Laman Webantu (M) KM2: 6057 File Size: 7.8 Kb |
|
TAG SP 324: WBiz: Siapa yang menang perang tarik-tali di AS? By Leon Hadar 5/10/2001 1:12 pm Fri |
Siapa yang menang perang tarik-tali di AS?
(Who's winning the tug of war in the US?)
Oleh: Leon Hadar - Washington Business
Times 2 October, 2001 'Saya ada satu pesanan kepada tentera kita: Bersedialah!' Inilah kata-kata
semangat yang dituturkan oleh Presiden Amerika George Bush Jr. ketika
berucap di Congress yang diberikan liputan siaran langsung di TV ke
seluruh dunia. Inilah kata-kata yang dianggap oleh para pengamat sebagai
seruan untuk 'siap siaga' untuk menggerakkan rakyat Amerika bergelumang
dalam satu peperangan yang panjang dan paling tinggi risikonya memerangi
keganasan. Memang tidak syak lagi ucapan Bush itu membuatkan rakyat Amerika merasa
lega dan selesa sambil menaikkan semangat dan pengharapan mereka dalam
memahami satu kempen ketenteraan yang secara spontan dan bertujuan untuk
menghenyak mereka yang bertanggungjawab dengan serangan keganasan terhadap
Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon. Untuk sehari-dua selepas ucapan itu, beberapa pegawai AS yang lain turut
mengulang-ulang iltizam itu. Setiausaha Negara Collin Powell yang telah
memimpin tentera Amerika pada 1991 terhadap Iraq, telah memberikan
gambaran betapa Amerika mempunyai matlamat untuk 'menghapuskan' keganasan
dan menekankan ia tidak akan berakhir sehinggalah tentera Amerika berjaya
'menyelinap masuk, menumpaskan dan menghapuskan mereka'. 'Jom, kita
laksanakan!' demikian tajuk sebuah akhbar tabloid harian.
"Bolehkah anda tolong tekan butang itu?" demikian kata Matt Drudge,
seorang editor majalah internet yang terkenal ketika merayu kepada
Presiden Bush. Mahaguru politik dan pakar ketenteraan telah meramalkan
betapa tentera Amerika sudah bersedia untuk menyerang dan sedang merancang
untuk menyerang pangkalan pengganas di Afghanistan dan berkemungkinan
menyerang sasaran lain di Iraq, Syria dan Libya.
Malahan, mengikut sumber dalaman, satu perdebatan besar sedang bergolak
dalam pentabdiran Bush sendiri, antara kumpulan yang sederhana, pimpinan
Collin Powell yang memberi penekanan kepada menubuhkan satu kumpulan besar
sejagat, termasuk beberapa negara Islam dan Arab yang sederhana, yang
dapat menyokong satu serangan ketenteraan yang berpilih-pilih terhadap
Afghanistan. Kumpulan ini ditentang oleh beberapa pegawai Pentagon yang
dipimpin oleh Timbalan Setiausaha Pertahanan Paul Wolfowitz, yang
mencadangkan agar AS meluaskan peperangan terhadap keganasan itu dan
menggunakan segala peluang untuk menjatuhkan Saddam Hussein dan menyanggah
Iran, Syria dan kerajaan lain yang masih mempunyai hubungan dengan
kumpulan keganasan. Kini, tiga minggu hampir berlalu selepas serangan dibuat ke atas New York
dan Washington yang telah meremukkan hati orang Amerika, dan 10 hari
sudahpun berlalu sejak Bush meminta rakyat 'bersedia' sehingga menaikkan
begitu banyak harapan agar dilaksanakan satu serangan tentera yang
spontan, tetapi sehingga kini tidak ada sesuatu yang dapat dibanggakan.
Tidak adapun Perang Dunia Ketiga, dan tidak ada gegarannya, tidak ada yang
meledak di Kabul dan Baghdad. Sebaliknya, Mr. Bush, Mr. Powell dan
beberapa pegawai tinggi AS yang lain telah mula menurunkan tahap
pengharapan, dan menyempitkan ruang matlamat apa yang mereka sebut Perang
Menentang Keganasan (yang semakin sama bunyinya dengan Perang menentang
dadah dan tidak lagi bergema sebagai Perang Dunia Ketiga) sambil meminta
rakyat bersabar, sebanyak-banyak sabar.
Rakyat Amerika seharusnya tidak menjangkakan satu kempen ketenteraan yang
spontan. (Mereka tidak boleh mengharapkan ulangan senario Pendaratan di
Normandy yang merupakan serangan tanah besar Eropah oleh pasukan tentera
bersekutu dalam Perang Dunia Kedua dulu). Demikian pendapat Setiausaha
Pertahanan Donald Rumsfeld, yang dianggap sebagai salah seorang yang
berjiwa 'helang' di Pentagon. Malahan, sudah banyak petanda bahawa pentadbiran Bush sudah semakin hambar
untuk menggulingkan kuasa Taliban di Kabul, yang direncanakan melalui
usaha bersama Perikatan Utara (satu kupulan gerila anti-Taliban) dan
pasukan AS dan Britain. Sikap ini amat bertentangan dengan hasrat kerajaan
Pakistan yang merelakan tentera AS menggunakan pangkalannya dalam usaha
menangkap Osama bin Laden yang dituduh perancang utama keganasan dan yang
kini bersembunyi di Afghanistan. Islamabad tidak ingin melihat kemunculan Perikatan Utara merampas kuasa
pemerintahan Afghanistan. Kerajaan Arab dan negara Islam yang lain yang
bersekutu dengan Washington memang prihatin akan kesan tindakan Amerika ke
atas Afghanistan yang mungkin tercetus di negara mereka pula.
Kerana banyak pihak yang mengharapkan tekanan diplomatik dan ketenteraan
yang ditumpukan kepada Taliban akan memaksa Osama bin Laden bersama para
penyokongnya keluar daripada persembunyian ataupun sengaja mengundang
kemaraan komando Britain dan Amerika untuk menangkap beliau dan
mengheretnya ke medan pengadilan (ataupun membunuhnya di sana untuk
menjimatkan perbelanjaan proses pengadilan yang panjang).
Apapun, kata pegawai kedutaan AS dan pegawai tenteranya, masih ada
keperluan menyediakan sistem sokongan antarabangsa di darat, yang
merupakan satu proses yang bukan sahaja merobah arah tuju dasar luar
Amerika Syarikat yang bersifat multi-lateralisme menggantikan unsur
pandangan unilateral pilihan kerajaan Bush di mana hak asasi manusia dan
program 'pembinaan-negara' diperusuk di bahagian bawah agenda besarnya.
Sekaligus ini merobah bentuk imbangan kuasa global seperti yang dapat
dilihat dalam kemunculan persyarikat strategik yang lembab tetapi
meyakinkan antara Washington dan Moscow yang menumpukan sasaran terhadap
radikalisme Islam dan kemunculan NATO sebagai satu kuasa global yang tidak
lagi terhad pada wilayah Atlantik sahaja.
Terdapat banyak kepuasan di Washington terhadap sokongan yang diberikan
kepada AS di PBB dan di seluruh dunia (malahan Korea Utara dan Cuba telah
menyatakan sokongan mereka terhadap strategi memerangi keganasan, dan Iran
mengambil sikap berkecuali berbanding menjadi pembangkang kepada pendirian
anti-Amerika) Jelas, segala usaha meraih sokongan sejagat ini terus membantu pentadbiran
Bush dalam usaha menghambat anggota Al-Qaeda dan cuba mengeringkan sumber
kewangan organisasi itu. Akan tetapi, apakah kemungkinannya segala usaha menubuhkan satu pasukan
Bersekutu antarabangsa yang memakan masa tidak menentu dan kerja-kerja
mata-mata gelap untuk menghambat sumber kewangan yang menghasilkan imej
Osama Bin Laden yang sudah mati dapat memuaskan nafsu serakah yang sungguh
tinggi rakyat Amerika yang pada keseluruhan dan majoritinya mahukan
pemimpin mereka menghukum para pengganas yang mencetuskan tragedi
September 11 itu? Memandangkan sokongan terhadap Mr. Bush di kalangan rakyat Amerika berada
pada tahap yang tinggi lambungannya, tidak ada seorang pemimpin politik
dan mahaguru yang berani menyuarakan soalan mempertikaikan dasar Rumah
Putih, buat waktu semasa. Tetapi secara persendirian, orang-orang dalam
sudah semakin berani membincangkan keraguan betapa pentingnya pentadbiran
Bush bertindak sesuatu (yakni satu bentuk tindakan ketenteraan yang
membolehkan rakyat Amerika melihatnya di CNN) secepat mungkin. Jika tidak,
bukan sahaja Rumah Putih akan kehilangan sinar sokongan rakyatnya, tetapi
semangat patriotisme pasca September 11, akan berubah rupa manjadi satu
bentuk kebingungan yang mencetuskan kemarahan yang akan mencemar perasaan
kesatuan kebangsaan yang kini sedang bertiup lega menguasai Washington dan
menyenangi keseluruhan negara. Tamat. Terjemahan: SPAR
|