Laman Webantu KM2: 6491 File Size: 18.1 Kb * |
TAG SP 518: IUK: Fisk - Kenapa Pelarian Afghan Membelasah Saya... By Robert Fisk 11/12/2001 11:14 pm Tue |
Independent UK Kenapa Pelarian Afghan Membelasah Saya...
(My beating by refugees is a symbol of the hatred and
fury of this filty war) Oleh: Robert Fisk - Kila Abdullah, selepas sempadan Afghan.
Pada mulanya kami bersalaman sambil diiringi 'Salamu alikum'.
Tiba-tiba seketul batu berdesing di telinga saya, tidak mengena
sasarannya. Seorang budak lelaki cuba merampas beg saya, diikuti
oleh seorang budak lagi. Kemudian, ada seseorang yang melepaskan
penumbuk curi yang mengena belakang saya. Ini disusuli oleh
beberapa budak muda yang memecahkan cermin mata saya, sambil
menggunakan batu untuk menghentak muka dan kepala. Saya tidak
dapat melihat apa-apa kerana darah yang tersembur dari dahi sudah
menutupi pandangan. Pada waktu itu, saya faham. Saya tidak boleh
menyalahkan mereka kerana gelagat yang menggila. Malahan,
kalaulah saya ini seorang pelarian Afghan di Kila Abdullah, yang
berhampiran sempadan Afghan-Pakistan, saya pasti melakukan
perkara yang sama terhadap Robert Fisk. Ataupun terhadap orang
barat yang saya temui. Mungkin ada yang kehairanan kenapa saya rakamkan kisah beberapa
minit dihayun perbuatan kejam yang sungguh mengancam diri sendiri
di satu kawasan di sempadan Afghan, sambil badan diselimuti darah,
dan meraung laksana seekor haiwan yang parah, sedangkan ratusan
dan untuk lebih benar lagi, katakanlah ribuan - manusia yang tidak
berdosa sedang tecungap dihenyak serangan bom menggila Amerika
di Afghanistan. Itukah proses 'Peperangan untuk Ketamadhunan' yang
membakar dan melumpuhkan puak Pashtun di Kandahar dan
memusnahkan rumah kediaman mereka kerana konsep 'yang baik'
mesti mengalahkan 'yang jahat'? Ramai Afghan di perkampungan itu berada di situ bertahun lamanya,
sedangkan yang lain baru sahaja tiba - sesak dan marah sambil
memendam kepiluan berkabung dan meratapi kematian ahli keluarga
tersayang - sejak beberapa minggu yang lalu. Itu bukannya tempat
yang sesuai untuk sebuah kereta mengalami kerosakaan. Itu juga
bukan masa yang sesuai kerana hanya beberapa minit sebelum 'Iftar'
(berbuka puasa).Tetapi apa yang telah kami lalui adalah satu simbol
betapa dahsyatnya kebencian dan kemarahan serta kepalsuan
peperangan yang sungguh kejam ini. Inilah lambangnya apabila satu
kumpulan lelaki Afghan yang terdesak hidupnya, tua dan muda, yang
terserempak dengan orang asing yang dianggapnya sebagai musuh -
sudahpun berada di kalangan mereka dan cuba memusnahkan
sekurang-kurangnya seorang antara mereka.
Ramai di kalangan manusia Afghan itu, seperti yang kemudiannya kami
tahu, sudah terlalu marah melihatkan tayangan TV yang merakamkan
pembunuhan beramai-ramai Mazar-i-Sharif, betapa para tahanan
perang yang diikat tangannya di belakang telah dibunuh dengan
kejam. Ada seorang penduduk kampung yang kemudiannya
memberitahu pemandu kami bagaimana mereka melihat dua orang
petugas CIA 'Mike' dan 'Dave' mengancam untuk membunuh
tahanan perang yang sudah melutut di Mazar. Mereka tidak
berpendidikan, - saya fikir ramai yang buta huruf- tetapi kita tidak
perlu bersekolah dulu untuk memahami perasaan mereka yang
kehilangan orang yang disayang gara-gara ledakan bom B-52. Pada
satu ketika seorang anak muda menjerit terhadap pemandu saya dan
bertanya, dengan penuh keikhlasan: 'Itukah dia Mr.Bush?'
Saya agak waktu itu ialah 4.30 petang ketika kami tiba di Kila
Abdullah. Ia berada di tengah-tengah antara bandar Quetta di
Pakistan dan pekan sempadan di Chaman. Amanullah pemandu kami,
Fayyaz Ahmed, penterjemah kami, Justin Huggler daripada The
Independent - yang baru selesai membuat liputan peristiwa
pembunuhan di Mazar - dan saya sendiri.
Kali pertama kami menyedari sesuatu yang tidak kena ialah ketika
kereta itu terhenti di tengah-tengah jalan yang sempit dan sesak. Wap
panas bersemburan keluar daripada bonet jeep itu, sambil diiringi
bunyi hon yang bingit daripada kereta, bas dan lori dan beca
seolah-olah mencemuh kerana kami menyekat laluan mereka. Kami
berempat keluar daripada kereta untuk menolaknya ke tepi. Saya
membebel sesuatu kepada Justin bahawa 'ini adalah tempat yang
tidak baik untuk mengalami kerosakan'. Kila Abdullah ialah kawasan
perkampungan pelarian Afghan, yang miskin dan dhaif kesan perang
yang turut menghenyak Pakistan. Amanullah tinggalkan kami untuk mencari kereta lain - sedangkan
tempat itu dipenuhi orang yang kelihatan tidak mesra dan pasti
membahayakan kami apabila malam menjelma. Justin dan saya terus
tersenyum simpul pada awalannya terhadap sekumpulan manusia yang
sudah mula mengerumuni kami sambil memerhatikan keadaan jeep
yang kepanasan dan tidak bernyawa lagi. Saya bersalaman dengan
ramai manusia - mungkin juga ketika itu saya seharusnya
mengingatkan Mr. Bush yang menyebut 'Salaam aleikum'. Saya
memang lama sudah tahu apa yang akan terjadi apabila mereka
berhenti tersenyum.. Kumpulan manusia itu semakin membesar dan saya telah
mencadangkan kepada Justin agar kami beralih jauh daripada jeep itu,
dan beredar di tepi jalan. Seorang anak kecil telah menjentik
pergelangan tangan saya dengan kuatnya, dan saya fikrkan itu hanya
satu perkara yang tidak disengaja. Kemudian seketul batu berdesing di
bahagian kepala saya dan mengena bahu Justin yang berpusing
melihat saya. Matanya menampakkan perasaan kaget dan saya masih
ingat cara saya bernafas ketika itu. Namun saya masih menenangkan
semangat dan berkata itu semua kerja budak nakal sahaja. Kemudian
seorang budak cuba merampas beg saya yang mengandungi pasport,
kad kredit, wang, diari, buku catatan, dan telefon bimbit. Saya berjaya
menyentapnya semula dan menggalas tali beg itu di bahu. Kami
berjaya menyeberangi jalan dan pada waktu itu sebiji penumbuk
mengena bahagian belakang saya. Bagaimankah caranya untuk keluar dari satu impian yang penuh
dengan watak yang tiba-tiba bertukar menjadi ganas? Saya dapat
mengecam salah seorang lelaki yang tersenyum lebar ketika kami
bersalaman, tetapi kini sudah tidak ada lagi senyumannya. Segelintir
anak-anak kecil masih lagi ketawa tetapi senyuman mereka sudah
bertukar rupa menjadi lain pula. Orang asing yang terhormat - lelaki
yang memberi salam beberapa minit sebelum itu - sudah tertekan,
ketakutan dan mula belarian. Barat sudah dihenyak menjadi rendah
martabatnya. Justin sudah mula ditolak ke sana-sini. Di tengah jalan
itu, kami dapat melihat seorang pemandu bas yang menggamit tangan
agar kami meloncat menaiki basnya. Fayyaz yang masih berada di
kereta tidak faham kenapa kami pergi jauh meninggalkannya. Memang
kami sudah terlalu jauh untuk penglihatannya. Justin berjaya berpaut
pada pintu bas itu. Ketika saya mencecahkan kaki di tangga bas itu,
tiga orang lelaki merampas beg saya dan menyauk saya kembali di
tengah jalan. Justin menghulurkan tangannya. 'Pegang terus,'
jeritnya. Saya akur sahaja. Itulah ketikanya satu hentakan kuat menghentam dahi saya. Saya
hampir terjatuh dengan pukulan pertama itu, telinga berdesing kerana
kuatnya. Saya memang menjangkakan perkara ini, cuma tidak berapa
kuat dan menyakitkan. Dan tidaklah begitu spontan. Amarannya
memang hebat dan dahsyat. Ada orang yang membenci saya sehingga
mahu mencederakan saya. Dua lagi hayunan datang mengena, satu di
bahagian belakang bahu saya. Satu penumbuk kuat mengena saya
sehingga terpelanting di badan bas sedangkan saya masih memegang
kuat tangan Justin. Para penumpang bas melihatkan sahaja apa yang
mengena diri saya dan Justin. Tetapi tidak ada sesiapa yang bergerak
untuk bertindak. Tidak ada sesiapa yang mahu membantu.
Saya menjerit: 'Tolong aku Justin,' dan Justin - yang sebenarnya
membantu lebih dari yang temampu menjerit kepada saya dan bertanya
apa yang patut dilakukan lagi - sambil kumpulan manusia semakin
bising dan menjerit kepada kami.Tiba-tiba saya sedar bahawa ssaya
hanya mampu mendengar suaranya. Mereka semua sedang menjerit.
Apakah saya mendengar perkataan 'kafir'? Mungkin saya tersalah
dengar, dan itulah ketikanya saya terlepas dari pegangan tangan
Justin. Kepala saya dibelasah lagi, dua kali; satu hayunan mengena sebelah
kepala sehingga menjejaskan ingatan saya. Inilah yang mengingatkan
saya satu kisah di sekolah rendah di Cedars, Maidstone kira-kira 50
tahun dulu ketika seorang budak lelaki yang tinggi lampai yang sedang
membuat istana pasir di tempat mainan tibat-tiba menghentak kepala
saya. Saya masih teringat bagaimana hayunan itu mencetuskan satu
bauan, sehingga menjejaskan deria hidu saya. Satu pukulan lagi
datang daripada seorang lelaki yang membawa seketul batu besar di
tangan kanannya. Dia menghayunnya ke arah dahi saya dengan
begitu kuat sekali hentakannya sehingga cairan panas mula bersembur
dari muka, bibir dan dagu saya. Saya telah ditendang. Di bahagian
belakang, di keting, di bahagian paha kanan. Seorang anak muda
telah merampas beg saya sekali lagi dan saya masih berpaut kapada
tali beg itu, sambil mendongak ke atas dan melihatkan sekitar 60 orang
yang berada di depan mata, menjerit secara menggila. Anehnya,
ketakutan sudah menghilang ketika itu kerana diganti oleh kehairanan.
Begini rupanya kalau sudah terjadi. Saya tahu bahawa saya terpaksa
membalas dan bertindak. Begitulah yang berlegar di fikiran yang
semakin mula keletihan, jika tidak saya akan mati.
Yang mengejutkan saya ketika itu ialah kemungkinan saya akan tidak
bermaya. Saya makin sedar betapa darah mengalir untuk menyelimuti
badan. Saya tidak fikir pernah melihat darah sendiri begitu banyak
sebelum itu. Untuk beberapa saat, saya ternampak imbasan wajah
yang sungguh dahsyat, dari cermin tingkap bas, wajah saya penuh
dengan darah, hingga membasahi keseluruhan pakaian, beg saya dan
mengalir jatuh ke seluar. Semakin banyak darah mengalir, semakin ramai manusia yang
mengerumuni saya untuk menghenyak dan membelasah. Batu-batu
kecil mula melantun daripada kepala dan bahu saya. Berapa lamakah
agaknya, demikian yang saya ingat memikirkannya, apakah ini akan
berterusan? Kepala saya dihinggapi dua ketulan batu di dua bahagian
pada satu masa yang sama. Itu bukannya batu yang dibaling tetapi
batu yang sengaja dibawa dan dihentak oleh manusia yang mahu
memecahkan kepala tengkorak saya. Kemudian sebiji penumbuk
mengena muka saya sehingga berkecai cermin mata yang tergantung
di batang hidung. Satu lagi tangan menyambar sepasang cermin mata
simpanan yang tergantung di leher dan merentap kotak kulit daripada
tali gantungnya. Ketika itu saya teringatkan pengalaman di Lubnan dan mensyukuri
Tuhan kerana ingatan itu. Selama 25 tahun, saya telah membuat
liputan perang Lubnan dan orang Lubnan kerap mengajar saya
berkali-kali bagaimana mahu terus hidup: Buat satu tindakan - apa
sahaja - asalkan tidak berdiam diri tanpa berbuat sesuatu.
Lantas, saya sentap beg yang ada di tangan anak muda yang
memegangnya. Dia tersentak dan berundur. Kemudian saya berpaling
kepada lelaki di sebelah kanan, yang masih memegang ketulan batu
yang berlumuran darah, sambil menghayun penumbuk sulung ke arah
mulutnya. Penglihatan saya amat samar, mata saya memang
menghidap 'short-sightedness', tanpa kacamata tentulah pandangan
saya tidak berapa jelas dari dekat. Tetapi saya dapat melihat orang itu
terbatuk dan sebatang gigi tersembul dari bibirnya, sebelum dia jatuh
terlentang di atas jalan. Kumpulan manusia itu tersentak untuk seketika.
Kemudian saya menuju arah seorang lagi lelaki sambil mengepit beg
yang saya sambar tadi. Saya hayun satu penumbuk ke arah
hidungnya. Dia menjerit kemarahan sedangkan mukanya bertukar
kemerahan. Saya hayun penumbuk lagi tetapi sasaran saya pintar
menepisnya. Kemudian saya hentam seorang lagi sebelum betindak
melarikan diri. Saya berada semula di tengah jalan tetapi tidak mampu melihat dengan
jelas. Saya tekap muka untuk melihat darah yang berlumuran dan cuba
mengikis darah pekat yang menutupi mata. Setelah dapat melihat
barulah saya sedar betapa saya menangis terisak-isak dan lelehan
airmata itu yang membersihkan darah pekat yang menutupinya.
Apakah dosa aku, sehingga begini jadinya? Saya telah melesing dan
menghayunkan penumbuk kepada pelarian Afghan sedangkan inilah
kaumnya yang saya tumpukan perhatian dan jadikan bahan tulisan.
Mereka menjadi tumpuan dan perhatian saya selama ini. Inilah kaum
yang kehilangan segalanya, golongan yang teraniaya disebabkan
negara saya bersama banyak negara lain lagi sedang berbunuhan,
sambil mencari Taliban di bahagian sebelah sempadan. Ya Tuhan,
selamatkanlah saya, Saya fikir saya telah menyebut permintaan ini.
Orang-orang yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bom yang
digugurkan oleh orang kita sudah menjadi musuh saya ketika itu.
Tiba-tiba, sesuatu yang menakjubkan telah terjadi ketika itu. Seorang
lelaki telah datang menghampiri saya dengan tenang dan memimpin
tangan saya. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas
disebabkan darah yang mengalir menutupi pandangan tetapi dia
berpakaian jubah panjang dan bersarban. Di wajahnya dia mempunyai
satu janggut beruban yang panjang. Orang tua itu memimpin saya
untuk beredar dari situ. Saya menoleh ke belakang dan dapat melihat
beberapa ratus manusia ayng mengekori kami. Beberapa ketulan batu
berdesing di tepi jalan tetapi tidak dituju ke arah kami kerana mereka
tidak mahu mencederakan orang tua itu. Kemunculan orang tua ini
adalah laksana satu kisah dalam kitab 'Old Testament' atapun kitab
Injil mengenai orang yang keramat - dia adalah seorang beragama
islam, mungkin seorang mullah di kampung itu - yang cuba menghulur
tangan untuk membantu. Dia menolak saya naik di bahagian belakang satu trak polis. Tetapi
kereta itu tidak bergerak juga. Mereka menjadi kaget. 'Tolonglah
saya,' demikian jeritan yang berulang yang saya laungkan melalui
satu jendela kecil yang memisahkan tempat duduk kami, sambil jejari
saya mencalitkan darah yang mengalir di kaca jendela itu. Mereka
bergerak beberapa meter dan berhenti sehinggalah orang tua itu
bercakap lagi. Kemudian kereta itu bergerak ke depan untuk 300 meter
lagi. Di sana, di bahu jalan ada satu konvoi Palang-Merah-Sabit Merah
sedang berhenti. Kumpulan manusia itu masih mengekori kami. Dua
orang pembantu perubatan telah menarik saya untuk di sebelah
belakang kenderaan mereka. Mereka menuang air ke atas tangan saya
dan muka sambil membaluti luka di kepala dan muka dan di bahagian
belakang kepala. 'Baring dulu supaya kami dapat menyungkup selimut
di badan anda agar mereka tidak nampak,' kata salah seorang
pembantu perubatan itu. Mereka berdua beragama Islam, dan warga
Bangladesh. Saya mahu merakamkan nama mereka kerana mereka
adalah manusia yang baik-baik: Mohamed Abdul Halim dan Sikder
Mokaddees Ahmed. Saya terlentang di lantai, mengerang kesakitan,
sambil menyedari saya mungkin dapat terus bernyawa lagi.
Dalam masa beberapa minit, Justin muncul kembali. Dia telah
mendapatkan bantuan seorang askar yang tegap badannya daripada
pasukan 'Baluchistan Levies' - inilah pasukan kental warisan
Empayar British. Berbekalkan sepucuk raifel dia mampu menghindari
kumpulan manusia daripada merapati kereta yang membawa Justin.
Saya mula meraba beg yang dapat saya selamatkan itu. Mereka tidak
berjaya merampas beg saya, demikianlah mengomel sendirian,
seolah-olah pasport dan kad kredit saya itu adalah benda keramat
dalam hidup ini. Tetapi mereka telah mencuri sepasang cermin mata
yang tersimpan - bererti saya kehilangan tiga pasang kacamata
membuatkan pandangan semakin samar jadinya. Telefon bimbit
sayapun mereka sauk, begitu juga buku catatan saya, yang
mengandungi maklumat dan nombor telefon yang tersimpan sejak 25
tahun yang menyeluruhi Timur Tengah. Apa lagi yang boleh saya
lakukan? Apakah saya terpaksa meminta sesiapa sahaja yang
mengenali diri ini, mengirimkan semula nombor telefon mereka.?.
Ya Tuhan....kata saya sambil menghentikan penumbuk di sebelah dan
tersentak melihatkan satu luka besar yang berdarah. Itu adalah kesan
gigi yang patah yang saya hayun apabila menghentam muka orang
yang menyerang saya dulu. Itulah seorang lelaki yang tidak berdosa
dan berbuat sebarang jenayah selain menjadi mangsa dunia ini.
Saya telah menghabiskan lebih dua setengah dekad menulis dan
melaporkan penderitaan dan keaiban dunia Islam dan kini kemarahan
mereka sudah mempengaruhi saya juga. Benarkah begitu? Terbayang
diingatan wajah Mohammed dan Sikder daripada Sabit Merah dan
Fayyaz yang berlari ke kereta sambil kepijaran melihatkan cara kami
dibelasah. Begitu juga dengan Amanullah yang mempelawa saya ke
rumahnya untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kemudian saya
teringatkan orang tua keramat yang memimpin saya untuk
menyelamatkan keadaan. Saya amat sedar betapa semua lelaki dan anak muda yang menyerang
saya sepatutnya tidak berbuat begitu tetapi disebabkan keganasan
mereka itu dicetuskan oleh keganasan orang lain. Kitalah orang lain itu
- kerana kita yang melengkapkan mereka dengan senjata perang
menentang Russia sambil melupakan keperitan mereka dan
mentertawakan perang-saudara mereka. Kemudian kita lengkapkan
mereka dengan senjata perang lagi dan membayar wang kepada
mereka untuk 'Perang Tamadun' hanya beberapa batu sahaja
jauhnya sambil mengebom rumah kediaman mereka dan merobek ahli
keluarga mereka dalam apa yang kita sebutkan sebagai 'bencana
perang.' Kerana itu saya berpendirian untuk merakamkan apa yang terjadi
kepada kami dalam satu peristiwa berdarah yang penuh kebodohan.
Saya takut ada pula versi lain yang akan menulis kisah yang berbeza,
bagaimana seorang wartawan British 'telah dibelasah oleh satu
kumpulan pelarian Afghan.' Sememang, itulah tujuannya. Kumpulan yang teraniaya itu adalah
kumpulan Afghan, dengan parut-parut luka yang kita cetuskan. Oleh
B-52 dan bukannya oleh mereka. Saya akan mengulangya semula.
Seandainya saya seorang pelarian Afghan di Kila Abdullah, saya
akan lakukan apa yang baru sangat mereka lakukan. Saya pasti
menyerang Robert Fisk. Ataupun orang Barat lain yang saya temui.
Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6490 Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=109257 |