Laman Webantu KM2: 6403 File Size: 10.8 Kb * |
TSG: 10A - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 24/11/2001 8:24 am Sat |
Selepas si bedebah itu menghilangkan diri menaiki basikal
hitamnya bersama barang kemas kepunyaanku, Mayadin cuba
menakutkan kami. Kami tidak dapat keluar rumah untuk sementara.
Dia telah manggaji beberapa orang 'thakur' (kaki gedebe) dari
kampung berhampiran untuk menakutkan kami dan mereka
menunggu di atas satu khat yang diletakkan di hadapan rumah
kami. Ibu memang curigakan keselamatan kami selagi mereka ada
di sana. Ibu tidak membenarkan kami, anak perempuannya keluar
membuang air besar di kawasan ladang, dan terpaksalah kami
menggunakan satu pasu besar untuk tujuan itu. Tukang pukul itu
memang besar badan mereka, sengaja duduk bersembang
sepanjang hari di atas khat, minum dan makanpun di situ dan
memerhatikan bila kami akan keluar rumah untuk membuang apa
yang tersimpan dalam pasu. Setiap kali mereka perhatikan kami
mereka akan cuba menakut-nakutkan. Akhirnya ibu menghantar
aku duduk di rumah makcik untuk sementara, dan selepas itu
bersama nenek pula. Nenek adalah emak kepada ibuku dan aku memang sungguh
sayangkannya. Kasih sayang nenek dan baik hatinya membantu
aku mempunyai perasaan untuk bermain semula dengan sepupuku
dan dapatlah aku memendam segala azab dan sengsara yang aku
lalui ketika berusia sebelas tahun itu. Aku pelajari untuk tidak
takutkan kegelapan lagi, walaupun ada ketikanya muncul juga
igauan itu, sekali sekala..... aku bermimpi ditimbus hidup-hidup
sehingga tidak nampak cahaya, ataupun aku berada di dalam
telaga, menjerit untuk seseorang datang menyelamatkan. Pada
ketika itu aku dapat rasakan tangan nenek mengurut bahuku, dan
ketika membuka mata, aku dapat melihat badannya yang sudah tua
berada di atas khat di sisiku, dan keadaan tenang kembali semula.
Ketika aku masih kecil, ibu kerap juga membawa aku tinggal
bersama nenek pada musim hujan membanjiri kampung kami.
Nenek mempunyai wajah yang lebar tetapi peramah. Satu ketika
dulu di waktu muda badannya memang gagah perkasa, dengan
lengan yang bertenaga, tetapi usia sudah merubah rupanya,
walaupun aku sendiri tidak dapat mengagak berapa umurnya.
Tidak ada sesiapa yang tahu usia kaum wanita di kampung kami.
Tidak ada satu petanda mengukur masa selain dari kerut yang
bertanda di muka mereka. Gigi mereka bertukar kekuningan, kulit
badan menjadi kekeringan laksana sebatang pokok bakau.
Kemudian badan mereka mula membongkok dan membulat -
ataupun badan mereka bertukar untuk membesar, seperti aku....
Ketika bermain di rumah nenek, salah seorang sepupu aku telah
mencubit sehingga membuatkan aku merasa sakit. Ketika aku
meraba tempat yang sakit itu untuk mengurangkan kesakitannya,
aku dapat merasakan ada sesuatu yang tumbuh di dada. Aku
berlari mendapatkan nenek bertanyakan apakah ada sesuatu yang
tidak normal ataupun aku jatuh sakit lagi. Apabila aku tunjukkan
tempat yang membengkak itu nenek mula ketawakan aku. 'Kamu
tidak perlu risaukan apa-apa, itukan payu dara mu mula menjelma!
Setiap wanita akan mempunyai buah dada! Nenek memberi ingatan
supaya tidak lagi membiarkan orang melihat badan tanpa berbaju,
dan kalau nenek nampak aku bermain dengan budak lelaki yang
lebih tua, dia akan tampar aku sebagai denda. Namun, nenek
selalu baik hati terhadap aku. Dia memberitahu banyak cerita, dan
memeluk aku dengan erat setiap kali aku kesejukan di siang hari.
Akhirnya aku pulang juga ke kampung dan, mengingati arahan ibu
agar menjauhi masalah, aku penuhi masa dengan membuat kerja;
mengangkut air, menjaga ternakan, mengutip bahan makanan
ternakan dan melumatkannya, dan mandi-manda di sungai
Yamuna bersama Choti dan kawan-kawanku.
Satu musim monsun berlalu, menjadikan kampungku berlumpur
kerana paras air sungai yang naik meninggi. Kemudian keadaan
yang sama berulang lagi, dan aku sudahpun mencapai usia tiga
belas tahun apabila terdengar desas-desus bahawa Putti Lal
sudahpun mendapat seorang wanita sebagai teman hidupnya.
Mendengarkan berita ini, ibu membuat keputusan untuk
mencarikan seorang lelaki sebagai suamiku yang baru. Ketika dia
berbuat demikian, Mayadin mula membuat kacau, menunggu ibu
ketika dia pergi ke telaga dan memberitahu di hadapan semua
wanita di kampung itu betapa anak perempuannya memalukan
keluarganya. Dia mengatakan seorang gadis yang baik-baik mesti
hidup di sisi suaminya. Mayadin membantah kepada ayah bahawa
mengahwinkan aku kepada lelaki lain akan mencemar nama
baiknya. Apabila perkara berkaitan tanah pusaka, kami bukannya
sebahagian keluarganya, tetapi apabila muncul kisah seorang
wanita yang ketiadaan suaminya, dia menganggap aku sebagai
sebahagian anggota keluarganya. Inilah dia, kaum lelaki membuat
keputusan segalanya dan kaum wanita boleh meratap sebanyak
yang mereka suka, segala ketakutan dan harapan mereka akan
disapu sahaja laksana tembok yang hancur dibaham hujan yang
melanda. Aku sudah semakin membesar, ketinggianku mungkin naik satu inci
lagi, dan dadaku sudah kelihatan semakin berisi, lebih membulat
lagi. Tetapi aku tidakpun merasakan semacam seorang wanita. Aku
belum bersedia menghadapi Putti Lal dan ularnya semula. Aku
kerap perhatikan wanita yang sudah berumah tangga di kampung
itu yang menggunakan sari untuk menutupi bahagian kepala
mereka. Ramai antara mereka yang bersikap diam-diam sahaja
menunggu harinya mereka akan hidup bersama suami
masing-masing, tanpa mengetahui apa yang akan mereka hadapi.
Ada yang mengendong anak-anak yang berbogel kerana bangga
akan anak lelaki mereka, tetapi sudah mula menjerit kepada anak
mereka yang perempuan. Kita boleh membaca destini berbeza
antara anak-anak lelaki dengan yang perempuan di kampung itu,
yang amat menyerlah di hadapan mata. Kelakuan budak lelaki
sudah menunjukkan keangkuhannya dan berlagak serbamahu,
sedangkan yang perempuan kelihatan takut-takut dan semacam
tidak mempercayai sesuatu. Kalau adapun seorang lelaki yang selalu baik hatinya terhadap
aku ialah ayah sendiri. Dia memang sentiasa baik hati kepada kami
semua. Selalunya ayah akan mencari kutu di kepalaku ketika aku
terlena dengan kepalaku dipangku oleh ribanya. Begitu juga
dengan Choti, dan dua adikku yang lain: Shiv Narayan yang
sudahpun mula bersekolah di kampung, dan adik Bhuri, yang
masih kecil lagi untuk membantu membuat sesuatu. Kalaulah ayah
tidak terpaksa bekerja kuat setiap masa, aku fikir; kalaulah dia
mempunyai beberapa bidang tanah untuk menyara kami, sudah
tentu kami mampu hidup dengan penuh senang lenang.
Ayah kerap berdoa agar mahkamah memberikan penghakiman
yang adil kepada kami. Pada tahun itu, aku menemaninya pergi ke
Orai, mengharapkan mahkamah menyebelahinya. Ketika kecil
dulu, aku pernah memikirkan ada dewa yang tinggal di mahkamah
itu dan dia akan memutuskan masa untuk menyerahkan tanah kami
itu. Aku fikirkan mahkamah adalah satu tempat yang suci seperti
sebuah kuil, senyap dan tanpa berpenghuni. Aku memang ghairah
mahu bercakap kepada dewa yang mengawasi tempat itu, sambil
menaruhkan harapan kepadanya seperti yang dilakukan oleh
ayah. Tetapi selepas berjalan seharian untuk ke situ bersama
ayah, aku nampak satu bangunan batu berwarna kuning yang
dipenuhi manusia di situ yang berdebat. Ayah memberi satu cekak
rupee kepada seorang peguam dan kami terpaksa menunggu
beberapa jam lamanya untuk seorang peguam muncul memakai
pakaian orang bandar - kemeja putih dan seluar berwarna hitam -
dan mengepit satu beg kulit untuk bercakap bagi pihak kami
kepada peguam yang pertama itu. Kemudian kami pulang dengan
tangan kosong. Baru aku sedar tidak ada dewata di mahkamah di Orai. Cuma
manusia lelaki yang mengukur kepentingan mereka dengan rupee
sahaja. Mereka lebih dahsyat daripada pancayat di kampung.
Selepas itu barulah aku tahu kenapa ayah selalu pulang daripada
mahkamah lebih papa daripada sebelumnya, tanpa sebidang tanah
untuk menanam kacang dal. Namun, aku masih menaruh harapan, 'Ayah mesti menang dalam
kes terhadap Mayadin,' kataku pada ayah sekembali kami
daripada mahkamah. 'Ayah telah biarkan dia menyumpah-seranah!
Ayah relakan dia memukul isteri ayah dan juga anak perempuan ayah!'
Dia merenung mukaku kehairanan. 'tengok sini Moola,' kata
ayah, 'ayah dapat rasakan semacam ibu ayah sudah muncul
untuk melawan bagi pihak ayah!' Kemudian senyumannya itu menghilang. Ayah memang begitu
lemah lembut, amat berbeza dengan lelaki lain seperti Putti Lal. Dia
merupakan lelaki biasa yang hanya berani mengadu betapa tanah
haknya telah dicuri oleh Bihari dan Mayadin, tetapi dia terlalu
takut untuk menyanggah mereka. Dia memberitahu betapa dia
perlukan lebih banyak rupee lagi untuk menang kes di mahkamah
itu dan ibu tidak mahu meminta bantuan keluarganya lagi. Ayah
berusaha bekerja kuat, tetapi kami masih tidak mampu menyimpan
barang makanan secukupnya. Ada seorang gadis di kampungku
yang telah membantu ayahnya memenangi satu kes mahkamah
dengan bantuan wang daripada mertuanya, kata ayah kepadaku.
Kerana itu Mayadin amat curiga kalau-kalau aku akan berbuat
semacam itu. Itu sebabnya dia mahukan aku pulang kepada Putti
Lal. Itu juga sebabnya dia mengacau ibu selepas mengetahui ibu
mahu mencarikan jodohku dengan lelaki lain.
Mayadin memang tidak merasa senang mengetahui aku telah
menemani ayah pergi ke mahkamah. Dia telah mengingatkan Putti
Lal bahawa aku beransur membesar dan berusia empat belas
tahun, bolehlah dia datang semula untuk membawa balik isterinya.
Aku hanya mahu terus tinggal bersama keluargaku. Tetapi tidak
ada sesiapa yang mahu mendengar harapan seorang perempuan,
ataupun harapan keluarganya kerana mereka adalah keluarga
miskin dan datang dari kasta bawahan.
Suasana di kampung itu sudah berubah. Aku dapat mendengar
berita angin setiap kali aku berjalan di situ. 'Alangkah aib
suaminya tinggalkan dia begitu saja,' kata seseorang. Adat resam
masih menjadi ikutan. Tidak ada jalan lain. Nenek pernah
memberitahu seseorang gadis perlu dikahwinkan dan duduk
menetap bersama mertuanya sebelum dia 'datang kotor' buat kali
pertama, supaya tidak ada sebarang kesangsian akan
kesuciannya. Aku belum mengalami perkara itu lagi, jadi di mata
mereka aku masih suci lagi. |