Laman Webantu KM2: 6462 File Size: 6.9 Kb * |
Agenda: Skandal Lama Atau Baru? [CLP] By Abu Bakar Rashid 5/12/2001 1:55 am Wed |
http://www.agendadaily.com/details.php?id=141
Asia Times pertikai apakah penipuan dalam isu CLP telah berlaku
sebelum ini... DARI JENDELA MEDIA ASING Sususan ABU BAKAR RASHID Satu lagi keributan yang akan menggawatkan keadaan tercetus di
dalam dunia perundangan Malaysia ketika masih belum reda
kemarahan umum baru-baru ini terhadap pelantikan peguam negara
baru yang penuh kontroversi, lapor Asia Times 4 Disember.
Integriti peperiksaan untuk mendapatkan Sijil Amalan Perundangan
(CLP), hangat dipersoalkan apabila terdedah berlakunya pemalsuan
gred-gred yang diberikan dan juga kemungkinan berlakunya
kebocoran soalan, kata akhbar itu. Isnin minggu lalu, 921 siswazah undang-undang menerima berita
gembira apabila keputusan peperiksaan CLP disahkan selepas
dibatalkan selama dua minggu. Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia mengakui
bahawa sebab utama ia membatalkan peperiksaan Julai adalah
kerana markah kelulusan telah dipalsukan - walaupun gambaran
yang diberikan sebelum ini ialah mengenai berlakunya kebocoran
soalan. Sejumlah skrip jawapan yang tidak dinyatakan jumlahnya telah beri
markah secara tidak sah, sama ada dilebihkan atau dikurangkan.
Asia Times seterusnya melaporkan, pelbagai pihak menuding jari
kepada pengarah lembaga berkenaan, Khalid Yusoff yang mana
tugasnya ialah untuk menyerahkan keputusan awal kepada lembaga.
"Selepas dilakukan siasatan untuk menentukan kesan (tuduhan
soalan bocor), ahli-ahli lembaga mendapati wujudnya beberapa
perkara yang tidak selaras antara markah-markah yang diberikan
oleh pemeriksa (skrip jawapan) dan yang dikeluarkan oleh
pengarah," kata setiausaha lembaga, Datuk Abdul Wahab Said.
Amalan yang menjadi tradisi selama ini, kata beliau, ialah bahawa
pengarah bertanggungjawab menyelia peperiksaan CLP dan
kemudian membentangkan keputusan peperiksaan untuk disahkan
oleh lembaga. Bagi mengatasi kemelut itu, lembaga mengeluarkan semula keputusan
menggunakan markah sebenar yang diberikan oleh pemeriksa skrip
jawapan. Akhirnya 113 pelajar yang lulus di dalam peperiksaan utama Julai
lalu begitu kecewa apabila mendapati mereka sebenarnya gagal;
jumlah yang lulus dengan jelas dikurangkan sehingga separuh
daripada 312 kepada 119. Mereka yang lulus bersyarat pula jatuh dari 228 kepada 170
manakala jumlah mereka yang gagal bertambah dari 461 kepada 632.
Mereka yang diberikan kelulusan bersyarat boleh menduduki semula
peperiksaan. Bagaimanapun, kertas tambahan mengenai pembuktian
yang diambil pada bulan Oktober telah dibatalkan.
Kadar kelulusan kesemuanya jatuh dari 25.2 peratus kepada 12.9
peratus - dikatakan paling rendah dalam sejarah CLP.
Perkara itu tidak diterima begitu sahaja oleh semua pihak.
'Mengapa lembaga hanya pergi separuh jalan sahaja untuk
mengredkan semula atau membetulkan pemalsuan markah di dalam
peperiksaan CLP tahun ini, menyesuaikan skrip jawapan 'yang diberi
markah secara tidak sah? tetapi tidak 'yang diturunkan markah
secaratidak sah??' tanya Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.
Di dalam kenyataannya, beliau menyifatkan apa yang berlaku itu
sebagai ketidakadilan yang amat sangat kepada 'mangsa-mangsa
yang patut diberi kelulusan tetapi keputusan mereka dipalsukan
supaya gagal'. Lulusan undang-undang mesti lulus peperiksaan CLP sebelum
diterima sebagai peguam dan berkhidmat kepada umum.
Ketika belajar untuk mengambil CLP, para peguam membuat
'chambering' di firma undang-undang, biasanya dengan mendapat
gaji yang rendah. Tetapi amat sukar untuk lulus peperiksaan CLP, dengan hanya
minoriti yang kecil sahaja yang berjaya dalam percubaan pertama
mereka. Umpamanya, ramai siswazah undang-undang Malaysia yang
mendapatkan ijazah undang-undang mereka dari England yang
berputus asa setelah gagal lulus dalam peperiksaan CLP walaupun
mereka telah berusaha keras sebelumnya.
Ratusan lulusan undang-undang yang tidak mahu lagi meneruskan
usaha untuk menjadi peguam selepas beberapa kali cuba menduduki
peperiksaan CLP dan sebahagian dari mereka berjaya menempah
kejayaan setelah berpindah kerjaya sebagai penasihat
undang-undang di sektor swasta, pengurus sumber manusia,
setiausaha syarikat dan pensyarah. Implikasi skandal CLP tidak terhenti setakat perbuatan memalsukan
keputusan sahaja, kata Asia Times. Apa yang berlaku itu mengakibatkan keabsahan keputusan CLP
beberapa tahun sebelum ini dipersoalkan dan memburukkan imej
kerjaya perundangan, kata akhbar itu lagi.
Akhbar itu menambah, tidak ada siapa pun yang pasti adakah
pemalsuan keputusan peperiksaan CLP hanya berlaku tahun ini
sahaja atau memang telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Ia juga, kata akhbar itu lagi, menimbulkan kecurigaan terhadap
integriti peperiksaan-peperiksaan umum yang dijalankan di Malaysia,
terutama selepas berlakunya beberapa kejadian kebocoran soalan
peperiksaan di sekolah-sekolah. Ia juga, pada pandangan Asia Times, mendedahkan kelemahan jelas
pihak berkuasa di dalam menangani penyalahgunaan kuasa dan
rasuah di peringkat tertinggi. Apa yang menyakitkan hati sesetengah pihak, kata akhbar itu, ialah
hakikat bahawa tidak ada tindakan yang diambil terhadap mereka
yang bertanggungjawab melakukan pemalsuan markah itu, walaupun
beberapa yang lain telah ditangkap kerana dituduh membocorkan
soalan peperiksaan. Peguam negara yang akan bersara, Datuk Seri Ainum Mohd Saaid,
dilaporkan oleh akhbar itu sebagai berkata bahawa lembaga
kelayakan belum lagi membuat keputusan tentang status Khalid
sebagai pengarah. Lebih dari itu, kata akhbar itu lagi, usaha-usaha untuk membanteras
rasuah sering digagalkan oleh kelemahan yang begitu jelas di pihak
Badan Pencegah Rasuah di dalam menangani rasuah diperingkat
tinggi terutama yang melibatkan tokoh-tokoh penting.
'Lembaga Kelayakan dan polis melayani Khalid Yusoff, pengarah
peperiksaan CLP, dengan begitu lembut ketika beliau sepatutnya
dipecat dari sekretariat CLP, ditangkap dan didakwa kerana
bertanggungjawab dalam skandal pemalsuan markah CLP,' Asia
Times memetik pengerusi DAP sebagai berkata.
Akhbar itu melaporkan, sesetengahnya berhujah bahawa skandal
peperiksaan CLP hanyalah gejala kecil dari masalah besar yang
membelit negara ini. Asia Times menyimpulkan, skandal CLP adalah satu lagi pukulan ke
atas moral dunia perundangan Malaysia yang masih dikejutkan oleh
berita pelantikan Datuk Abdul Gani Patail sebagai peguam negara,
salah seorang watak utama pihak pendakwa dalam perbicaraan yang
memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas timbalan perdana
menteri. Malaysia memerlukan masa yang panjang dan usaha-usaha
memperbaiki kerosakan yang banyak untuk memulihkan imej buruk
dunia perundangannya, kata akhbar itu.
|