Laman Webantu KM2: 6209 File Size: 25.0 Kb * |
Iranian: B3-B4 Limbs of no body By Mohsen Makhmalbaf 22/10/2001 3:53 pm Mon |
[Banyak pihak yang menuduh bukan-bukan terhadap Taliban sedangkan
rakyat Afghanistan sudah lama mewarisi satu budaya kepuakkan dan menolak
sebarang usaha pemodenan. Lagipun keadaan muka-bumi yang kering kontang
dan kemiskinan menyebabkan mereka terpaksa hidup merempat atau mengamalkan
poligami. Bawalah sebarang budaya hebat barat ke sini ia tidak akan mampu
menyelesaikan masalah Afghanistan. Sebaliknya ia lebih banyak menimbulkan
kemudaratan. Sudahlah tanah yang subur berkurang, ia kini dipenuhi dengan
berjuta periuk api yang tertanam.... Sekarang rakyat Afghanistan dihujani
pula dengan bom (dan budaya asing juga) yang memautkan. Tidakkah itu semua
teramat kejam? The Iranian Afghanistan: Anggota Badan Yang Tidak Bertuan [Bahagian 3-4]
(Limbs of No Body) Oleh: Mohsen Makhmalbaf Kewujudan Afghanistan adalah hasil perpisahannya daripada Iran.
Kira-kira 250 tahun dulu, ia merupakan sebuah wilayah di Khorasan
Besar di zaman pemerintahan Nadir Shah. Pada satu malam ketika
dalam perjalanan pulang daripada India, Nadir Shah telah dibunuh di
Ghoochan. Ahmad Abdi, seorang panglima tentera Afghan dalam
ketumbukan bala tentera Nadir Shah telah lari dengan membawa
bersamanya 4,500 askar. Kemudian, dia mengisytiharkan
kemerdekaan daripada Iran, dan daripada situ munculnya
Afghanistan. Di zaman itu Afghanistan dihuni oleh peladang dan masyarakatnya
diperintah oleh sistem perkauman. Ahmad Abdali datang daripada
kaum Pashtoon (orang putih sebut 'Patan' - penterjemah). Kerana
itu dia tidak mudah diterima sebagai seorang pemimpin utama oleh
puak Tajik, Hazareh, dan Uzbek. Maka dipakati agar setiap kaum itu
diperintah oleh pemimpin mereka sendiri. Para pemimpin kaum itu pun
berpakat menubuhkan satu badan musyawarah mengandungi
pemimpin puak mereka yang diberi nama 'Loya Jirga'.
Demikianlah, sejak daripada itu hingga kini, tidak ada satu bentuk
pemerintahan yang pernah muncul secara berkesan di Afghanistan.
Sistem Loya Jirga itu mendedahkan betapa Afghanistan bukan
sahaja tidak pernah merencana satu program pertanian yang padu,
malahan ia tidak pernah membangun melepasi pengaruh cengkaman
pemerintah suku-kaum dan gagal mencipta satu semangat
nasionalisme. Seorang penduduk Afghanistan tidak menganggap dirinya seorang
Afghan melainkan dia sudah keluar daripada kampung halamannya.
Dia dicemuh dengan simpati ataupun merana keaiban. Di
Afghanistan seseorang itu hanya merupakan seorang Pashtoon,
Hazareh, Uzbek ataupun Tajik. Ini berbeza dengan di Iran, di mana
kami (kecuali di Kurdistan) menganggap diri kami sebgai orang Iran
dahulu, sebagai satu keutamaan. Nasionalisme merupakan fahaman
utama dalam persepsi ke arah identiti yang ada kesamaannya. Tetapi
di Afghanistan kemutamaan suku-kaum itu adalah dorongan utama
sehinggakan perkauman itu merupakan teras identiti mereka.
Inilah perbezaan yang paling ketara antara semangat seorang Iran
dengan fahaman hidup seorang Afghan. Dalam pilihanraya presiden
di Iran, suku-kaum seseorang calon itu tidak mempunyai
kepentingan nasional dan bukan merupakan satu ransangan untuk
meraih undi. (Mereka sudah meniru Melayu UMNO memilih presiden
parti, darah Melayu tidak berapa penting berbanding nama Melayu
pada calon yang bertanding. Itupun kalau ada pertandingan. Jika
tidak, yang paling pintar bermain songlapan akan menjadi presiden
sampai mati - penterjemah) Di Afghanistan, sejak era Ahmad Abdali hingga kini di mana Taliban
menguasai 95 peratus pentadbiran negara, pemimpin utama negara
datangnya daripada kaum Pashtoon. (Kalau ada kecualinya ia
pernah wujud selama sembilan bulan ketika pemerintahan Habiballah
Galekhani yang dicatat sebagai 'Bacheh Saga' dan dua tahun
pentadbiran di bawah seorang Tajik bernama Burhanuddin Rabbani.
Jika tidak, Tajik tidak pernah memegang tampuk kuasa sebelum itu).
Di sebalik semua itu, penduduk Afghanistan secara keseluruhannya,
sejak era Ahmad Abdali memang merasa selesa dengan
pemerintahan ketua suku-kaum secara sistem federalisme.
Apakah maknanya semua ini berbanding dengan keadaan di Iran? Di
bawah pemerintahan Reza Shah, fahaman perkauman menjadi lemah
dan digantikan dengan semangat nasionalisme. Inilah yang tidak
berlaku di Afghanistan. Malahan, Mujahid Afghanistan tidak pernah
berjuang melawan musuh asing secara bersatu-padu, tetapi dengan
cara setiap suku-kaum memerangi musuh asing itu dalam wilayah
mereka. Ketika aku membuat filem 'Kandahar' dan berada di sebuah
khemah pelarian yang terletak di sempadan Iran-Afghanistan, aku
dapat menyedari betapa pelarian Afghan yang tinggal merengkok di
khemah pelarian itu, tidak dapat menerima identiti Afghan mereka.
Mereka masih mempunyai semangat pergeseran dan perkauman
dengan identiti sendiri sebagai Tajik, Hazareh ataupun Pashtoon.
Perkahwinan campur masih tidak digalakkan antara Afghan dan
begitulah juga dalam usahaniaga mereka yang tidak ada unsur
percampuran antara kaum. Kerana itu apabila tercetus satu
pergeseran kaum yang paling kecil masalah dan puncanya, ia
berakhir selalu dengan pertumpahan darah. Aku pernah menyaksikan
seorang suku-kaum dibunuh oleh seseorang daripada kaum lain
kerana dia membalas dendam ke atas mangsa yang memintas
(potong-jalan) ketika berbaris untuk mendapatkan bekalan roti.
Di khemah pelarian di Niatak (di sempadan Iran-Afghanistan) yang
mampu menerima 5,000 penghuni, adalah sukar untuk kanak-kanak
Pashtoon dan Hazareh bermain antara satu sama lain. Kadangkala
inipun mencetuskan perbalahan. Kaum Tajik dan Hazareh
menganggap kaum Pashtoon sebagai musuh ketat mereka di dunia
ini, dan begitu jugalah perasaan Pashtoon terhadap mereka. Mereka
tidak rela berkongsi masjid untuk bersolat. Kami pernah mengalami
masalah mengaturkan tempat duduk kepada anak-anak mereka agar
duduk bercampur untuk menonton wayang gambar. Mereka
mencadangkan satu penyelesaian agar anak-anak mereka itu
bergilir menyaksikan tayangan wayang itu.
Oleh kerana ketiadaan doktor di khemah pelarian itu, terdapat
banyak jenis penyakit yang merebak. Apabila seorang doktor dibawa
daripada bandar, penghuni kem itu tidak mahu mengutamakan
mereka yang sakit dulu untuk diberikan rawatan. Mereka mahu
mengamalkan susunan perkauman juga. Mereka menetapkan hari
tertentu untuk orang Hazareh dan begitu juga untuk Pashtoon.
Lagipun, anggpan bahawa kaum mereka lebih tinggi martabatnya,
membuatkan Pashtoon memilih tidak mahu bercampur Hazareh untuk
mendapatkan rawatan perubatan pada hari yang sama.
Ketika kami memulakan penggambaran, memanglah kami memerlukan
ramai pelakon tambahan. Kami terpaksa membuat pilihan sama ada
memilih Hazareh ataupun Pashtoon tanpa mencampurkan mereka
untuk sesuatu tugasan. Padahal semua mereka itu adalah golongan
pelarian dan menanggung penderitaan yang sama di rantau orang.
Mereka tetap berdegil mahukan pilihan suku-kaum menjadi
peraturannya. Sebenarnya majoriti mereka itu tidak pernah
berpengalaman dengan wayang gambar dan pawagam. Seperti juga
nenek aku dulu, mereka bersyukur kepada Ilahi kerana tidak pernah
menjejakkan kaki di pintu pawagam. Fahaman menebal sikap perkauman orang Afghan itu didasari cara
hidup mereka yang berteraskan ekonomi agrarian (yang menyangkuti
pemilikan tanah dan pembangunannya). Setiap kaum Afghan itu
menghuni di lembah perkampungan yang berdindingkan tembok
gunung-ganang, yang sekaligus memerangkap tatasusilanya
sehingga ia menjadi seorang banduan yang semulajadi, cetusan
budaya yang lahir daripada suasana pergunungan dan ekonomi
pertanian. Budaya tribalisme mereka itu adalah imej keadaan bertani
yang berakar umbi kepada suasana lembah yang dalam di
Afghanistan. Kepercayaan kepada budaya tribalisme itu adalah sama
dalamnya dengan kecuraman lembah yang dihuni.
Topografi Afghanistan menganduni 75 persen pergunungan yang
mempunyai hanya 7 peratus kawasan yang sesuai untuk pertanian.
Tidak ada sebarang bentuk industri yang boleh dimegahkan. Negara
itu bergantung sepenuhnya kepda pertanian, kerana kawasan ragut
(kalau bukan musim kemarau) merupakan hanya satu punca ekonomi
yang berkesinambungan. Apabila perkebunan merupakan asas
tribalisme ia sekaligus mendasari kebarangkalian konflik dalaman
sesama kaum. Sifat ini bukan sahaja menyekat Afghanistan daripada
menjadi sebuah negara yang moden, ia juga menghalang negara itu
mencapai satu identiti nasionalnya. Masih belum wujud lagi satu penyatuan fahaman yang hakiki dalam
menentukan apa maknanya Afghan berbanding Afghanistan. Orang
Afghan belum lagi bersedia untuk diserap dalam satu identiti yang
disebut Afghanistan. Berbeza dengan salah-tafsiran punca
kebanyakan peperangan agama, punca perbalahan orang Afghan
selalunya dimulakan oleh pergeseran tribalisme (antara kaum).
Kumpulan Tajik yang memerangi Taliban masakini adalah beragama
Islam dan bermazhab Sunni - sama dengan orang Taliban itu juga.
Kepintaran Ahmad Abdali belum terserlah lagi gara-gara
wawasannya mencipta 'tribal federalisme' (persekutuan suku-kaum)
Memang dia ternyata lebih bijaksana berbanding orang lain ketika
itu, yang berminat dengan pemerintahan sesuatu kaum ke atas kaum
yang lain ataupun seorang individu memerintah seluruh negara -
sedangkan ketika itu perkauman dan infrastruktur ekonomi masih
tegap lagi. Kaum Pashtoon yang mempunyai bilangan penduduk seramai enam
juta merupakan kaum terbesar di Afghanistan. Selepas itu wujud Tajik
yang mempunyai seramai empat juta manusia. Tempat yang ketiga
ialah Hazareh seramai lebih kurang empat juta dan keempat ialah
Uzbek yang ada seramai antara satau hingga dua juta manusia.
Jumlah penduduk yang berbaki datang daripada kaum kecilan
seperti Imagh, Fars, Balouch,Turkman dan Qeselbash.
Majoriti Pashtoon terdapat di wilayah selatan, Tajik kebanyakannya
di utara dan Hazareh tertumpu di pertengahan Afghanistan. Tumpuan
mereka mengikut taburan geografi ini di pelbagai wilayah negara
menjadikan orang Afghan sentiasa berpuak-puak dan dapat
berhubung antara ketua-ketua mereka hingglah ke akar umbi hanya
melalui pemuafakatan yang wujud dalam sistem 'Loya Jirga'. Kalau
mahu diwujudkan alternatif kepada dua senario ini, ia memerlukan
perubahan terhadap infrastruktur ekonomi dan pengganti identiti kaum
itu kepada satu indentiti berbentuk nasional.
Kami mampu memilih seorang presiden di Iran hari ini, bebas
daripada isu perkauman, disebabkan wujudnya satu transformasi
ekonomi yang dicetus oleh terjumpanya minyak di bumi Iran,
sekrang-kurangnya pada abad yang lalu. Apakah bentuk kuantiti
ataupun kualiti minyak yang digerudi itu, tidak menjadi persoalan
utama. Yang pentingnya, apabila minyak memainkan peranan dalam
pertumbuhan ekonomi Iran menggantikan tempat pertanian yang
menjadi asas ekonomi sebelum itu, sekaligus ia merobah struktur
ekonomi negara sehinggakan Iran memainkan peranan penting dalam
interaksi politik negara. Secara berdikit ia menjadi pengeksport bahan
mentah yang penting, dan menerima sebagai ganjarannya lebihan
keluaran negara berindustri. Perubahan transformasi kepada infrastruktur sosio-ekonomi negara
akhirnya menggugat budaya tradisi yang lapuk dan menggantinya
dengan yang baru, sambil minyak dipasarkan ke luar negara dan
barangan negara berindustri dibawa masuk untuk digunakan pula.
Kalau kita tidak gunakan wang sebagai perantara jual-beli, maka
minyak dipasarkan dan diganti dengan barangan konsumer. Tetapi,
Afghanistan tidak ada barang lain untuk ditukarkan kecuali dadah
sahaja. Kerana itu ia memencilkan dirinya semula dan menjadi
terpinggir. Mungkin juga, seandainya Afghanistan tidak berpisah
daripada Iran 250 tahun yang lalu, ia sudah mengharungi perjalanan
hidup yang berbeza bergantung kepada keluaran minyak dan
pungutan hasilnya. Tidak berapa lama lagi saya akan mencertikan kisah dadah candu
(opium) yang tidak berapa hebat kalau dibandingkan dengan minyak
keluaran Iran. Pada tahun 2000 Iran, mempunyai pendapatan
berlebihan daripada penjualan minyak melebehi $10 bilion. Jumlah
penjualan candu di Afghanistan kekal pada paras $500 juta.
Kita telah memainkan peranan dalam ekonomi sejagat dan
menggunakan barangan keluaran orang lain, dan memahami betapa
kita punyai pilihan hingga menjadi semakin moden. Tetapi kepada
seorang petani Afghan, dunianya ialah lembah perkampungannya
dan dia mempunyai kerjaya sebagai petani, walaupun musim
kemarau mudah mencekiknya hingga hampir mati. Pada waktu yang
sama, sistem berpuak-puak terus mengawal tatasusila hidupnya. Ini
bererti dia tidak dapat menikmati sebahagian saham ekonomi dunia,
kerana dia mendapati dirinya begitu lemah untuk menggunakan
kemampuan ekonomi dan budaya mendapatkan secebis saham
ekonomi dunia itu. Lagipun, pusingan perniagaan dadah dunia yang
bernilai $80 billion itu bergantung kepada kemampuan Afghanistan
bertahan tanpa menyuntik sebarang perubahan. Kalaulah perubahan
itu diransang, wang bernilai $80 billion itu akan menghadapi
ancaman besar. Kerana itu Afghanistan tidak boleh
memandai-mandai mahukan satu tahap keuntungan itu disauk dulu,
kerana fahaman begitu akan membawa perubahan kepada
Afghanistan. Walaupun Iran dan Afghanistan mengongsi sejarahnya yang sama
kira-kira 250 tahun dulu berasaskan minyak, sejarah Iran sudah
lama naik mencanak sehingga tidak mampu diragau oleh Afghanistan
secara menyanggak untuk satu waktu yang panjang. Dadah candu
merupakan komoditi tawaran Afghanistan kepada dunia. Namun,
disebabkan ciri barangan itu dan nilai khazanah negara yang
tercemar itu, ia tidak boleh dibandingkan dengan minyak. Kalaulah
dicampurkan pendapatan candu bernilai $500 juta dengan penjualan
gas utara Afghanistan bernilai $300 juta, kemudian dibahagikan
dengan 20 juta penduduk negara, ia menghasilkan $40 per kapita
pendaptan tahunan. Seandainya dibahagi pula nilai itu kepada 365
hari, setiap orang Afghan hanya mampu meraih 10 US cents setiap
hari yang bersamaan dengan satu buku roti pada hari biasa.
Tetapi, pendapatan tahunan negara adalah hak kerajaan dan mafia
tempatan dan ia tidak dibahagi secara saksama. Hasil pendapatan
negara ini memang tidak mencukupi menanggung keperluan
rakyatnya dan semakin tidak mencukupi untuk membangunkan
ekonomi negara dan membawa perubahan kepada sosial, politik dan
infrastruktur budaya. Sudah menjadi satu amalan gembala ternakan, untuk hidup
berpindah-randah. Penduduk bandar dan para peladang tidak
berapa kerap berbuat demikian. Sebabnya ialah musim yang
berubah, yang memaksa para gembala berpindah-randah mencari
padang ragut, bekalan air dan kawasan panas untuk megelakkan
musim sejuk. Sebab yang kedua ialah kekurangan kerja tetap.
Afghan terpaksa berhijrah untuk mengelakkan kematian kerana
ketiadaan pekerjaan. Pendapatan harian Afghan bergantung kepada pekerjaan mereka di
negara orang. Apabila celik sahaja matanya, seseorang Afghan
perlu memikirkan empat bebanan. Pertama, apakah masalah yang
akan dihadapi oleh ternakan yang banyak bergantung kepada
keadaan cuaca. Kedua, tugas untuk mempertahankan martabat
kaumnya, dan pada kebiasaannya, kerana mahukan pekerjaan dia
masuk berkhidmat dalam pasukan ketenteraan. Menyara hidup ahli
keluarga ialah satu lagi sebab kenapa berlaku penghijrahan dan
kalau itupun tidak berjaya, diapun terlibat dengan perniagaan dadah.
Peluang pekerjaan dalam pilihan terakhir ini adalah amat terhad
kerana sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 20 juta
tidak boleh diukur dengan sejumlah $500 juta dollar yang diperolehi
daripada industri penanaman 'poppy' untuk menghasilkan candu.
Kerana itu, sebarang usaha memburukkan orang Afghanistan
sebagai penyeludup dadah adalah satu tuduhan yang tidak tepat
kerana yang berbuat demikian, ternyata segologan manusia antara
mereka, sahaja. Amanullah Khan yang memerintah Afghanistan daripada 1919-1928,
adalah insan sezaman dengan Reza Shah dan Kemal Ataturk.
Secara peribadi, dia memang cenderung kepada ketamadunan. Pada
1924, Amanullah telah melancong ke Eropah, dan pulang membawa
sebuah Rolls Royce dan cuba merangka satu program reformasi,
yang mengambil-kira menukar cara berpakaian. Dia memberitahu
isterinya untuk tidak memakai penutup muka (burqa/burgha) dan
memerintahkan kaum lelaki Afghan untuk mengenepikan pakaian
Afghan tradisi dan bertukar dengan pakaian 'suit' barat. Dia juga
menyanggah budaya Afghanistan, dan menegah kaum lelaki
mengamalkan poligami. Kumpulan tradisionalis dengan pantas mula
menentang rencana Amanullah. Tidak seorangpun kaum agrarian ini
bersetuju dengan reformasi itu dan mereka telah bertindak untuk
merusuh menentangnya. Jelas, usaha membawa arus kemodenan tanpa asas sosio-ekonomi,
menjadi satu penekanan yang bercorak tidak homogen terhadap
budaya dan adat resam masyarakat Afghan yang terlalu kuat
bergantung kepada perladangan secara kecilan. Mereka ketiadaan
sebarang industri lain, pertanian atau cara asas untuk menggunakan
sumber, apalagi larangan tidak boleh dipraktikkan perkahwinan
antara pelbagai kaum. Pengenalan modenisasi yang rasmi dan
remeh-temeh ini hanya merupakan satu kejutan untuk menyuntik
kebangkitan budaya Afghan yang tulen itu sendiri, menyebabkan
penduduk Afghanistan menjadi mangli kepada usaha reformasi
budaya itu pada zaman berdekad yang menyusul. Kesannya,
sebarang konsep permodenan tidak dapat menembusi sikap
kalis-budaya walaupun dalam bentuk yang lebih rasional, selepas
itu. Sehingga hari ini, sebarang idea terhadap reformasi yang mengambil
kira penggemblengan sumber (asli) dan usaha menukarkan bahan
mentah yang lebih murah sebagai pertukaran kepada barangan yang
sedia ada, tidak juga dapat diterima. Masyarakat Afghan yang paling
majupun masih berpendapat bahawa masyarakat Afghan itu pada
keseluruhannya belum lagi bersedia dengan konsep pemilihan
sesuatu dengan pilihan terbuka. Apabila kaum yang lebih maju
terlibat dengan peperangan saudara, beranggapan bahawa belum
sampai masanya untuk kaum wanita dibenarkan hak mengundi,
adalah jelas betapa puak yang paling konservatif itu akan menyekat
persekolahan dan kegiatan sosial di kalangan mereka. Sekaligus
adalah menjadi satu adat sekali lagi untuk 10 juta wanita Afghanistan
berpakaian 'Burqa' yang menyungkup kepala dan keseluruhan
badan mereka. Inilah dia masyarakat Afghan, yang telah ditinggalkan oleh
Amanullah, 70 tahun yang lalu selepas mencuba meniupkan
hembusan reformasi yang cuba menegakkan sistem monogami di
kalangan lelaki Afghanistan, yang pada dulu lagi menganggap
kekeluargaannya adalah kewujudan satu harem. Pada 2001,
poligami masih diterima sebagai amalan hidup oleh kaum wanita
yang menghuni kem pelarian di sepanjang sempadan
Iran/Afghanistan. Aku pernah menghadiri dua majlis perkahwinan
kaum Pashtoon dan Hazareh dan mendengar ucapan tahniah yang
mendoakan mempelai lelaki diberi rezeki berkahwin lebih banyak
lagi. Pada mulanya aku fikir itu adalah jenaka semata-mata. Tetapi
ada satu ketika yang aku dengar keluarga mempelai wanita berkata:
'Kalau silelaki mampu, dia boleh berkahwin sampai empat isteri dan
ini adalah satu perkara yang baik sekali kerana ini diizinkan oleh
agama dan dapat menghindarkan kebuluran.'
Ketika aku pergi ke Khemah Saveh mendapatkan rakaman muzik
untuk filem 'Kandahar', aku telah menyaksikan seorang anak
perempuan berusia dua tahun dikahwinkan kepada seorang budak
lelaki berusia tujuh tahun. Aku tidak mengerti perkara ini sebelum itu.
Begitu juga pengantin budak lelaki dan budak perempuan yang
masih menghisap puting mereka. Tentulah majlis perkahwinan itu
bukannya pilihan mereka. Apabila diambil kira tradisi masyarakat ini,
sikap Amanullah memperkenalkan reformasi ketamadunan memang
nampak terlalu meniru-niru amalan negara orang.
Memanglah, ada segelintir manusia yang masih percaya,
seandainya seorang wanita menukarkan pakaian burganya dan
mengenakan penyungkup yang menampakkan muka, dia akan
dilaknati Allah dan bertukar menjadi batu hitam. Mungkin juga,
seseorang wanita itu terpaksa dinafikan memakai burgha itu agar dia
dapat merasakan betapa sumpahan itu adalah palsu dan
membolehkan beliau membuat pemilihannya sendiri.
Sememangnya terdapat pandangan betapa wujudnya satu
kecenderungan yang berat sebelah dalam konsep ketamadunan
Amanullah dulu. Dalam sebuah masyarakat tradisional, sesuatu
budaya yang mirip kepalsuan itu adalah satu bentuk menyungkupi
tahap kasta dan pengkelasan. Dalam masyarakat Iran, keluarga yang
berfahaman tradisi menghiasi ruang dalaman rumah mereka laksana
perhiasan yang didapati dalam sebuah mahligai, sedangkan di
bahagian luar rumah itu sengaja dibiarkan kelihatan selekeh sahaja
kerana mereka takutkan gangguan masyarakat yang miskin. Dengan
lain perkataan bibit benih aristokrasi memerlukan satu kulit menebal
yang kelihatan haprak sahaja. Bantahan terhadap modenisasi bukannya ditunjukkan oleh
pertubuhan tradisi sahaja. Ada kalanya, ia merupakan satu reaksi
golongan miskin terhadap golongan yang kaya raya. Di zaman
Amanullah dulu, memiliki kuda dianggap satu kehormatan, apabila
dilihatkan mereka yang masih memiliki baghal (kacukan kuda dengan
kaldai). Jikalau kuda itu menjadi lambang kemuliaan dan aristokrasi
ketika itu, keupayaan Amanullah memiliki sebuah Rolls Royce adalah
diangap sebagai satu penghinaan oleh rakyatnya. Perbalahan antara
tradisi lama dengan suntikan pemikiran moden adalah sama
getarannya dengan perbalahan antara Rolls Royce dan seekor
baghal. Inilah dia satu peperangan antara kemiskinan dan kekayaan.
Di Afghanistan kini, lambang kemodenan yang diterima-pakai oleh
semua penduduk negara itu ialah senjata perang. Perang saudara
yang masih berlanjutan telah mencetuskan sumber pekerjaan selain
menjadi satu bentuk kegiatan politik dan ketenteraan yang
mecetuskan pula satu pasaran senjata moden. Orang Afghan tidak
lagi pintar bertarung dengan pisau dan parang panjang walaupun
masanya senjata itu ketinggalan zaman belumpun terjadi begitu lama.
Penggunaan senjata perang itu adalah satu perkara yang serius.
Peluru berpandu jenis 'Stinger Missiles' yang dikendong oleh
mereka yang berjanggut panjang ataupun pakaian burgha yang
menjela labuhnya, adalah simbol tamadun yang menyerlah yang
sama taraf dengan penyerapan budaya moden itu.
Peluang memiliki senjata perang dianggap sebagai satu peningkatan
ekonomi yang memberikan pekerjaan kepada Mujahid Afghan.
Seandainya semua senjata yang ada di Afghanistan itu dikumpul
untuk dimusnahkan, lenyaplah suasana berperang secara
bersar-besaran dan oleh kerana keadaan ekonomi negara yang daif,
semua mujahid yang ada akan bertukar peranan menjadi pelarian di
negara lain. Soal amalan hidup cara lama dan kemodenannya,
peperangan dan kedamaian, sikap berpuak-puak dan nasionalisme
di Afghanistan mestilah dianalisa dengan mengambil kira keadaan
ekonomi dan krisis pengangguran. Inilah yang mesti difahami dengan
baik betapa tidak ada satu jalan penyelesaian yang spontan dan
mudah untuk menyelesaikan krisis ekonomi di Afghanistan.
Satu penyelesaian jangka panjang amat bergantung kepada
keajaiban ekonomi dan bukanya kepada serangan ketenteraan yang
menyerluruh daripada utara higga ke selatan ataupun sebaliknya.
Apakah keajaiban itu tidak pernah berlaku? Apakah pengunduran
Soviet dulu bukannya satu keajaiban? Apakah kedaulatan
pentadbiran Mujahidin dulu bukan satu keajaiban? Bukankah
kemunculan pihak Taliban secara mendadak dulu tidak dianggap
sebagai satu bentuk keajaiban? Jika demikian, kenapakah
berlarutannya segala masalah itu? Konsep modenisasi yang kita
bincangkan ini dihantui oleh dua masalah yang amat asas. Pertama,
ia ada kaitannya dengan hal ehwal ekonomi negara itu. Kedua,
kemanglian masyarakat Afghan yang taat kepada budaya tradisinya
terhadap kemodenan yang setengah masak itu.
....bersambung.... Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6208 |