Laman Webantu KM2: 6147 File Size: 8.4 Kb * |
TAG SP 359: IUK: Mungkinkah NATO hilang peranan berperang? By Charles Grant 17/10/2001 10:35 am Wed |
[Banyak sekutu Amerika tidak begitu menyetujui serangan terhadap
Afghanistan kerana banyak perkara. Pertama ia takkan menyelesaikan
masalah keganasan. Kedua ia akan menyebabkan keselamatan rakyat dalam
negara mereka sendiri tergugat. Dan yang penting sekali - mereka
kini sedang sakit tenat akibat kemelesetan ekonomi. Faktor lain yang
juga penting ialah pendedahan melalui internet yang akan membogelkan
keganasan mereka dan Amerika. Lagipun Bush Jr adalah budak baru yang
asyik melakukan kesilapan dan mudah dirobotkan. - Editor]
(Does this war show that NATO no longer has a serious military role?)
Oleh: Charles Grant 16 Oktober 2001. Kali terakhir pasukan sekutu Barat pergi berperang, ialah di ruang udara
Kosovo 30 bulan dulu. Ketika itu NATO mengepalainya. Tetapi kini, dengan
pergolakan di Afghanistan, perancang ketenteraan NATO dan ibupejabatnya
tidak mempunyai banyak peranan. Amerika menguruskannya sendirian, dan besar
kemungkinan mereka tidak lagi mengingini pembabitan NATO untuk menguruskan
peperangan yang serius. Sepanjang sejarahnya selama 52 tahun, NATO telah menjalankan tugas
menangani masalah politik dan ketenteraan. Tetapi episod September 11 telah
menonjolkan betapa peranannya dari segi politik - sebagai satu kelab kepada
negara yang mempunyai minat dan nilai hidup yang sama - telah membesar dan
membayangi peranan ketenteraan. Vladimir Putin, telah dapat mendahului
ramai pengulas barat untuk menyedari fenomena ini. Ketika berucap di
Brussels awal bulan ini, Presiden Russia itu telah membuat pengumuman:
'seandainya NATO menukar rentaknya dan menjadi satu pertubuhan politik,'
Russia bersedia mengkaji semula sikap penentangannya terhadap pembesaran
pertubuhan itu. Sejak tamatnya Perang Dingin, NATO telah mengubah peranannya daripada
pertahanan sempadan kepada pengawal keamanan, dalam kempen Kosovo dulu, ia
memainkan peranan pengawal keselamatan yang liar. Di waktu yang sama
kewujudan NATO itu sudah semakin condong kepada unsur-unsur berpolitik.
Program Pakatan Keamanan yang disusuli oleh pembesaran (keahlian) 1999,
yang menerima keanggotaan Czechoslovakia, Hungary dan Poland, telah
direncana untuk mengekalkan kestabilan Eropah Barat dan mengembangkan
unsur-unsur keselamatan ke arah timur. Tiga ahli yang baru itu tidak
memenuhi pra-syarat untuk mempunyai kekuatan ketenteraan yang berpada
sehingga menjejaskan satu daya kekuatan ketenteraan secara keseluruhannya.
Namun kepincangan ini tidak pula menjadi satu masalah yang merunsingkan
kerajaan NATO itu. Kini pentadbiran Bush sudah menjelaskan betapa ia tidak memerlukan khidmat
ketenteraan NATO untuk turut sama memerangi keganasan. Ini mungkin
disebabkan pengalaman Pentagon yang kecewa dengan kempen serangan udara
Kosovo dulu. Terdapat percanggahan antara kepimpinan NATO dan tentera
Amerika dulu. Lagipun, bertindak melalui NATO bererti berurusan dengan satu
jawatankuasa, yang kerap menyulitkan pihak Amerika. Contohnya, Peranchis
pernah mengecewakan pasukan angkatan udara AS ketika Peranchis menolak
keinginan Amerika memusnahkan jambatan-jambatan di Belgrade (mujurlah
Peranchis degil bertindak demikian!)
Tindakan AS menguruskan sendiri peperangan yang terkini memang dapat
diterima akal, kerana NATO tidak mempunyai upaya yang khusus memerangi
keganasan. Ironisnya, keputusan menghormati Artikel 5 Perjanjian Washington
- satu persetujuan untuk sama-sama terlibat mempertahankan ahli pertubuhan
yang merupakan teras persyarikatan itu - telah menjelaskan betapa NATO
hanya mempunyai peranan kecil dalam konflik ini. Ini juga mendedahkan
betapa Artikel 5 itu mempunyai satu makna kecil sahaja berbanding yang
pernah difikirkan sebelum itu. Artikel itu menjelaskan bahawa setiap ahli
pertubuhan perlu 'membantu pihak ataupun pihak-pihak yang telah diserang
dengan bertindak sepatutnya, termasuk menggunakan kuasa tentera.'
Seperti yang dijelaskan oleh seorang pegawai tinggi NATO, Artikel 5
menekankan 'satu kesediaan setiap ahli memberikan khidmat yang diperlukan
oleh AS'. Namun demikian, terpulanglah kepada seseorang ahli itu memberikan
khidmat mengikut kesediannya. AS telah meminta keizinan ruang udara,
pelabuhan dan pangkalan ketenteraan, dan untuk pemindahan kapal tertentu ke
arah timur Mediterranean. AS telah meminta lima pesawat pengawasan bumi
kendalian NATO untuk berpindah ke AS menggantikan pesawat Amerika yang
dipindahkan ke Asia. Alasan pertukaran tempat ini adalah bertujuan
memudahkan arahan perang Amerika tanpa menggunakan kelengkapan perang NATO.
Ini tidak bererti Artikel 5 itu tidak penting. Kewajipan moral memang kerap
menghasilkan sesuatu, seperti yang terbukti kini. Tetapi, kejituan sebenar
artikel itu menunjukkan betapa wujudnya kata sepakat pertubuhan itu (NATO)
dalam sikap berpolitik dengan AS. NATO telah menawarkan kepada AS sokongan
diplomatik yang menyeluruh dalam setiap tindakan ketenteraan yang menepati
selera Amerika. Sementara itu masalah rantau Balkan sudah semakin menggelonsor dalam
senarai keutamaan Bush. Sekitar 80 persen kerja-kerja mengawal keamanan di
Bosnia dan Kosovo telah ditanggung oleh NATO, dan penglibatan ini dijangka
akan terus meningkat. Memandangkan keadaan Bosnia sudah beransur pulih,
besar kemungkinan AS meminta EU mengambil alih tugas NATO di situ. Seorang
pegawai AS pernah bertanya: 'Apa gunanya diwujudkan ESDP (European Security
dan Defence Policy - Dasar Pertahanan dan Keselamatan Eropah), seandainya
Eropah tidak mampu menguruskan satu keadaan yang menyerupai Bosnia?'
Kalaulah AS menjangkakan EU mengambil alih tugas mudah seperti pasukan
kawalan aman, dan mahu menguruskan sendirian peperangan yang serius, apakah
peranan ketenteraan lain yang tinggal untuk diuruskan oleh NATO? Jawapannya
mungkin terletak kepada masalah sederhana seperti Kosovo, yang memang
tidak terdaya diuruskan sendirian oleh NATO. Akhirnya nanti, apakala ESDP
sudah maju, peranan ketenteraan NATO akan terkapit antara sikap
unilateralisme Amerika dan sikap keyakinan diri EU.
Ciri-ciri politik NATO yang semakin membesar akan menghambat pembesarannya
masa depan. Pada November akan datang, di 'Kemuncak Prague' besar
kemungkinannya NATO mengumumkan kesediaannya menerima keahlian Slovenia dan
Slovakia. Ramai rakyat Amerika yang mempertikaikan agar Estonia, Latvia dan
Lithuania diterima masuk, sebagai usaha mengekalkan keselamatan dan
kestabilan. Mereka semacam tidak peduli apakah kemasukan lima ahli baru itu
nanti akan melemahkan perpaduan ketenteraan pertubuhan itu. Kebanyakan
kerajaan pertubuhan itu memang merelakan kemasukan negara balkan itu.
Namun, kadangkala Britain mengemukakan kemusykilan sambil menunjukkan
betapa negara itu amat sukar untuk dipertahankan. Masalahnya, kerajaan
British adalah antara negara terakhir dalam NATO yang terus menganggap
pertubuhan itu sebagai satu pertubuhan ketenteraan yang serius.
LAGI CENDERUNG PERTUBUHAN ITU BERPOLITIK, lagi mudah Russia menerima sikap
pembesaran NATO dan menjalin hubungan yang lebih rapat dengannya. Presiden
Putin berkata dia mahukan perubahan dalam hubungan Russia dan EU serta
NATO. Dulukala, Artikel 5 itu menjadi satu penghalang kepada keahlian
Russia dalam NATO. Negara Eropah Bart tidak berapa berminat untuk
bersekongkol dengan Russia mempertahankan keselamatannya di bahagian
sempadannya dengan Asia. Setelah dilihat bagaimana Artikel 5 itu
ditafsirkan sebagai satu penglibatan politik yang longgar terhadap
pertahanan bersama, berabanding fahaman lama yang menganggapnya satu
kemestian, maka semakin lunturlah tanggapan penentangan tersebut.
Selagi kerajaan Presiden Putin meneruskan sikap menyenangi ruang demokrasi
yang luas, NATO harus mengisytiharkan bahawa ia tidak lagi membantah
kemasukan Russia menganggotai pertubuhan itu di masa depan. Apabila NATO
menerima keanggotaan Russia, ia sekaligus menjadi satu pakatan politik -
dan menjadi satu pertubuhan penting kepada sebarang pakatan sejagat yang
beriltizam memerangi keganasan dan segala perjuangannya.
Tamat Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6146 |