Laman Webantu KM2: 6240 File Size: 5.8 Kb * |
TJ SP MGG: Malaysia Akan Membeli Kereta-kebal By M.G.G. Pillai 29/10/2001 9:21 am Mon |
[Satu alasan yang logik selain untuk menyamun
komisen yang tinggi-tinggi ialah keretakebal ini mahu dipertontonkan
kepada dunia setiap kali Malaysia menggunakannya apabila
menyertai pasukan keselamatan dunia tajaan PBB. Siapakah di
kalangan menteri dan pemimpin politik yang mahu ambil kira bagi
setiap keretakebal canggih dan tidak berguna itu, kerajaan boleh
menyediakan rumah yang selesa untuk satu kompeni anggota
tentera? Siapakah yang mahu ambil-pusing bahawa harga sebuah
keretakebal adalah sama nilainya dengan program melengkapkan
setiap markas tentera di Malaysia ini dengan cybercafe untuk warga
tentera? Mungkinkah satu hari nanti, kalau ada menteri Islam yang
mati dan mayatnya tidak mahu diterima oleh bumi, mayatnya boleh
di'simpan' dalam salah satu keretakebal ini? - penterjemah. ]
Malaysia Akan membeli kereta-kebal
(Malaysia to buy heavy military tanks)
Oleh: M.G.G. Pillai Menteri Pertahanan, Najib Tun Razak, yang diminati oleh Mahathir
untuk menjadi penggantinya, telah membuat satu pengumuman yang
aneh sebaik sahaja selesainya expo pertahanan LIMA, bulan lalu.
Beliau menyebut hasrat Malaysia membeli keretakebal untuk
tenteranya. Tetapi, tidak pula disebut apa makna sebenarnya,
ataupun kenapa dan berapa harganya, ataupun apakah keretakebal
itu bersesuaian dengan keadaan persekitaran kita yang
mengandungi hutan tebal tropika. Jenis keretakebal yang disebutnya itu adalah jenis berat yang
sesuai untuk digunakan di kawasan yang tidak ada di Malaysia ini.
Amerika Syarikat mempunyai jenis A-1 M-1, dan Russia mempunyai
jenis T-72. Kedua-dua jenis ini tidak sesuai digunakan untuk hutan
tropika di Malaysia. Jadi, apa gunanya Malaysia berminat dengan
keretakebal yang tidak bersesuaian di sini? Keretakebal mempunyai
fungsi yang lebih cenderung untuk tujuan menyerang daripada untuk
bertahan. Siapakah agaknya musuh kita nanti? Apakah musuh itu
Singapura ataupun Thailand? Bagaimana pula keputusan itu akan
dibuat? Keretakebal jenis Penhard yang digunakan di Malaysia sekarang ini
telah dibeli 30 tahun yang lalu dan perlu diganti kerana ia bukannya
sesuai untuk dataran Malaysia. Malahan jenis Caddilac yang
digunakan oleh polis tidak sesuai untuk tindakan anti-komunis
kerana keadaan bumi yang terlalu lembik untuk mereka harungi. Kini,
Malaysia memikirkan keretakebal besar pula. Dalam pembelian
kelengkapan perang, bayaran sogokan adalah tinggi, terutama sekali
di Malaysia dan inilah sebabnya Malaysia amat mesra menerima
tawaran sesiapa yang mempunyai 'cadangan' yang sesuai untuk
kita membeli kelengkapan mereka. Tentulah memeranjatkan kita apabila menteri pertahanan, seiring
pendapat dengan kabinet, menunjukkan minat kepada isu geopolitik
dan pertahanan, dan tidak melihat kelemahan keputusan membeli
keretakebal perang itu. Siapakah yang membuat keputusan dalam
pembelian ini? Selalunya majlis Angkatan Tentera yang membuat
keputusan itu. Majlis ini diketuai oleh Perdana Menteri. Tetapi, tentu
ramai pakar tentera yang menganggotai majlis itu yang seharusnya
mengemukakan bantahan terhadap pembelian itu. Berlakukah
perkara seperti itu? Jadi, kini muncul persoalan apakah kita memerlukan semua
keretakebal ini? Pembeliannya, walaupun begitu tidak sesuai kepada
topografi kita, ia memberikan satu isyarat yang silap kepada jiran
kita, Singapura dan Thailand. Hubungan kita dengan dua buah
negara itu bukanlah seindah yang sepatutnya. Keretakebal itu
sepatutnya dipertimbangkan seandainya pembeliannya tidak
mencetuskan perasaan kecurigaan di kalangan jiran kita semua. Jika
tidak, kedua-dua negara ini akan memperkasakan pertahanan
mereka dengan lebih teliti lagi untuk tujuan pertahanan dan
serangan. Ini akan membuatkan pertahanan kita terdedah kepada
serangan. Malaysia telah membuat keputusan untuk membeli
submarin (kapalselam). Mereka berlengah-lengah tanpa mampu
membuat keputusan yang tegas, sedangkan beberapa cadangan
daripada ramai jurujual kelengkapan perang yang selalunya
merupakan pegawai tinggi tentera dan ahli politik mereka yang turut
mesra (ataupun sebaliknya?) Jenis yang dibeli itu selalunya
bergantung kepada jumlah komisen yang akan dapat diperah
daripada setiap pembelian itu. (Malaysia sudah mula menghantar
pegawai tentera untuk membawa pulang submarin sejak pertengahan
80-an dulu, pada tahap awalannya di Brussels, Belgium. Ramai
pegawai itu sudahpun bersara dan ada yang sudah pulang ke alam
baqa, agaknya -penterjemah). Sementara itu, jiran-jiran kita telah memerhatikan semua ini, dan
dengan senyap-senyap telah memperkasakan ketumbukan
ketenteraan mereka sebagai satu jalan berhati-hati. Malaysia yang
terkejut dengan perkembangan ini cuba membeli kelengkapan
perang yang tidak berguna (kecuali untuk mengisi kocek orang
tertentu - penterjemah) Kecanggihan teknologi dan kehebatan
sesuatu kelengkapan perang ketenteraan itu tidak diambil kira dan
tidakpun ada tenaga manusia yang terlatih untuk menyelia
kelengkapan yang telah dibeli, seperti yang banyak berlaku di
Malaysia selama ini. Menteri pertahanan sepatutnya memberikan
penjelasan kenapa Malaysia memerlukan keretakebal jenis berat dan
lasak ini, kepada Parlimen dan negara keseluruhannya.
Keputusannya itu akan menjentik perasaan pihak tertentu di
bahagian utara dan selatan Malaysia dan mereka berkemungkinan
bertindak balas pula. M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR-01-1721 Asal: KM2 6220 |