Laman Webantu KM2: 6237 File Size: 26.9 Kb * |
TAG SP 392: Iranian: B5-B6 Anggota Badan Yang Tidak Bertuan By Mohsen Makhmalbaf 29/10/2001 1:01 am Mon |
http://www.iranian.com/Opinion/2001/June/Afghan/
The Iranian (Limbs of No Body) Oleh: Mohsen Makhmalbaf Afghanistan mempunyai satu kawasan seluas 700,000 kilometer
persegi, yang dipenuhi kawasan pergunungan sekitar 75 peratus
kawasan itu. Penduduknya menghuni kawasan lembah yang banyak
bergua dan dikelilingi banjaran gunung sebagai temboknya. Inilah
yang melakarkan pelbagai ketinggian alam yang menjadikan
kehidupan itu sesuatu yang mengancam, penuh dengan lorong sukar
yang panjang, menjadi penghalang untuk berdagang. Namun semua
itu dianggap sebagai satu kubu asli kepada kesinambungan budaya
dan semangat kehidupan setiap puak Afghan. Kekurangan jalanraya
di seluruh negara menyekat usaha setiap pejuang yang berminat
menguasai Afghanisan, dan ia juga mengecewakan usaha para
pedagang yang mempunyai harta yang mungkin dijadikan alat
pertumbuhan ekonominya. Banjaran gunung yang luas menyekat niat penceroboh asing untuk
masuk mengganas. Ia juga menyekat sebarang pengaruh budaya
asing dan kegiatan ekonomi. Sebuah negara ayang mempunyai 75
peratus kawasannya yang bergunung-ganang tentu mempunyai
masalah mewujudkan pasaran pengguna di bandar yang berindustri
dan mengeksport barangan pertanian ke kawasan bandar. Walaupun
senjata api digunakan untuk berperang, peperangan itu mengambil
masa untuk mencetuskan penyelesaiannya.
Pada zaman dahulu, Afghanistan merupakan pusat perhentian untuk
laluan sutera yang bermula daripada China melalui Balkan dan India
menuju Kandahar. Perkembangan pengangkutan melalui samudera
dan kemudiannya ruang udara, telah mengubah peranan Afghanistan
daripada laluan komersial purba menjadi laluan jalan mati. Laluan
Sutera purba merupakan satu jalan untuk khafilah unta dan kuda
tanpa sebarang ciri-ciri jalanraya biasa. Laluan yang
berbengkang-bengkuk melalui Nadir Shah, Alexander, Timur dan
Mahmoud Ghiznavi membawa haluan ke India. Di sepanjang jalan
yang meniti banjaran gunung memang terdapat beberapa jambatan
kayu yang telah lama rosak dan mereput sejak peperangan yang
meledak lebih 20 tahun itu. Mungkin juga pada hari ini, selepas dua dekad penjajahan asing dan
peperangan saudara, rakyat Afghan mahukan parti politik yang
terkuat memenangi kuasa untuk melakarkan satu halatuju yang
menepati takdir Afghanistan, tidak kira apakah cabarannya. Inilah
harapan yang tersekat juga oleh banjaran gunung-ganang itu.
Mungkin juga pejuang tulen Afghanistan sebenarnya bukanlah rakyat
yang sentiasa lapar dan terpaksa bermandiri tetapi banjaran gunung
yang enggan menyerah diri. Pasukan Tajik yang diketuai oleh Ahmad
Shah Massoud (arwah) dapat bertahan kerana kewujudan Lembah
Panjshir. Seandainya Afghanistan tidak punyai banyak banjaran
gunung, sudah lama Soviet Russia mampu menguasainya; ataupun ia
sudah lama dimangsakan oleh Amerika yang menjadikanya padang
buruan laksana Kuwait di timur Tengah dan merapatkan wilayah itu
lebih dekat lagi kepada pasaran Asia Tengah.
Bergunung-ganang bererti kos peperangan yang bukan kepalang
dan kos pembinaan semula negara yang akan lebih tinggi harganya.
Kalaulah Afghanistan tidak begitu dahsyat keadaan buminya, sudah
tentu ia mempunyai kemudahan untuk mengembangkan ekonomi,
ketenteraan, politik dan prasarana budayanya. Apakah keadaan
geografi ini satu sialan? Bayangkan peranan seorang pejuang yang
menuruni dan mendaki pergunungan setiap kali. Andaikan kalau dia
mampu menakluki keseluruhan Afghanistan? Tentunya dia perlu
selalu mendaki ke puncak untuk membawa bekalan kepada bala
tenteranya. Banjaran gunung ini sudah mencukupi menjadi satu
benteng yang perkasa mempertahankan Afghanistan daripada
kerakusan musuh asingnya dan sahabat setempat yang haloba.
Apabila diamati peperangan Soviet Afghan dulu, kita dapat
perhatikan penentangan negara itu daripada bahagian dalamnya, di
mana setiap puak dan suku kaum mempertahankan lembah
penempatan mereka yang telah memerangkap mereka juga. Apabila
musuh berundur, sekali lagi mereka melihat lembah yang bebas itu
sebagai pusat dunia mereka. Sedangkan itulah tempatnya yang amat
sukar untuk bertani. Hanya 15 peratus tanah yang ada sesuai untuk
pertanian dan hanya setengah daripada kawasan tani yang sesuai
itu yang dapat mereka usahakan. Usaha menternak adalah diransang
oleh adanya padang ragut di lereng banjaran atau di kawasan
berdekatan. Bolehlah kita katakan Afghanisan menjadi mangsa kepada keadaan
topografinya. Tidak ada jalanraya di pergunungan itu dan pembinaan
jalan memang sesuatu yang tidak termampu. Kalau adapun laluan, ia
merupakan lorong ketenteraan ataupun laluan sempit untuk
kerja-kerja penyeludupan. Kalau adapun jalan yang boleh ditafsirkan
sebagai lebuhraya, ia wujud di pinggir sempadan. Bagaimana
mungkin jalanraya sempadan berfungsi sebagi nadi utama laluan
Afghanistan yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang
menyangkuti sosial, budaya, ekonomi dan telekomunikasi? Dulu, ada
juga jalanraya antara negeri dan wilayah, tetapi peperangan telah
menyebabkannya hancur dan musnah. Siapakah yang akan meraih
keuntungan apabila jalan baru diusahakan nanti? Daripada projek
apakah yang menghasilkan sesuatu untuk mengongkosi pembikinan
jalanraya sebegitu? Ramai yang berkata bahawa Afghanistan dipenuhi beratus ribu
jerangkap samar. Daripada bahagian mana antara kawasan yang
sungguh berbahaya yang mengandungi sumber kaya yang boleh
meransang pencarian destinasinya? Siapakah yang sanggup
melabur memasang jerangkap samar untuk menjana keuntungan di
satu masa depan yang tidak ada kepastiannya? Apakah kekurangan
jalanraya itu sudah mencukupi menumpulkan cita-cita Soviet dan
Afghan untuk membasmi segala jerangkap samar yang lama tertanam
itu? Di sebalik itu pula, Afghanistan merupakan satu kawasan yang telah
lama memeram laluan rahsia yang memang lama dan panjang
ceritanya, yang sungguh berkesan dan berfaedah untuk menyeludup
dadah. Terdapat banyak jalan dan laluan yang berbelit-belit untuk
penyeludupan, tetapi untuk menumpaskan para penyeludup itu jalan
lurus yang diperlukan memang belum lagi wujud. Tidak mudah
mengingati jumlah laluan yang akan digunakan dan tidak mudah
menyerang laluan itu setiap hari. Yang paling mudah ialah menanti
ketibaan khafilah di persimpangan. Seorang penyeludup pernah
ditangkap di bandar Semman di Iran setelah beliau berjalan dengan
berkaki ayam daripada Kandahar sambil mengendong satu guni
dadah. Dia tidak mempunyai pelapik pada kasut yang dipakainya
kerana haus, tetapi dia nekad berkaki-ayam terus.
Di pergunungan Afghanistan, bekalan air adalah lebih merupakan
satu bencana daripada sesuatu yang ada rahmatnya. Pada musim
sejuk ia beku dan membatu. Pada musim bunga ia cair dan mula
mengalir. Apabila tiba musim panas ia berkurangan mencetuskan
kemarau yang sungguh mengganas. Inilah ciri pergunungan yang
tidak ada ampangannya. Aliran air pergunungan yang tidak terkawal
dan tanah yang keras manjal, mengecutkan peluang untuk bertani
dan berternak. Inilah dia gambaran geografi Afghanistan: Amat
mencabar untuk direntasi, sukar untuk bercucuk tanam kerana
jerangkap samar yang lama terbenam dan tidak mudah digerudi
kerana kos pengangkutan yang tinggi. Ramai pihak yang menganggap Afghanisan sebagai muzium kepada
pelbagai puak, suku-kaum dan bahasa disebabkan keadaan
tanahnya dan kesukaran menyusurinya. Setiap budaya dan tradisi di
negara ini terus kekal tanpa tercemar kerana keadaannya yang
terpencil dan kekurangan usaha bergaul dengan budaya lain. Sudah
menjadi satu amalan kepada kawasan yang amat sukar untuk bertani
ini, (memandangkan hanya 7 peratus yang sesuai untuk bertani dan
itupun kerap diancam oleh kemarau), berpaling dengan mudah
kepada penanaman biji poppi sebagai sumber pendapatan kepada
para penghuni. Kalau keadaan hidup tidak berubah dan harga roti
tidak naik bertambah, penanaman poppi ini membawa faedah, setakat
satu buku roti setiap hari untuk Afghan yang mengusahakannya.
Keadaan ekonomi Afghanistan yang ada kini, hanya mampu
memberikan kemajuan ekonomi yang membolehkan rakyatnya setakat
mengalas perut mereka, itupun untuk setengah hari sahaja. Kerana
itu ramai yang berhijrah menceburi industri pembinaan di Iran,
melibatkan diri dalam peperangan politik ataupun menjadi pelajar
teologi di sekolah tajaan Taliban. Mengikut perangkaan terdapat
2,500 sekolah tajaan Taliban yang mampu menampung antara 300
hingga 1,000 pelajar yang yatim piatu dan sentiasa lapar. Di setiap
sekolah ini, semua penghuninya mampu menerima sekeping roti dan
semangkuk sup, membaca Quran untuk menghafalnya dan
kemudiannya menganggotai tentera Taliban. Inilah saja opsyen yang
ada untuk mengelakkan pengangguran.
Oleh kerana geografi negara dan penghijrahan rakyatnya,
penyeludupan dan peperangan menjadi kerjaya utama dan inilah
yang mencetuskan kesangsian saya bagaimanakah Massoud mampu
memuaskan kehendak rakyatnya setelah berjaya menumpaskan
Taliban? Apakah semua ini akan dilakukan melalui peperangan yang
berlanjutan ataupun penanaman poppi ataupun doa panjang
mintakan hujan? (Ingat: tulisan ini disiapkan sebelum Massoud mati
dibunuh oleh pembunuh upahan dua hari sebelum serangan dahsyat
di Washington dan New York - penterjemah)
Di sempadan dengan Iran, PBB memberikan bayaran sebanyak 20
dollar kepada setiap Afghan yang sanggup pulang semula ke
kampung halamannya. Mereka diangkut dengan bas ke bandar yang
pertama di bahagian Afghanistan ataupun sengaja diturunkan di
kawasan sempadan. Yang seronoknya, pelarian yang dihantar
pulang ini tidak menunggu lama-lama sebelum mencuri masuk
semula sebagai pelarian. Kalau mereka tidak dikesan, dapatlah lagi
wang 20 dollar itu sebagai sagu hati untuk memasuki Afghanistan
sekali lagi. Afghan yang menganggur menggunakan setiap
penyelesaian masalah menjadi punca pekerjaan yang mudah.
Walaupun banyak peperangan itu menjadi satu bentuk pekerjaan,
tidak ramai pemimpin Afghan yang mati kerananya.
Peperangan yang berpanjangan menjadi peluang keemasan kepada
Amerika Syarikat, Soviet Russia dan enam negara yang berjiran
yang membayar wang kepada pasukan yang sanggup setia kepada
mereka. Semua itu adalah bertujuan untuk memanjangkan
peperangan itu dan mengimbangi kuasa, sedangkan orang Afghan
menganggap semua itu hanyalah sebagai satu punca pekerjaan. Kita
harus ingat, kemarau di sana sudah berpanjangan selama dua tahun
lamanya, dan inilah yang mengakibatkan banyak ternakan yang mati
kehausan. Purata jangkahayat orang Afghan ialah sekitar 41.5 tahun dan kadar
kematian kanak-kanak bawah umur dua tahun ialah antara 182
hingga 2000 kematian per 1,000 kanak-kanak. Purata kelanjutan
usia ialah 34 tahun pada 1960 dan pada tahun yang terdekat ia
sudah menurun lebih rendah lagi. Aku tidak dapat lupakan malam-malam penggambaran kami di
Kandahar. Sewaktu pasukan kami menyiasat kawasan padang pasir
dengan lampu suluh, kami dapat melihat pelarian yang nazak seperti
kumpulan binatang ternakan di tengah gurun pasir. Apabila kami
bawa mereka yang masih bernyawa mendapatkan rawatan hospital di
Zabol kerana memikirkan mereka diserang penyakit kolera, barulah
kami sedar betapa mereka menunggu saat kematian kerana
kebuluran. Aku masih lagi tidak mampu memaafkan diri ini kerana
menikmati makanan yang lazat-lazat. Antara 1986 hingga 1989, orang Afghan memilikki 22 juta kambing
bebiri. Ini bersamaan dengan seekor kambing bagi setiap penduduk.
Secara tradisinya, inilah lambang kekayaan sebuah negara pertanian
seperti Afghanistan. Kekayaan itu hancur lebur semasa musim
kemarau yang terbaru. Bayangkan keadaan sebuah negara bertani
yang tidak ada ternakannya lagi. Kisah tragedi Afghanistan ialah
disebabkan kemiskinan dan kalau ada cara untuk memperbaikinya
hanyalah melalui pemulihan ekonomi negara.
Kalaulah aku telah menyokong kumpulan mujahidin dan bukannya
pejuang kebebasan yang merupakan manusia biasa yang cuba
meneruskan kehidupannya, aku pasti pulang semula ke sana.
Kalaulah aku seorang presiden sebuah negara jiran, aku galakkan
hubungan ekonomi dengan Afghanistan dan bukannya campurtangan
politik- ketenteraan. Kalaulah Allah memberikan kuasa, aku pasti
memberikan rahmat sesuatu kepada Afghanistan yang dapat
membawa faedah kepada keseluruhan negara yang sudah sengaja
orang lupakan. Dan aku tuliskan inipun bukannya dengan
kepercayaan ia akan membawa kesan pada zaman ini yang amat
berbeza berbanding kata-kata yang pernah ditulis oleh Sa'di pada
satu ketika; 'semua manusia itu adalah anggota kepada satu badan'.
Dr. Kamal Hossein, penasihat halehwal kemanusian PBB untuk
Afghanistan, pernah datang daripada Bangladesh melawat kami di
pejabat pada musim panas tahun 2000. Dia memberitahu betapa dia
pernah melaporkan usaha sia-sia PBB selama 10 tahun. Dia tiba
membantu aku menyiapkan satu penggambaran yang mungkin
menyedarkan dunia. Aku menjawab: 'Saya sedang mencari
unsur-unsur itu yang akan membawa kesan '
Kita mesti ambil ingatan bahawa Afghanistan tidak merana dengan
dahsyatnya daripada campurtangan asing berbanding sikap mereka
yang sengaja tidak mahu ambil-pusing. Lainlah kalau Afghanistan itu
seperti Kuwait, yang mempunyai lebihan pendapatan minyak,
kisahnya tentu berbeza dengan banyak. Tetapi, Afghanistan tidak
mempunyai bekalan minyak di dasar bumi, dan negara berjiran
denganya kerap menghalau pulang para pekerja walaupun dibayar
gaji yang tidak tinggi. Kerana itu, adalah satu amalan biasa, setiap
kali muncul kegagalan mencari pekerjaan, pilihan lain yang masih
terbuka ialah penyeludupan. Ataupun menganggotai pasukan
Taliban, atau jatuh di satu sudut di Herat, Barnian, Kabul atau
Kandahar dan mati kebuluran kerana dunia yang penuh kebodohan.
Aku pernah berada di sebuah khemah di Zabul yang penuh dengan
pelarian haram. (ini pun satu misnomer kerana dalam dunia ini tidak
ada pelarian yang sah - penterjemah) Aku belum pasti lagi apakah
itu satu khemah penempatan ataupun satu penjara. Orang Afghan
yang lari daripada perkampungan mereka disebabkan kebuluran
ataupun serangan Taliban telah menolak tawaran suaka dan
menunggu untuk dibawa ke Afghanistan semula. Gelagat itu nampak
sah dan mempunyai unsur kewarasan. Orang yang dengan sebarang
sebab memasuki sebuah negara secara haram dan kemudiannya
ditolak, terpaksa dihantar pulang. Tetapi, kumpulan yang ada itu
sedang kebuluran kerana tiada makanan. Kami berada di situ untuk
memilih pelakon tambahan untuk perfileman. Aku bertanyakan pihak
berkuasa dan diberitahu bahawa khemah itu tidak mampu memberi
mereka makan dan ramai yang sudah kelaparan selama seminggu.
Mereka hanya mampu minum air. Kami pun tawarkan mereka
makanan sehinggakan mereka berdoa agar kami pergi ke sana setiap
hari. Kami telah belikan makanan untuk 400 Afghan daripada mereka yang
berusia dua bulan kepada lelaki yang berusia 80 tahun. Kebanyakan
yang daif adalah anak-anak kecil yang pengsan kerana kelaparan
dalam pelukan ibu mereka. (Pihak berkuasa menyatakan kesalan
mereka dan menyatakan betapa ia memerlukan masa yang panjang
untuk mendapatkan kelulusan kewangan.) Mereka juga berkata
kedatangan pelarian bertali arus dan amat sukar untuk diurus. Inilah
dia kisah sebuah negara yang dimamah oleh hukum alam, sejarah
silam, politik dan ekonomi dan kerakusan para pemimpin negara jiran
yang tidak berhati insani. Seorang penyajak Afghan yang sedang dihantar pulang daripda Iran
telah melakarkan perasannya dalam bentuk prosa sebelum dia
beredar: Aku datang berkaki ayam, begitu juga caranya aku pulang Insan yang tidak menyimpan dan menabung, terpaksa beredar, Begitu juga anak yang tidak ada boneka ditangannya, terpaksa keluar. Pukauan yang menjerut pemergianku akan terputus di malam syahdu, Dan meja yang kosong permukannya akan dilipat di situ. Aku puas menjelajah di kaki langit penuh sengsara Akulah yang dilihat orang ketika berkelana. Apa yang bukan milikku akan ditinggalkan sebelum melangkah panjang Dulu aku berkaki ayam, begitu juga caranya aku pulang.
Nisbah penggunaan dadah dunia berbanding pengeluaran di
Afghanistan Amalan ekonomi di zaman ini, menunjukkan betapa setiap bekalan itu
diasaskan oleh keperluannya. Pengeluaran najis-dadah di mana
juga mampu memenuhi keperluannya. Pasaran sejagat adalah
mengambil-kira negara miskin dan lebih maju seperti India, Belanda,
A.S dan sebagainya. Mengikut laporan PBB pada tahun 2000, pada
akhir 90-an, dianggarkan 180 juta manusia menggunakan
najis-dadah. Laporan itu juga mencatatkan bahawa 90% candu
haram dikeluarkan oleh dua negara termasuk Afghanisan, yang
menghasilkan 80% keluaran heroin dunia. Sekali lagi, 50% dadah
narkotik dikeluarkan oleh Afghanistan. Anda mungkin memikirkan
seandainya 50% itu bersamaan dengan setengah bilion dollar,
makanya nilai dadah yang naik harga sehingga satu bilion setahun di
pasaran dunia itu; tetapi itu bukan yang sebenarnya. Kenapa?
Walaupun Afghanistan meraih dagangan sebanyak setengah bilion,
pusingan tahunannya adalah sekitar 80 bilion dollar sahaja. Dalam
perjalanannya ke destinasi pelusuk dunia, harga tambahannya naik
mencanak sehingga 160 kali ganda. Siapakah yang menerima
habuan 80 bilion itu? Sebagai contoh, heroin dibawa masuk ke Tajikistan pada satu harga
tetap dan keluar pada harga dua kali ganda. Begitu halnya di
Uzbekistan. Apabila dadah itu tiba di Belanda, harganya sudah naik
160 hingga 200 kali ganda harganya yang asal. Wang itu jatuh ke
tangan pelbagai kumpulan mafia yang memutar-belitkan politik setiap
negara yang dilalui oleh najis-dadah itu.
Belanjawan rahsia kebanyakan negara Asia Tengah adalah
pemberian peruntukan raja dadah. Jika tidak, bagaimanakah para
penyeludup yang berjalan kaki begitu jauh daripada Kandahar
sebagai contohnya, menjadi penerima pertama kekayaan itu?
Bagaimanakah kita menganggap mereka itu sebagai penyeludup
sebenar najis-dadah itu? Kalau tidak kerana harga dadah yang sungguh menguntungkan, Iran
sebagai contoh lagi, mampu mengarahkan setengah bilion bijiran
gandum dihantar memasuki Afghanistan sebagai bekalan alternatif
untuk membolehkan para petani menanam biji poppy. Yang peliknya
seorang penegeluar dadah Afghan tidakpun menggunakan
barangannya. Penggunaan dadah amat ditegah, tetapi
pengeluarannya tidak mengapa pula. Dalil keagamaannya ialah
mengirimkan racun berbisa kepada musuh Islam di Eropah dan
Amerika. Inilah satu paradoks apabila diambil kira kepentingan
ekonomi najis-dadah itu pada belanjawan negara Afghanistan.
Jumlah pusingan hasil najis-dadah di dunia ini ialah sekitar $400
bilion dollar dan Afghan menjadi mangsa pasaran ini. Kenapakah
saham Afghanistan dalam industri ini hanya setakat 1/800 sahaja?
Apapun jawapannya, dunia memerlukan satu tempat yang tidak
mendesak sumbangannya tetapi boleh dijadikan jambangan indah
kepada pengeluaran dadah. Kalaulah ada jalan di Afghanistan selain
lorong yang samar-samar rupanya, ataupun kalaulah peperangan itu
tamat membolehkan ekonomi mekar bercambah dan banyak lagi
insentif untuk menggantikan setengah bilion dollar, apa jadinya
kepada pasaran dunia bernilai 400 bilion dollar itu?
Pada September 2000, ketika aku pulang daripada Kandahar, aku
berjumpa gabenor Khorasan yang dalam perjalanan ke Tehran. Dia
memberitahu apabila candu berharga 50 dollar di Herat, di Mashad
ia berharga 250 dollar. Apabila usaha membenteras penyeludupan
digalakkan, harganya yang mahal itu menurun menjadi murah pula.
Sebagai contohnya, kalau harga di Mashad mencecah 500 dollar, di
Herat harganya turun sehingga 75 dollar sahaja. Ini adalah
disebabkan keadaan kemiskinan dan kebuluran yang menghenyak
kehidupan. Seekor bebiri Afghan yang berharga 20 dollar seekor
kemudian dijual denan harga satu dollar sahaja di sempadan.Tetapi
oleh kerana ternakan itu sakit, tidak ada pasarannya dan sempadan
itu memang mengawal ketat kemasukan haram kambing bebiri
memasuki Iran. Walaupun bijian poppy tidak membawa kepentingan fundamental
seperti minyak sebagai sumber kekayaan Afghanistan, ia masih
dianggap sama taraf nilainya dengan minyak. Yang lebih penting
lagi, peruntukan belanjawan rahsia di negara Asia Tengah
disediakan melalui najis dadah. Ini membawa makna adanya insentif
kuat untuk dunia ini mengambil sikap tidak acuh kepada keadaan
ekonomi Afghanistan yang sungguh teruk itu. Apa perlunya
Afghanistan menjadi stabil? Bagaimana ia mampu menggantikan
sumbangan 80 billion dollar yang dicernakannya terus daripada hasil
buminya? Perniagaan najis-dadah memang menyeronokkan banyak pihak.
Beberapa bulan yang lalu aku berada di Afghanistan, dan ketika itu
aku diberitahu setiap hari ada sebuah pesawat yang sarat diisi
najis-dadah terbang keluar terus menuju negara Teluk Parsi. Pada
1986, ketika membuat kajian untuk pembikinan 'The Cyclist,' akau
telah berkereta daripada Mirjaveh di Pakistan menuju Quetta dan
Peshawar di Pakistan. Perjalanan itu memakan masa beberapa hari.
Apabila tiba di Mirjaveh, aku menaiki sebuah bas yang sungguh
berwarna-warni, yang sama aku gambarkan dalam 'The Cyclist'.
Bas itu sarat dengan muatan pelbagai jenis manusia. Ada yang
berjanggut panjang, sarban melilit kepalanya dan pakaian yang
labuh menjela. Pada mulanya, aku tidakpun sedar bahawa di bumbung bas,
barangan yang terbesar ialah dadah. Bas itu menyusuri lorong
berdebu tanpa jalanraya. Sana-sini semuanya berdebu dan ada
kalanya rodapun boleh terbenam di bahagian tanah yang lembut.
Kami tiba di satu pintu gerbang yang mengkhayalkan laksana lakaran
yang terdapat disebuah lukisan ciptaan Dali (seorang pelukis surealis
Itali yang di saat akhir hayatnya menggantung gelas minuman untuk
menghiasi pakaian rasmi jamuan malam - penterjemah). Inilah pintu
gerbang yang tidak ada kaitannya dengan apa-apa. Ia hanya
merupakan satu gerbang khayalan yang dibina di tengah padang
pasir. Bas itu berhenti di pintu gerbang itu. Kemudin muncul
sekumpulan penunggang basikal yang meminta pemandu bas turun.
Mereka berbincang seketika dan menunjukkan satu guni wang
(Afghani) dan menghitungnya bersama dengan pemandu bas itu. Dua
orang antara penunggang basikal itu naik dan mengendalikan bas itu.
Pemandu asal bas dan pembantunya mengambil karung berisi wang
tadi dan menghilang dengan basikalnya. Pemandu bas yang baru itu
kemudiannya membuat pengumuman bahawa dia sudah menjadi
pemilik baru bas itu dan segala yang berada di dalamnya. Barulah
kami tahu, bersama dengan bas itu dan kandungannya, kami juga
telah dijual sama. Transaksi begini berulang lagi setiap beberapa jam dan kami turut
dijual kepada beberapa penyeludup. Rupanya setiap harakat
perjalanan itu ada pasukan ataupun kumpulan yang khusus
mengawalnya dan setiapkali bas itu dijual, harganya naik lagi.
Mula-mula ia hanya satu guni wang yang dibabitkan, kemudian ia
bertambah menjadi dua ataupun tiga di tahap akhirnya. Kami juga
dapat melihat kafilah unta yang membawa muatan mesingan berat
jenis 'Dhuska'. Kalaulah tiada bas yang kami tumpangi dan kafilah
unta yang membawa muatan mesingan yang berat tadi, kita dapat
merasakan bahawa kami betul-betul merasakan pengalaman hidup di
zaman purba. Kemudian, kami sampai juga lagi ke tempat jual beli
senjata. Peluru dijual dalam karung seolah-olah semuanya adalah
kekacang jualan borong. Peluru yang dipilih ditimbang kilo untuk
dibayar duitnya. Bagaimanakah dagangan najis-dadah dunia dapat
berurusan seandainya keadaan dagang seperti ini tidak diwujudkan?
Aku pernah pergi ke Khorasan di bahagian sempadan mencari lokasi
untuk penggambaran. Bila matahari terbenam, penduduk kampung di
kawasan itu bersiap sedia untuk dipindahkan. Mereka lari ke arah
bandar kerana takutkan kedatangan penyeludup. Mereka turut
menasihati kami akan beredar dari situ. Desas-desus bahayanya
tempat itu begitu meluas sehinggakan tidak banyak kereta yang
berani berada di sana menjelang matahari terbenam. Apabila
kegelapan malam tiba, jalanraya itu sudah bersedia mengalukan
ketibaan barisan kafilah penyeludupan. Mengikut orang yang pernah
menyaksikannya, setiap rombongan kafilah itu mengandungi
kumpulan yang dianggotai antara lima hingga 100 manusia. Umur
mereka adalah sekitar 12 hingga 30 tahun. Setiap kumpulan
membawa karung dadah di bahagian belakang mereka dan ada juga
yang berbekalkan pelancar grened dan Kalashnikov untuk mengawal
keselamaan kafilah mereka. Seandainya najis-dadah itu tidak diterbangkan, mereka
menggunakan kontena, dan kalau perlu najis-dadah itu diangkut
menggunakan baghal. Bayangkan warna-warni peristiwa yang dilalui
oleh kafilah ini daripada satu negara ke satu negara jirannya,
sehinggalah sebagai contoh, mereka tiba di Amsterdam (Belanda).
Bayangkan pula ketakutan dan kengerian yang mereka cetuskan di
kalangan manusia yang menghuni pelbagai wilayah semata-mata
untuk mengekalkan perdagangan bernilai 80 billion dollar.
Aku pernah menanya seorang pegawai di Taibad, akan jumlah
pembunuhan yang dilakukan oleh para penyeludup. Mereka
menyebut angka 105 sebagai mereka yang mati dibunuh ataupun
diculik dalam dua tahun. Lebih 80 orang yang diculik dulu telah
dilepaskan. Akupun mencongak dan membahagikan 105 kepada 104
minggu dalam dua tahun itu. Ia bersamaan dengan seorang insan
setiap minggu. Aku terfikir, kalaulah angka sebanyak ini
menyebabkan sesuatu kawasan itu begitu berbahaya untuk dihuni di
malam hari dan terpaksa lari bermalam di bandar lain, bagaimanakah
kita boleh mengharapkan orang Afghanistan boleh menetap di negara
mereka? Sejak dua puluh tahun dulu, mereka mengalami satu
pembunuhan untuk setiap lima minit. Patutkah mereka menetap di
Afghanisan dan tidak berhijrah ke negara lain? Bagaimana pula
fikiran kita kalau menghalau mereka, keadaan keselamatan yang
tidak menentu di Afghanistan itu tidakkah membuatkan mereka muncul
semula di tempat kita? Aku pernah bertanya beberapa pegawai yang bertugas di
jalanraya,sebab musabab berlakunya penculikan dan pembunuhan.
Rupanya rombongan kafilah di sebelah sempadan Iran itu berurusan
dengan orang kampung. Apabila seorang penyeludup Iran tidak
membayar balik wang menepati masanya, dia ataupun salah seorang
ahli keluarganya diculik dan akan dibebaskan setelah hutang itu
dibayar semula. Barulah aku sedar betapa keganasan seperti ini
mempunyai nilai asas ekonominya. Berhampiran sempadan
Dogharoon, agen kastam pernah menyebut betapa wilayah itu sudah
menjadi kawasan berbahaya selama lapan tahun, tetapi akhbar
sudah mula melaporkannya untuk dua tahun sahaja. Sebab
munculnya berita itu adalah kerana wujudnya kebebasan melaporkan
berita yang baru meledak di kalangan akhbar di Iran.
Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6236
|