Laman Webantu KM2: 6184 File Size: 15.0 Kb * |
TAG SP 373: NarcoNews - B2 Bahan Bukti Palsu, Bush Memang Menipu By Stan Goff 20/10/2001 3:51 am Sat |
http://www.narconews.com/goff1.html
(The So-Called Evidence Is a Farce) Oleh: Stan Goff Saya tidak faham kenapa tidak ada orang yang menanyakan soalan khusus
mengenai tindakan Bush dan orang-orangnya pada hari serangan itu
terjadi. Bayangkan: Empat buah pesawat telah dirampas dan ditukar halatuju penerbangannya,
sedangkan pergerakan itu dapat dikesan di radar perkhidmatan penerbangan
(FAA). Semua pesawat itu rampas antara 7.45 pagi hingga 8:10 pagi waktu
bahagian timur Amerika (Eastern Daylight Time).
Siapa Yang Diberitahu? Ini merupakan satu kejadian yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
Tetapi, Presiden tidak diberitahu kerana dia terus dengan perjalanannya
ke sebuah sekolah rendah di Florida untuk mendengan kanak-kanak membaca
buku. Pada 8:15 pagi, tentulah jelas adanya perkara ganjil yang sudah berlaku.
Tetapi presiden itu masih tidak tahu.
Pada 8:45, penerbangan American Airlines Flight 11, menghunjam Pusat
Dagangan Dunia, tetapi Bush masih sibuk dengan kanak-kanak sekolah dan
bergambar dengan mereka di Booker Elementary. Empat pesawat sudahpun
dirampas dalam satu masa, menjadikannya satu kejadian paling dahsyat
dalam sejarah. Sebuah pesawat itu sudahpun menikam salah satu bangunan
yang sungguh bersejarah dalam dunia, tetapi tidak ada seorangpun yang
memberitahu Ketua Turus Angkatan Tentera Amerika.
Tidak ada sesiapa yang menggerakkan pasukan tentera udara untuk memintas
petualang itu. Pada 9.03 pagi, United Flight 176 menikam satu lagi bangunan kembar WTC.
Tetapi, pada 9.05, Ketua Kakitangan Presiden telah membisikkan ke
telinga Bush yang tiba-tiba menampakkan 'muka murung' kepada para
wartawan. Adakah dia membatalkan lawatan itu untuk mengadakan satu
mesyuarat tergempar? Tidak, dia teruskan majlis mendengar budak darjah
dua membaca buku, kisah seorang budak perempuan 'menanduk' seekor
kambing. Demikianlah gelagatnya sedangkan pada waktu yang sama American
Airlines Flight 77 tiba-tiba menukar hala penerbangan dan berpatah-balik
di ruang angkasa Ohio untuk menuju Washington DC. Apakah dia sudah
memberikan arahan kepada pegawainya agar Angkatan Tentera Udara
bertindak memintas? Tidak. Kemudian, selepas 25 minit yang mencemaskan dia telah membuat satu
kenyataan rasmi memberitahu Amerika Syarikat apa yang mereka sudahpun
tahu (dan lihat) bahawa satu serangan telah lakukan ke atas Pusat
Dagangan Dunia dengan menggunakan pesawat yang dirampas. Ketika itu ada
sebuah pesawat rampasan lagi yang menuju Washington, tetapi adakah dia
mengarahkan Angkatan Tentera Udara memintasnya? Tidak.
Pada 9.30, ketika membuat pengumuman, American Flight 77 masih lagi
berada sepuluh (10) minit jauh-jaraknya daripada sasaran - Pentagon.
Pihak pentadbiran telah membuat satu dakwaan, kemudiannya betapa ia
tidak mempunyai upaya untuk mengetahui Pentagon menjadi sasaran serangan
ketika itu. Mereka berfikir bahawa Flight 77 sedang menuju White House
(Rumah Putih). Yang sebenarnya, pesawat itu memang sudah terbang di
bahagian ruang yang dianggap larangan ataupun 'White House no-fly zone'
dengan penerbangan yang sungguh laju (melebehi 400 nauts).
Pada 9:35, pesawat ini berpatah balik secara 360 darjah di ruang angkasa
Pentagon, ketika masih lagi diawasi pergerakannya oleh radar. Pentagon
tidak dikosongkan, dan tidak juga ada pesawat tentera udara untuk
memintas pergerakan pesawat rampasan ini antara Alexandria dan DC
(District of Columbia - penterjemah)..
Fikirkan jenaka ini: Mereka mahu kita percaya bahawa seorang juruterbang yang dilatih di
sekolah penerbangan di Florida untuk pesawat 'Piper Cubs' dan 'Cessna'
telah berjaya melaksanakan pengendalian secara menjunam (downward
spiral) sejauh 7,000 kaki dalam masa dua setengah minit, dan
menerbangkan pesawat itu serendah mungkin sehingga ia tersentuh wayar
elektrik di jalan berdekatan Pentagon, dan menghunjamkan pesawat itu
dengan tepatnya di bahagian bangunan dengan kelajuan pesawat pada 460
nauts. Apabila teori berkenaan latihan di sekolah memandu itu ditolak oleh
orang yang lebih tahu, maka direka pula satu dongeng betapa perampas
pesawat itu menerima latihan 'flight simulator'. Dongeng ini samalah
dengan kisah seseorang yang melatih anak perempuannya untuk memandu
ketika kesibukan jalanraya dengan kelajuan 1-40 bsj. Hanya dengan
melatihnya melalui bermain video. Inilah yang dikatakan taik kuda!
(nasib baik bukan talembu, marah pula peminat Phoolandevi - penterjemah)
Ada satu kisah yang sedang dilakar untuk peristiwa ini. Saya tidak dapat
menceritakannya di sini. Tetapi, setidak-tidaknya ketua turus angkatan tentera dan para
pekerjanya yang mati patut ikut secara membuta-tuli dalam usaha
operasinya memerangi keganasan, sebenarnya telah mengabaikan tugasnya
dan cuai. Malahan dia ini memang bodoh rupanya. Kalaulah perkara sebenar
dapat diketahui, ada kemungkinan dia menyorokkan kisah yang sebenar,
tentu ada petanda wujudnya satu konspirasi.
Semestinya, pentadbiran 'de facto' Bush, sedang dihantui satu longgokan
krisis yang membolehkan mereka menyelamatkan keadaan dengan tercetusnya
peristiwa ini. Sama ada mereka terlibat dengan peranan yang kotor
ataupun sebaliknya, setidak-tidaknya mereka telah menyauk peluang
kewujudan serangan ini untuk mengatasi apa juga bentuk kelemahan yang
ada ketika itu. Paling kurangpun mereka berjaya mengalihkan masalah
ekonomi yang merudum disebabkan masalah 'capitalisme' kepada peristiwa
11 September, untuk memperakukan agenda dasar luar mereka dan
menyediakan satu peraturan yang menekan di dalam negara untuk melemahkan
pihak yang menentang mereka. Dalam banyak hal, peristiwa 11 September, telah membantu Bush
mengeluarkan kek masakannya yang sudah hangus daripada ketuhar
pembakaran. Inilah peristiwa yang memberikan mereka lampu hijau yang mengizinkan
pembinaan satu agenda jangka-panjang untuk mereka merencana satu bentuk
peraturan menegakkan konsep kawalan yang fasis dalam negara dan juga di
luar sana sebagai tiang kuasa satu kelas manusia yang memutar-belit
dunia apabila berakhirnya sumber minyak.
Tidak sesiapa yang nampak gajah besar di depan mata, kerana itu
berbagai-bagai bentuk penekanan sudahpun bermula dalam negara dan juga
di seantero dunia, baik secara rasmi ataupun sebaliknya. Inilah yang
dianggap sebagai satu versi baru fahaman McCarthyism. Saya telah
menghadiri satu kursus di Chapel Hill, North Carolina pada 17 September.
Walaupun tidak ada sesiapa yang mahu membincangkan dengan panjang lebar
kisah serangan itu, kerana semua yang ada lebih mementingkan
balasungkawa dan membaca doa untuk mereka yang menjadi mangsa, kami
telah dikritik dengan pedas sekali dan dituduh sebagai musuh negara.
Semalam ada orang yang mahukan saya dihalau keluar (tempatnya tentulah
satu tekateki sahaja). Kini, Herr Ashcroft sedang memantau kerja-kerja membasmikan beberapa
peruntukan kebebasan manusia sejak berlakunya perundangan mengenai
anti-keganasan selepas peristiwa Oklahoma City. Peristiwa itu tidak
mencetuskan gerakan anti-keganasan, cuma setakat mempercepatkan
pelaksanaan hukuman mati. FBI sudahpun mengklasifikasikan kumpulan
pengganas itu bukannya berasaskan apakah kumpulan itu pernah mengganas,
tetapi apakah fahaman mereka. Beberapa kumpulan sosialis dan kumpulan
anti-globalisasi telah dikenal pasti sebagai kumpulan ganas, walaupun
tidak ada secebis bahan bukti menunjukkan mereka terbabit dengan
keganasan. Inilah yang mengingatkan saya kepada satu akta bernama 'Smith
Act' yang akhirnya dimansuhkan kerana bertentangan dengan Perlembagaan.
Itupun setelah ramai manusia yang terpenjara lama-lama kerana melakukan
'perbuatan jenayah' berbentuk berfikir sahaja. (Apa bezanya dengan ISA
di Malaysia? -penterjemah) Saya berpendapat perkara ini merupakan satu masalah besar kepada regim
Bush sekarang ini. Terdapat penentangan meluas di dunia ini kepada apa
yang disebut sebagai agenda neo-liberal (neo-liberal agenda) yang
merupakan satu nama panggilan manis kepada imperialisme putarbelit
hutang. Bebanan hutang dan ugutan sekatan ekonomi sudah lama dijadikan
taktik memulas telinga negara yang melarat. Kita harus sedar tindakan
paling muktamad untuk mengekalkan ugutan itu ialah tindakan ketenteraan.
Bagi setiap agenda ekonomi sejagat, tentu ada agenda politik dan
ketenteraan yang dilakar untuk masa yang sama.
Tumpuan utama tindakan ini semua untuk jangka pendek, ialah di Asia
Tenggara. Tetapi agenda ini sudah diskripkan sebagai satu olahan untuk
memerangi keganasan di seluruh dunia.
Rencana ini dikira munasabah daripada bertopengkan peperangan
membanteras dadah. Lagipun konsep perang-dadah itu sudah tidak lagi
diterima-pakai oleh banyak negara. Puak berhaluan kiri sudah semakin
berkuasa dan menjadi popular di Venezuela, El Savador, Nicargua,
Ecuador, Colombia, Republic Dominica, Haiti, Brazil, dan Argentina. Cuba
sudahpun mencapai nama yang semakin mengharum sejak beberapa tahun dulu.
Kekuatan sebenar empayar ini semakin terdedah. Kita tidak lagi mempunyai
daya menipu negara ini dengan mengenakan peraturan ekonomi yang
memudahkan negara mereka dikuasai oleh syarikat transnasional. Inilah
yang mendedahkan agenda Bush. Kerana itu tindakan yang mudah ialah
menuduh negara ini sebagai penyokong keganasan.
Berdasarkan dalil di atas, saya berani katakan bagaimana puak kiri telah
lalai dengan perkara ini. Mereka membiarkan regim Bush terlepas begitu
sahaja tanpa menyoal siapakah yang melakukan apa bendanya pada 11
September. Kalaulah cerita rasmi itu dianggap satu penipuan, maka ada sebabnya yang
jitu kenapa kita mesti mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Kita
mesti memahami dengan jelas apakah sebenarnya motif pentadbiran Bush
sekarang ini. Kita juga mesti mengetahui lebih banyak lagi apakah motif mereka yang
terdekat. Kita mahu tahu juga di manakah segala kuasa sosial yang
melakar keadaan sekarang ini merancang halatuju mereka. Saya tidak fikir
pentadbiran ini sedang sibuk merencana kumpulan politik yang menjadi
agenda utama mereka. Mereka sedang merencana satu kaedah menyelamatkan
keadaan besar yang semakin terlucut daripada kawalan mereka. Seperti
kaedah membasmi sesuatu, memang sudah ada teknologi pintar yang
memudahkan kerja-kerja bodoh itu. Mereka bukannya melakukan satu tindakan sebagai menyambut peristiwa
September 11. Tetapi mereka memulakan satu rencana menyekat
penggelonsoran sumber minyak di pasaran dunia, yang akan mencetuskan
satu pengecutan ekonomi dunia dan sekaligus mendedahkan kehaprakan
sebuah empayar (Amerika - penterjemah).
Inilah yang menepati andaian saya betapa semua ini akan menggugat
keselamatan Amerika, yang sepatutnya menjadi kerunsingan besar mereka.
Tindakan yang dirancang oleh pentadbiran regim Bush ini, tidak saja akan
mencemaskan keselamatan negara, malahan akan meruntuhkan martabatnya.
Tindakan ketenteraan terhadap begitu banyak kumpulan di seantero dunia,
seperti yang diperakukan sendiri oleh pentadbiran ini, akan menghenyak
banyak pihak tersadai di tembok kehampaan. Sudah tentu ini tidak
menjamin keselamatan kita. Konsep menggembar-gemburkan peperangan yang direncana sekarang,
sebenarnya amat bersalahan dengan hukum-hakam peperangan dan akan
menjurus kepada bencana ketenteraan. Inilah yang harus dilihat daripada
sikap berkecuali dari segi moral dan politik hidup kita.
Orang-orang yang memiliki setengah daripada keseluruhan simpanan minyak
dunia sengaja digugat agar tidak tenang hidupnya sedangkan kita tidak
mampu meramalkan apakah bahananya nanti, melainkan kebarangkalian kita
akan dinafikan hak mendapat bekalan minyak daripada mereka. Yang lebih
dahsyat lagi cara kita mengkucar-kacirkan Pakistan, sebuah negara yang
berkuasa nuklear agar bertegang urat dengan jirannya, dan cara kita
mengusik-ngusik Russia - sebuah negara nuklear juga. Keinginan kita
untuk mengekalkan tahap keselamatan negara tidak juga naik meninggi, dan
Amerika tidak boleh menolak keupayaan negara lain dengan kemampuan
nuklear mereka lagi. Saya berpendapat, agenda domestik ini adalah satu ancaman besar yang
hebat menggugat keselamatan sesiapa juga mengkritik kerajaan dan para
tauke korporatnya, dan kita sudah tahu bahwa ancaman yang sebenar akan
menghantui penduduk dunia yang mudah dikambing-hitamkan setiap kali
krisis dalam negara ini turun menikam.
Memang sudah wujud ancaman sebenar fascisme dalam negara ini, dan inilah
fenomena yang memerlukan musuh tempatan untuk dimamahnya. Kalau mengikut
sejarah, musuh itu mestilah berbentuk puak berhaluan kiri, kesatuan
sekerja, dan pelbagai sektor perkauman dan kebangsaan yang tertekan.
Pemikiran mewujudkan 'Keadaan darurat dan kecemasan' ini untuk menekan
perbincangan ketidak-senangan rakyat terhadap anti-perkauman,
kawanitaan, alam sekitar, sosialisme dan anarkisme.
Walaupun ada penentangan secara simbolik oleh pegawai-pegawai terhadap
'xenophobia' keIslaman (menakutkan pengaruh Islam), segla gambaran yang
stereotaip telah menumpulkankuasa media, sehingga kerajaan terpaksa
mengulangkaji cara menonjolkan martabat perkauman. Inilah langkah
pertama sebelum dilancarkan cara menguasai kaum lain. Kita memang sudah
lama diputar-belitkan kepada ideologi perkauman sama ada secara terbuka
ataupun sebaliknya. Perkauman sebagai sebuah institusi yang menyangkuti
psikologi Amerika Syarikat memang tidak mudah dimansuhkan.
Disebabkan semua dalil-dalil ini saya telah menekankan bahawa kita tidak
dapat menerima secara melulu apa juga yang disogok oleh pentadbiran Bush
ini, baik segala dasarnya ataupun segala temberang dan kelentongannya.
Tindakan mereka itu amat berbahaya, dan sudah tiba masanya untuk mereka
diperangi secara terbuka, sebelum mereka memantapkan agenda dan
memperkasakan kuasa mereka. Kalau mereka berjaya dengan agenda itu, akan
sulitlah nanti usaha kita. Kalaulah puak berhaluan kiri mampu bersatu agar tidak pupus, perlu
memahami peranannya yang kritikal dalam hal ini. Kita perlu memainkan
peranan sebagai kumpulan yang bekerja kuat, tidak berpuak-puak dan
bergerak sekata dalam pertubuhan aman. Kita perlu mengkaji, menyelaras
dan merencana segala perancangan kita yang bersejarah ini. Kita perlu
menyediakan barisan kepimpinan menghadapi konflik penentuan yang akan
muncul untuk Kata-kata hikmah Rosa Luxemburg semakin menyerlah kebenarannya. Kita
bukannya sedang diagah untuk memilih antara sosialisme dan kapitalisme.
Tetapi, sosialisme ataupun barbarisme (kebinatangan).
Apa yang paling kita mampu ialah penafian dan perasaan segan-silu.
Tamat. Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6166
|