Laman Webantu (M) KM2: 6082 File Size: 6.5 Kb |
|
TAG SP 337: IUK: Fisk - Sahabat Kita Adalah Pembunuh, Penyangak dan Pendera By Robert Fisk 9/10/2001 11:57 am Tue |
http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=98181
Independent UK (Our friends are killer, crooks and torturers)
Oleh: Robert Fisk Hampir empat minggu selepas berlakunya petaka ngeri dari angkasa yang
menghunjam New York dan Washington, kita masih main politik
mundar-mandir sambil bersekongkolan dengan beberapa algojo yang paling
dahsyat di dunia. Mungkin Mr. Blair percaya bahawa 'nilai hidup pegangan kita mesti
bersinar pada apa yang kita laksanakan di Afghanistan' sedangkan tidak
ramai 'sahabat' kita di rantau itu yang berpegang kepada nilai hidup
amalan kita, kerana ada antara mereka yang menggenggam darah kering di
tangannya. Sambil kita mencari segala kemudahan dan pangkalan untuk
melancarkan kelengkapan perang dan keizinan ruang udara, dan mencipta
beberapa dasar baru setiap hari - kita diminta untuk melupakan banyak
peristiwa yang sudah dirakam oleh sejarah.
Pertama, kita mesti lupakan Chechnya. Itulah episod penekanan terhadap
republik Islam - lengkap dengan pembunuhan beramai-ramai, ramai yang
diperkosa dan banyak pula kubur mereka. Bukankah itu hasil rancangan
Vladimir Putin, bekas pegawai tinggi KGB, yang didekati oleh Bush untuk
menjenguk apa yang tercetus di Slovenia.
Cara Mr. Putin menyerang Grozny ialah bertepatan masa dengan
pertandingan menguasai istana presiden Russia, dan dalam jangkamasa
beberapa minggu, askarnya yang tidak berdisiplin telah menghancurkan
Chechnya yang menyerupai Afghanistan, dahsyatnya. Kini, Mr. Putin
dianggap sahabat terkuat kita dalam 'peperangan melawan keganasan'.
Kenapa tidak, bukankah dia sendiri pakar keganasan itu?
Kedua, kita mesti melupakan regim diktator yang dianggotai keluarga
diraja Saudi yang mempunyai pasukan polis 'mouttawa' yang telah dikerah
mengajar Taliban bagaimana mewujudkan Kementerian Amal Maruf Nahi
Mungkar. Kita diajak melupakan betapa kaum wanita tidak dibenarkan memandu kereta
di Arab Saudi, dan majlis pancung kepala setiap minggu selepas waktu
Jumaat di masjid-masjid. Begitu juga dengan sistem kehakiman negara itu
yang sungguh memalukan dan tidak adil kesemuanya, yang mungkin
mengingatkan kita kepada segala perbuatan untuk mencontohi Arab Saudi
yang dilaksanalan oleh Taliban, yang kita mahu lihat akan hancur dengan
kemusnahannya. Kemudian kita mesti melupakan satu regim yang belum berapa dahsyat
sistem demokrasi pemerintahannya, Jeneral Pervez Musharraf. Hanya baru
sangat beliau menjadi ketua turus angkatan tentera Pakistan yang
menggulingkan sebuah kerajaan demokrasi yang dipilih oleh rakyat
Pakistan tetapi menjadi korup disebabkan ia dipimpin oleh Nawaz Sharif.
Malahan, Jeneral Musharraf sudah merencana untuk menghukum gantung Nawaz
Shariff. Mujur, Presiden Clinton tiba di Islamabad awal tahun lalu untuk
mengutuk Osama bin Laden dan merayu agar Nawaz Shariff tidak
diapa-apakan. Hanya beberapa minggu yang lalu, jeneral ini melantik dirinya sendiri
menjadi presiden negara. Ketika seluruh dunia bersikap menunggu
melihatkan gelagatnya itu, Kini Jeneral Musharraf sudah pun diberikan
pengiktirafan sebagai seorang 'presiden' juga.
Keempat, ingatan kita mesti menjalar kepada seorang sahabat terbaru di
Uzbekistan yang bernama Presiden Islam Karimov yang kini sedang
memenjarakan 7,000 banduan di negaranya. Tidak ada kebebasan akhbar dan
parti pembangkang di negaranya ini.
Mikhail Ardzinov merupakan salah seorang aktivis hak asasi manusia di
Uzbekistan. Beliau pernah didera dengan ganasnya oleh polis rahsia
Krimov dua tahun dulu. Kini Mikhail berkata 'walaupun Amerika tidak mahu
melupakan hak asasi manusia untuk mendapatkan persahabatan Karimov, kami
sedar rentak politik itu tidak akan berubah lagi.' Memang benar, Krimov
sudahpun memberi keizinan Amerika menggunakan ruang udaranya 'untuk
digunakan membasmi keganasan untuk tujuan kemanusiaan dan keselamatan'.
Ini bukannya masa untuk mengingatkan sesiapa betapa Uzbekistan mempunyai
alasan tersendiri mahu menghancurkan Taliban - bukannya disebabkan sifat
Taliban mengeksport fahaman revolusi ke negara jirannya, tetapi kerana
Presiden Karimov mahukan satu saluran paip minyak merentang Afghanisan
untuk menuju pelabuhan Pakistan. Inilah satu projek yang boleh
mengongkosi pasukan polisnya yang sudah muflis dan juga beberapa
syarikat minyak Amerika. Salah satu sahabat sekutu Karimov ialah penjenayah perang yang
anti-Taliban, bernama Abdul Rahman Dustum. Inilah panglima perang yang
membenarkan orangnya mengganas di Kabul pada awal 90-an sambil merogol
wanita untuk beberapa bulan lamanya. Kemudian, dia berpaling tadah untuk
memihak kepada Taliban setelah menerima wang upahan. Kerana itu kita
mesti mempunyai 'amnesia' (hilang ingatan) terhadap anarki dan
pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Pakatan Utara (Perikaan
Utara) - sahabat kita di Utara Afghanistan yang pernah mentadbir Kabul.
Tentu kita mesti ingat dengan penuh kesedihan, Ahmad Shah Massoud,
seorang patriot tulen yang dibunuh oleh pasukan rela-mati berbangsa Arab
(kata mereka) pada 9 September 01. Sekaligus kita mesti melupakan kawan
beliau, Rasoul Sayaf yang memimpin satu pasukan yang merampas wanita
Shia sebagai abdi seks mereka pada awal 90-an dulu.
Memang betul sangat kisah Churchill pada tahun 1941 dulu ketika
diberitahu berita Jerman sudah menakluki Soviet Union dan ketika Stalin
menjadi sahabatnya. Dia (Churchill) mengumumkan seandainya Hitler
menakluki Neraka, dia mahu membuat rujukan kepada hantu itu dalam Dewan
Rakyat Britain. Tetapi, kita tidak akan membuat sebarang rujukan kepada
semua 'sahabat' kita di rantau ini. Kita sudahpun menghunus sebilah
pedang yang berkilau dan tajam, dan tidak lagi perlu gusar apakah tangan
yang akan kita salam itu nanti bergelumang dengan darah juga.
Inilah dia peperangan di mana demokrasi memerangi kejahatan, seperti
kata Presiden Bush. Sebabnya ialah kerana tidak banyak lagi demokrasi
itu yang masih diamalkan. Asal: KM2 6081 |