Laman Webantu KM2: 6493 File Size: 9.1 Kb * |
TAG SP 519: IUK: Fisk - Regim Yang Menindas Ditakdirkan Tamat dan Tumpas By Robert Fisk 11/12/2001 11:36 pm Tue |
Independent UK Regim Yang Menindas Ditakdirkan Tamat dan Tumpas
(Repressive regime destined to end in oblivion)
Oleh: Robert Fisk Memang ada sesuatu yang ganjil dan menyeramkan, mengenai
kumpulan Taliban. Contonya ialah seorang pegawai muda jabatan
imigresen yang memeriksa pasport untuk dicop di lapangan terbang
Jalalabad pada 1997. Dia menyibuk, kerana saya tidak
mendapatkan visa untuk keluar negara. Umurnya mungkin baru 14
tahun ketika itu, dan dia mengenakan pantis celak di kelopak
matanya, sebagai satu mekap yang mencontohi Nabi Junjungannya.
Apabila saya membantah kerana tidak ada seorangpun dalam
negaranya yang mundur semacam negara abad kedelapan itu, untuk
mengeluarkan visa keluar (exit visa), dia mengangkat muka untuk
meneruskan bebelannya. 'Tut-tut-tut-tut,' dia mengomel lagi,
tanpa henti sambil kepalanya meliuk dari kanan ke kiri. Saya
dianggapnya laksana seorang anak sekolah yang liar, dan dia,
seorang kanak-kanak, sudah menjadi seorang ketua masyarakat
Islam, menegur seorang warga Barat yang tidak mengikut peraturan.
Menegur perbuatan liar adalah merupakan unsur kegiatan Taliban.
Pengekangan bersuka-suka dan menegur perbuatan yang
menyalahi tafsiran mereka akan cara hidup di dunia mengikut yang
mereka fahami. Menteri Keadilan dulu menghabiskan sebahagian
masanya menjelajah Afghanistan untuk memerika janggut orang
lelaki: setiap lelaki dimestikan memelihara janggut sepanjang 'dua
penumbuk'. Selain itu, ada satu lagi kerja jijik yang dilakukan di
stadium sukan di Kabul; di sana mereka menjatuhkan hukuman
kepada lelaki dan perempuan, dengan mengerat tangan. Kalau Allah
lebih pengampun dan pemurah, tanggapan Taliban akan perbuatan
'pengampunan' itu jelas menunjukkan perbezaannya.
Akan tetapi, - dan di sini memang mesti ada 'akan tetapi' nya -
mereka merupakan jawapan yang bertepatan untuk menghentikan
budaya merogol dan merompak yang dilakukan oleh anggota
Pakatan Utara yang berjalan bertahun lamanya. Sememangnya,
Taliban itu wujud disebabkan oleh sahabat baru kita, di Pakatan
Utara. Apabila 50,000 lelaki dan perempuan disembelih di Kabul
antara 1992 dan 1996, dan wujud pula satu kumpulan mafia yang
giat berurusan dadah dan pelacuran, rakyat Afghan daripada setiap
lapisan kaum merintih mahukan kedamaian dengan apa cara jua.
Sebaik munculnya Taliban, mereka dialu-alukan secara sambil
lewa, kerana masih ada perasaan ketakutan. Para pencuri mungkin
dihukum potong tangan, tetapi tidak ada pencuri lagi selepas itu.
Seseorang boleh memandu dengan selesa daripada Jalalabad
hingga Kandahar dengan keyakinan perjalanan itu selamat tanpa
sesiapa yang akan mengganggu. Tetapi, seperti yang dialami oleh
para wartawan hari ini, tabiat begini tidak boleh diulangi lagi.
Maka terhentilah segala usaha pengeluaran dadah, sehinggakan
PBB memujinya dengan megah. Tidak ada hashish dan heroin di
kawasan yang dikawal oleh Taliban. Tetapi, ini membuatkan Pakatan
Utara terus sibuk menyediakan bekalan yang diperlukan oleh dunia
dadah di Barat - pada waktu yang sama, Mullah Omar terus
menjelajahi Kandahar, memberi amaran kepada kaum Pashtun akan
bahana melanggar perintahnya. Demikianlah peraturan dan undang-undang yang bermula di
khemah pelarian di Pakistan di mana sebilangan besar Taliban mula
membesar. Tidak ada dadah. Pengajaran Al-Quran adalah melalui
proses menghafal. Kaum wanita di khemah pelarian itu hidup tanpa
dilihat wajahnya dan terdidik otaknya, hidup di kalangan lelaki untuk
berkhidmat kepadanya. Inilah cara hidup dalam semua perkhemahan
itu dan inilah yang diulang semula laksana pendua di Afghanisan
pada 1996. Mereka telah mencorakkan keseluruhan negara itu
menjadi satu khemah pelarian yang besar, lengkap dengan
peraturan menangani hidup dengan kemiskinan yang mereka alami
ketika Perang Afghan-Russia. Akan tetapi semua peraturan itu mengandungi unsur-unsur kejijikan.
Seorang kawan yang merupakan seorang diplomat daripada
Scandinavia berada di sebuah hotel di Kabul dan menerima
panggilan telefon daripada seorang pegawai Taliban. 'Kami akan
menjatuhkan hukuman ke atas seorang pembunuh secara
menembaknya. Apakah anda mahu menyaksikannya?' Diplomat itu
menjawab dengan berhemah betapa negaranya menentang
hukuman mati terhadap sebarang jenayah. Beberapa jam
kemudiannya pegawai itu menelefon sekali lagi. Taliban tidak lagi
mahu menghukum-tembak pesalah itu. Sebaliknya mereka mahu
menghempap dinding tembok ke atasnya. Itupun, katanya, hukuman
itu ditangguhkan untuk beberapa hari lagi.
Begitulah seterusnya. Tidak kedengaran irama muzik, tidak ada
mainan wau yang melayang-layang, tiada merpati yang terbang,
tiada TV dan wayang. Kaum wanita dinafikan hak untuk
mendapatkan pendidikan dan punca pekerjaan. Taliban pernah
berkata mereka menghormati kaum wanita. Tetapi, seperti juga ramai
pengamal ajaran usang, ada semacam satu keraguan kenapa
mereka takut dengan wanita. Kerana itu Kementerian Amal Maaruf Nahi Mungkar, menggunakan
rotan panjang untuk menyebat kaum wanita yang keluar rumah tanpa
ditemani saudara lelakinya atau tidak menutup muka dengan burqa.
Kita di barat mengetap gigi melihakan semua ini dengan sikap
mencemuh seperti yang ditunjukkan oleh pegawai imigresen muda di
Jalalabad. Secara sengaja kita telah memilih membiarkan pengamal Wahabi di
Arab Saudi, sedangkan para pemimpin istananya adalah hampr
sama bengis dan kejam dan tidak sensitif kepada peredaran dunia
luarnya. Sekutu kita di Saudi dibarkan menyungkup kaum wanita
mereka dengan pakaian hitam, menegah mereka memandu kereta
dan pada setiap hari Jumaat, memenggal kepala di perkarangan
masjid di hadapan khalayak ramai yang selesai berjumaah. Semua
itu kita biarkan tanpa sebarang suara Barat yang berdecit untuk
mengkritiknya. Kerana itu rakyat Amerika yang riang gembira dengan
tertumpasnya Taliban, memang pintar menyebut dan merujuk kepada
juru tunjuk Taliban yang berada di Arab Saudi, yang mengamalkan
teologi yang sama taksubnya dan mempunyai polis mutawa yang
menjadi ikutan pejuang Taliban. Lantas, tentu kita begitu pantas
melupakan bahawa kebanyakan pejuang yang menghunjamkan
pesawat peledak pada 11 September dulu adalah warga Arab Saudi.
Tidak seorangpun antara mereka itu merupakan anggota Taliban,
walaupun anda mungkin boleh dimaafkan, berdasarkan segala
maklumat songsang bahawa kisahnya adalah yang sebaliknya.
Kita berperang di Afghanisan bukannya untuk memberi kebebasan
kepada warganya bermain layang-layang, ataupun untuk
memudahkan peminat panggung wayang, ataupun untuk
membebaskan kaum wanita yang selama ini hidup menyungkup
mukanya. Kita memerangi Taliban kerana mereka melindungi Osama
bin Laden. Apakah dengan ini akan berakhir pergerakan militan
Islam? Apakah Amerika akan berpaling ke arah Hamas dan Jihad
Islamiah melalui sahabat mereka Israel - dan Hizbollah di Lubnan
serta setiap lelaki yang berjanggut dan berjambang yang menentang
Amerika Syarikat? Saya fikir bahawa umat Islam yang cenderung
kepada 'amalan melampau' mempunyai ketahanan yang lebih
kental daripada itu, malahan lebih kental daripada Taliban. Memang
sudah lama wujud pelbagai versi pengamal agama itu di dunia ini,
yang lebih berminat mempraktikkan hukum syariah daripada
menentang pelbagai pengaruh budaya barat yang menindas mereka.
Puak Taliban tidak pernah bersedia berjuang untuk Iraq, ataupun
untuk Palestin ataupun Lubnan. Mereka tidak mempunyai strategi
ketenteraan untuk memerangi sesiapa, hanya satu strategi teologi.
Mereka telah mentadbir Afghanistan mengikut cara yang mereka
lakukan itu, kerana itu sahaja yang mereka tahu.
Ketika mereka terlupa akan prinsip tonggak kuasa: 'bahawasanya
anda mesti pura-pura melindungi, menyayangi dan membelai kasih
dan sayang orang-orang anda.' Taliban telah tumpas dan
kecundang kerana mereka terlalu taksub akan tatasusila hidup dan
bukan mengenai kehidupan, lebih mementingkan kesempurnaan
berbanding martabat bangsa, mementingkan peraturan berbanding
jatidiri, hingga mewujudkan satu dunia kehidupan di mana sebarang
bantahan dianggap satu bentuk kedurjanaan.
Beberapa hari yang lalu ketika berada di pintu masuk negara
mereka, seorang pegawai muda imigresen membelek pasport saya
untuk meneliti visa masuk yang dikeluarkan oleh 'Islamic Emirate of
Afghanistan' - itulah mohor terakhir yang dikeluarkan oleh puak
Taliban, yang dihentak pada pasport saya oleh pegawai mereka di
Islamabad, sejurus selepas kedutaan mereka ditutup secara
rasminya. Pegawai muda itu mencapai satu alat pengecop untuk
menghentak muka surat pasport saya sekali lagi. 'EXIT' (keluar),
demikian perkataan yang dicop. Dia sudah tersilap cop. Tetapi
begitulah lambang cara pentadbiran Taliban selama ini.
Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6492
Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=109017
|