Laman Webantu KM2: 6530 File Size: 6.3 Kb * |
TJ SP MGG: Lapangan Terbang Duniawan Dengan Kadar Sewa Tidak Menawan By M.G.G. Pillai 27/12/2001 12:47 am Thu |
Lapangan Terbang Duniawan Dengan Kadar Sewa Tidak Menawan
(World Class Airport With World Class Rentals And No Takers)
Oleh: M.G.G. Pillai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tentu dapat
meringankan masalah lalulintas seandainya dibina di Bangkok
ataupun Manila. Tetapi, ia telah dibina di Sepang, untuk menyaingi
Changi dan Hongkong hanya kemudian didapati hanya berupaya
menandingi Kuching. Itulah musibah membina tergesa-gesa tanpa
sebab kecuali untuk mengembangkan tembolok para kroni pihak
pentadbiran, dan pembinaan itu bukan kerana lain selain
mengangkat ego. Ia bertujuan menonjolkan Malaysia di dalam peta
dunia, untuk memperkecilkan Singapura dan orang lain yang
mempunyai tanggapan tinggi terhadap Singapura dengan kata-kata
yang tidak molek dirakamkan di sini. Pembinaan itu bukan berasaskan kajian laluan penumpang yang
memerlukannya sehingga sebesar itu, kalau bukan untuk seluruh
dunia melopong terhadap struktur yang fantastik pada abad ke-21
itu. Tetapi sebuah lapangan terbang yang kosong, melopong di atas
satu ladang yang sungguh tinggi hasilnya satu ketika dulu
membuatkan ramai orang memikirkan alangkah dungunya perancang
projek itu. Apatah lagi apabila hasil kutipan pendaratan harian jauh
lebih rendah daripada kos menyalakan lampu setiap hari untuk
bersinar di situ. Beberapa seksyen sudahpun ditutup untuk
menjimatkan kos. Walaupun baru, ia memberikan gambaran satu
binaan besar yang semakin terabai untuk mereput kerana cuai.
Oleh kerana kurang penumpang dan kurang penerbangan, mereka
yang merana adalah para penyewa tapak perniagan di situ. Sewaan
memang murah jika diambil kira piawaian sejagat; antara RM360,000
hingga RM12juta setahun bersamaan RM30,000 hinggga RM1 juta
sebulan. Para peniaga di New York, Zurich, Heathrow, Tokyo,
Hong Kong, dan Singpura mudah melompat untuk menyambarnya
kalaulah itu harga sewanya di negara mereka. Sejak Samy Vellu
bertegas bahawa harga tol adalah mesra pelanggan kerana ia lebih
murah daripada harga di Ougadougou, ukuran yang sama mesti
digunakan untuk membezakan harga sewaan. Kebanyakan mereka
enggan menerima andaian betapa satu ringgit Malaysia mempunyai
sama taraf kuasa beliannya dengan satu pound sterling di London
ataupun satu dollar di New York. Mereka juga tidak faham kenapa
orang Malaysia merungut membayar US$5 untuk satu pinggan mi
siam kerana harganya lebih murah di New York.
Di Kuala Lumpur para peniaga membayar sewa yang begitu tinggi
untuk menampar lalat. Sebuah klinik dikenakan sewa RM100,000
yang di kira patut, seandainya setiap penumpang yang berlari
menaiki pesawat itu singgah dulu di klinik untuk mendapatkan
rawatan. Harga sewa telah diturunkan sebanyak 40 peratus. Tetapi
penumpang yang tidak bersyukur masih tidak mahu menggunakan
kemudahan yang ada. Setiap penumpang terlalu sibuk mengejar
pesawatnya. Harga makanan terlalu mahal sehingga tidak menepati
selera pembeli kerana itu perniagaan menjadi rugi. Saya jarang
menggunakannya kerana harga kos tambang pergi ke KLIA adalah
sama mahal tambang penerbangan. Kerana itu saya lebih bersedia
menggunakan bas ataupun kereta api yang bukan sahaja lebih
murah tetapi berupaya membawa saya lebih cepat masanya dengan
hanya secebis kos menggunakan perkhidmatan udara.
Pengurusan KLIA beranggapan bahawa para peniaga itu tidak
berusaha dengan gigih untuk meningkatkan perniagaan mereka.
KLIA bertegas walaupun jumlah penumpang berkurangan, tempat itu
masih sibuk, kerana itu para peniaga tidak ada hak untuk membuat
rungutan. Tetapi, keadaan perniagaan memang meleset sekarang di
Singapura, Hong Kong, Zurich, Heathrow, JFK tetapi tidak di
Malaysia ataupun KLIA. Jadi kenapakah peniaga yang tidak tahu
bersyukur itu merungut mengenai harga sewa? Pengurusan MAB
berkata, para peniaga berkeupayaan mendapat keuntungan, dan itu
adalah satu kemestian! Tetapi KLIA lebih bersifat sebagai lapangan
terbang yang memberikan khidmat sambungan kepada Singapura
dan bukannya sebagai pusat pengangkutan udara serantau. Adalah
lebih murah memandu kereta pergi ke Singapura walaupun harga tol
yang dikenakan oleh pengendali lebuhraya yang muflis itu, daripada
kita menaiki pesawat udara. Ekonomi yang merudum di mana juga
berbanding Darulboleh, menyebabkan semakin berkurangan
manusia menaiki kapal terbang daripada Changi untuk
menghabiskan hujung minggu di Kuala Lumpur. Kalau mereka
datang, memang mereka kerap membeli belah di kedai-kedai di
lapangan terbang itu. Jurucakap MAB berkeyakinan bahawa peristiwa serangan ganas di
Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon tidak memberi kesan kepada
KLIA, seperti yang menjejaskan lapangan terbang lain. Kenapa?
Kerana tumpuan penerbangan utama ialah laluan Asian, Eropah dan
Amerika sahaja. Kerana itu mereka yang terbang ke Kuala Lumpur
menumpukan pembelian mereka di kedai lapangan terbang itu dan
tidakpun takut untuk terbang seperti mereka yang mempunyai
destinasinya di Singapura. Keangkuhan adalah cara para birokrat berdalih. Dia akan
mengelirukan anda dengan kelentongan. Tentu kita masih ingat
bagaimana MAB cuba memutar minda mengenai KLIA yang
dikatakannya tidak kosong berasaskan profil lalulintas dan bukannya
jumlah penumpang yang turun naik. Jurucakap MAB tidak faham
kenapa para peniaga merungut. Mereka terpaut kepada statistik di
mana pembelian per penumpang sudah naik pada RM24.75 pada
bulan Oktober berbanding RM21 pada bulan April. Bagaimana
mereka mencongak angka ini? Jumlah jualan kasar dibahagi dengan
jumlah penumpang; tanpa mengambil kira inflasi, kalau bukan di
Malaysia tentu di negara lain yang membekalkan barangan yang
dijual. Tetapi, itu sajalah. Memang tidak ada lagi bukti yang lebih
baik daripada ini. Kalau setiap penumpang yang naik dan turun
bebelanja sebanyak itu di kedai lapangan terbang itu, ramai peniaga
yang mampu menggunakan BMW 740 lengkap dengan supirnya.
Apabila mereka tidak mampu berbuat demikian menunjukkan MAB
hanya pintar beromong kosong. M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR 12.12.01 |