Laman Webantu KM2: 6317 File Size: 13.8 Kb * |
TAG SP 434: FAC: Reformasi Perlu Diolah Semula By FAC 8/11/2001 9:38 am Thu |
[Masalahnya berakar di kepimpinan parti yang sebenarnya masih belum
mereformasi strategi, pemikiran dan cara. Mereka berhenti di jalan besar
bila disekat sedangkan jalan yang lain (mengikut undang-undang) masih ada.
'They have failed to reengineer the masses and seldom appear even in this
cyber atmosphere. If you can't shake them there you should stir them here. Because
they will soon end up all there.' Free Anwar Campaign (FAC) 23 Oktober 2001 (Reformasi Needs to Reinvent Itself) Akhbar-akhbar asing memperkatakan tentang terkuburnya gerakan
reformasi di Malaysia. Sesetengah akhbar masih memberikan
harapan. Mereka kata, 'Reformasi mungkin malap tetapi tidak
lenyap'. Pada hari Isnin, 15 Oktober 2001, Mahkamah Persekutuan
Kuala Lumpur membincangkan tentang gerakan Reformasi dengan
panjang lebar. Adakah sepuluh pemimpin Parti Keadilan Nasional
(keADILan) dan aktivis tidak berpartian yang ditahan di bawah Akta
Keselamatan Negara (ISA) pada bulan April 2001itu benar-benar
merupakan ancaman kepada keselamatan negara sebagaimana
yang didakwa oleh pihak polis, atau adakah mereka ditangkap
kerana mereka merupakan tulang belakang kepada gerakan
Reformasi? Pihak juri masih belum lagi membuat sebarang keputusan tentang hal
ini dan selewat-lewatnya minggu hadapan baru keputusannya akan
diketahui. Mahkamah Persekutuan telah mengiktiraf kewujudan gerakan
Reformasi. Malah telah berlaku perbahasan di antara hakim dan
pembela tentang sama ada Hakim Augustine Paul perlu menarik
dirinya dari mendengar Writ Habeas Corpus yang difailkan oleh
kesepuluh tahanan tersebut memandangkan beliau boleh dilihat
sebagai bersikap anti- Reformasi. Akan tetapi sebagaimana tiada sesiapapun yang mempertikaikan
kewujudan gerakan Reformasi, tiada seorang pun yang dapat
memberitahu siapakah di belakang gerakan tersebut dan di dalam
bentuk yang bagaimana ia dikatakan wujud. Reformasi tidak
mempunyai ketuanya. Gerakan itu sendiri tidak mempunyai struktur.
Ia bukanlah sebuah pertubuhan berdaftar. Apa yang ada hanyalah
penganjur-penganjur demonstrasi Reformasi. Adakah Anwar Ibrahim
yang menubuhkan atau menerajui gerakan Reformasi? Boleh jadi ya
dan tidak! Gerakan Reformasi dilahirkan sebaik sahaja Perdana Menteri Dr.
Mahathir Mohamad menyingkirkan Anwar dari kerajaan pada 2
September 1998. Ia memuncak pada 20 September apabila Anwar
berjaya menghimpunkan seramai lebih kurang 100,000 orang yang
membantah di Dataran Merdeka, menyebabkan Mahathir bertindak
menahan Anwar di bawah ISA bagi meredakan apa yang dilihat
sebagai keadaan yang bakal mencetuskan satu revolusi.
Tanpa Anwar di sisi, gerakan tersebut mula menjadi kurang
bermaya. Ia mendapat lonjakan sementara apabila keluar berita
tentang Anwar yang keracunan arsenik. Orang ramai turun ke
jalan-jalanraya mendesak campur tangan Istana dan menggesa
penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dalang di
sebaliknya. Di hari keputusan perbicaraan kes Anwar pada 14 April 1999 dan 8
Ogos 2000, demonstrasi-demonstrasi muncul semula - walau
bagaimanapun pada skala yang berkurangan. Ulangtahun hari
penghukuman - yang dikenali sebagai 'Gelita 14' - begitu juga
dengan hari kelahiran Anwar, perhimpunan-perhimpunan kecil
diadakan. Namun ia hanya dihadiri oleh seramai lebih kurang 1000
penyokong-penyokong kuat dan tidak dapat menandingi
perhimpunan besar seperti yang berlaku pada 20 September 1998.
Pada hari ini, gerakan Reformasi sedang bertarung untuk terus
hidup. Pukulan mautnya berlaku pada bulan April 2001 apabila
Ketua Pemuda keADILan Ezam Mohd. Nor dan teman-teman
rapatnya seperti Lokman Noor Adam, Tian Chua, Saari Sungip,
Hishamuddin Rais, Dr. Badrulamin Bahron, N. Gobalakrishnan dan
Abdul Ghani Haroon ditangkap di bawah ISA. Pembebasan
Gobalakrishnan dan Ghani kemudiannya oleh mahkamah Shah Alam
memberikan kejutan kepada setiap orang tetapi mereka yang lain
ditahan di Kem Tahanan Kamunting untuk satu jangka masa yang
tidak pasti di mana mereka tidak lagi boleh menjadi ancaman kepada
parti pemerintah. Gerakan Reformasi membuat 'comeback' pada bulan November
2000 apabila Lebuhraya Kesas menjadi 'standstill'. Pihak
penganjur sendiri terkejut apabila mereka berjaya menghimpunkan
seramai lebih kurang 50,000 orang. Berdasarkan kejayaan ini, satu
keputusan telah dibuat untuk mengatur program seperti itu dengan
lebih kerap. Percubaan yang seterusnya walau bagaimanapun -
perjumpaan Hari Raya dua bulan kemudiannya - menarik kurang
dari 5000 penyokong. Selepas itu, bilangan yang hadir ke
perhimpunan semakin berkurangan kepada hanya di antara 1000
dan 2000 manakala semua percubaan untuk mengulangi kejayaan
perhimpunan di Kesas menemui kegagalan.
Pihak polis percaya bahawa mereka yang menjadi nadi gerakan
Reformasi adalah lima pemimpin keADILan dan seorang aktivis
politik yang kini berada di bawah ISA di Kamunting. Itulah sebabnya
mengapa mereka ditahan - untuk membunuh gerakan tersebut.
Apabila mereka berjaya disisihkan, gerakan itu kini terpaksa
bergantung kepada segelintir pejuang di barisan kedua - reformis -
yang kebanyakannya merupakan mereka yang tidak berpartian dan
tidak berupaya untuk menyusup masuk ke dalam jentera parti bagi
mengerakkan orang ramai. Tanpa penglibatan parti, sokongan yang
bersepadu dari ahli-ahli parti adalah sukar didapati.
Pada hari Jumaat, 31 Ogos 2001, para reformis cuba menguji sama
ada mereka boleh menghimpunkan orang ramai tanpa sokongan dari
parti dengan menganjurkan apa yang sepatutnya menjadi peristiwa
kedua terbesar selepas perhimpunan di Lebuh raya Kesas hampir
setahun yang lalu. Walau bagaimanapun, mereka hanya berjaya
menghimpunkan seramai lebih kurang 400 ke 500 penyokong. Ada
yang menganggarkan bilangan yang menyertai perhimpunan itu
cuma seramai 100 ke 200 orang - sebilangan yang lain hanyalah
pemerhati yang ingin tahu dan mereka yang lalu-lalang selepas
selesai menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid yang berdekatan.
Bilangan anggota polis melebihi bilangan penunjuk perasaan pada
kadar dua kepada satu. Gerakan Reformasi perlu memperkemaskan dirinya sendiri. Ia perlu
menerima hakikat bahawa ia tidak lagi mempunyai sesuatu yang
berupaya menarik orang ramai turun ke jalan-jalanraya.
Kejayaannya pada masa-masa yang lalu disebabkan oleh
faktor-faktor tertentu yang tidak lagi prevalen pada masa kini.
Gerakan tersebut perlu menilai kekuatannya dan mengenalpasti
kelemahannya sekiranya ia mahu terus memainkan peranan sebagai
kumpulan yang mendesak kepada perubahan.
Sebagai permulaan, Dr. Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden
Keadilan tidak mempercayai bahawa demonstrasi jalanan adalah
satu cara perjuangan yang sepatutnya. Dan beliau telahpun
menyatakan pendiriannya itu. Beliau merasakan faedah yang boleh
didapati darinya adalah terlalu sedikit dan keburukannya pula terlalu
besar. Demonstrasi jalananlah yang telah mengakibatkan
penangkapan di bawah ISA pada bulan April 2001 dan enam
pemimpin parti dan aktivis kini tersisih disebabkan perkara itu. Dr.
Chandra percaya bahawa demonstrasi jalanan tidak dapat mencapai
matlamat yang diharapkan dan hanya memberikan pihak polis sebab
yang baik untuk menahan para pemimpin parti dengan berselindung
di sebalik alasan keselamatan negara.
Seandainya keADILan menyokong demonstrasi, ia tetap tidak dapat
memberikan sesuatu yang baik. Kejayaan di Lebuhraya Kesas
bukanlah disebabkan keADILan semata-mata, tetapi disebabkan
kesemua empat parti komponen Barisan Alternatif terlibat. Malahan,
Parti Islam seMalaysia (PAS) memberikan penyertaan yang terbesar
di mana adalah dianggarkan bahawa lebih kurang 90% dari mereka
yang turun itu terdiri dari para penyokongnya.
Tambahan pula, di dalam peristiwa di Kesas, kesemua pemimpin
utama barisan pembangkang turut serta - Presiden, Timbalan
Presiden, Ketua Pemuda dan lain-lain lagi - menjadi satu tarikan
pula kepada orang ramai untuk turun menyertainya. Selain dari itu,
orang ramai tidak sahaja dihadkan kepada mereka yang tinggal di
bandar tersebut. Mereka semua datang sehari atau dua hari lebih
awal dari seluruh pelusuk Malaysia untuk menyertai bantahan
tersebut. Secara ringkasnya, ia merupakan satu program peringkat
kebangsaan, bukanlah yang melibatkan masyarakat setempat sahaja
- dan ia adalah satu program yang disokong dan dibiayai oleh BA.
Namun begitu perhimpunan di Lebuhraya Kesas telah dirancang
dengan begitu teliti. Enam minggu sebelumnya, mesyuarat demi
mesyuarat diadakan di mana pihak penganjur mengambil kira setiap
perkara secara terperinci dan tidak meninggalkan satu pun di
belakang. Setengah juta lampiran kecil 'flyers' dicetak dan
diedarkan, dan 100,000 poster bersaiz penuh ditampalkan di seluruh
bandar. Masjid-masjid 'diserang' pada setiap Jumaat dengan
penyebaran 'flyers' di semua pintu masuk utamanya.
Pada setiap ceramah di seluruh negara, pengumuman dibuat
menggesa para penyokong supaya turun ke Kuala Lumpur menyertai
perhimpunan itu. Kesemua empat Presiden parti berikrar memberikan
sokongan dan orang ramai berhimpun di sekeliling
presiden-presiden mereka. Ia merupakan satu tugas sepenuh masa
buat pihak penganjur dan itulah yang telah menjamin kejayaan
kepada perhimpunan di Lebuhraya Kesas.
Kini, PAS kelihatan tidak lagi berminat untuk menyokong demonstrasi
jalanan - sekurang-kurangnya tidak kepada program-program yang
pro-Anwar atau Reformasi. Ia juga telah kehilangan 19 dari
pemimpinnya kepada ISA dan mengikut spekulasi adalah
dijangkakan ia akan kehilangan seramai lebih kurang 30 orang lagi
dalam masa yang terdekat ini. Tidak dinafikan, tanpa sokongan PAS,
sambutan hangat dari orang ramai tidak dapat diharapkan.
Keunggulan PAS telah dibuktikan pada hari Jumaat yang lalu, 12
Oktober 2001, apabila mereka berjaya menghimpunkan seramai
7000 hingga 8000 penyokong untuk berdemonstrasi di hadapan
bangunan Kedutaan Amerika Syarikat selepas sembahyang Jumaat.
Bandingkan ini dengan program Reformasi selepas sembahyang
Jumaat pada 31 Ogos di mana tidak sampai 5% dari bilangan
tersebut yang hadir. Pihak polis percaya mereka telah berjaya melumpuhkan gerakan
Reformasi dengan penahanan enam pemimpin Reformasi di
Kamunting. Mereka menjadi bertambah yakin lagi akan perkara ini
melihatkan banyak percubaan yang telah gagal untuk mengerakkan
orang ramai semenjak itu. Sekiranya gerakan Reformasi berjaya
meyakinkan pihak polis perkara yang sebaliknya, keenam-enam
pemimpin itu akan tetap berada di dalam tahanan untuk satu jangka
waktu bagi memastikan gerakan tersebut terus tenggelam.
Gerakan Reformasi menyalahkan Pemuda keADILan untuk ini. Ia
mengatakan Pemuda keADILan tidak berani untuk berjuang selepas
melihat apa yang berlaku kepada pemimpinnya pada bulan April
2001. Pemuda keADILan, walau bagaimanapun, merasakan tidak
ada gunanya membiarkan lebih ramai dari pemimpinnya ditahan di
belakang pagar berduri di Kamunting dalam mengejar satu
perjuangan yang sudah kehilangan arah.
Gerakan Reformasi sedang cuba untuk membuktikan bahawa segala
kritikan yang dilemparkan terhadapnya itu sebagai tidak benar. Pada
hari Sabtu, 27 Oktober 2001, ia merancang satu konvoi ke Pusat
Tahanan Kamunting. Pihak polis, sudah pasti, akan cuba untuk
menggagalkan rancangan ini. Soalannya adalah, adakah ini akan
menjadi satu lagi acara Reformasi sahaja atau adakah PAS akan
turun memberikan sokongan kepadanya memandangkan 19 dari
pemimpinnya turut ditahan di bawah ISA? (Catatan penterjemah - 27
Oktober telahpun berlalu dan semua soalan ini sudahpun dapat
dijawab!) Apabila sepuluh pemimpin dan aktivis Reformasi ditahan dalam
bulan April, terdapat tentangan yang kuat yang membuatkan pihak
polis sendiri terfikir sama ada mereka telah tersilap membuat
perhitungan. Namun apabila sepuluh orang yang seterusnya ditahan
- kali ini kesemuanya merupakan pemimpin PAS - tidak ada apa
pun yang berlaku. Jelaslah PAS tidak bertindakbalas secara keras
sebagaimana keADILan apabila orang-orangnya ditahan. Maka,
kumpulan yang lain pula ditahan dan, kemungkinan, lebih banyak
tangkapan akan dibuat pada masa akan datang.
Ramai yang merasakan bahawa PAS tidak akan memberikan
sepenuh sokongan kepada konvoi 27 Oktober. Lihatlah apa yang
berlaku apabila Ibrahim Libya terbunuh, hujah mereka. Perkara
pertama yang PAS lakukan adalah menafikan bahawa beliau
mempunyai sebarang perkaitan dengan parti. Lebih dari itu, apabila
sepuluh dari pemimpinnya ditangkap baru-baru ini, PAS mengutuk
ekstrimisme - seolah-olah mengumumkan bahawa kesepuluh orang
itu memang merupakan golongan ekstrimis - daripada
mempertahankan mereka dengan menafikan penglibatan mereka di
dalam sebarang tindakan keganasan. 27 Oktober 2001 adalah hari penentu. Bolehkah gerakan Reformasi
menarik penyertaan yang boleh dibanggakan di dalam konvoi itu?
Sekiranya ia boleh, maka tidak dapat dinafikan bahawa gerakan
tersebut mungkin malap tetapi pastinya jauh sekali dari terus lenyap.
Sekiranya, walau bagaimanapun, tiada sesuatu yang
memberansangkan berlaku, maka pihak polis pasti akan bergembira
dan mendakwa bahawa tindakan yang paling baik telah mereka
laksanakan adalah dengan menangkap Ezam dan rakan-rakannya
di bawah ISA. Seperti yang mereka kata, satu lagi jalan yang perlu dilalui, dan
jalan itu mungkin merupakan satu jalan yang panjang dan penuh
berliku buat gerakan Reformasi di Malaysia. 27 Oktober adalah ujian
asid kepada gerakan tersebut. Sekiranya gerakan itu dapat
membuktikan bahawa, tanpa Ezam dan yang lainnya, ia tidak dapat
membuat sebarang kesan, maka Ezam akan disisihkan untuk satu
masa yang panjang. Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6316 |