Laman Webantu   KM2: 6529 File Size: 7.6 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Runtuhnya Pengaruh Tatasusila
By M.G.G. Pillai

27/12/2001 12:46 am Thu

Runtuhnya Pengaruh Tatasusila

(The Breakdown of Moral Authority)

Oleh M.G.G. Pillai

KLIA (Kuala Lumpur International Airport) menjadi lapangan terbang utama Malaysia bertaraf duniawan dengan segerombolan tukang kelentong bertaraf yang sama. Setiap penumpang diganggu sebaik ia tiba dan pihak berkuasa sengaja memalingkan muka seolah-olah mereka mempunyai mata yang buta. Ada sepucuk surat yang disiarkan di New Straits Times bertarikh 10 Disember (NST Letters) merungut betapa kewujudan tukang kacau ini mencemarkan nama baik negara. Sebenarnya penulis itu tersilap. Yang menjadi penyebab semua ini ialah runtuhnya pengaruh budaya tatasusila di negara ini. Ini cuma satu contoh sahaja. Satu contoh lagi ialah skandal CLP (Sijil Amalan Guaman). Begitu juga kisah hilangnya kertas jawapan peperiksaan SPM. Skandal mahkamah yang berleluasa ketika mahkamah dirasuk nyanyian syaitan yang didendangkan oleh ketua hakim negara yang dulu masih berlanjutan sekarang ini walaupun jawatan itu sudah bertukar tangan. Cuma ada sedikit perbezaan menunjukkan sedikit perubahan yang baik apabila sesuatu perkara itu didedahkan kepada khalayak ramai. Yang lain sengaja disapu bersih untuk disorok di bawah permaidani pembohongan. Undang-undang dan peraturan di ubah-ubah sesuka hati, kerana ketua hakim negara mahu sesuatu untuk dinyatakannya kepada para wartawan. Setiap program penswastaan kerajaan gagal segagal-gagalnya,membabitkan hutang bertapuk yang benilai berbilion ringgit banyaknya. Namun, kerajaan sengaja bertungkus lumus bertindak menyelamatkan semua bedebah yang menyelewengkan amanah rakyat yang diproksikan kepada mereka. Pegawai tinggi kerajaan tidak terkeluar daripada kerja jijik menyapu bersih wang yang diperuntukkan untuk golongan miskin dan papa kedana.

Bukan setakat itu sahaja. Kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam kerana cuba mendahului PAS. Tindakan itu dilakukan secara berahsia, tanpa sebarang perdebatan mengenainya. Parti politik bukan-Melayu dalam Barisan Nasional, yang memainkan peranan sebagai khadam kepada UMNO tidak berani membantah, ataupun meminta satu penilaian terhadap perlembagaan dilaksanakan, sambil membiarkan sahaja perkara itu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. MCA telah menganjurkan satu forum untuk membincangkannya, tetapi pemimpinnya yang laksana 'ikan yang sudah busuk kepalanya', Ling Liong Sik, tidak ada sesuatu yang mahu dicakapkannya kerana lebih sedia membiarkan seorang menteri UMNO membuka kelentongnya. Sehingga hari ini, kita tidak tahu apakah pendirian MCA apabila UMNO mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kita tahu ada orang yang marah dengan DAP kerana bersekongkol dengan PAS, tetapi bukan kerana ia menyokong pendirian PAS mengenai halehwal Islam.

Inilah keburukannya apabila kita diajak berfikir, tetapi sebelum ia membenarkan rakan politiknya UMNO membuat pengisytiharan itu. Bayangkan apabila MCA angkuh membebel bahawa ialah parti bukan-Melayu yang paling penting dalam Barisan Nasional. Begitu juga halnya dengan MIC, dan Gerakan. Kalau adapun sedikit unsur pembantahan, ia datang daripada Sabah dan Sarawak, tetapi mereka lebih suka berdiam membisu. Lagi galak Kuala Lumpur bertegas untuk mencanangkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, lagi besar kemungkinan Kuala Lumpur terpaksa berdepan dengan peristiwa yang pernah dihadapi oleh Islamabad pada 1971, apabila kelahiran Bangladesh menjadi satu kenyataan.

Terdapat pertalian antara penipuan dalam peperiksaan, penipuan dalam kerja penswastaan, penipuan dalam mentadbirkan sistem keadilan, menipu masyarakat yang miskin, penipuan dalam mengisytiharkan sebuah negara Islam dan menipu dalam memutar-belitkan pendirian dunia. Ini semuanya bermula apabila ada pendapat yang menyatakan bahawa sesiapa sahaja harus bersedia menerima rasuah dan kerajaan menggalakkannya kerana enggan membenterasnya. Setiap kali satu skandal meledak, reaksi yang memuncak adalah sama sahaja bahawa suatu tindakan mesti dilakukan. Adalah seorang dua yang akan ditangkap. Kerajaan akan mengelakkan isu itu sehingga tidak terdaya lagi. Apabila meledak satu skandal yang terbaru, kerajaan akan melupakan yang baru berlalu. Skandal yang dilupakan itu dibiarkan untuk berehat sehingga ia dikejtukan dengan ledakan yang lebih dahsyat beberapa lama selepas itu.

Setiap kali sesuatu perkara besar ditepis, ia membuatkan banyak pihak menjadi terguris. Oleh kerana perdebatan terbuka (dikatakan) dikira tidak berunsur Islam, -- demikian yang diterbitkan dalam satu terbitan rasmi kerajaan, yang kini sudah ditarik balik berjodol 'Malaysia ialah sebuah negara Islam' -- barulah kita sedar kenapa menteri Barisan Nasional sengaja mengelak berdebat untuk membuktikan siapa yang lebih Islamik berbanding PAS. Sebaliknya pula, UMNO menyerang PAS sebagai tidak Islamik kerana kegahirahannya untuk berdebat. Apabila perkara semacam ini sudah memecah-belahkan negara ini kepada tiga puak yang ketara, sengaja diabaikan, seperti yang berlaku di Lubnan ketika dihantui masalah keagamaannya.

Pertelagahan yang membazir seperti ini yang mengukuh perjalanan Malaysia ke simpang kehancuyrannya. UMNO bebas menggembar-gemburkan agenda ini kerana semua rakan barisannya memang gembira untuk menyokong asalkan UMNO terus merelakan kerenah mereka menjulap masyarakat yang mereka wakili dalam kerajaan. Memang tidak wujud sebarang minat untuk mendebatkan sesuatu yang memberi faedah kepada rakyat. Tidak dalam sidang parlimen, tidak juga dalam persidangan parti sendiri. Memang tidak ada salahnya menubuhkan satu negara Islam kalau ia dipersetujui melalui pakatan bersama. Sesetengah penduduk Malaysia ialah mereka yang tidak beragama Islam, tetapi pendapat mereka tidak pernah diambil kira. Jika tidak, biarkan semua rakan kongsi Barisan yang bukan-Islam menyatakan dengan jelas pendirian mereka menyetujui penubuhan sebuah negara Islam. Tanpa sebarang 'kalau' dan 'tetapinya.'

Kita sedar kewujudan Keadilan kebelakangan ini apabila seorang ahli exco memanggil seorang exco yang lain sebagai seorang 'pariah'. Perkara itu sudah cukup kuat untuk membuatkan Samy Vellu melenting untuk membantah. Kini, kita diberitahu olehnya bahawa Keadilan adalah sebuah parti yang tidak sesuai untuk kaum India. Kita gagal menyelesaikan perkara ini kecuali dengan cara melencong. Kalau adapun perkara semacam ini tidak menjadi masalah ialah ketika berlakunya pengaiban dan kehancuran wibawa bekas timbalan perdana menteri - Anuar Ibrahim - dan ketika itu seluruh negara bangkit bersatu di belakangnya untuk menyanggah kerajaan. Kebangkitan itu masih memberi kesan yang mendalam yang mewarnai politik Malaysia. Tetapi, sejak insan itu dipenjarakan dan tidak berkemungkinan muncul di khalayak ramai dengan bebas untuk satu dekad lagi, perkara itu dilupakan dengan kemungkinan ia akan dibangkitkan semula apabila ramai yang tidak akan menyedarinya. Sekali lagi pengaruh tatasusila itu ternoda lagi. Malahan di Tabung Haji, di mana dana yang hilang adalah satu perkara biasa. Tidak siapa yang ambil peduli, walaupun beratus juta ringgit yang sudah lesap. Kerana itu DAP menjadi kaget, bahawasanya walaupun Malaysia ghairah degnan pengisytiharan negara Islam, orang bukan Islam dianggap sebagai 'zimmis'. Kenapa agaknya?

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR - 12.12.01

Asal: KM2 6504