Laman Webantu KM2: 6444 File Size: 13.6 Kb * |
TAG SP 501: Pilger: Kenyataan Yang Mereka Sorokkan [Mesti Baca] By John Pilger 1/12/2001 2:10 am Sat |
http://www.johnpilger.com Kenyataan Yang Mereka Sorokkan
(The Truths They Never Tell Us) Oleh: John Pilger, 26.11.01 Di kalangan masyarakat Barat yang dianggap beradab, para petugas
yang menggugurkan bom tidak perlu menunggu lama untuk pusingan
kedua. Dick Cheyney, Naib Presiden AS, sudahpun mengeluarkan
amaran, minggu lalu bahawa Amerika berkemungkinan mengambil
tindakan terhadap '40 hingga 50 negara'. Somalia yang didakwa
sebagai tempat persembunyian Al-Qaeda, kini disenarai di bahagian
utama dalam senarai-hitam yang memang lama mencatatkan Iraq
sebagai salah satu sasaran serangan Amerika. Sambil diberikan
tepukan galakan kerana kejayaan menggantikan pejuang yang tidak
baik di Afghan dengan pengganas yang diiktiraf baik oleh Amerika,
setiausaha pertahanan AS, Donald Rumsfeld telah meminta Pentagon
untuk 'memikirkan apa yang sukar difikir', ekoran tindakannya
menolak cadangan pasca-Afghanistan sebagai 'tidak cukup
radikal'. Seandainya Amerika menyerang Somalia, kata seorang wartawan
Guardian kepada Jabatan Luar, 'ia merupakan satu peluang untuk
membalas dendam kerana kematian 18 orang askar AS yang
terbunuh di Mogadishu pada 1993....' Dia gagal menyebut betapa
komando AS telah mengorbankan antara 7,000 hingga 10,000 rakyat
Somali, seperti yang dilaporkan oleh CIA. Lapan belas nyawa warga
Amerika dikira berbaloi untuk dilakukan balas-dendam itu; ribuan
rakyat Somali yang terkorban tidak pula dianggap begitu.
Somalia akan menjadi satu balapan untuk melakukan pelbagai
latihan sebelum Amerika melancarkan serangan terakhir untuk
memusnahkan Iraq. Namun, seperti yang dilaporkan oleh Wall Street
Journal, Iraq merupakan satu 'dilema', kerana 'bahan serangan
yang sudah berkurangan.' Kita menghadapi masalah mencari
sasaran untuk dibom, kata seorang pegawai AS sambil merujuk
kepada pengeboman Iraq yang dilakukan setiap hari sehinggakan ia
sudah tidak lagi menjadi bahan berita. Sejak beliau berjaya
menyelamatkan martabatnya ketika Perang Teluk 1991 dulu;
cengkaman kuasa Saddam Hussein ke atas Iraq telah diperkasakan
oleh salah satu sekatan ekonomi yang pernah dirakamkan oleh
sejarah, yang dikawal oleh bekas pembekal kelengkapan perang di
Washington dan London. Kekebalan kubu pertahannnya, menjamin
keselamatan Saddam Hussein. Keadaan ini amat berbeza dengan
rakyat Iraq, yang terus diasak keperitan hidup gara-gara kedegilan
diktator mereka menerima desakan dan tuntutan Amerika yang
sentiasa berubah-ubah. Di negara ini, propaganda songsang memainkan peranan utama
seperti biasa. Oleh kerana sebahagian besar media di wilayah
Anglo-Amerikan adalah dimiliki oleh beberapa pengawal kebenaran
yang diizinkan, nasib rakyat Iraq dan Somalia akan dilaporkan dan
diperdebatkan berasaskan lunas-lunas yang terlebih dulu ditentukan
bahawa kerjaan AS dan British adalah memerangi keganasan.
Seperti serangan yang dibuat terhadap Afghanistan, isu yang
diketengahkan ialah 'apakah cara yang terbaik untuk menangani
masalah masyarakat 'jahiliah'. Kebenaran yang paling terserlah dikira sesuatu yang 'taboo'
(pantang) dan diharamkan. Inilah caranya Amerika terus berkuasa
sebagai sebuah negara pengganas dan syurga dunia kepada para
pengganas, yang mengungguli negara lain. Hakikat betapa AS
merupakan hanya sebuah negara yang dirakamkan sebagai
menerima kutukan Mahkamah Dunia kerana kegiatan keganasannya
di peringkat antarabangsa dan pernah menggunakan undi vetonya
menyanggah resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mahukan
kerajaan menghormati undang-undang sejagat, tidak pernah disebut.
Baru-baru ini, Dennis Halliday, bekas timbalan setiausaha agong
PBB yang meletakkan jawatannya kerana enggan menguruskan
hal-ehwal pentadbiran yang dianggapnya sebagai satu 'dasar
penghapusan bangsa' terhadap Iraq, telah menaikan kemarahan
Michael Buerk daripada BBC. 'Sudah tentu anda tidak boleh
membandingkan Saddam Hussein sama tarafnya dengan (bekas
presiden) George Bush Senior'" kata Buerk. Ketika itu Halliday
sedang mengambil peranan dalam salah satu program pilihan yang
dipengerusikan oleh Buerk, yang menyentuh kisah pembunuhan
beramai-ramai rakyat Iraq, terutama sekali orang awam, yang
dilakukan oleh Amerka ketika Perang Teluk dulu. Dia menceritakan
bagaimana ramai yang mati tertimbus hidup-hidup, dan bagaimana
'depleted uranium' telah digunakan secara meluas, yang sudah
pasti menyebabkan merebaknya penyakit barah di selatan Iraq.
Sejarah terbaru jenayah barat yang sebenarnya itu, membuatkan
Saddam Hussein kelihatan sebagai seorang amatur sahaja, seperti
yang dikatakan oleh Halliday. Tetapi, kenyataan Haliday itu tidak
pernah dicatat untuk siaran di mana-mana. Oleh kerana tidak ada
sebarang penafian kebenaran itu, mereka yang menyebutnya
dituduh sebagai 'anti-Amerika'. Richard Falk, seorang professor politik antarabangsa di Princeton,
pernah memberikan penjelasannya akan perkara ini. Dasar luar
negara Barat, katanya, disemai melalui media melalui satu rencana
penyebaran berita positif yang bersifat satu hala di mana segala imej
nilai hidup positif barat yang kelihatan suci murni itu digambarkan
sedang terancam, sekaligus merestukan sebarang kempen
keganasan politik yang tidak ada tepiannya.
Menjulangnya Rumsfeld dan timbalan beliau, Paul Wolfowitz, dan
sekutuan mereka seperti Richard Perle dan Elliot Adams, membawa
erti betapa sebahagian besar dunia ini sedang diancam secara
terbuka oleh 'geopolitical fascim' (konsep sikap fasis serantau)
yang telah dicanai sejak 1945 dan dipacu ligat sejak 11 September.
Kumpulan samseng yang ada di Washington sekarang ini adalah
merupakan kumpulan fundamental Amerika yang tulen. Mereka ini
adalah suku-sakat John Foster Dulles dan Allan Dulles, pasangan
'Baptist fanatic' sewaktu 1950-an dulu, mencengkam kuasa di
Jabatan Negara dan CIA. JF Dulles menguasai jabatan Negara dan
Allan Dulles pula menguasai CIA, dan mereka telah campurtangan
dalam pertadbiaran luar negara - Iran, Iraq, Guatemala -
memperlekehkan banyak perjanjian antarabangsa, seperti Perjanjian
Geneva 1954 yang khusus kepada Indochina, Tindakan Foster
Dulles mensabotaj perjanjian yang khusus itu, menyebabkan
tercetusnya Perang Vietnam yang mengorbankan lima JUTA nyawa.
Maklumat negara daripada fail yang sudah didedahkan rahsianya,
menunjukkan betapa AS hampir menggunakan senjata nuklear
sebanyak dua kali. Kesamaan ugutan itu jelas terbayang ketika Cheyney membuat
ugutan terhadap '40 hingga 50 negara', dan mengenai peperangan
'yang tidak akan tamat sepanjang hayat kita.' Istilahkata segala
alasan kepada gerakan ketenteraan ini telah lama disediakan
maklumatnya di dua seberang Lautan Atlantik oleh satu 'kilang
cerdik-pandai' yang telah menyauk keinsanan daripada kajian
mereka terhadap pelbagai negara dan membekukan semua kajian itu
untuk dicetuskan satu cogankata yang digunakan sebagai lambang
tindakan kuasa yang dominan. Negara yang miskin diistilahkan
sebagai 'negara yang gagal'; sesiapa yang menyanggah Amerika
diberi label 'negara pengganas'; sebarang serangan oleh Barat
diiktiraf sebagai 'campurtangan berperikemanusian'. (Salah seorang
juruterbang yang melakukan pengeboman dulu dengan ligatnya ialah
Michael Ignatieff, kini bertugaas sebagai 'professor hak asasi
manusia' di Harvard). Seperti yang pernah berlaku di zaman Dulles
dulu, peranan PBB sudah menggelonsor kepada satu watak tukang
sapu segala serpihan bom dan terus menjalankan tugas sebagai
pelindung kawasan jajahan. Serangan udara ke atas Menara Kembar di New York memberikan
peluang kepada Bush dan Rumah Putih dengan satu alat pemacu
yang muncul secara kebetulan yang menakjubkan. Bekas menteri
luar Pakistan, Niaz Naik telah mendedahkan kisah dia diberitahu
oleh seorang pegawai tinggi AS pada pertengahan Julai, betapa
tindakan ketenteraan terhadap Afghanistan berkemungkinan
dimulakan pada pertengahan Oktober. Ketika itu, setiausaha negara
AS, Collin Powell, sedang berada di Asia Tengah, meraih sokongan
untuk menubuhkan satu pasukan melancarkan perang
anti-Afghanistan. Masalah sebenar Washington dengan Taliban, tidak ada kena
mengena dengan hak asasi manusia, kerana semua itu tidak relevan.
Regim Taliban tidak mempunyai kuasa yang menyeluruhi
Afghanistan. Ini adalah hakikatnya yang melunturkan semangat para
pelabur untuk membiayai saluran paip minyak dan gas daripada
Lautan Caspian. Sedangkan semua itu mempunyai kedudukan yang
strategi berbanding Russia dan China dan sumber asli yang belum
digerudi itu adalah merupakan bahan kepentingan yang diminati oleh
Amerika. Pada 1998, Dick Cheyney telah memberitahu para eksekutif industi
minyak, 'Saya tidak dapat fikirkan satu situasi di mana sebuah
wilayah tiba-tiba menonjol menjadi begitu penting sebagai bahan
strategi seperti Caspian.' Sememangnya, ketika Taliban merangkul kuasa pada 1996, bukan
sahaja puak ini dialu-alukan oleh Washington, dan pemimpin mereka
diterbangkan ke Texas, yang ketika itu mempunyai seorang gabenor
bernama George W Bush, dan mereka telah diberikan layanan oleh
pegawai syarikat minyak Unocal. Puak Taliban telah dijanjikan
sebahagian keuntungan projek itu 15 peratus khabarnya. Seorang
pegawai tinggi AS berpendapat, apabila minyak dan gas Caspian
sudah mula mengalir, 'Afghanistan akan menjadi sebuah negara
baru ala-Arab Saudi', sebuah tanah jajahan minyak yang tidak ada
demokrasi dan di mana kaum wanita mudah didera. 'Kami tidak kisah
itu semua', katanya. Perundingan itu gagal dimeterai apabila dua
buah kedutaan Amerika di Afrika Timur telah dimusnahkan dan
kumpulan Al-Qaeda dituduh sebagai kumpulan yang melakukannya.
Dengan pantas, Taliban sudah menonjol naik di bahagian teratas
senarai momok dunia keganasan, sedangkan masih banyak
pengecualian sengaja dilaksanakan. Sebagai contohnya ialah regim
Vladimir Putin di Moscow, pembunuh kejam yang mengorbankan
20,000 rakyat Checnya telah sengaja dikecualikan. Minggu lalu,
Putin telah diberikan layanan oleh 'sahabat terbaru'nya, George W
Bush di ladang (ranch) di Texas. Bush dan Blair merupakan insan yang dikecualikan sehingga kiamat
- walaupun lebih ramai kanak-kanak Iraq yang mati setiap bulan,
kebanyakannya disebabkan sekatan ekonomi (embargo)
Anglo-Amerika. Apabila dibuat perbandingan dengan kematian yang
berlaku di menara kembar yang menyembah bumi itu, terserlah satu
kebenaran yang tidak boleh disiarkan untuk menyuntik pemikiran
dunia. Pembunuhan kanak-kanak Iraq, seperti juga pembunuhan
beramai-ramai di Chechnhya, dan juga pembunuhan rakyat awam
Afghan, diperlekehkan jauh lebih hina berbanding pembunuhan di
Amerika. Pengalaman peribadi mengenai semua pengeboman dahsyat ini,
membuatkan saya terpinga-pinga melihatkan mereka yang
menggelar diri sebagai 'liberal' dan 'progresif' yang dengan
sengaja bersedia membiarkan sahaja segala keperitan hidup mereka
yang tidak berdosa di Afghanistan. Apakah anggapan para pengulas
yang mementingkan diri ini, yang tidak menyaksikan setiap
pergolakan dunia luar, terhadap keluarga para pelarian yang mati
dibom disebuah pekan bernama Gardez, beberapa hari selepas
pekan itu sudahpun jatuh ke tangan pasukan anti-Taliban?
Apakah yang mereka katakan kepada ibu bapa kanak-kanak yang
mati bergelimpangan di jalanraya Kunduz pada hari Ahad yang lalu?
'Empat puluh orang terkorban,' kata Zumery, seorang pelarian.
'ada yang mati melecur kerana bom yang meledak, ada yang
ditimpa tembok dan bumbung rumah yang runtuh, disebabkan
kuatnya gegaran.' Apakah yang dicakapkan oleh Polly Toynbee
daripada Guardian kapadanya: 'Apakah anda tidak dapat melihat
betapa berkesannya pengeboman itu?' Apakah wanita itu akan
menuduh si Afghan tadi sebagai anti-Amerika? Apa pula yang
dicakapkan oleh 'humanitarian interventionists' (jururunding
keinsanan?) kepada manusia yang akan mati ataupun bakal
dimangsakan oleh 700,000 (tujuh ratus ribu) butir bom berangkai
yang gugur di bumi tetapi belum meledak lagi?
Selama beberapa minggu, 'the Observer' sebuah akhbar liberal,
telah menerbitkan laporan yang tidak disahkan yang melibatkan Iraq
kepada persistiwa 11 September dan kisah anthrax yang
menakutkan. 'Sumber Whitehall' dan 'sumber risikan' merupakan
tukang canang cerita pembohongan seperti ini. 'Bukti yang sungguh
banyak...' kata salah satu pemberitaan itu. Nilai segala bahan bukti
itu sebenarnya kosong belaka, kerana semua itu adalah bahan tipu
muslihat manusia seperti Wolfowitz dan Perle dan mungkin juga Blair,
yang memang dijangka akan akur dengan serangan itu.
Dalam penulisannya; 'The Banality of Evil' (Kedurjanaan Kejahatan)
seorang aktivis pembangkang ulung Amerika, Edward Herman, telah
menceritakan kisah pembahagian tugas di kalangan mereka yang
mencipta dan mengeluarkan senjata seperti bom berangkai dan
'daisy cutters' (bom punah-ranah napalm), dan mereka yang
membuat keputusan politik untuk mengguna segala senjata itu
dengan mereka yang bertugas menyediakan propaganda penuh ilusi
untuk mengesahkan penggunaannya. 'Inilah tugas persekongkolan
para pakar, dan media perdana,' katanya, 'untuk menyogok minda
orang awam menerima perkara yang tidak masuk akal itu menjadi
sesuatu yang lumrah dan biasa.' Sudah tiba masanya, para wartawan merenungkan perkara ini, dan
menilai risiko mendedahkan kebenaran tentang ancaman yang tidak
disedari bahawa segala bahaya yang mengancam itu tidak datang
daripada tempat yang jauh jaraknya, kerana semua sudah berada di
depan mata. Terjemahan: SPAR - 29.11.01 Asal: KM2 6424 |