Laman Webantu KM2: 6443 File Size: 9.1 Kb * |
TAG SP 500: IUK: Fisk - Perang Afghan yang Baru Bermula By Robert Fisk 1/12/2001 2:02 am Sat |
Perang Afghan yang Baru Bermula
(Afghan war has only just begun) Oleh: Robert Fisk Satu ketika dulu, pada 1998, angkatan tentera Iran telah berkumpul
di bahagian barat sempadan Afghanistan. Mereka mahu melancarkan
serang-balas kerana perbuatan Taliban membunuh para diplomat
mereka -- dan rakan Afghan mereka -- di Mazar-e-Sharif. Ketika
itu mereka menerima satu pesanan bertulis daripada pemimpin
Taliban di Kandahar. 'Anda aturlah jadual penaklukan,' demikian ayat yang ditulis oleh
pengikut Mullar Omar. 'Kami akan aturkan pula tarikh pemergian
anda.' Pasukan Iran itu telah bertindak bijak dengan berlembut dan
tidak menggunakan senjata mereka. Sudah tentu mereka menerima
tentangan sengit daripada Taliban - mengikut cara orang Afghan
membalasnya. Amerika Syarikat dan Britain - ataupun 'Pasukan
Bersekutu' seperti yang kita amat liat mahu menyebutnya -- kini
sedang dihantui balasan yang serupa. Pasukan Pakatan Utara
melihatkan saja pengebom Amerika meneroka jalan selamat untuk
mereka memasuki Kabul, denggan penuh terima kasihnya. Setelah
berada di Kabul mereka meminta pasukan Britain untuk keluar dari
situ. Bayangkan betapa Jack Straw bersusah payah menghubungi
menteri luar Afghan itu untuk menenangkan keadaan. Tetapi telefon
selular menteri itu tidakpun dipasangnya. Anda boleh bertaruh
betapa telefon itu dimatikannya.
Tersingkaplah satu misteri kenapakah kita amat mengharapkan
manusia seperti itu dapat mengikut arahan kita. Perundangan Afghan
tidak wujud seperti itu. Kumpulan etnik dan suku kaum Afghan tidak
akan akur kepada arahan orang asing. Mereka biasa dengan
perundingan (deal). Barat merancang mahukan askar Pakatan Utara
menjadi askar kerahan mereka di Afghanistan. Pakatan Utara
mahukan pengebom Amerika membantu mereka menguasai semula
ibunegara Afghanistan. Demikianlah jelasnya perkara itu kepada
kumpulan Tajik, Uzbek dan Hazara. Mereka punahkan Taliban dan
ambil-alih Afghanistan, ataupun sebanyak wilayah yang boleh
mereka sauk secara spontan. Kalaupun mereka tergatal tangan
membalas dendam di sana-sini -- melibatkan sekitar 500 hingga
600 nyawa Taliban yang terkorban dalam pembunuhan
beramai-ramai di Mazar, dan mencetuskan satu penghapusan hak
asasi manusia di Kunduz - apakah itu sesuatu yang mengejutkan?
Malahan kini, apabila berdepan dengan buah beracun
persekongkolan kita dengan Pakatan Utara, kita sudah gelabah mahu
mengulang semula lakonan lama yang kita lakukan di Bosnia;
meminta semua pihak mengawal keadaan jangan bertindak
berlebihan, sedangkan seluruh dunia kita ajar untuk mengingati
betapa orang Afghan adalah satu bangsa yang suka berperang,
zalim, dan garang. Ketika askar Pakatan Utara sedang bersiap sedia untuk menyerang
Kandahar, Blair telah bersuara lagi dengan perkataan 'sabar' dulu.
Sebaliknya masyarakat media di Barat sudahpun bersedia
memberitahu para pembaca dan para penonton mereka betapa
mereka boleh menjangkakan satu peristiwa penghapusan
beramai-ramai yang akan dilakukan oleh askar kerahan itu. Seorang
wartawan Ireland telah menghubungi saya melalui telefon minggu
lalu dengan satu aduan yang biasa. Kenapakah saya beraksi lebih
tersinggung perasaan mengenai penyembelihan kecil di Mazar?
Bukankah orang Afghan memang biasa dengan tradisi pekat mereka
dalam peperangan? Bukankah satu keterlaluan kalau kita menyuruh
orang Afghan berkelakuan dalam cara hidup yang bertamaddun?
Saya cuba mengingatkan penemubual itu betapa tamadun
Afghanistan adalah satu tamadun yang lebih awal usianya
berbanding tamadun Ireland. Malahan kebanyakan tamadun Barat
-- dan segala peluru berpandu, keretakebal, kelengkapan meriam
dan pelancar roket grenad yang digunakan oleh wira Afghan untuk
memusnahkan sesama sendiri telah diberikan oleh kuasa luar yang
berbangga sebagai bangsa yang bertamadun. Kehaprakan begini
pernah saya dengar daripada menteri luar Britain, Malcolm Rifkind,
yang menyebut 'peperangan mengikut tradisi lama' ketika dia cuba
mengelat daripada tanggungjawabnya di Bosnia.
Soalnya sekarang ialah kita tidak boleh mengisytiharkan satu bala
tentera orang lain sebagai pasukan tentera kita dan kemudian
menafikan tanggungjawab kita terhadap gelagat mereka. Kita tidak
memberikan restu seperti itu kepada Jerman selepas Perang Dunia
Kedua. Lantas, apabila Pakatan Utara naik minyak membunuh secara
gila sakan, adalah tanggungjawab kita memikul beban dosa
pertumpahan darah dan nyawa yang terkorban.
Cuba amati kisah di Kunduz. Lebih 50 pesawat pengebom Amerika
telah digembleng untuk menghunjam bom punah-ranah ke atas
Taliban di satu kawasan dalam satu kempen yang direncana begitu
teliti untuk mematahkan moral mereka yang bertahan dan memberi
ruang kepada askar Pakatan Utara merampas kuasa.
Pihak Pakatan Utara telah memberi katadua kepada Taliban. Kesan
kedegilan mengengkari katadua memang amat jelas bahananya.
Mereka akan dibunuh dengan kejamnya, dan saya mengharapkan
ini satu berita palsu semata-mata. Inilah yang menakutkan saya.
Tetapi apakah kita akan berpeluk tubuh kalau perkara ini terjadi?
Apakah kita akan membuat pengakuan betapa kita membantu
Pakatan Utara untuk mencengkam kuasa sambil tidak pedulikan
kesan yang terjadi selepas itu. Bukankah itu mempunyai satu
persamaan walaupun secebis coraknya dengan kelakuan Osama Bin
Laden? Seandainya dia menjadi satu lambang inspirasi para
pembunuh kejam melakukan jenayah pada Sept. 11 dulu, sudah
tentu dia menyumbang kepada kematian 5,000 manusia. Tetapi kita
yang memberi laluan mudah kepada pembunuh Pakatan Utara itu,
seolah-olah kita terlepas dosa daripada jenayah yang sama.
Sementara itu di pinggir Kabul, proses anarki yang biasa kepada
askar Pakatan Utara sudahpun terjalin. Para panglima perang di
Jalalabad sedang bertelingkah untuk menentukan ketuanan
beberapa bahagian wilayah Nangahar. Para pemimpin puak Pashtun
di Kandahar sudahpun mengancam mahu memerangi Pakatan Utara.
Sukukaum Hazara yang mengangotai Pakatan Utara sudahpun
mengancam rakan juang mereka daripada kaum Tajik dan Uzbek,
seandainya mereka tidak mendapat bahagian kuasa yang berpadan
di Kabul. Dalam keributan semua ini, tiba-tiba muncul kaldai tua PBB, yang
diheret memasuki lubang untuk melaksanakan satu tugas yang paling
sukar yang pernah dihadapi oleh setiap negarawan dalam sejarah
tamadun moden dunia. Tugas itu ialah membawa keamanan di
Afghanistan. Apakah Pakatan Utara bersedia memberi ruang dan
saham berpadan kepada puak Pashtun untuk mentadbir kerajaan?
Mampukah kita mendapatkan khidmat beberapa kerat Taliban yang
sederhana fahamannya, dan tidak berjanggut dan jambang yang
panjang -- menganggotai pentadbiran pelbagai kaum itu? Saya
boleh bayangkan reaksi para perwakilan yang bersidang apabila
mereka memahami konsep 'pelbagai kaum'.
Kalau adapun konsep pentadbiran yang berunsur 'kepelbagaian
kaum' yang difahami oleh orang Afghan ialah yang ada
sangkut-paut dengan genjatan senjata. Itupun orang Afghan sahaja
yang dapat memahaminya. Unsur kecelakaan yang melibatkan
tawaran genjatan senjata di Kunduz hanya mempunyai kaitan dengan
orang Pashtun - bukan kepada orang asing (pejuang Arab) - yang
terperangkap di kawasan itu. Mereka, dijangka akan dimusnahkan
ataupun -- mengikut kata-kata yang menakutkan daripada seorang
wartawan BBC yang bersama Pakatan Utara kelmarin - inilah puak
yang 'tidak akan diberi peluang untuk bernafas'.
Pengalaman saya dengan pasukan tentera yang tidak mahu memberi
peluang kepada musuhnya yang menyerah diri, menunjukkan
pasukan seperti itu sudah nekad mahu melakukan jenayah perang
-- seperti yang sudahpun terjadi di Mazar --- dan inilah yang
akan menjadikan semangat juang mereka yang terlepas dari
malapetaka itu lebih kental lagi untuk meneruskan perjuangan
mereka. Kerana itu adalah satu kemestian mengingati segala etika
tatasusila hidup apabila kita melancarkan perang. Bukankah kita
mesti mengingati betapa inilah peperangan 'untuk tamadun
manusia.' Inilah yang dikatakan peperangan untuk menegakkan
'demokrasi'. Inilah dia peperangan antara yang 'baik menentang
yang jahat'. Inilah dia peperangan di mana mesti ada satu pilihan
sama ada 'anda memihak kepada kami ataupun memusuhi kami.'
Oleh itu, seandainya anda melihat gambar pembunuhan kejam
beramai-ramai, cuba ingatkan diri kita dengan soalan, di pihak
manakah kita. Apakah kita memihak kumpulan yang menjadi mangsa
ataupun yang membunuh mereka? Kalaulah pihak yang baik itu
secara kebetulan terjadi di pihak yang membunuh, apakah yang
akan jadi kepada kita? Kita terlalu kerap mendengar kejayaan besar
Pakatan Utara dalam peperangan itu. Sedangkan peperangan itu
baru saja bermula. Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6390
Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=105560
|