Laman Webantu KM2: 6326 File Size: 8.7 Kb * |
TAG SP 440: LizM: B2 - Empayar Riak Yang Semakin Nazak By Liz Michael 9/11/2001 4:27 pm Fri |
http://www.lizmichael.com/deathbed.htm
6/11/01 (The American Empire On Its Deathbed)
Oleh: Liz Michael Rang Undang-Undang Anti Keganasan Menyediakan Waran
Kematian Kongres Amerika Syarikat telah mengusahakan beberapa rang
undang-undang dalam usaha mengawal semula keadaan dengan
menggunakan satu akta yang dinamakan dengan akronim
PATRIOT Act. Perundangan itu merupakan segelintir peraturan
yang paling mencekik kebebasan yang pernah diluluskan sejak
beberapa dekad yang lalu. Presiden George W. Bush dengan
mudah menandatangani akta tersebut tanpa sebarang bantahan,
malahan beliau memang begitu girang melaksanakannya. Sama
ada dia sedar mahupun tidak, pada ketika itu, George W. Bush,
telah menandatangani satu waran kematian Empayar Amerika.
Sememangnya ia adalah satu waran kematian Empayar Amerika
kerana beberapa sebab. Pertama, ia telah menggabungkan
beberapa pihak yang kecil-kecilan tetapi penting, di sebelah kiri,
tengah dan kanan, MENENTANG kerajaan Amerika Syarikat.
Penggabungan ini merupakan manusia biasa yang semakin
prihatin kepada kebebasan dan kemerdekaan. Secara asasnya,
Presiden dan Kongres Amerika telah memberitahu setiap individu
apakah itu konsep kebebasan dan kemerdekaan di Amerika,
daripada aktivis ACLU hinggalah penentang WTO-NAFTA,
kepada agamawan yang konservatif hinggalah pedagang yang
berfikiran bebas, agar semua mereka ini pergi jahanam. Dengan
lain perkataan, mereka telah memberitahu setiap patriot Amerika
yang tulen supaya jangan menyibuk lagi. Kebebasan dan
kemerdekaan itu adalah unsur yang tidak dianggap penting lagi.
Yang lebih dipentingkan ialah keselamatan. Anda harus duduk
dan tutup mulut, kibarkan bendera negara seperti yang diarahkan.
Sekaligus mereka menghidupkan kembali amaran Benjamin
Franklin (seorang bekas presiden Amerika - penterjemah) satu
ketika dulu, bahawa mereka yang menggadaikan kebebasan
kerana pentingkan keselamatan tidak layak menerima apa-apa.
Yang menjadi tragedi kepada mereka ialah kerajaan akan menjadi
bahan sasaran yang lebih besar daripada sebelumnya.
Luputnya 'Peperangan Membasmi Keganasan'
Alasan yang kedua ialah, kemunculan waran kematian itu akan
menentukan kecundangnya Peperangan Membasmi Keganasan.
Perlukah kegagalan itu disandarkan kepada insurans? Betul.
Bagaimana? Kenapa? Adalah tidak penting lagi bagaimana askar Amerika menjalankan
peranan mereka di luar negara. Adalah tidak penting lagi sama
ada mereka berjaya membunuh Osama bin Laden. Begitu juga
dengan jumlah anggota Al-Qaeda yang akan mereka bunuh di
luar negara. Ukuran sebenar kejayaan ataupun kegagalan
Peperangan Membasmi Keganasan (PMK) akan bergantung
kepada kemampuan tanah besar Amerika mempertahankan
segalanya selepas semua retorik dan tindakan di seberang laut itu
digembleng dan dianggap sudah selesai.
Ini membawa kita kepada alasan yang ketiga kenapa empayar
Amerika itu akan pupus juga. Ia ada kena mengena dengan dasar
imigresen negara. Daripada sejumlah dasar baru yang
dikuatkuasakan sejak beberapa bulan yang lalu untuk menentukan
keselamatan setiap manusia di negara ini, yang paling terserlah
yang mungkin membawa kebaikannya ialah untuk menutup semua
pintu masuk di sempadan dan membatalkan segala visa dan
'green cards' (satu sistem pra-kelayakan seseorang luar menjadi
warga Amerika - penterjemah), yang pernah diberikan kepada
sesiapa yang memasuki negara ini daripada negara yang
beragama Islam. Inilah satu akta yang mampu menyekat lebih
ramai pengganas memasuki negara ini, dan boleh menjadi satu
mekanisme untuk menghantar pulang sekitar 95% bakal
pengganas yang masih meraban di negara ini.
Sebaliknya kita telah mempersilakan warga Syria datang menyertai
kursus memandu pesawat terbang dan kita juga berhasrat mahu
memberikan orang Pakistan yang menyebelahi Taliban kartu bebas
(carte blanche) untuk memasuki negara ini dan berkecimpung
dalam aktiviti keganasan. Oleh kerana alasan yang ketiga itu tidak dapat diperbetulkan,
agen-agen yang berkemungkinan menghancurkan Amerika di
bulan-bulan yang mendatang dan tahun berikutnya, dan
mengorbankan berjuta manusia lagi, sudahpun berada dalam
negara ini dan akan terus kekal di sini. Lambat-laun mereka akan
menjalankan tugas mereka. Semua pengganas ini akan
menghancurkan tanah besar Amerika. Mereka akan melaksanakan
tugas itu tidak kiralah betapa berjayanya kita menakluki medan
perang di luar negara. Malahan, adalah serba mungkin setiap kali
kita menghenyak al-Qaeda di luar negara, setiap kali itu pula
pengganas di dalam negara kita ini akan menghancurkan kita.
Rakyat Amerika tidak akan memaafkan kerajaan dan segala agensi
kerajaan yang akan merelakan perkara ini terjadi. Mereka sendiri
akan berpaling tadah dan menghancurkan apa juga yang masih
tinggal tidak terjejas oleh al-Qaeda ketika itu nanti. Sama ada
mereka menjadi ahli Demokrat ataupun Republikan tidak membawa
sebarang makna kepada mereka kerana mereka semua telah
membiarkan perkara itu berlaku, dan kedua pihak ini juga yang
akan menanggung dosa kerana membiarkannya dilakukan.
FBI menunjukkan bahan bukti kehilangan pengawalan
Kini, sekali-sekala, pegawai kerajaan sudahpun menangkap
segelintir manusia pemusnah ini. Sebagai contohnya, peristiwa
mahu meledakkan 'Millennium Bomb' telah dapat ditumpaskan.
Tetapi, tidaklah sampai mereka itu dapat ditangkap, semuanya,
bertepatan dengan masanya. Kerajaan mengambil masa selama
tujuh belas tahun untuk menangkap pengganas pos yang terbesar,
yang disebut 'the Unabomber', sedangkan dia hidup hanya di
sebuah teratak sahaja. Mereka berjaya apabila Timothy McVeigh
memandu sebuah kenderaan yang tidak mempunyai plet nombor;
tetapi mereka masih tidak berjaya menangkap beberapa orang lagi
yang bersekongkolan dengan McVeigh. Kerajaan sudahpun
memenjarakan satu ribu orang asing gara-gara peristiwa ngeri
9-11: kalau adapun mereka yang telah didakwa, pendakwaan
mereka itu adalah berasaskan perkara yang remeh-temeh seperti
'berbohong dalam membuat laporan dan kenyataan kepada pihak
polis' mengenai pertemuan mereka dengan salah seorang
pengganas, ataupun berbohong ketika mengisi borang
permohonan untuk sesuatu. Ini menunjukkan kepada saya
bagaimana penguatkuasa tidakpun mempunyai sebarang peraturan
yang terencana untuk mendekati sesuatu. Penangkapan sekitar
satu ribu manusia itu tanpa sebarang dalil menunjukkan betapa
tertekannya pihak penguatkuasa dan ia memberikan pertanda
yang amat jelas bagaimana mereka telah kehilangan pengawalan:
dan inilah pertanda kezaliman yang ramai antara kita enggan
merelakannya di amalkan di sebuah negara yang sepatutnya
bebas merdeka. Tidak ada sebuah kerajaan yang bersifat hakiki dan boleh
bertahan sehingga kiamat. Namun, saya kenal ramai manusia
dalam kerajaan yang mempunyai tanggapan semacam ini. Banyak
kerajaan dan ramai pemimpin kerajaan yang bercakap
seolah-olah mereka akan terus berkuasa tanpa perlu
menyerahkan kuasa. Hitler bercakap mengenai 'a thousand year
Reich' yakni satu kerajaannya yang dapat bertahan hingga
kiamat, sedangkan kerajaannya itu tumpas selepas 12 tahun
sahaja. Kerajaan kepada salah satu kuasa yang paling besar
dalam abad ke-20 dulu, Soviet Union, runtuh dan gagal bertahan
untuk melangkah ambang abad ke-21.
Sama ada Amerika Syarikat dapat bertahan dengan selamatnya
sebagai satu entiti, sama ada ia dapat diselamatkan semula
mengikut landasan yang pernah dilakar oleh peneroka asalnya,
sama ada kita dapat melihat perpecahannya kepada beberapa
wilayah dan negeri dan daerah, sama ada kita melihat nanti satu
pembentukan semula beberapa negara yang berpecah itu menjadi
satu 'Confederate States of America' ataupun 'Indian Nations'
(bekas wilayah Red Indians - penterjemah) adalah sesuatu yang
tidak dapat saya ramalkan. Tetapi ada satu perkara yang amat
saya yakini: apa yang disebut sebagai dunia kuasa besar imperial
Amerika Syarikat sudahpun menghilang. Ia mungkin mampu
bertahan setakat selepas tempoh jawatan presiden Bush yang
ada, tetapi tidak mungkin ia dapat bertahan lebih lama lagi
dari itu. Saya mendoakan agar tidak ramai warga Amerika yang ada
sekarang ini yang tidak terbunuh bersama kerajaan mereka.
....bersambung.... Terjemahan: SPAR. Asal: KM2 6324 |