Laman Webantu KM2: 6395 File Size: 17.7 Kb * |
TSG: 9 - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 22/11/2001 2:18 pm Thu |
Tidak ada sesiapa di rumah ketika mereka datang mencari aku.
Aku sedang menyorok di belakang tempayan air di halaman
rumah, menunggu dengan penuh ketakutan kemunculan tapak kaki
Putti Lal. Aku sudah berminggu di rumah itu didera dan dizalimi
olehnya tanpa sesiapa yang datang membantu. Mereka menunggu
hingga semuanya sudah senyap sebelum melompat tembok rumah:
merekalah paman di sebelah ibu, Tara Chand dan anak lelakinya,
Kallu. Aku menjerit keriangan kerana merasa lega! Syukur kepada Dewi
(Durga), ibu telah menghantar orang untuk menyelamatkan aku.!
'Ssssh!' bisik paman. 'Ibumu dan makcik membuat keputusan
bahawa kamu tidak boleh tinggal di sini. Kami datang untuk
membawa kamu pulang ke rumah kami. Mereka menyuruh aku mengambil pakaian dan emas perhiasan,
dan mereka membantu aku melompat tembuk di belakang rumah di
satu tempat yang sudah rekah. Tidak ada siapa yang mendengar
kami dan kami bergegas melintasi jalan untuk memasukki bahagian
ladang dan tidak lama kemudian kami sudah berada jauh di hujung
kampung. Aku berlari anak, melompat dan menjerit kerana
keriangan. Mereka berdua tidak mampu menyaingi kelajuan
langkahku, tetapi kerana takutkan Putti Lal akan menghambat kami,
aku enggan memperlahankan langkahku itu.
'Jangan takut,' kata sepupuku Kallu. 'Kalau dia mengejar kita aku
akan belasah dia!'. Sepupuku memang lebih tua dari Putti Lal.
Badannya besar dan membuatkan aku merasa lega.
Kami tidak gunakan jalan besar, tetapi merentas kawasan ladang
sepanjang perjalanan untuk tiba di Sikandara, pekan di mana aku
dibawa ayah untuk berjumpa doktor. Hari sudah beransur gelap
dan paman berunding dengan seorang pemandu lori untuk
membawa kami ke Kalpi. Dari sana kami boleh berjalan kaki
menuju kampung paman. Selalunya pemandu lori tidak dibenarkan
membawa penumpang perempuan, tetapi apabila melihat saya, dia
mengalah. 'dia muda lagi, kalau polis bertanya', katanya, 'aku
akan beritahu dia adalah anak perempuan aku.' Lorinya bergegar
dan tidak memberikan keselesaan, bunyi enjinnya pula
membingitkan telinga tetapi semua itu tidak aku hiraukan. Aku
terbayangkan wajah Putti Lal apabila mendapati aku sudah tidak
ada di situ! Sebaik tiba di rumah paman, aku meloncat memeluk makcik. Titisan
airmata berjuraian sebagai tanda kelegaan diriku.
'Mausi, apakah makcik tahu apa yang dibuatnya kepada saya?'
Dia mengangkat jarinya untuk memekap bibirku. 'Makcik tahu,
Phooolan. Makchik tahu.' Makcik Khiniya, memang seakan-akan adiknya, cuma dia sedikit
gempal dan selesa hidupnya, sedangkan ibu kurus sedikit dan
sentiasa memeningkan kita. Makcik memang jauh lebih tua dari ibu
dan rambutnya sudah mula beruban, tetapi setiap kali kami berada
di rumahnya dia kerap menyambut kami dengan senyuman dan
sentiasa menyediakan juadah yang enak-enak untuk dimakan.
Tidak ada satu batang rotan untuk mendisiplin kami seperti yang
dilakukan oleh ibu. Suaminya berusia sama dengan usia ayah,
tetapi dia lebih ceria, walaupun dia kini berkerut muka memikirkan
masalah aku. 'Sepatutnya ayah kamu tidak merelakan kamu pergi. Kalaulah
kamu anak perempuan Paman,' katanya, 'aku tidak kahwinkan
kamu kepada lelaki itu.' Aku merasa selamat berada bersama mereka dan apabila
ketakutan itu menghilang, selera aku kembali semula. Aku
diberikan susu suam untuk diminum dan beberapa keping chapati
untuk dimakan. Rumah kediaman mereka adalah seakan rumah
kami besarnya, ada dua kamar di bahagain halaman untuk mereka,
untuk lima anak lelaki dan tiga anak perempuan. Anak lelaki yang
sudah beristeri tidur di bilik di bahagin dalam rumah, dan aku
disuruh tidur diluar rumah bersama paman dan isterinya. 'Tidur,'
kata makcik secara perlahan. 'Pada umur kamu, tidur adalah
penting....' Itulah malam pertama di mana aku dapat tidur dengan
nyenyaknya sejak berminggu lamanya dan aku tidur selama dua
hari suntuk selepas itu. Apabila ibu tiba, dia keletihan daripada satu perjalanan yang
panjang, berjalan kaki sendirian, aku masih tidur lagi. Aku terjaga
itupun setelah mendengar namaku dipanggil orang.
'Putti Lal sudah membuat aduan kepada polis,' kata ibu. 'Dia
mengadu isterinya telah diculik oleh keluarga kita dan mereka telah
datang ke rumah untuk mencarinya!'
Aku mahu pergi menyorok lagi, tetapi ibu kata tidak perlu kerana
polis akan datang mencari aku di sini dan paman akan mendapat
kesusahan. Tidak ada benda yang perlu ditunggu dan aku perlu
pulang ke kampung. Ibu berkata dia tidak akan membiarkan Putti
Lal mengambil aku kerana dia juga akan membuat aduan kepada
polis. Kami mengucap selama tinggal kepada ibu dan beredar untuk
pulang. Sebaik tiba di kampung keadaan kecoh berulang semula.
Keseluruhan kampung tidak bercakap perkara lain lagi. Bila kami
tiba di sebelah petang semua jiran-jiran di kampung berada di luar
rumah masing-masing memberikan pendapat. Mereka memberitahu
ibu agar melupakan adat resam kami dan menegah ibu supaya
tidak menghantar aku semula. Ketika Choti, Bhurri dan adik lelaki
aku kesukaan menyambut kepulanganku, dan bergayutan pada
badanku, seluruh kampung sedang sibuk cuba menentukan
nasibku, seolah-olah aku sudah menjadi kepunyaan mereka.
Ibu menjerit untuk melemahkan suara perbincangan mereka.
'Sepatutnya dia tidak dihantar ke sana selama lima tahun. Putti Lal
sudah bersetuju dengan perjanjian awal dulu. Mayadin yang
mendalangi semua ini. Dialah orangnya yang mendesak Putti Lal
membawa seorang anak kecil bersama pulang. Kami bukannya
puak yang tidak menghormati tradisi.'
Ayah berusaha menegah ibu daripada memberitahu semua orang
akan kebenarannya. Dia naik marah kerana tidak tahu langsung
akan apa yang disebutnya sebagai penculikan. Dia terlalu riasu,
kerana dia bukan sahaja tidak bersetuju dengan itu semua,
malahan ayah adalah seorang insan yang tidak pernah bersetuju
untuk melanggar adat resam kami. Aku tahu ayah kasih kepadaku,
tetapi aku merasa jengkel apabila ayah memberitahu orang
kampung, dialah yang mengizinkkan Putti Lal membawa aku pergi
kerana Putti Lal mendesaknya. Belum pun lama kami berada dalam rumah, Mayadin tiba dengan
Putti Lal ditemani oleh beberapa orang lelaki kampungnya. 'Hantar
budak itu dengan mereka sekarang!' Mayadin memberikan
arahannya. Orang lelaki itu menyerbu ruang halaman rumah kami,
sambil diikuti oleh penduduk kampung. Antara mereka ialah ahli
panches, dan ramai lagi orang kampung yang menunggu di luar
rumah. Putti Lal telah meminta Panchayat bersidang; dia telah meminta
agar kami dihalau keluar kampung itu, sambil menuduh keluarga
aku menculik isterinya. Dia berkata orang yang dibawanya itu
adalah anggota polis, dan dia mengugut mahu mendakwa tuduhan
jenayah terhadap ibu dan ayah. Mayadin telah menangkap rambut ayah dan menolaknya sehingga
melutut. 'Devidin,' jeritnya. 'Anak perempuan kamu telah menghitamkan
nama baik keluarga kita di hadapan seluruh kampung. Dia seorang
yang telah berbuat salah. Hantar dia balik kepada suaminya,
sekarang!' 'Ini adalah undang-undang,' kata Putti Lal. 'Phoolan Devi mesti
lakukan mengikut arahan suaminya.' Itu bukan undang-undang, itu cuma undang-undang mereka.
Kerana mereka mempunyai banyak rupee, mereka mampu membuat
undang-undang sendiri untuk memuaskan hati. Aku berlari ke
kandang lembu dan menyorok antara lembu di situ, sambil
mengggunakan jerami menutup badanku. Nampaknya keseluruhan
warga kampung sudah berkumpul di hadapan laman. Ada yang
membawa khat untuk berbaring, sambil berdebat perkara yang
betul dan salah mengenai perkara aku itu.
Tiba-tiba satu tangan mencengkam aku di bahagian leher dan
mengheret aku kembali ke hadapan laman. Putti Lal sedang
memegang aku dalam cengkamannya yang berbulu itu laksana
seekor beruang bermain dengan seekor kucing. Di luar rumah itu
memang semakin gelap dan banyak bayang yang kelihatan kesan
kerlipan lampu minyak yang menyuluhi muka-muka orang
kampung yang memandang aku dengan senyap dan sunyi.
Kemudian semua orang mula menjerit dan berdebat semula.
'Bawalah dia,' kata ayah kepada Putti Lal. 'Kuncilah dia
sehingga dia mati. Bunuhlah dia kalau itu menjadi hak kamu.'
Ayah sudah mengalah begitu mudah sehinggakan itu sahaja yang
dia termampu untuk bermadah. Tetapi ibu tidak mahu mengalah.
'Dia adalah anak aku,' katanya. 'Aku yang lahirkan dia. Sesiapa
menzalimi dia menzalimi aku jua.'
Kemudian ibu dan ayah mula bergaduh pula.
'Aku mahu mati. Semua ini adalah kesilapan kamu Devidin!' kata
ibu. Lelaki yang datang menemani Putti Lal berkata mereka adalah
anggota polis daripada kampung Putti Lal, walaupun mereka
berpakain pereman. Mereka mengugut untuk mengambil aku
bersama adik aku pula. Mayadin ketawa, sambil mengurut hujung misainya. 'Ya, ambil
semua bedebah ini! Mereka boleh menjaga rumah kamu.' Dia
mengenyitkan mata kepada Putti Lal.... 'Bawa ibubapa mereka juga!
Kamu boleh suruh mereka bekerja untuk menuntut gantirugi!'
Memang ibu tidak tersilap, dan aku sudah melihatnya sekarang.
Mayadin sengaja mahukan aku keluar dari kampung itu sejak
Panchayat membuat keputusan bahawa kami mempunyai hak
kepada ladangnya. Dia menjadi seronok bila mengetahui Putti Lal
sedang menzalimi aku. Ibu berjaya merampas aku dari pegangannya dan memeluk aku di
bahagian leher. Dia memelukku begitu erat sekali sehinggakan aku
dapat rasakan hampir tercekik dibuatnya. 'Dia tidak akan pulang
kepada lelaki itu.' jerit ibu. 'Kalau kematiannya yang kamu mahu,
aku akan bunuh dia dengan tangan aku sendiri.'
Ibu memang benar-benar mahu mencekik aku! Tetapi apakah
pilihan lain kepada seorang ibu? Apakah yang mampu dilakukan
oleh seorang ibu di dalam kampung kami untuk mempertahankan
anak perempuannya daripada lelaki semacam itu? Walaupun ibu
pernah berkali-kali mendera aku, aku masih yakin ibu akan
melindungi aku daripada sebarang bahaya. Tetapi pada waktu itu
aku nampak ibu bersendirian. Dia tidak mempunyai kuasa apabila
berdepan dengan lelaki yang aku sendiri tidak terdaya memandang
mukanya. Aku meryau agar ayah membantu kami. Dia adalah ketua
keluarga kami, dia sepatutnya melindungi kami di dunia ini. Yang
termampu dibuat oleh ayah ialah meratap berkali-kali apabila
ditekan oleh semua pihak. Aku merayu kepada orang kampung
yang menjadi saksi, tetapi mereka melihatkan sahaja Putti Lal
merampas aku daripada ibu dan melangkahkan kaki meredah
perhimpunan mereka. Dia mahu membawa aku sekali lagi! Dia mengepit aku laksana
karung gandum. Aku begitu takutkan dia sehingga aku terkencing
di situ. Ibu melompat dan menarik aku dari cengkamannya, sambil
meludahnya di muka. 'Kamu tidak boleh ambil dia! Kamu tidak
berkahwin dengan anak aku! Aku batalkan perkahwinan itu!...'
'Kalau begitu pulangkan balik segala emas hantaran yang aku
berikan pada dia!' Dia fikir dia mampu melemahkan semangat ibu dengan beberapa
ketul perhiasan perak. Ibu memimpin aku masuk bilik dan meletakkan aku di situ.
Kemudian dia pergi mencari satu dulang besar yang pernah
digunakan dulu untuk menabur Putti Lal dengan bunga rampai. Ibu
campakkan perhiasan itu di atas dulang dan keluar semula. Di
tengah laman itu, ibu mencangkung dan mula memperagakan
setiap barang kemas itu di hadapan Puti Lal dan semua warga
kampung yang ada. 'Tengok sini semua yang ada! Kalian menjadi saksinya! Aku mahu
pulangkan balik rantai perak ini, dan gelang perak ini, dan gelang
kaki serta subang. Aku pulangkan balik kepada dia! Semua ini
tidak sampai lima ratus gram perak pun. Aku pulangkan semua ini!..
Aku mahu tuliskan semua ini, supaya semua orang faham bahawa
Moola Devidin telah pulangkan segala barang kemas kepunyaan
Putti Lal kepadanya. Biarkan dia berikan kepada isteri yang lain!'
Ibu pulangkan setiap jenis perhiasan itu secara satu persatu,
menggoyangkannya untuk membolehkan setiap yang ada
melihatnya sebelum meletakkanya dalam genggaman berbulu itu.
Matanya menyala kerana marah. Beberapa anggota panches mula berkata secara perlahan, 'Dia
memang betul, dia memang betul!' kata mereka. "Sepatutnya dia
tidak mengambil gadis itu dulu.' Mayadin mula berpeluh. Dari dalam bilik, aku dapat melihat
hidungnya berdengus kerana dia naik marah. Dari cahaya lampu
dia kelihatan seperti seekor kerbau yang ganas.
'Kamu tidak akan dapat mengahwinkan anak-anak perempuan
kamu lagi, Devidin,' ugutnya. 'Kamu memalukan keluarga!
Jeritnya kepada ayah, sambil memutar ekor misainya. Tetapi
panches sudahpun bersetuju kerana ibu sudah memulangkan
semua perhiasan Putti Lal, aku tidak perlu pulang semula
mengikutinya. Dia hanya mempunyai dua orang penyokong sahaja di majlis
kampung itu - Mayadin, dan ketua majlis - Si Sarpanch. Semua
orang lain di kampung itu sudah tidak berpihak kepadanya.
Aku berbaring di atas satu khat yang diletakkan di sebelah dinding
rumah, ambil menutup telinga agar tidak dapat mendengar hiruk
pikuk di luar. Aku menjadi bercelaru. Harapan diselamatkan
daripada penderaaan mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja.
Kini aku sudah tidak tahu apa yang akan terjadi seterusnya.
Nampaknya semua orang mempunyai hak menentukan nasib aku.
Aku kepenatan dan menjadi sedih melihatkan perangai ayah yang
begitu berlembut dan inilah yang membuat aku mula sedar,
betapapun kuatnya aku nanti, kuasa orang lelaki adalah sesuatu
yang tidak mampu aku kalahkan. Apabila ketakutan itu terus
membengkak, aku mula sedar semua itu bukan satu mainan lagi,
seperti bergantung pada hidung kerbau Mayadin ataupun mencuri
kekacang dal miliknya. Ia sudah menjadi satu peperangan yang
baru bermula, dan aku sedar bahawa perkara itu akan berlaku
setiap hari, dahsyat dan menakutkan. Malahan kemarahan ibu
telah membantu kami memenangi satu pusingan peperangan itu.
Aku akan menjadi seorang gadis tanpa suami di sebuah kampung
seperti banyak kampung lagi di mana gadis seperti itu hanya layak
untuk dianiayai. Aku terus mendengarkan cakap-cakap di luar itu sehinggga
terlena. Sedangkan mereka masih berdebat memikirkan keputusan
terbaik untuk aku. Mereka muncul semula keesokan harinya. Aku menyorok dalam
dapur, tetapi dapat melihat Putti Lal sedang bercekak pinggang
dan matanya yang membesar kerana kehampaan. Dia menuntut
agar ibu dan ayah memulangkan isterinya semula. Kali ini ada
empat orang polis bersamanya, beruniform dan membawa
senapang. Orang lelaki yang bersama beliau pada malam
sebelumnya tidak ada bersama mereka. Dia berkata dia telah pergi
ke Sikandara membawa anggota polis itu. Salah seorang mereka
memakai lencana berbentuk bintang di bahunya.
Pegawai yang memakai lencana bintang mengetuk ayah dengan
'lathi'nya. 'Berani sungguh kamu menculik anak perempuan sendiri,' jeritnya
pada ayah. Seorang polis lagi menangkap ibu dengan menarik rambutnya dan
menolaknya ke dalam rumah, mengarahkan ibu memanggil anak
perempuannya. Ibu memanggil aku keluar dari persembunyian, dan memegang
bahu aku, dan berdiri di hadapan pegawai polis itu semuanya.
'Ini dia,' kata ibu. 'Inilah anak perempuan saya, Phoolan Devi.'
Pegawai polis itu menjadi bercelaru. Mereka melihat ibu semacam
tidak percaya, dan kemudiannya berpaling kepada Putti Lal.
'Inikah isteri kamu? tanya seorang antara mereka.
Putti Lal menjadi kaget. Dia berpeluh, seolah-olah dia menunggu
untuk mencengkam tangannya yang kotor itu kepada badanku.
'Diakan masih budak lagi,' kata pegawai polis yang berbintang
itu. Ibu mula segar semula dan membetulkan sarinya sebaik
mendengar pendapat itu. Dia mula menuduh Putti Lal.
'Dia telah menzalimi anak saya! Dia telah menggunakan
tipu-muslihat untuk memperolehi seorang anak kecil yang tidak
berdosa. Sekarang dia tidak mengahwini lelaki ini lagi! Dia telah
melanggar kontrak dengan membawa anak ini pada hari 'gauna'.
Biarkan dia cari betina lain untuk dijadikan bini.'
Anggota polis itu berpusing membiarkan Putti Lal di situ. Mereka
memberi amaran kepadanya; 'Kamu bawa kami begitu jauh sampai
sini untuk mendapatkan seorang budak kecil! Tengok dia dulu.
Berapa umurnya? Sepuluh, sebelas mungkin..... ini adalah
bersalahan dengan undang-undang untuk memperisterikan
seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. Kalau kamu
datang lagi dengan aduan lain, kamu yang akan kami sumbat
dalam penjara!' Mendengarkan perkara itu, aku mula bernafas kembali.
Penderitaanku sudah sampai garis penamatnya.
Polis menyuruh Putti Lal keluar dari rumah kami bersama mereka,
dan ibu telah mengunci pintu itu. Dia tiba semula selepas itu dan
menjerit agar kami keluar dari rumah, tetapi ibu mengarahkan kami
supaya tdak menjawabnya. Sepanjang hari itu dia menghentak
pintu. Sekejap dia pergi dan sekejap lagi dia kembali dan
menghentak pintu kami lagi. Tetapi apabila mentari mula menurun
dia beralah dan terus berlalu. Keadaan di luar senyap dan sunyi. Aku terlena lagi, dan selama dua tahun, kami tinggal dengan
aman. Tetapi itu hanya satu keamanan yang rapuh, dan aku
memang betul ketika tidak percayakan perkara itu akan berkekalan
sifatnya. |