesuatu
pilihanraya kecil untuk mendedahkan sikap autokrasi parti politik yang sudah
tidak relevan dalam bidang politik pembangkang di negara ini. Yang lebih
teruk lagi ialah cara UMNO dan BN merencana dengan mudahnya agenda politik
yang mampu mengheret parti lain untuk mengikutnya laksana kambing sahaja.
Parti Keadilan Nasional akan mengemukakan calon pihak pembangkang bagi
menandingi kerusi yang dikosongkan oleh wakil MCA yang mati kerana kanser.
Pihak pembangkang tidakpun mempunyai satu dasar pilihanraya kecil yang
mantap, kerana itu mereka akan menyertai pertandingan yang muncul secara
menyondol sahaja. Kalaupun ada starategi yang baik, ia akan melancarkan satu
perlawanan yang sengit untuk BN memenangi pilihanraya itu, sedangkan
pilihanraya umum dijangkakan dalam satu tahun lagi membuat kemenangan
pilihanraya kecil ini satu kemenangan pihak pembangkang yang memakan belanja
yang besar. Seandainya BN menang, ia akan menjadi lebih berkhayal. Tetapi,
strategi dan adakalanya taktik pilihanraya bukan merupakan kepintaran yang
khusus kepada pihak pembangkang. Kemenangan yang serba mungkin untuk BN mungkin menjadi satu gegaran kepada
beberapa ibunegeri yang dikuasai kerajaan negerinya oleh UMNO. Menteri Besar
Johor, Ghani Othman sudah menampakkan gelagat tidak senang diri kerana mudah
gelabah apabila bertemu kawan-kawan lama. Dia mempunyai alasan kuat
berperangai begitu kerana merasakan hangatnya kedudukan yang disebabkan oleh
beberapa juta ringgit yang ghaib dikatakan telah dilaburkan di luar negara.
Menteri Besar Pahang sedang kepanasan laksana cacing untuk menyelesaikan
beberapa pertelagahan antara UMNO-PAS, dan amat takut seandainya berlaku
pilihanraya kecil di negeinya. Tetapi, menteri besar yang menghadapi risiko
yang paling besar ialah Mohd Khir Toyo, di Selangor.
Pemimpin UMNO memang yakin seandainya MCA menang di Indera Kayangan,
Mahathir akan menyingkirkan Khir Toyo daripada jawatan menteri besar yang
baru disandangnya. Dalam tempoh dua tahun dia telah bertukar perangai
menjadi seorang menteri besar yang semacam kacang lupakan kulitnya. Dia telah
menunjukkan betapa kuasa yang mendadak mengundang skim cepat kaya bikinan
sendiri sehinggakan dia naik mencanak untuk dirasuk nafsu serakah yang
menghumbannya ke longkang penghinaan. Khir Toyo adalah contoh terbaik
bagaimana seorang menteri besar boleh menjatuhkan maruah sebuah parti dalam
satu pilihanraya umum. Ramai lagi yang lain memang sama haprak dan berdosa
semacam beliau tetapi kerana peranan mereka sebagai broker kuasa politik
yang mempunyai pengaruh tersendiri, menyebabkan Mahathir yang amat
memerlukan sokongan pengaruh semacam itu membiarkan kerakusan itu
berterusan. Mahathir tidak ada banyak pilihan memandangkan risiko jawatan
yang dipegangnya yang menumpulkan seleranya untuk bertanding secara terbuka
dan memilih untuk menang tanpa bertanding.
Sejak kebelakangan ini menteri besar di Selangor melepaskan jawatan dalam
suasana politik yang mendung. Sebelum Khir Toyo, Abu Hassan Omar, undur
dengan aibnya kerana masalah aturan perkahwinannya. Orang yang digantikan
oleh Abu Hassan, Mohammed (Tyson), telah teraib di Australia kerana
membimbit beg membeli-belah yang mengandungi matawang asing bernilai lebih
RM2.5 juta. Dr. Khir Toyo, merupakan seorang doktor gigi yang
bersopan-santun sebelum dilantik menjadi menteri besar. Mengikut pilihan
Mahathir yang berpendapat tidak ada seorang lain dalam barisan exco Selangor
yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan peribadi yang bersih. Cara dia memilih
Khir Toyo adalah satu lambang betapa Mahathir sudah jauh menyimpang daripada
kenyataan sehinggakan beliau terpaksa bergantung kepada pendapat orang-orang
yang dianggap sebagai balaci pilihan yang menasihatinya. Dr. Khir Toyo
adalah seorang sahabat ikrab salah seorang anak Mahathir.
Mahathir tidak punyai banyak pilihan selain menyingkirkan Khir Toyo. Hanya
'caranya' yang penting untuk difikirkan. Mungkin dia akan menunggu menjelang
pilihanraya umum yang mendatang tetapi masanya yang lama itu mungkin tidak
bersesuaian untuk bertindak begitu. Ada satu cadangan yang semakin kencang
tiupan bayunya, ialah diadakan satu pilihanraya kecil di mana Hassan Omar
melepaskan jawatannya untuk membolehkan timbalan menteri kewangan, Dr.
Shafee Salih bertanding dan menjadi menteri besar, kalau dia menang. Andaian
itu memang ada logiknya. Tetapi politik ialah satu kesenian yang serba
mungkin dan bukannya serba boleh. Ini merupakan satu falsafah yang difahami
benar oleh Mahathir, dan mengamalkannya selalu.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR 10/1/2002 |