Laman Webantu KM2: 6305 File Size: 4.9 Kb * |
TAG SP 428: Doktor Islam Bertugas Memerangi Perasaan Jahat By Peter Simunovich 7/11/2001 1:50 am Wed |
Newsday.com - Labouring to heal Doktor Islam Bertugas Memerangi Perasaan Jahat
(Muslim doctors work to counter ill feelings)
Oleh Peter Simunovich. Tiga hari selepas Pusat Dagangan Dunia diserang, Abu Yousuf,
seorang beragama Islam adalah antara pemimpin pelbagai anutan
agama yang berkumpul untuk sama-sama berdoa di Coney Island
Hospital. Dia mulakan doanya dengan menyebut 'Bismillah...,' dan ketika itu
semua yang hadir menundukkan kepala mereka. Yousuf, 33, adalah
seorang 'radiographer' di hospital itu, dan mengangkat mukanya
untuk melihat reaksi yang hadir. 'Ketika saya mengangkat muka memerhatikan sekeliling, saya
nampak semua orang menundukkan kepala mereka, dan ini sungguh
menyayat hati,' kata Yousuf. 'Semua orang merasa sedih
mengenangkan orang yang terkorban,' katanya secara perlahan.
'Semua orang merasa sedih dan majlis itu berjaya
menyatu-padukan semua orang di hospital itu. Wujud sepakatan
ketika itu,' katanya. Hampir 500 orang menghadiri upacara di hospital itu menyambut
seruan Presiden Bush untuk diadakan upacara berdoa dan
mengingati serangan di New York, Pentagon dan Pennsylvania.
Kejayaan upacara agama itu memperteguhkan semangat kesatuan
di kalangan warga Islam di hospital itu, terutama sekali dengan
wujudnya satu ruang untuk bersolat di hospital itu sejak beberapa
bulan yang terdekat. Kengerian serangan itu menghenyak kerisauan warga Islam secara
amnya. Satu hari selepas serangan itu, Yousuf yang berasal
daripada Bangladesh, dapat mendengar cemuhan dan kemarahan
segelintir manusia ketika dia pergi bersolat di sebuah masjid
berdekatan tempat tinggalnya di Brooklyn. 'Mereka menghina
saya,' katanya. Dr. Muhammad Hossain, 45, yang juga berasal daripada
Bangladesh, dan seorang doktor pakar di hospital itu, telah turut
merasakan tempias peristiwa ngeri itu, sehingga menjejas
keselamatannya. Beg miliknya diperiksa di pintu masuk hospital -
satu perkara yang belum pernah dialaminya.
'Semua orang merasa tertekan sejurus serangan itu,' kata Dr.
Mohammad I. Uddin, 37 seorang doktor pakar daripada Bangladesh.
'Pernah berlaku apabila seorang wanita yang memakai hijab
berada dalam lif bersama anaknya telah diejek oleh dua orang
muda yang menyebabkan beliau merasa tidak selesa."
Lebih 100 orang beragama Islam bertugas di hospital itu dan ramai
doktor yang menceritakan pengalaman mereka yang
bercampur-baur - daripada simpati kepada kebencian - daripada
kakitangan dan para pesakit sejak peristiwa September 11.
Dr. Khaja Mohsin 26, seorang doktor daripada India, berkata dia
telah bercakap dengan pesakit yang memahaminya dan menambah,
'Kamipun turut merasakan keperitan itu dan kami terpaksa
menyebut betapa episod itu adalah satu tragedi yang dahsyat.
Ramai juga orang Islam yang mati di Pusat Dagangan Dunia.'
'Di masjid, kami telah mengumpulkan derma untuk mangsa dan
juga mendapatkan derma darah. Kami bersatu dalam perkara ini dan
menghadapinya secara bersama,' kata beliau.
Brian palmer, Ketua Eksekutif hospital itu, menyebut kisah seorang
petugas wanita yang telah dinasihati oleh ibunya agar
menanggalkan hijab yang menjadi pakaian hariannya sebagai satu
cara mengelakkan kemungkinan beliau diserang dan diaibkan.
'Di menjadi tertekan dengan nasihat itu, dan berbincang dengan
suaminya yang menyuruh isterinya membuat keputusannya sendiri.
Wanita itu terus mengenakan pakaian hijab itu. Mujur tidak ada
sesiapa mengacaunya dan ini telah menggembirakan beliau,' kata
Palmer. Serangan ngeri itu telah menjejaskan perasaan Yousuf. 'Saya
terkejut dan gementar ketika ia berlaku. Saya tidak mampu berdiri di
hadapan TV dan melihatnya dengan para pesakit kerana ia
sungguh memalukan. Kita orang Islam bukannya seperti itu.'
Uddin menambah; 'Kalau ada sesiapa yang tertekan, kita sebagai
orang Islam mesti menolongnya dan kalau ada sesiapa yang
ditekan kita mesti menolong juga. Orang Islam tidak boleh
menebang pokok ataupun membunuh haiwan sesuka hati tanpa
sebabnya.' Uddin juga terharu dengan beberapa pesakit yang memahami
masalahnya dan bertanya mengenai keselamatan keluarganya.
'Orang Islam dimestikan bersolat lima kali sehari dan sejak Sep. 11
kita telah berdoa kepada Allah untuk membantu mangsa dan negara
ini yang terjejas kerana serangan itu,' kata Dr. Abdul Rahman, 36,
seorang pakar perubatan daripada Bangladesh.
Yousuf yakin bahawa satu cara memperbaiki kefahaman terhadap
agama mereka ialah dengan mengadakan lebih banyak majlis
pertemuan. 'Adalah menjadi tugas kita untuk menerangkan ajaran
agama Islam kepada mereka yang belum memahaminya,' kata
beliau. Terjemahan: SPAR.
|