Laman Webantu KM2: 6476 File Size: 7.8 Kb * |
TAG SP 507: IUK: Fisk - Arafat Menanti Kecundangnya 'Perang' Israel By Robert Fisk 8/12/2001 2:19 am Sat |
The Independent, London. Arafat Akan Sabar Menantikan Kecundangnya 'Perang' Israel
(Arafat Will Gamble On Israel's 'War' Failing Again)
Oleh: Robert Fisk Ariel Sharon telah mencetuskan satu kerlipan sinar yang menerangi
kegelapan yang sedang diharungi oleh Osama bin Laden ketika dia
mengisytiharkan 'peperangan membasmi keganasan.' George Bush
Senior telah berjaya mengenepikan Israel daripada terlibat dalam
Perang Teluk 1991 dulu dan berjaya mengekalkan pakatan negara
Islam untuk terus menyokongnnya.Tetapi anaknya George Bush Jr.
pasti telah memaki seranah kemunculan Israel yang sama
menenggek usaha Amerika dalam melancarkan perang salibnya
memerangi keganasan. Kemarahan itu nampak jelas apabila Mr.
Sharon membandingkan kecelakaan yang menimpa Israel
disebabkan serangan pejuang relamati Palestin yang dikatakannya
sama-berat bencananya dengan peristiwa ngeri yang ditanggungi
Amerika pada 11 September. Kerana itu Presiden AS tidak ada
sebab untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri Israel kerana
retorik terbarunya. Yasser Arafat tidak boleh disamakan dengan Osama bin Laden,
walaupun Israel bertungkus-lumus mendesak seluruh dunia
menyamakan mereka berdua. Beliau tidak begitu cekap, dan jelas
lebih korup dan sudah pasti tidak mengancam kehidupan kita ini.
Oleh itu apakah Mr. Arafat 'akan bertindak tegas menghentikan
keganasan...' alangkah mudahnya kita menggunakan perkataan
yang diluahkan oleh Israel - ataupun apakah Palestin sekarang ini
sudah ditakdirkan akan semakin kehilangan harapan mendirikan
negaranya tersendiri disebabkan tindakan ganas Israel
menyerang-balas? Kenyataan bahawa serangan bom pejuang
relamati adalah gara-gara balas dendam Hamas terhadap tindakan
Israel membunuh seorang pemimpin Hamas - yang merupakan satu
serang balas terhadap pengeboman Hamas yang lain yang juga
merupakan satu tindakan serang balas terhadap serangan Israel -
semua itu tidak akan merobah segala 'penderitaaan orang Palestin.'
Israel kini sedang mengasak Mr. Arafat dan 'Palestinian Authority'
(PA) dan beberapa kumpulan keselamatannya dengan tuduhan
semua itu adalah institusi mafia yang jahat, dan penuh 'keganasan'
'tidak berotak hanya tahu mengganas sahaja,' dan banyak lagi.
Kini Mr. Arafat dikehendaki menangkap orangnya dan arahan itu
bukan sahaja datang daripada kerajaan Sharon tetapi daripada
European Union dan juga Amerika Syarikat.
Seperti lumrah, kita sengaja melupakan sejarah terdekat dengan
mudah. Hamas yang kini menjadi sasaran utama Sharon dalam
kempen 'perang membasmi keganasan' sebenarnya adalah satu
pertubuhan yang ditaja oleh Israel. Seawal 1980-an, ketika Mr.
Arafat dicap sebagai 'super terrorist' (Raja Pengganas) dan Hamas
diberikan takrifan sebagai sebuah pertubuhan amal Islam, kerana
tidak berbisa kepada Israel, kerajaan Israel telah menggalakkan ahli
Hamas membina masjid di Tebing Gaza. Beberapa pegawai yang
pintar dalam tentera Israel telah membuat keputusan bahwa cara
terbaik untuk mensabotaj kebangkitan nasionalisme PLO ialah
dengan berlakon memajukan Islam di kawasan taklukan mereka.
Malahan setelah tercapainya perjanjian Oslo, ketika berlakunya
pertelagahan dengan Mr. Arafat, beberapa pegawai tinggi Tentera
Israel membuat pengumuman bahawa mereka mahu berunding
dengan pemimpin Hamas. Ketika Israel menghalau secara haram
ratusan anggota Hamas ke Lebanon pada 1992, salah seorang
pemimpin ini, setelah mengetahui saya sedang menuju Israel, telah
menawarkan nombor telefon rumah Shimon Peres daripada buku
catatannya. Israel kini sedang cuba berdakwah satu pengajaran yang pernah
dicuba oleh Yizhak Rabin ke atas Mr. Arafat untuk mengajarnya;
bahawasanya kenegaraan yang tulen boleh mencetuskan perang
saudara; sepertimana kerajaan Israel terpaksa menembak mati ahli
Irgun yang mengganas. Kerana itu Mr. Arafat mungkin terpaksa
memusnahkan orang-orangnya yang mahu menghancurkan Israel.
Tetapi sekarang ini kita berada pada 2001, dan bukannya 1948.
Kalau tercetus perang saudara antara bangsa Palestin, ia mungkin
membawa menafaat kepada Israel - mungkin akan berlaku pemilihan
ketua PLO yang baru - tetapi ia tidak akan mendatangkan faedah
kepada Mr. Arafat dan sudah tentu tidak kepada bangsa Palestin.
Apapun, seandainya Israel benar-benar mahu menyengat Mr. Arafat
untuk menumpaskan para penentang dalaman, ia bukan dengan
cara mengebom dan memusnahkan balai polis dan pusat
keselamatan, kerana inilah institusi dan alat jentera yang
diperlukannya untuk mengesan segala musuh Israel di kalangan
orang Palestin. Mr. Arafat memang arif akan perkara ini dengan masaknya. Walaupun
satu ketika dulu dia mengurus pertubuhannya melalui satu kawasan
buangan di Lebanon, dia membunuh hanya militan Palestin yang
benar-benar mengancam kedudukannya. Dia adalah seorang yang
penyabar, seorang pemimpin gerila yang amat arif betapa
pentingnya untuk menunggu masa sehingga musuhnya membuat
sedikit kesilapan. Berapa lama lagikah sebelum peperangan
membasmi keganasan yang dicetus oleh Sharon akan menyebabkan
tangan-tangan Israel bergelumang dengan darah rakyat Palestin?
Berapa lama lagikah agaknya baru Amerika sedar betapa
tipu-muslihat mereka di Afghanistan akan terlondeh disebabkan
sokongan Israel terhadap 'peperangan membasmi keganasan' yang
tidakpun dikehendaki oleh Washington? Hari ini, pojok akhbar di
Pakistan sudah memaparkan kisah peluru berpandu Israel yang
menghunjam Gaza dan bukan lagi nasib Osama bin Laden.
Lagipun, Mr.Afrafat memang tahu, betapapun ramai wartawan yang
akan percayakan muslihat Israel itu, tindakan Israel untuk
'berperang membasmi keganasan' selalu sahaja kecundang. Mr.
Sharon pernah melancarkan 'perang membasmi keganasan' di
Lebanon pada 1982 yang berkesudahan dengan jenayah perang -
penghapusan pelarian Palestin di khemah pelarian Sabra dan
Chatila. Sejak 1970 Israel telah menggunakan pejuang perang
F-16, kereta kebal dan peluru berpandu untuk beribu kali
menyerang Palestin di Lebanon, semata-mata untuk 'peperangan
membasmi keganasan.' Itulah yang dilakukannya berbulan lamanya
di Gaza dan Tebing Barat. Itupun kecundang. Orang Arab sudah
tidak takutkan Israel lagi, dan apabila ketakutan itu sudah
menghilang ia tidak dapat disuntik kembali. Usaha Sharon
melancarkan 'peperangan membasmi keganasan' lantas kehilangan
bisanya sebaik sahaja ia dilancarkan. Itu semua akan dibuktikan
oleh satu lagi serangan bom pejuang relamati yang AKAN BERLAKU
LAGI. Kerana itu Mr. Arafat hanya perlu menunggu. Dia akan menaruh
harapan kepada satu perkiraan yang amat mudah: bahawa
kemarahan Amerika terhadapnya akan lambat laun disejukkan oleh
keaiban yang ditanggungi oleh Amerika disebabkan Mr. Sharon,
bahawa 'peperangan membasmi keganasan' di Afghanistan akan
diancam oleh 'peperangan membasmi keganasan' cetusan Sharon
di Palestin. Mr.Arafat faham benar, akhirnya nanti betapapun
berpengaruhnya kumpulan pelobi Yahudi di Rumah Putih, nyawa
rakyat Amerika adalah dikira lebih berharga dari nyawa orang Israel.
Kalau adapun kecacatan dalam perdebatan ini ialah rumusannya,
betapapun Amerika mampu mengawal semua sekutunya di Timur
Tengah, apakah Israel mampu mengawal Mr. Sharon.
Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6475
Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=108362
|