Laman Webantu KM2: 6392 File Size: 17.2 Kb * |
TSG: 8C - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 21/11/2001 3:14 am Wed |
Kami berjalan melepasi beberapa perkampungan yang aku belum
tahu lagi. 'Itu dia Shatti,' kata ayah. 'Di situ orang Islam tinggal.'
Aku menjadi kaget, 'cepatlah,' desakku, nanti mereka kejar dan
makan kita!' Lelaki berdua itu ketawa dengan perangai aku.
'Orang Islam adalah manusia semacam kita, Phoolan. Bezanya
ialah mereka tidak pergi beribadat di kuil semacam kita, itu saja.'
Ketika mentari semakin terbenam kami sudahpun keluar daripada
jalan berdebu itu untuk menggunakan satu lorong pula kami
bertemu beberapa orang kampung Divail yang mengenali ayah
dan mereka menawarkan kami bermalam di rumah mereka, tetapi
ayah lebih selesa memilih untuk meneruskan perjalanan pulang.
Aku dapat melihat pepohon neem dan buah nangka yang
meranum di batang pohonnya, ini menunjukkan kampungku tidak
berapa jauh dari situ. Malam sudah semakin gelap tetapi aku
dapat menghidu bauan yang semerbak yang datang dari tebing
sungai. Aku dapat mendengar bunyi burung-burung dan unggas
di situ. Hilang segala perasaan kehausan dan keletihan serta
badanku terasa semacam dijulang ke atas laksana seekor gagak
yang terbang jauh di tengah ladang. Aku, fikir tentu Choti masih
berada di kebun kami di kachwari. Aku dapat mendengar
suaranya menyanyi tetapi apabila berlari untuk mencari tidak pula
aku berjumpa. Tiba-tiba aku ternampak sehelai sari
bergoyang-goyang di tengah kebun dan ada satu tubuh manusia
sedang berbaring di situ. Itulah dia Choti, tertidur dan bukannya
mengawal buah-buahan tembikai yang baru dibawanya daripada
seberang sungai! Apabila dia ternampak aku, diapun memeluk
tengkukku, hampir mencekik kerana terlalu lama bergayut dengan
mengalirkan airmata gembira. 'Phoolan, memang lama aku merinduimu.'
Dia berlari mencari sebiji tembikai yang sepatutnya diawasi dan
membelah tembikai itu dengan sebilah pisau. Memang enak buah
itu dan manis rasanya sehinggakan aku membiarkan jusnya
mengalir sampai ke dagu. Aku seronok menikmati buah itu, dan
ketawa bersama Choti sambil kami melecutkan kuacinya ke
angkasa. Tidak ada satupun yang berubah. Aku dapat melihat Pancham,
tukang sampan, membimbit lampu untuk pergi mencari ikan. Dia
mengangkat lampu itu untuk menyuluh muka aku.
'Anak perempuan kamu ini lebih kurus dari seekor serigala
kacukan, Devidin. Nampaknya dia tidak sihat.'
'Choti terkejut melihat wajahku yang disuluh itu. Dia mahu tahu
apa yang terjadi. Tetapi, aku hanya menganggukkan kepala
sahaja. Ibu sudahpun menanti di halaman rumah, sambil mengesat airmata
dengan ekor kain sarinya. Dia tiak mampu berkata apa-apa, cuma
mampu memeluk aku dengan kuatnya. Dia masih menangis lagi
ketika membawa satu jag air untuk mencuci kakiku. Memang aku
tidak berupaya menceritakan segala-galanya yang telah terjadi.
Tetapi ayah ada membisikkan perkara yang dahsyat yang telah
aku alami. Ibu meraba bahuku dan belakangku. Kemudian dia
amati lagi tubuhku sebelum menangis sekali lagi. Tangisan ibu
telah mengejutkan adikku Bhuri dan Shiv Narayan. Tanpa
mengetahui apa sebab ibu menangis mereka pun turut menangis
sama. Tidak ada yang berubah di rumah ibu. Mereka masih
menggunakan khat usang yang sama. Begitu juga periuk belanga
di dapur. Aku sudah merasakan betapa sudah lama aku tinggalkan
rumah itu. Selama itu aku telah lama membayangkan bahawa
semua barangan itu tidak wujud lagi di situ, tetapi aku masih
melihat semuanya termasuk basuhan yang bergantungan di
ampaian untuk mengering di malam hari seperti dulu.
Apabila Bhuri dapat aku tenangkan dia tertidur semula dengan
kepalanya di ribaku. Ibu yang sudah mengisar gandum untuk
dibuat capati mula naik berang pula. 'Aku akan ajar Putti Lal itu!. Aku akan sediakan sebatang kayu untuk membelasahnya.
Tengoklah nanti, kalau dia menunjukkan mukanya semula..!'
Sambil ibu membuat capati itu dia terus menghimpunkan segala
caci maki terhadap Putti Lal. 'Saya tidak mahu dia dihantar pulang! Demikian kata ibu kepada
ayah. 'Si jahanam itu hampir membunuh anak saya!'
Ayah sibuk mengunyah capati. Aku tidak boleh menelan apapun
kecuali sedikit susu suam dan nasi, dan sejurus itu akupun
menjadi mengantuk pula. 'Dia sudah bersuami sekarang,' demikian suara ayah yang dapat
aku dengar. 'Aku tidak tahu apa caranya kita tidak perlu menghantarnya
semula. Seseorang isteri mesti tinggal di rumah mertuanya. Inilah
adat resam kita.' Aku dapat melihat cahaya api obor yang bergerak di bahagian
luar dinding rumah kami. Jiran-jiran kami yang ingin tahu
menunjukkan muka mereka. Ibu membersihkan hidungnya dan
membetulkan sari dan memandang arahku dengan penuh makna.
"Jangan ceritakan perkara ini kepada sesiapa, dengar tak? Kamu
akan mencemarkan nama sendiri. Kamu jatuh sakit dan tidak diberi
makan dan tidak ada sesiapa yang menjaga kamu, itu saja.
Dengar tak?' Jiran-jiran kamipun masuk ke rumah dan mula bercakap-cakap
dengan ibu dan ayah. Ada antara mereka yang menggesa aku
pulang kerana adalah mengaibkan kalau seorang isteri tidak
tinggal bersama suaminya. Ada pula yang berpendapat aku harus
menunggu selama setahun paling kurang. Mereka semua
tercengang melihat keadaanku semacam sudah begitu berubah,
dan masih sangsi memikirkan apakah sebabnya. Aku fikir mereka
tidak dapat bayangkan apakah penderitaan yang telah aku lalui.
Tetapi, aku patuhi arahan ibu dan tidak berkata apa-apa, tanpa
menyedari kenapakah aku yang sepatutnya menanggung keaiban
itu sedangkan suami ku yang mendera dan menzalimi aku. Kepada
jiran-jiran, ibu dan ayah memang menyebut kesalan mereka tetapi
aku dapat rasakan betapa kecewanya mereka seperti keadaan
mereka membuat tuntutan apabila Mayadin mencuri pokok yang
ayah tanam. Kemarahan mereka berdua tidak mencukupi untuk
melawan mereka yang memegang timbunan wang rupee di satu
tangan dan kayu panjang di tangan satu lagi. Tetapi, aku sudah
sedar ketika itu, betapa aku tidak akan pulang kembali kepada si
bedebah itu. Aku masuk ke dalam rumah untuk berbaring dengan Bhuri dan
Shiv Narayan. Ibu mengekori aku dan berbaring di sisi kami. Aku
terlena sejurus itu dan bukan kepalang nyenyaknya tidur itu.
Keesokan hari, demam di badan sudah pergi. Dua puluh rupee
yang ayah bayar kepada doktor memang berbaloi sekali. Yang
paling aku perlukan ketika itu ialah pergi berkubang di sungai
Yamuna bersama teman-temanku, dan membiarkan air suci
sungai itu menghanyutkan segala rahsia keaiban yang ada di
badanku. 'Ibu memberi amaran sekali lagi sebelum aku melangkah keluar
pintu menuju ke sungai. 'jangan beritahu sesiapa, jangan cakap
apa-apa yang telah dilakukan oleh Putti Lal kepada kamu.'
Aku jadi gementar apabila ibu menyebut namanya, dan aku
terpaksa menumpukan ingatan untuk melupakan namanya aku
mahu menekannya dalam air, mencekiknya, menanamnya dalam
pasir dan biarkan hujan monsun hanyutkannya.! Hari semakin
berlalu, dan aku masih tidak dapat melupakan segalanya. Mujur,
keadaan tenang di kampung dapat membantu aku mendapatkan
semula tenaga lama. Cuma di malam hari, ketika berada di tempat
yang gelap aku menjadi ketakutan. Ketika itu igauan lama
berulang semula, tetapi malam bertukar menjadi hari dan hari
bertukar menjadi bulan. Bulan Ashad pun menjelma. Aku berada di tengah ladang menjaga
lembu ternakan, apabila Choti datang berlari mendapatkan aku.
'Dia dah datang Phoolan,' kata Choti secara terketar-ketar. 'Dia
datang untuk membawa kamu pulang.' Aku berlari dengan deras ke arah kuil untuk memanjat pokok neem
yang paling tinggi di kampung itu dan menyorok di antara
dedaunnya. Ibu sedang menjerit dengan kuatnya kepada Putti Lal
sehingga kedengaran seluruh kampung. Sejurus kemudian Choti muncul dan menceritakan apa yang
sudah berlaku. 'Mukanya merah padam,' katanya, 'dia
menyumpah seranah semua orang!' Amma kata dia mendera
kamu dan hampir membunuh kamu! Ibu mahu menghalau dia pergi
tetapi Buppa suruh ibu beri dia makan dulu!!'
Aku cuba memikirkan satu rencana. Aku naik ke dahan yang
paling tinggi membuatkan monyet yang ada di situ turut
menggelabah dan menjerit seperti kena histeria, tetapi semua
orang kampung memang kenal tempat persembunyian aku di atas
pokok di tepi jalan ke kuil. Ketika aku masih kecil dulu, aku pernah
menunggu lama di atas pokok mahu menangkap anak burung
kakaktua yang pulang ke sarang mereka. Pada satu ketika semasa
aku memasukkan tangan ke satu sarang aku terpegang benda
yang sejuk - seekor ular! Aku terpaksa melepaskannya dengan
jeritan yang membingitkan kanak-kanak lain yang menanti di
bumi. Ingatan itu membuatkan aku menggigil.
Choti muncul semula. 'Amma sudah halau dia,' jerit Choti. 'Dia
naik marah, tetapi dia pergi juga. Aku nampak dia pergi dengan
menaiki satu basikal baru, berwarna hitam. Tentu dia beli dengan
duit dauri.' Aku turun dari pokok itu, sambil menunggu di hujung rumah
Mayadin dan cuba mengamati keadaan kalau-kalau dapat
mendengarnya. Dia sudah pergi, seperti yang disebut oleh Choti.
Aku mempunyai syak wasangka bahawa kemunculan Putti Lal ada
kena mengena dengan Mayadin. Dulu beliau beranggapan sudah
dapat menghalau aku, dan tentu dia naik berang melihatkan
kehadiran aku semula. Dia terlalu takut akan ladang horanya. Aku
pernah mendengar beliau bertanyakan ayah, 'apa yang
dibuatnya di sini?' Dia telah mengugut ayah dengan suaranya
yang bernada tinggi.' Dia sudah bersuami. Sepatutnya dia
menghormati adat resam kita seperti wanita yang lain,'
Beberapa hari selepas lawatan Putti Lal, ibuku telah pergi
menziarahi keluarganya di kampung untuk beberapa hari semasa
kakak Rukmini pulang ke rumah untuk menjaga kami - dan
memang dijangka, dia muncul semula dengan basikal hitamnya.
Mungkin Mayadin sudah memberitahunya akan ketiadaan ibu di
rumahku. Aku berlari memanjat pokok neem sekali lagi. Tetapi, kali itu
Rukmini yang datang memanggil aku agar turun.
'Turun dari pokok itu Phoolan, suami kamu datang untuk
berjumpa.' Kakak Rukmini menyuruh aku pulang dan tinggal di rumah suami
ku, tetapi dia tidak tahu-menahu betapa azabnya aku hidup di
situ. Orang lain memang tidak tahu, kerana aku tidak memberitahu.
Apabila aku jawab tidak mahu turun, dia pergi mencari ayah dan
ini membuatkan aku mencari tempat bersembunyi yang lain. Aku
sedar tanpa ibu di rumah, seandainya ayah dan Rukmini bersetuju
agar aku pergi, tidak ada jalan lain yang boleh aku elakkan lagi.
Aku berlari ke tebing sungai dan menyorok antara sampan kayu
yang besar yang tersadai menanti untuk diperbaiki.
Tetapi ayah dan Rukmini berjaya mengesan tempat
persembunyian itu dan menarik aku pulang ke rumah. Rukmini
mendesak aku mengenakan sari dan 'ghoonghat'. 'Cukuplah
Phoolan,' katanya. 'Kamu perlu sambut kedatangan suamimu.'
Mereka cuba memaksa aku memasuki sebuah kamar di mana si
bedebah itu sedang menunggu, tetapi aku meronta tidak mahu.
Mereka tidak faham kenapa aku ketakutan, kerana mereka tidak
tahu. Kalaulah ibu ada di situ, tentu dia faham kerana dia sudah
mendengar semua ceritanya. Ayah pernah memekap telinga,
kerana dia tidak mahu mendengarnya, tetapi ibu tahu akan segala
bahayanya. 'Kami tidak akan menghantar kamu kepada dia,' kata Rukmini.
'Tetapi kamu mesti sambut kedatangannya.'
Akupun mengalah, dan masuk bilik itu dengan kepala aku tunduk
kerana aku mahu mengelak melihatkan matanya. Aku cuba
menahan diri agar tidak menggeletar, tetapi aku terdengar ayah
bersuara, 'Rumah Putti Lal adalah rumah kamu, Phoolan. Kamu
seharusnya tinggal di sana sekarang.'
'Kamu harus lakukan seperti yang aku buat,' kata Rukmini.
'kakak tinggal bersama mentua dan kakak balik menziarah kamu.
Kamu akan biasakan diri, Phoolan. Tolonglah, jangan buat kecoh
lagi!' Jangan buat kacau, jangan buat kecoh! Apapun, akhirnya mereka
bertindak untuk aku. Putti Lalpun mencari sebuah sampan dan
ayah serta Rukmini membawa aku ke tebing sungai. Mereka
dudukkan aku di dalam sampan bersebelahan tukang sampan itu
sementara Putti Lal di bahagian hujung yang bertentangan.
Mereka mesti telah mengagak aku berkemungkinan meloncat ke
dalam air kalau ada peluang dan berenang mengikut arus sungai,
walaupun ini bererti aku mungkin tenggelam di sungai itu. Aku
pernah mendengar kisah wanita yang membunuh diri, menghilang
di dunia ini untuk dilahirkan semula di dunia yang lain.
Putti Lal berpaling ke arah aku ketika kami menyeberangi sungai
itu. 'Kalau kamu lawan aku, aku akan bantai kamu. Kau masih
ingat bagaimana aku ajar kamu, eh?' Aku menjadi ketakutan ketika tiba di seberang sungai sehinggakan
aku meloncat keluar sampan itu dan berlari sepanjang tebing
sungai, tanpa keruan. Setan itu mengekori aku dengan mengayuh
basikalnya yang berharga beberapa ratus rupee itu yang sama
harganya dengan harga seekor lembu. Aku berlari laksana seekor
kijang yang cuba melepaskan diri dari cengkaman harimau yang
mengejarnya, sehinggalah kehilangan segala daya untuk terus
berlari lagi. Dia sauk aku dan arahkan aku duduk di atas
besi-perentang kemudi basikal di hadapannya, sambil merangkul
aku dalam pelukannya dan mengayuh laju untuk memecut
basikalnya. Aku dapat menghidu bau peluhnya dan hembusan
nafasnya di bahagian belakang. Setiap kali aku cuba bergerak,
dicubitnya lenganku dan memaki selalu. 'Kalau kamu terus
ceritakan kepada orang lain segala kisah yang kamu beritahu ibu
dan ayah kamu, rupa kamu tidak akan seperti ini lagi.' Dia
mengugut, 'yang pulang ke kampung nanti bukannya badan kamu
tetapi hanya mayat kamu untuk ditanam sahaja!' Dia tidak
berhenti mengayuh basikalnya sehinggalah kami sampai ke
kampungnya. Hari sudah petang ketika kami pulang. Dan ayahnya sedang
berdengkor di atas khat di halaman rumah. Aku berlari untuk
menyentuh hujung kakinya sebagai tanda hormat. 'Biarlah saya
bersama ayah,' aku meminta belas kasihan. 'Saya tidak mahu
masuk ke dalam bersamanya.! Saya tidak mahu.'
'Bertenang Phoolan,' katanya. 'Ini adalah rumah kamu, dan Putti
Lal adalah suami kamu. Jangan takut-takut. Ayah akan tidur dekat
kamu.' Tetapi dia telah mungkir janji. Selepas makan malam, orang tua itu
pergi tidur di kamarnya, tinggalkan aku sendirian dengan setan itu.
'Mari, baring di sini.' 'Tak mahu,' kataku. 'Saya mahu tunggu di luar! Saya mahu tidur
di sini. Dia tampar mukaku. 'Kamu mahu menjadi seorang isteri ataupun tidak? Kamu akan
membesar walaupun aku perlu memaksanya. Kamu tidak akan
tinggalkan rumah ini selagi tidak melahirkan tiga ataupun empat
anak, sekurang-kurangnya. Aku gigit tangannya, tetapi itu tidak menegahnya untuk mengheret
aku masuk ke kamar. Dengan selamba dia mengangkat aku dan
mendakapnya ke dada untuk membawa aku bersama. Aku
tendang lututnya tetapi tidak membawa kesan apa-apa. Aku
sudah berada dalam kamar penderaan, menghadapi ular miliknya.
Aku cuba juga fikirkan secara terdesak, bagaimana caranya
memberikan seorang anak, supaya dia tidak memukul aku lagi...
aku teringatkan bagaimana perut ibu mengembong dan bagaimana
ia muncul keluar bilik dengan adik Bhuri, tetapi aku tidak tahu lagi
bagaimana kanak-kanak dicipta. Dia tampar mukaku dan memaksa aku memegang ularnya. Aku
masih teringatkan suara ayah dan kakak memberitahu agar aku
mematuhinya, kerana dia adalah suamiku. Aku mahu bertukar rupa
menjadi batu laksana patung-patung dalam kuil, tanpa mahu
berfikir lain perkara lagi, tanpa mendengar sesuatu ataupun
melihatnya lagi. Keesokan harinya dia bertindak mendera aku kerana berani
mengadu kepada ayahnya cara dia menyakitkan diriku. Dia
patahkan satu dahan pokok neem dan mengangkat aku dengan
tangannya untuk merotan. 'Kamu tidak boleh bercakap perkara itu kepada ayah aku. Kerana
itu memalukan.' Dia libas belakangku sehingga terkelupas kulitnya dan aku telah
bersumpah tidak berkata sesuatu lagi.
Dia tidak menganggu aku sepanjang hari itu, dan keesokan
harinya. Kemudian, dia heret aku sekali lagi ke bilik
penderaannya. Apabila aku muncul di siang hari, terdapat kesan darah di seluruh
bahagian belakangku, dan aku merasakan satu kesakitan yang
amat perit di bahagian perutku. Aku cuba menggunakan pelbagai helah untuk menyorok. Aku
cuba bersembunyi di ladang atau di belakang kandang lembu
atau di belakang takongan air di belakang rumah, tetapi dia
berjaya mencari dan menzalimi aku lagi. Aku sudah tidak berdaya
menyekatnya. Tetapi aku bersumpah kepada Dewi Durga yang
meminum darah hantu dan setan bahawa dia akan merasa bahana
balasanku kerana kesakitan yang aku tanggungi. Aku bersumpah
tidak akan menghabiskan masaku menyorok di belakang pintu
dalam kegelapan, atau berbaring di atas perut di hadapan
manusia ini. Dia sendiri pernah berkata aku akan membesar juga
satu hari nanti. Aku bersumpah akan menangani keazaban itu dan
akan membalas dendam terhadapnya |