Laman Webantu KM2: 6381 File Size: 13.9 Kb * |
TSG: 8A - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 19/11/2001 1:03 am Mon |
Aku bersendirian, ditinggalkan Tuhan. Perut yang sentiasa mual
menyebabkan aku muntah selalu, walaupun setitis air yang
diteguk membuatkan aku merasa mabuk. Gambaran penderaan
yang telah dilalui berlegar di mata berkali-kali, sukar dilupai dan
yang lebih teruk lagi, amat payah untuk difahami. Aku akan
menjadi seorang wanita, kepada seorang lelaki tua, dan aku
terpaksa hidup di rumahnya. Begitulah kata mereka sedangkan
aku masih belum tahu kenapa. Tidak ada sesiapa yang
memberitahu apakah yang patut dijangka apabila seseorang
berumahtangga. Aku beranggapan akan dilindungi oleh suamiku,
dan dia akan berlagak sebagai seorang ayah nombor dua
kepadaku, seperti yang Choti pernah beritahu. Suami adalah
orangnya yang mengarahkan apa yang patut aku lakukan dan
apa juadah yang perlu aku makan. Aku menjangka dimarahi
seandainya aku abaikan tugas, bukannya dibiarkan bersendirian
dengan segala igauan ganas. Tidak ada seorang wanitapun untuk menenangkan aku ataupun
mengajar membuat sesuatu yang belum aku tahu. Kepala aku
berdenyut dan ada satu rasa masam di mulut. Badanku menggigil,
sebentar aku rasa kepanasan yang amat sangat, dan seminit
kemudian ia bertukar menjadi kesejukan - tetapi tidak ada
seorangpun yang dapat memberikan rawatan.
Apabila kedengaran bunyi tapak kaki di tengah laman, aku
pejamkan mata serapat-rapatnya kerana takutkan didera semula.
Bunyi tapak kaki itu semakin terang dan aku dapat melihat, dari
celah bawah pintu, pergerakan satu bayang.
'Phoolan' Adakah kamu di dalam....Phoolan?'
Itu suara seorang lelaki yang memanggil tetapi aku tidak dapat
mengecam suaranya. Aku merengkokkan badan lebih ketat lagi di
atas tilam jerami dan menarik selimut kapas hingga menyungkup
muka. 'Phoolan ?' 'Siapa....tu?' Aku dapat merasakan jejari meraba keningku, dan dengan pantas
menyedari siapakah tuan empunya tangan itu.
'Anakku! Macam mana ni.... sampaikan aku gagal mengecam
badanmu! Kamu terlalu kurus dan wajahmu sudah berubah.
Phoolan, boleh kamu dengar ayah?' Aku bukakan mata. Memang, ayah yang sedang mencangkung
melihat keadaanku sambil menitiskan airmata! Dia duduk di sisi
dan merangkul kepalaku untuk diribanya. Airmata mula mengalir di
muka aku juga. 'Bawa saya dari sini ayah! Sekarang juga! Tolonglah ayah....'
Aku cuba berdiri tegak tetapi tenaga terlalu lemah. Ayah suruh
aku duduk diam dan memicit keningku, sambil menangis
teresak-esak. 'Rambut kamu sudah gugur, anakku! Ada orang yang datang ke
rumah di kampung memberitahu kamu sakit dan ayah patut bawa
kamu pulang. Apa yang berlaku ? Apakah ada orang yang cuba
mencederakan kamu?' 'Ayah, orang itu mencederakan saya. Dia zalimi saya. Dia cuba
letakkan macam-macam benda dalam perut saya. Dia kata mahu
membelahnya.' 'Ush, Phoolan.' 'Memang dahsyat ayah! Dia ada seekor ular dan dia keluarkan
sebilah pisau kerana ularnya itu tidak boleh masuk, kemudian dia
lakukan seperti yang dibuat oleh anjing-anjing di kampung. Terlau
sakit ayah, sehinggakan saya tidak mampu berjalan untuk pergi ke
tandas. Aku ceritakan semuanya. Ayahku menyungkup mukanya dengan
dua tapak tangannya. Ada beberapa perkara yang dia tidak patut
dengar, tetapi aku tidak dapat bersabar dan terpaksa
meluahkannya. 'Sudahlah Phoolan. Jangan cakap perkara itu lagi.'
Apabila dia mengalihkan tangan yang memekap mulutku, aku
bertanya, 'Kenapa ayah hantar saya di sini? Kenapa ayah tidak
ambil saya lebih awal lagi? Lihat!' Aku tunjukkan sebatang 'chimta', pengepit besi untuk mencocok
api dan membalikkan roti ketika dimasak. 'Dia gunakan chimta
untuk membakar ponggong saya dan mendera saya! Saya tidak
buat apa-apa kesalahan! Saya tidak buat apa-apa pun!'
'Jangan menangis Phoolan, ayah akan bawa kamu pulang!'
'Apakah itu janji ayah?' 'Ayah berjanji. Bertenang dulu... Bapa mertuamu sudahpun tiba.
Kamu tidak seharusnya memberitahu semua perkara ini di
depannya.' Orang tua itu menghulurkan sesuatu untuk diminum oleh ayah. Dia
duduk berhadapan dengan ayah, seolah-olah berasa bersalah.
'Dulu, kamu yang menyibuk mahu membawa anakku,' kata ayah.
'Aku beritahu kamu dulu dia masih terlalu muda dan kamu perlu
menunggu sedikit masa, tapi kamu semacam tidak sabar
menunggu, mahukan seseorang membuat kerja di rumah kamu.
Kamu adalah ayah kepada suaminya dan ketika aku menyerahnya
dulu, kamu menjadi ayahnya juga. Kenapakah kamu tidak lakukan
untuk melindunginya?' 'Aku tahu. Aku malu dengan kelakuan anakku. Sudilah terima
makanan di rumah ini.' Ayah terdiam. Mengikut adat, ibu bapa kepada seorang gadis
jarang makan di rumah menantunya. Orang tua itu mengenggam dua tangannya dan berbongkok
rendah di hadapan ayah. 'Aku mahu menghormati kamu. Silalah
terima....' Ayah tiba dengan seorang sahabat baiknya daripada kampung.
Mungkin kerana ayah takut datang bersendirian. Itulah dia ayahku
yang tidak pernah pandai meninggikan suaranya. Kalaulah dia
mempunyai keberanaan membunuh manusia ganas yang
membaham wanita itu, sehingga mati! Aku mahu ayah membawa
aku pulang waktu itu juga tanpa berbincang dulu dengan Putti Lal
dan ayahnya. Tetapi, ayahku yang bersopan santun turut sama
tunduk dan menerima makanan yang dihulur kepadanya dan
sahabatnya itu. Kerana tidak sabar, aku mendapat tenaga untuk bangkit dari tilam.
Aku mahu keluar, menanggalkan pakaian yang membuatkan aku
menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki dan mengenakan
pakaian lama - blaus dan skirt - dan keluar dari rumah itu tanpa
perhiasan badan pemberian mereka dan tanpa menjamah
makanan mereka. Aku mahu melupakan mereka semua. Tetapi,
ketika itu, syaitan itu terpacul menunjukkan bulu kening yang
berserabut dan muka yang berkerut. Dia memandang ayah
seolah-olah dia memandang seekor tikus yang telah mencuri
bejirin di bilik stor. 'Apa yang kamu mahu, Devidin? Apu kamu buat sini?'
Ayahnya masuk campur. 'Jangan ganggu dia. Sepatutnya kamu yang merendahkan diri di
hadapan ayah kepada gadis ini.' Putti Lal mendekati ayah. Sepatutnya dia membongkok badan
tanda hormat dan mencecah hujung kaki. Sebaliknya Putti Lal
melempang muka ayah, sekali! 'Siapakah kamu yang cuba menjaga tepi kain aku?' dia menyoal.
Ayah menundukan muka menaggung malu. Mereka berdua beredar keluar untuk berbalah dan bertikam lidah.
Aku hanya mampu duduk menutup muka dengan tanganku kerana
takut akan muntah semula ketika itu. Aku dengarkan perbalahan
mereka. Bunyi suara mereka adalah laksana halilintar yang
membingitkan telinga. Malam sudah menghampiri dan aku amat
takut ayah akan beralah kepada desakan mereka. Kawan ayah
mahu kami keluar secepat mungkin tetapi ayah lebih selesa tidur
di rumah itu dan keluar keesokan harinya. Dia bertanya bapa
mertuaku kalau boleh dia tidur di sebelahku.
'Dia tidak perlukan bapanya,' samuk Putti Lal. 'Ini rumah suami
dia. Ayahnya boleh pulang ke kampungnya.'
'Anak aku sakit,' kata ayah. 'Dia perlukan air di waktu malam
untuk mengelakkan demam itu mengeringkan badannya. Mukanya
bertompok-tompok. Mungkin dia kena cirit-birit. Aku tidak mahu
tinggalkan dia sendirian. Aku boleh tidur di tanah sebelah sini.'
'Tak boleh. Kamu tidur di luar,' jerit Putti Lal.
Dahsyat Putti Lal. Apakah haknya dia berlaku garang kepada
ayah? Dia fikir dia adalah seorang 'thakur' Dia baru ada sebuah
rumah dan beberapa bidang tanah, dan tidakpun membuat
sebarang pekerjaan. Dia menghabiskan masa bermain terup dan
mengejar betina. Itulah yang disebut oleh bapanya sendiri!
Memang tidak ubah seperti Mayadin; dia fikir dengan tanah dan
sedikit wang dia mempunyai hak, sesuka hati boleh menghina
orang. Seperti biasa ayah mengalah, dan tidur di atas sehelai tikar di
laman. Begitu juga dengan sahabat baiknya. Aku masih terlalu
lemah untuk menarik tangan mereka dan memaksa mereka keluar
rumah. Demam badan membakar aku dari dalam, dan di malam
hari muncul pula kabus tebal yang menyerupai kabus yang
menyungkup pemandangan di tebing sungai Yamuna. Aku
termimpikan pergelutan dengan Putti Lal, dan kemudian dapat
mengecam rupa wajah ayah yang sungguh manis. Tekakku
menjadi kehausan dan lidahku bergoyang-goyang laksana sebutir
buah tertanam di dalam pasir. Apabila subuh menjelang, aku
terbangun dengan merasa panas di pipi, dan seluruh badan
basah kerana berpeluh. Aku tidak lagi dapat mengingati berapa
hari lamanya aku tidak menjamah sebarang makanan.
Putti Lal ataupun bapanya tidak pernah melakukan sesuatu untuk
membantu. Tentu mereka mahukan aku mati di situ. Aku heret tilam
mendekati pintu untuk membukanya melihat keadaan dunia. Setiap
kali Putti Lal melintas ditendangnya pintu itu dengan ganas, dan
aku terpaksa bangun untuk membuka pintu itu semula. Aku
perlukan angin dan mahu melihat langit untuk memberi ingatan
bahawa aku masih lagi bernyawa. Setiap pergerakan yang aku
lakukan memang menyakitkan badan dan setiap kali itu pula
segala ingatan dahsyat terimbau semula. Aku terpaksa menyuci
pakaianku sendirian, menangis setiap kali memberus kesan darah
yang melekat di skirt. Aku kerap menangis ketika melangkah ke
tandas. Memang aku telah menangis selalu, tetapi yang mampu
dilakukan ialah menanggung kesakitan itu untuk berkurangan.
Lembu di kandang mula bangun dan aku dapat mendengar ayah
sudah berbalah dengan Putti Lal, ketika pancaran suria mula
memasukki halaman rumah. Memang mudah membezakan suara
lembut ayahku dengan laungan garang manusia bersifat hantu
itu..... 'Aku mesti bawa dia ke hospital. Tolonglah aku. Aku akan bawa
dia ke sini semula!' 'Apa perlunya kami bawa di ke sana? Dia boleh mendapat
rawatan di sini' Kalau kamu bawa dia semua orang kampung
akan menganggap aku orang jahat. Mereka akan tuduh aku tidak
pandai menjaga isteri.' 'Tapi....dia perlukan rawatan. Dia boleh mati; kalau kamu terus
pukul dia dan demamnya tidak mahu pergi. Biarlah aku dapatkan
bantun perubatan untuknya di hospital! Mereka boleh
menjaganya, akupun mahu tentukan dia mahu makan. Bila dia
balik semula, dia boleh menjadi lebih dewasa dan betenaga. Dia
akan mengikut kata kamu dan kau lihatlah nanti.'
Mendengar kata-kata ayah merayu begitu membuatkan aku
menyoal diri ini kenapakah ayah begitu takut kepada Putti Lal.
Apakah kerana Putti Lal telah membayar dauri kepadanya dan kini
ayah dianggap berhutang pula? Dia adalah ayahku dan hanya
dia sahaja yang ada hak menentukan yang terbaik kepadaku.
Tetapi dia terpaksa merayu seperti ketika dia terpaksa merayu
kepada Mayadin dulu. Aku ini seorang manusia dan bukannya
seekor lembu yang boleh digaduhkan oleh tuannya.
Akhirnya Putti Lal berlembut, dan ayah menyuruh aku bersiap
cepat dan mengambil segala barang kepunyaanku. Aku tidak
mahu mengambil semua barang itu tetapi bapa mertuaku bertegas
aku melakukannya. Aku bentang sari kuning di lantai dan ambil
gelang tangan dan gelang kaki untuk dibungkus bersama. Aku
memang merasa bangga dengan semua perhiasan itu, dan pernah
menayangnya di depan muka Choti untuk menaikkan perasaan
cemburunya. Kini aku membenci semua itu, kerana aku bencikan
setiap sesuatu yang ada kaitan dengan si syaitan itu.
Bapa mertuaku mempelawa ayah dan sahabatnya menjamah
paratha ketika bersarapan. Bau paratha dan sayuran yang
digoreng membuatkan perut aku merasa mual. Aku tidak mampu
makan ataupun minum tetapi aku mempunyai tenaga untuk
menyarung pakaian. Ketika aku menyarung sari unggu, bapa
mertuaku menghulurkan sehelai duit berniali lima rupee. Aku
seraba salah untuk menerimanya. Apakah pemberian itu untuk
menebus kehormatan aku? Aku ambil juga wang itu apabila
memikirkan ayah mungkin memerlukannya untuk peguamnya. Aku
selitkan duit kertas itu di pinggang . Sahabat ayah mengambil
bungkusan kain aku, dan ayah mendukung dan meletakkan aku di
atas bahunya untuk kami pergi dari situ.
Di perjalanan, orang kampung memerhatikan kami. Ada juga lelaki
yang ketawa kecil-kecilan di belakang kami.
'Apakah yang harapkan boleh berlaku apabila mengahwinkan
anak perempuan kamu kepada Putti Lal?' tanya salah seorang
mereka. 'Hai...jangan bawa dia balik!' kata seseorang memberikan
nasihatnya. Kaum wanitapun membecok sesama mereka: 'Tengoklah.. betapa
teruknya budak itu. Kesian sampaikan kurus semacam lidi...'
'Alah...dulu, bini pertamanya pun disondolnya sampai lumat!'
Nampaknya mereka mengetahui banyak maklumat mengenai Putti
lal. Tidak ada rahsia lagi di kampung itu. Makcik dan Pakcik
ibuku, tukang telek dan Brahimin, semua tahu perkara ini sebelum
mereka aturkan perkahwinan aku. Kini mereka pula yang
memberikan nasihat baru kepada ayahku. Kenapa mereka tidak
beri nasihat itu dulu? Macam mana mereka sanggup membiarkan
aku diseret ke dalam rumah itu dengan keadaan setengah mati,
kesakitan dan ketakutan? Ayah tidak berkata apa-apa. Dia cuba percepatkan langkahnya
untuk mengelakkan kata-kata orang kampung itu. Aku hanya
harapkan dia mampu melangkah lebih cepat lagi, takutkan Putti
Lal mengubah pendirian dan datang mencari aku semula.
Apabila kami sampai di pinggir kampung, aku berpaling ke
belakang dan bersuara lantang: 'Saya tidak akan pulang
semula...tidak...!!!!!' Ayah hanya mengerutkan keningnya. 'Sudahlah Phoolan,' kata
ayah dengan perlahan. 'Jangan cakap sepatah kata....jangan
malukan kita.' ....bersambung....
|