Laman Webantu KM2: 6365 File Size: 4.9 Kb * |
TAG SP 462: IUK: Fisk - Imej Busuk Pakatan Utara Yg Disokong AS By Robert Fisk 15/11/2001 11:02 pm Thu |
Independent UK. Imej Busuk Pakatan Utara Yang Disokong Amerika Syarikat
(US-Backed Northern Alliance's bloody Reputation)
Oleh: Robert Fisk Kemenangan mengejut Pakatan Utara di Afghanistan mungkin
merupakan satu berita baik kepada Barat tetapi berita yang tidak
baik akan menyusul tidak jauh di belakangnya. Semua anggota
bersenjata Uzbek, Tadjik dan Hazara yang merupakan anggota
angkatan tentera Pakatan Utara (PU) pernah mempunyai rekod
haprak kerana kezaliman mereka dan menyiksa para tawanan
perang, yang dijangka berulang semula dalam beberapa hari yang
mendatang dan sudah pasti akan mencemarkan nama Amerika dan
Britain ke jurang keaiban yang dalam.
Beberapa cerita ngeri bagaimana lebih 100 orang pejuang
Taliban-Pakistani yang telah ditembak mati setelah menyerah
kalah di Mazar-i-Sharif - dan para anggota bersenjata PU
'merayau-rayau di jalanraya' bandar yang ditinggalkan itu - tidak
menjadi berita yang mengejutkan mereka yang sedar akan
keganasan yang pernah dilak kan oleh sekutu baru Amerika itu
ketika peperangan 1992-96 di Kabul, dulu.
Kepada warga Amerika dan juga segelintir anggota Britain dalam
pasukan Barat yang ada di Afghanistan - gelagat pasukan
Pakatan Utara itu merupakan satu masalah yang besar. Oleh
kerana anggota tentera darat kita berada di Afghanistan, kita tidak
boleh melepas tangga apabila hak asasi manusia dicemari oleh
anggota bersenjata PU itu; namun sehingga kini tidak ada sebarang
berita bagaimana Amerika ataupun Britain cuba melarang kelakuan
keji ini. Malahan, mereka tidak pun mampu menyekat PU
memasukki Kabul. . Pembunuhan ngeri yang dilakukan oleh pasukan yang semacam
ini kerap memalukan kuasa besar yang turut menerima mereka
sebagai sekutu perang. Kumpulan Contras di Nicaragua dan
pasukan militia Phalangist di Lebanon, telah berlaku zalim
sehingga memalukan sekutu perang mereka; Amerika dan Israel.
Pihak yang terakhir ini terlibat dengan pembunuhan ganas di
Khemah Pelarian di Sabra dan Chatila pada 1982. Kalau dijenguk
kembali rekod lama PU ketika melakukan jenayah perang di Kabul
antara 1992-96 dulu, menunjukkan kumpulan sekutu yang
mengandungi PU, Amerika dan Britain, dan sesiapa juga yang
akan menyertai mereka nanti, tentu mahu menunjukkan pengaruh
terhadap pasukan daripada Utara Afghanistan itu.
Di Mazar-i-Sharif dan Herat, memang tidak ramai orang Pashtun,
yang secara tradisinya memang memihak kepada pasukan Taliban.
Tidak berapa jauh di bahagian selatan, PU akan bertembung
dengan musuh tradisinya yang sebenar. Pada 1997, puak Hazara
di Mazar telah membunuh lebih 600 militia Taliban yang telah
mengambil alih bandar itu dan kemudiannya membunuh dengan
kejam berdozen pelajar Pakistan yang mengiringi pasukan Taliban
itu. Dalam beberapa peristiwa berdarah berikutnya, beribu banduan
Taliban telah ditembak mati dalam lubang besar yang menjadi
kubur mereka, bersama beberapa dozen warga Pakistan. Seorang
warga PU yang berpaling tadah, Jeneral Pahlawan Malik, pernah
membunuh 2,000 tawanan perang Taliban yang telah diazab dan
dibiarkan kebuluran sebelum ditembak mati.
Ramai yang dicampak ke dalam telaga. Ramai lagi yang dibunuh
secara terancang. Salah seorang penglima di bawah pemerintahan
General Malik pernah menceritakan: ' Di malam hari ketika keadan
gelap dan senyap sunyi kami arahkan kira-kira 150 tawanan
perang kaum Taliban untuk menutupi mata mereka, dan tangan
mereka diikat di bahagian belakang sebelum diangkut dalam
kontena ke daerah padang pasir. Kami suruh mereka berbaris 10
orang setiap satu, di hadapan lubang yang sudah digali di
hadapan mereka dan melepaskan tembakan. Semua itu memakan
masa enam malam sahaja.' Ada satu peristiwa di mana tawanan perang warga Taliban telah
disumbat dalam beberapa kontena dan dikunci dari luar pada musim
panas: 1,250 orang mati kesesakan nafas semacam ini. Apabila
mayat mereka dikeluarkan daripada kontena itu, rupanya hitam
kerana kepanasan. Apakah semua ini akan berulang lagi? Tidak ada sebab untuk
mempercayai Pakatan Utara telah memahami apakah ertinya hak
asasi manusia. Mereka dibekalkan peluru oleh Russia dan bantuan
logistik oleh Amerika. Beberapa gambar dalam akhbar Pakistan
semalam menunjukkan betapa anggota bersenjata PU
mendahului satu pasukan kecil askar Barat memasuk kawasan
pergunungan Afghanistan Utara. Adalah tidak mungkin askar-askar
kita ada membawa beberapa peraturan Konvensi Geneva untuk
diedarkan kepada teman-teman baru mereka.
Tamat. Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6357 |