Laman Webantu KM2: 6387 File Size: 11.8 Kb * |
TSG: 8B - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 20/11/2001 2:01 am Tue |
Kami baru melepasi kawasan kampung itu dan mula melalui
sebatang jalan yang berdebu. Mentari semakin meninggi secara
perlahan menebar cahaya di angkasa biru yang luas terbuka. Aku
dapat memerhatikan air peluh yang bertitisan dari kening ayah
kesan memikulku di bahu. Itulah yang membuatkan aku segar kembali
ketika itu. Lagipun, langkahnya meyakinkan dan kebisuan angkasa
menenangkan. Jalan berdebu itu meminggiri ladang gandum yang
berdesiran bunyi dedaunnya ditiup angin panas. Aku dapat
merasakan zaman kecil dulu ketika dipikul ayah di bahunya, laksana
seorang anak kecil yang baru diselamatkan daripada terkurung
daripada sebuah telaga dalam yang gelita.
'Jangan takut lagi,' kata ayah secara berulang-ulang sambil
melangkahkan kaki, 'jangan takut lagi, Phoolan.... Semuanya sudah
berakhir....' Ayah memberitahu mahu membawa aku ke sebuah hospital di
Sikandara, dan ini bererti dia terpaksa berjalan jauh dengan
membawa aku sebagai bebanannya. Sejurus kemudiannya, kami
berhenti dan ayah menurunkan aku untuk berteduh di bawah
sebatang pokok mangga. Kami sudah berada jauh dari kampung itu,
sudah tidak kelihatan bumbung rumahnya apalagi lembu-lembunya.
Jalan itupun memang lengang sahaja, tidak ada sesiapa yang lalu
dan ini membuatkan aku merasa selamat sehingga tertidur dengan
nyenyak ketika berehat. Ketika terjaga semula aku terpandangkan
buah-buah mangga yang bergantungan di depan mata, gempal dan
ranum laksana bebuahan di halaman rumah Pradhan ketika dia
melempang aku kerana meminta sebiji buah itu. Aku boleh menjentik
buah-buah yang nampak lazat di depan mataku itu, tetapi ayah
menegah aku daripada menjamah sesuatu. Dia menyuruh aku minum
air yang dibawa-bekal dalam labu kering kepunyaan sahabatnya.
Ayah merenung wajahku tanpa berkata sesuatu. Tentu dia
memikirkan apa yang telah dilakukan oleh Putti Lal, tetapi aku masih
tidak bertenaga menyoal beberapa soalan yang memang mencuit
benakku. Lagipun aku tidak mahu fikirkan penderitaan yang baru
aku lalui. Dengan perlahan ayah sambung kembali langkahnya dengan aku
tercanguk di atas bahunya, tidur-tidur ayam. Tidak lama kemudian
kami sampai di persimpangan satu jalan besar. Beberapa lori yang
dihias indah laksana kuil bersimpang-siur di jalan besar itu penuh
dengan muatannya, dengan meniup hon yang membingitkan telinga
lembu-lembu gila, sambil memercikkan debu setiap kali mereka
berlalu. Ads seorang wanita yang memakai sari berwana unggu
berjalan di situ, wajahnya terlindung oleh timbunan bebunga yang
dijunjungnya. Dia menggoyangkan tangannya dan menjerit kepada
jurumudi kereta lembu agar mengawal lembu mereka daripada
menganggu perjalanannya. Memang begitu sibuk keadaan ketika itu
dan bunyi hon skuter dan bas memekakkan telinga.
Di persimpangan jalan ayah berhenti di hadapan seorang wanita
menjual 'kakri'. Dia membentangkan satu longgok mentimun kecil di
atas sehelai kain dan bersila di situ sambil menghitung siling dan
duit kertas yang diperolehinya, persis kelakuan ibuku setiap kali dia
menjual sayuran yang kami tanam di kachwari. Memang agak lama
juga aku tidak menjamah mentimun sehinggakan aku rasa keras
untuk mengunyahnya. Terpaksa pula ayah melumatkan di tapak
tangannya dulu dan menyuapkan aku laksana seorang anak yang
masih kecil lagi. Yang aku dapat fikirkan ketika itu ialah mangga dan
oren, tetapi ayah terus menegahnya, kerana belum tiba masanya.
Dia memang betul, kerana sebaik sahaja aku menelan kakri itu, aku
dapat rasakan perut mula mengecut dan rasa mula mual semula.
Itulah pertama kali aku melihat satu bandar yang besar dengan
ramai manusianya. Terdapat segalanya yang kita bayangkan; kedai
yang menjual gula-gula dan kek, ada kedai menjual sari yang
beranika warna yang dilipat dan disusun di atas para. Terdapat satu
kedai menjual hanya barang kemas dan perhiasan, dan satu lagi
yang menjual hanya tayar kenderaan. Terdapat kereta sorong yang
sarat dengan kekacang dan buahan kering. Ada juga kereta sorong
yang penuh bebunga yang berwarna merah dan kuning, yang
dikerumuni manusia mencangkung, membuat bunga-malai untuk
digunakan manusia yang mahu membawanya ke kuil.
Tengah hari sudahpun tiba, membawa panas yang membara. Ada
beberapa wanita menjual air minuman daripada kereta sorong dan
sahabat ayah mengisi labu airnya. Di sebuah perhentian bas, ayah
menanyakan hala menuju ke satu dispensari. Tidak jauhpun
letaknya, dan aku sudahpun bertenaga untuk berjalan sendirian,
sambil dipimpin oleh ayah dengan perlahan. Di pekan itu tidak ada
sesiapa yang mengenali kami; lembu dan anjing tidur selamba di
tengah-tengah jalan, menyebabkan udara di sekitarnya penuh
dengan lalat dan berwarna kelabu disebabkan asap hitam dan pekat
yang dikeluarkan oleh ekzos bas dan lori. Semua itu belum pernah
aku lihat sebelumnya! Ketika telinga aku berdering-dering tidak pula
aku sedari kenapa pada mulanya. Kemudian barulah aku sedari
betapa banyaknya basikal di sekelilingku, dan penunggangnya
memetik loceng basikal mereka pada waktu yang sama. Ketakutanku
semakin menghilang dengan perkara itu.
Dispensari itu adalah sebuah rumah konkrit yang mempunyai ruang
menanti yang dipenuhi manusia yang ramai menunggu dan duduk di
atas bangku, dan tidak di atas lantai di situ. Yang lain menunggu di
luar, bawah sebatang pokok. Ayah turut berbaris untuk menunggu
dan aku tertidur kerana mengantuk. Apabila terjaga, seorang doktor sedang memeriksa aku sambil
mendengarkan cerita ayah akan demam aku dan keadaan mudah
muntah. Dia tidak menceritakan perkara lain, mengenai kesakitan
yang aku tanggungi. Perkara semacam itu tidak boleh dicakapkan.
Doktor itu berpakaian kot dan memakai cermin mata yang
menampakkan dua biji mata yang kelihatan mesra tetapi kekurangan
tenaga kerana keletihan seperti orang kampung yang bekerja lama
seharian. Aku belum pernah melihatkan orang besar-besar bekerja
sebelum itu. Dia suruh aku duduk di atas bangku sambil memeriksa
aku; dia meneliti wajah, leher, pergelangan tangan dan kedua
bahuku. 'Budak ini kurang makan,' kata doktor pada ayah. 'Dia terlalu
kurus.' Ayah merasa malu. Dia menjelaskan aku telah berada di rumah
mertuanya dan mereka tidak menjaga aku dengan sempurna. Doktor
menyuruh aku mengangga dan menghulurkan lidah. Keningnya
mengerut ketika meletakkan satu sudu besi dalam mulut aku
membuatkan aku muntah semula. Aku khuatir dia mahu mengerat
lidah. 'jangan takut, sayang,' katanya. 'Saya akan suntik kamu
supaya cepat sembuh.' Aku menjadi kaget melihatkan beliau memegang sebatang jarum
yang panjang. Dulu, tukang gunting di kampung, pernah mencocok
hidungku dengan sebatang duri tajam. Oleh kerana kami tidak
mampu membeli perhiasan kemas untuk dicocokkan ke lubang yang
ditebuk di hidungku, dia terpaksa mencocoknya lagi setiap tahun
kerana lubang yang kecil itu mudah bertaut semula kerana tidak ada
yang kekal menebuknya. Cecair yang membuih terjelir keluar
daripada muncung jarum suntikan itu, ketika doktor datang
menghampiri aku. Aku berpaling melihat wajah ayah kerana
ketakutan. 'Tak mengapa Beti, tahankan sedikit. Ini ubat.'
Aku mengetap gigi. Doktor itu menyengat aku pertama kali di lengan,
kemudian dia balikkan badan aku dan sengat sekali pula di
ponggong. Oleh kerana ayah sudah memberikan izin dia
melakukannya, aku merelakan sahaja. Kemudian doktor itu berikan
ayah beberapa biji pil dan meminta ayah memberikannya dua puluh
rupee. Ayah keluarkan beberapa keping wang daripada dompet
yang diselit dalam lipatan dhotinya dan mengira wang itu dengan
cermat. 'Kenapa bayar wang pada dia Buppa?' tanyaku. Dia telah
menyengat saya sampai sakit!' 'Banyak benda yang kamu perlu belajar, Phoolan!' kata ayah
dengan ketawa. 'doktor ini memberikan kamu ubat semasa dia
menyengat. Ayah mesti bayar dia kerana ubat itu.'
Di luar, bahang tengah hari itu masih belum berlalu. Kamipun duduk
berteduh di bawah pohon neem yang tinggi. Ayah masih keletihan
lagi. Dia telah berjalan lebih tiga jam sambil memikul aku. Dia
berbaring di sebelahku, sambil menggunakan bungkusan kainku
sebagai bantal, dan terus tertidur. Akupun tertidur sama.
Mentari sudah menurun ketika kami terjaga. Aku terasa dahaga, dan
teringin sangat jus oren ataupun mangga, tetapi itulah yang ditegah
oleh ayah. 'Bila kita akan sampai, ayah?' tanyaku. Jauh lagikah kita mesti
berjalan kaki? 'Kita akan naik bas,' kata ayah. Bas itu sarat dengan penumpangnya dan mempunyai enjin yang
kuat bunyinya. Sambil menyatakan anaknya sakit, ayah telah
meminta izin penumpang yang ada memberi ruang untuk aku
mendapat satu tempat duduk. Bunyi enjin bas itu membuatkan
perutku bergelodak. Aku merenung muka ayah kerana kaget dan
pemandu bas menyuruh aku duduk di jendela untuk memudahkan
aku, kalau mahu memuntahkan sesuatu. Aku rasa tempat dudukku,
yang dibalut pelastik tetapi gebu. Aku duduk bersila tetapi masih
tidak rasa selesa. Apabila melihat di sekeliling, semua penumpang
duduk dengan kaki berjuntai, membuatkan aku mengikut cara
mereka pula. Sebelum itu memang aku melihatkan bas berlari di jalan raya. Tetapi
itulah pertama kali aku menjadi penumpangnya.
Dari jendela bas aku dapat menikmati keindahan sekeliling sehingga
di kaki langit. Ladang gandum kelihatan laksana tikar jerami, ada
yang berwarna hijau dan ada yang kekuningan dengan pangkal
yang sudah berkerat. Ada ladang tebu yang subur di situ, meninggi
laksana tembok batu. Di bawah naungan pokok yang tinggi terdapat
deretan rumah seperti di kampungku. Di sana terdapat lembu yang
sedang meragut rumput, tetapi aku masih belum melihat sungai. Di
bahagian hadapan, aku melihat bas lain yang meluru ke hadapan
seolah-olah mahu berlanggar dengan bas yang membawa kami. Di
bahagain belakang, beberapa lori mengekori dengan rapat dengan
bunyi yang dahsyat seolah-olah memberitahu mereka mahu berlari
cepat. Aku teransang mahu menjerit kerana kegembiraan. Aku tidak
sabar memberitahu Choti bahawa dalam bas, dunia ini bergerak
lebih pantas! Aku fikirkan perkara itu memang menggelikan hati
sehinggakan termuntah lagi. Ayah memberikan aku minum secara berdikit-dikit dengan perlahan,
tetapi perjalanan itu jauh dan memenatkan. Aku merasa kekeringan,
kepala menjadi sakit dan angin yang bertiup melalui jendela yang
terbuka membuatkan rasa yang kelat di mulut. Ketika bas berhenti,
dan manusia naik dan turun, begitulah keadaannya, dan perkara itu
semacam akan berterusan. Mentari semakin menurun di celah-celah
dedaun, menjadikan rumpai berwarna oren. Tetapi, aku belum lagi
nampak sungai di kampung kami. 'Ah...itu dia jambatannya!' kata ayah. 'Kita akan turun di situ.'
Bas itu melintasi Yamuna, secara naik meninggi melalui jambatan di
atasnya. Aku merasakan kami seolah-olah melambung perlahan
laksana burung ketika melepasi jambatan itu.
Bas itu berhenti di hujung jambatan yang berhampiran satu pekan
lagi. Di perhentian itu ayah membelikan aku satu 'kulfi'. Rasa
aiskrim bersusu itu membuatkan tekak berasa lega. Kamipun mula
melangkahkan kaki menuju sebatang jalan kecil yang berdebu
menuju kampungku yang jauhnya hanya lima batu dari situ. Aku
berjalan di antara dua orang lelaki itu, sambil keghairahan mahu
sampai ke rumah secepat yang terdaya.
|