Laman Webantu KM2: 6446 File Size: 10.6 Kb * |
TAG SP 502: IUK: Fisk - Kita Menjadi Penjenayah Perang Sekarang By Robert Fisk 1/12/2001 2:20 am Sat |
Independent, UK Kita Menjadi Penjenayah Perang Sekarang
(We are the war criminals now) Oleh: Robert Fisk Kita sudah menjadi penjenayah perang sekarang ini. Angkatan
tentera udara AS (USAF) telah menghujani Mazar-i-Sharif dengan
bom untuk memudahkan kerja-kerja Pakatan Utara, dan wira Afghan
yang merupakan sekutu kita - yang pernah membunuh dengan
kejamnya 50,000 manusia di Kabul antara 1992 dan 1996 -
sudahpun melangkahkan kaki memasuki bandar itu dan
menghukum-bunuh lebih 300 orang pejuang Taliban. Laporan itu
hanya dijadikan paparan notakaki di kebanyakan TV bersaluran
satelit, sebagai satu tempelan sahaja mengikut istilah kata orang
akhbar. Biasa sahaja perkara itu, nampaknya. Afghan memang
mempunyai budaya membalas dendam sebagai tradisi hidup mereka.
Jadinya, dengan sokongan strategi pihak USAF, satu jenayah
perang telah dilakukan. Kini, kita dihantui kisah 'pemberontakan' di penjara Mazar-i-Sharif,
di mana banduan Taliban dikatakan menembak para petugas penjara
di kalangan askar Pakatan Utara. Kini juga sudah terdedah betapa
askar British - telah membantu Pakatan Utara menumpaskan
kebangkitan itu, seperti yang diceritakan oleh CNN betapa beberapa
banduan itu telah dihukum mati kerana cuba melarikan diri. Memang
dahsyat perkara itu. Askar British kini sudah bergelumang dengan
jenayah perang. Dalam beberapa hari sahaja, wartawan Justin
Huggler daripada The Independent telah melihat begitu ramai
anggota Taliban yang di tembak dengan kejam di Kunduz.
Amerika memang tidak mempunyai banyak alasan untuk
mempertahankan kejadian pembunuhan beramai-ramai ini.
Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld, telah menyatakan dengan
jelasnya ketika bandar itu sedang terkepung betapa serangan udara
Amerika boleh dihentikan 'apabila Pakatan Utara memintanya'.
Sambil tidak mahu mendedahakn peranan askar Pakatan Utara yang
sudah berlagak laksana samseng dan algojo dan juga menjalankan
tugas sebagai pengawal udara kepada pesawat USAF di medan
perang, kenyataan Mr. Rumsfeld itu melayakkannya diseret ke
Mahkamah Tirbunal Perang dalam kes mahkamah membabitkan
Kunduz. Tindak tanduk Amerika itu adalah dengan sokongan
menyeluruh militia Pakatan Utara.
Ramai wartawan TV tidak mahu menunjukkan minat terhadap jenayah
yang sungguh menjijikkan ini. Mereka merasa selesa bersaing bahu
dengan askar pakatan Utara, dan berbincang dengan askar Amerika,
sambil kebanyakannya memberikan sedikit ulasan sahaja mengenai
jenayah perang terhadap para banduan di dalam laporan mereka.
Apakah agaknya yang sudah terjadi kepada pemahaman tatasusila
kita sejak berlakunya episod 11 September?
Mungkin saya dapat memberikan jawapannya. Selepas tamatnya dua
perang dunia dulu, kita - di 'BARAT' - telah membuat berkapuk
perundangan untuk menyekat berlakunya jenayah perang. Usaha
pertama kumpulan Anglo-French-Russian (British, Peranchis dan
Russia) untuk melaksanakan undang-undang itu telah disanggah
oleh apa yang disebut sebagai Holokos Armenia yang dicetuskan
oleh Turki pada 1915; Penguatkuasa 'The Entente' (mungkin yang
dimaksudkan ialah 'The Triple Entente' yakni satu perkongsian
longgar antara Britain, Peranchis dan Russia pada satu ketika dulu -
penterjemah) bertindak mahu mengenakan hukuman terhadap
'semua ahli kerajaan Osmaniah dan mereka yang terbabit dengan
pembunuhan beramai-ramai itu.' Selepas itu berlaku pula Holokos
Yahudi dan kemusnahan Jerman pada 1945, dan terciptalah artikel 6
(C) dalam Nuremberg Charter dan kata awalan Persidangan PBB
mengenai penghapusan kaum yang dirujuk dengan istilah 'jenayah
terhadap kemanusiaan'. Setiap peperangan yang tercetus
pasca-1845, melahirkan pelbagai perundangan dan kemunculan
lebih banyak lagi kumpulan hak asasi manusia untuk melobi seluruh
dunia nilai hidup yang dikatakan liberal, berperikemanusian ala
barat. Selama 50 tahun yang berlalu, kita telah bertenggek dengan lagak
orang yang bermoral dan memberikan khutbah kepada China dan
Soviet Union, Arab dan Afrika, mengenai hak asasi manusia. Kita
berhujah mengenai jenayah yang melanggar hak asasi manusia
terhadap masyarakat Bosnia, Croatia dan Serb. Kita seret mereka di
kandang orang salah di mahkamah, seperti gelagat kita terhadap
Nazi di Nuremberg (sebut Niumbeg- penterjemah). Ribuan risalah
telah dibentangkan, memberi gambaran, dengan jelas yang begitu
menggerunkan - segala mahkamah rahsia dan skuad pembunuh dan
pendera dan penglaksana penghakiman berlebihan yang dilakukan
oleh negara bajingan dan para diktator mereka yang zalim dan
berhati syaitan. Demikianlah kebenarannya.
Secara tidak semena-mena, selepas 11 September, kita naik minyak
dan menjadi gila. Kita telah musnahkan perkampungan Afghan
sehingga lumat, bersama para penduduk yang menghuni di sana -
sambil menuduh Taliban yang gila dan Osama bin Laden sebagai
penyebab kerja gila kita - dan sekarang kita telah merelakan sekutu
militia yang memang ganas itu untuk membunuh dengan kejamnya
segala tahanan perang mereka. Presiden Bush telah menandatangani satu set perundangan
penubuhan mahkamah tentera rahsia untuk mengadili dan
memusnahkan sesiapa yang dipercayai sebagai 'pembunuh kejam'
mengikut tafsiran kecamata Amerika yang dirumuskan oleh
perkhidmatan perisikan Amerika yang diketahui amat tidak efisien.
Jangan tersilap pula untuk memahami, bahawa kita kini
membincangkan perihal pasukan algojo yang dihalalkan
penubuhannya oleh kerajaan Amerika. Pasukan itu sudahpun
ditubuhkan, supaya Osama bin Laden dan orangnya boleh dihukum
mati seandainya tertangkap, untuk mengelakkan proses pembelaan
secara terbuka. Jika tidak, akan diadakan satu perbicaraan
olok-olok dan hukuman mati juga. Memang jelas kini apa yang sudah berlaku. Apabila manusia yang
berkulit sewo matang, kekuningan, hitam ataupun cokelat, yang
mempunyai fahaman Komunis, Islamis ataupun Nasionalis,
membunuh tahanan mereka ataupun menabur bom daripada udara
laksana hujan yang turun banyaknya, ataupun mewujudkan
mahkamah untuk menghukum mati setiap yang didakwa, tentu sekali
orang semacam ini sudah menjadi bahan kutukan Amerika Syarikat,
European Union, PBB dan dunia yang dikatakan 'bertamadun'.
Kitalah kumpulan manusia yang mengetahui apa itu hak asasi
manusia, kumpulan yang liberal, yang jaguh dan johan yang pandai
berkhutbah kepada masyarakat sejagat yang miskin dan papa
kedana. Tetapi apabila orang kita dibunuh - ketika bangunan kita
yang indah tersergam dihunjam sehingga jahanam - barulah kita
koyak-rabakkan setiap muka surat perundangan hak asasi manusia,
mengerahkan pesawat B-52, ke arah ribuan manusia yang hidupnya
tertekan dan papa kedana dengan tujuan membunuh mereka kerana
mereka sudah menjadi seteru kita.
Winston Churchill pernah melaksanakan tindakan yang kini
dipraktikan oleh Bush terhadap musuhnya. Pada 1945, dia memilih
jalan menghukum mati para pemimpin Nazi. Namun, wlaupun telah
nyata betapa Hitler dan jentera raksasanya yang ganas itu
bertanggungjawab dengan sekurang-kurangnya 50 juta kematian -
10,000 kali lebih besar dan banyaknya daripada jumlah mangsa 11
September - para pembunuh Nazi itu telah dihadapkan ke
mahkamah di Nuremberg kerana Presiden Truman bertindak bijak
dengan keputusannya. 'Penghukuman mendera ataupun membunuh
yang dibuat secara berpilih-pilih,' katanya, 'tanpa penentuan
siapakah berdosa dalam melakukannya, tidak boleh diterima dengan
mudah oleh kewarasan Amerika ataupun untuk dijadikan satu
kenangan oleh anak-anak kita dengan bangganya.'
Tidak ada sesiapa yang seharusnya terkejut apabila Mr. Bush -
seorang algojo yang dulunya seorang gabenor haprak Texas -
boleh gagal memahami martabat kenegarawan di Rumah Putih. Apa
yang mengejutkan ialah manusia yang sebulu dengan Blair,
Schroder (Jerman) Chirac (Peranchis) dan segala wartawan TV
sanggup diam membisu setelah mengetahui pembunuhan kejam yang
berlaku di Afghanistan dan kemunculan perundangan ala-Eropah
Timur yang dilakar ekoran episod 11 September.
Memang banyak bayang-bayang yang menghantui kita ekoran
pembunuhan beramai-ramai yang direstui oleh sesuatu negara. Di
Peranchis, seorang jeneral telah dihadapkan ke mahkamah setelah
mengaku melakukan penderaan dan pembunuhan ketika Perang
Algeria 1954-62, kerana dia menganggap perbuatannya itu sebagai
'tindakan yang dilaksanakan dalam menjalankan tugas tanpa
sebarang keseronokan ataupun sesalan'. Dan di Brussels, seorang
hakim akan membuat keputusan apakah Perdana Menteri Israel, Arial
Sharon, boleh didakwa kerana 'penglibatan peribadi' dalam
pembunuhan beramai-ramai pada 1982, di Sabra dan Chatila.
Saya memang faham bahawa Taliban adalah satu kumpulan bajingan
yang zalim. Mereka pernah melakukan dosa besar membunuh orang
di luar Masar-i-Sharif pada akhir 1990-an. Mereka pernah
membunuh wanita di stadium bola sepak di Kabul. Memang kita
harus mengingatnya seperti kita mengingati 11 September sebagai
satu peristiwa jenayah terhadap kemanusiaan.
Akan tetapi, saya mempunyai masalah dengan semua ini. George
Bush pernah berkata bahawa 'anda adalah menyokong kami
ataupun membangkang kami' dalam peperangan menghapuskan
kejahatan. Saya tidak menyebelahi Osama bin Laden. Tetapi saya
juga tidak bersetuju dengan Bush. Saya sentiasa menentang
keganasan, sindiran, dan pembohongan dalam 'peperangan untuk
kemanusian' yang dia telah lancarkan begitu ghairah sekali bagi
pihak kita sehingga mengorbankan nyawa yang sama banyaknya
seperti yang terkorban di Pusat Dagangan Dunia.
Waktu ini, ingatan terimbau mengingatkan ayah saya. Ketika
tercetusnya Perang Dunia Pertama dia sudah mencapai usia yang
membolehkannya untuk turut serta. Dia berjuang dalam medan
Perang di Arras peringkat ketiga. Apabila usia gemilang menghampiri
akhir abad dulu, dia naik marah memikirkan segala pembaziran dan
pembunuhan ketika perang 1014-1918. Apabila dia menghembuskan
nafasnya terakhir pada 1992, saya telah mewarisi satu medal
kenangan yang membuatkan ayah berbangga satu ketika dulu,
kerana itulah bukti yang dia mampu menunggang peperangan yang
akhirnya dia amat benci dan kutuk selalu. Di sebalik medal itu ada
satu catatan yang tepahat: 'Perang Besar Untuk Tamadun Manusia'.
Elok juga kalau saya hantar medal itu kepada George Bush.
Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6445 |