Laman Webantu (M) KM2: 6039 File Size: 18.2 Kb |
|
TAG SP 316: B16D - Perisik di Padang Pasir By GT 3/10/2001 8:32 pm Wed |
Bab 16D (Akhir) Perisik di Padang Pasir (Spies In The Sand) Oleh: Gordon Thomas Amiram Nir memang dianggap insan yang paling cocok menjadi seorang penasihat
anti-keganasan kepada Perdana Menteri Shimon Peres. Dia berani, mudah
menyiasat dan mendapatkan maklumat, pintar bermuslihat dan ganas. Nir
mempunyai satu perwatakan yang garang, tanpa pandai berlembut, serta
kepintaran menyindir dan mampu maju berfikir ke depan, sambil pintar mengubah
tugas mengikut keadaan yang kerap berkecamuk antara fakta dan fiksyen. Nir
pernah bertugas sebagai seorang wartawan.
Pengetahuan terdahulunya mengenai perisikan bermula daripada pengalamannya
sebagai seorang wartawan kepada televisyen Israel. Kemudian dia pernah bekerja
dengan akhbar harian terbesar di negara itu, 'Yediot Abaronot' yang dipunyai
oleh Dinasti Moses yang rapat hubungan dengannya kerana beliau mengahwini
salah seorang anak perempuan keluarga itu. Empayar penerbitan itu adalah
segalanya yang melambangkan impian yang tidak dapat diadakan oleh Robert
Maxwell. Ia sungguh dihormati dan mempunyai kewangan yang mantap dan
memberikan ganjaran kepada para pekerja bersamaan dengan keringat mereka
setiap hari. Perkahwinan Nir itu bukan sahaja menjadikanya seorang suami kepada
salah seorang wanita terkaya di Israel, tetapi membolehkannya rapat dengan
pihak yang paling atas dalam kekuasaan politik Israel.
Namun pada 1984, berlakulah suasana kekejutan di kalangan masyarakat perisikan
Israel apabila Peres melantik Nir menjadi seorang penasihat memerangi
keganasan kerana jawatan itu dianggap paling sensitif oleh masyarakat
perisikan negara itu. Nir berusia tiga puluh empat tahun ketika itu dan kalau ada pengalaman yang
diperolehinya dalam kerja-kerja perisikan, ia merupakan satu pembabitan pendek
dalam kursus IDF. Di kalangan sahabatnya, sudah menjadi satu persetujuan
bersama bahawa dia memerlukan lebih daripada wajahnya yang bengis sebagai
kelayakan untuk memegang jawatan yang terbaru itu.
Ketua Mossad, Nahum Admoni, merupakan orang pertama yang menunjukkan
ketidak-senangan terhadap pemilihan itu: dia telah menukar struktur
Jawatankuasa Ketua Bahagian untuk mengasingkan Nir daripada majlis bertindak
yang membuat keputusan. Nir tidak ambil hati, cuma mengambil masa yang panjang
pada tahap awal perlantikannya untuk membaca setiap makalah yang sampai di
tangannya. Inilah yang membuatkannya tertarik kepada kisah operasi membabitkan
senjata sebagai bahan pertukaran dengan mangsa penculikan. Setelah merasakan
inilah peluang untuk menonjolkan kepintarannya, Nir telah memujuk Peres agar
dia diamanahkan bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh David Kimche.
Dengan sokongan guru dan penasihatnya Ari Ben Menashe, Nir akhirnya mendapati
dirinya terlibat bekerja di bawah arahan Oliver North.
Tidak lama kemudian, manusia berdua ini dapat bekerja rapat, berpergian sana
dan sini, seiring jalan. Sepanjang perjalanan mereka itu mereka merancang
untuk menamatkan usaha pertukaran senjata dengan kelengkapan perang dengan
penuh kejayaan. Mereka merencana terbang ke Iran dan menemui kepimpinan negara
di Tehran dan merundingkan pembebasan para tebusan penculikan.
Pada 25 Mei, 1986, sambil menyamar sebagai ahli teknikal Air Lingus,
penerbangan negara Ireland, Nir dan North telah berlepas daripada Tel Aviv
untuk pergi ke Tehran dengan menaiki sebuah pesawat kepunyaan Israel yang
telah dicat semula dengan warna Air Lingus lengkap dengan logo 'shamrock' yang
terkenal itu. Dalam pesawat itu terdapat sembilan puluh tujuh buah misail
peluru berpandu dan satu pellet alat gantian missail jenis 'Hawk'. Nir terbang
dengan menggunakan satu pasport palsu yang disediakan oleh North.
North, yang kuat dengan fahaman 'evangelical Kristian' telah berjaya memujuk
Presiden Reagan agar menanda- tangani sebuah kitab Injil untuk dihadiahkan
kepada Ayatollah Rafsanjani, seorang pengamal ajaran Islam. Dia juga telah
membawa hadiah kek coklat dan satu set pistol Colt sebagai hadiah kepada
penyambutnya. Semua itu adalah satu ulang tayang majlis pertemuan di zaman
dulu ketika peniaga kulit putih betukar-tukaran tanah kepunyaan Red Indian di
Manhattan (yang kemudiannya didirikan Pusat Dagangan Dunia - penterjemah).
Mossad mengetahui perkara ini buat kali pertamanya apabila pesawat itu
memasuki ruang udara Iran. Apabila mengetahuinya, Nahum Admoni dikatakan naik
marah sehingga tidak dapat dibayangkan.
Mujurlah pihak Iran memerintahkan para pelawat itu keluar daripda Iran dan
menggunakan lawatan mereka itu sebagai bahan propaganda terhadap Amerika
Syarikat. Reagan naik marah. Di Tel Aviv, Admoni telah menggelarkan Nir
sebagai 'seorang koboi (cowboy)'. Namun demikian, Nir dapat terus berkhidmat
dengan kerajaan untuk selama sepuluh bulan lagi, sehingga bantahan di kalangan
masyarakat perisikan mahukan beliau disingkirkan menjadi semakin memuncak.
Semasa beliau masih berkhidmat itu, kes melibatkan Hindawi, Vanunuu dan Sowan
telah melintasi mejanya, tetapi sebarang cadangan yang dikemukakannya cara
menangani masalah yang berbangkit itu telah ditolak begitu sahaja oleh Mossad.
Apabila tidak lagi disenangi oleh Washington dan semakin terpulau di Tel Aviv,
Amiram Nir telah meletakkan jawatan sebagai penasihat anti-keganasan Perdana
Menteri Israel pada Mac 1987. Pada waktu yang sama perkahwinannya sudah
menghadapi masalah, sedangkan bilangan sahabat rapatnya sudah semakin
mengecil. Ari Ben-Menashe tetap mengekalkan perhubungan baik dengan Nir
sehingga saat terakhirnya. Pada awal 1988, Nir telah berpindah untuk menetap
di London. Di London dia tinggal serumah dengan seorang perempuan yang genit daripada
Kanada, Adriana Stanton, namanya, dan berusia dua puluh lima tahun yang
mengaku pernah bekerja sebagai seorang setiausaha daripada Toronto. Nir
mula-mula bertemu beliau ketika dalam perjalannya. Beberapa pegawai Mossad
percaya Adriana Stanton mempunyai hubungan rapat dengan CIA, kerana CIA memang
terkenal menggunakan wanita sebagai bahan memerangkap orang luar. Di London,
Nir menyamar sebagai wakil pasaran di Eropah kepada sebuah syariakt Mexico
yang berdagang buah 'avocado', Nucal de Mexico, yang berpusat di Uruapan.
Syarikat itu menguasai satu pertiga pengeksportan avocado negaranya.
Akan tetapi, bukannya avocado yang membuatkan Ben Menashe melangkahkan kakinya
di pintu rumah Nir pada satu malam hujan lebat pada bulan November 1988. Dia
mahu tahu apakah sebenarnya yang akan didedahkan oleh Nir di hadapan hakim
apabila dia dipanggil sebagai saksi kepada kes melibatkan Oliver North dalam
kisah skandal Iran-Contra. Nir telah bernekad untuk mendedahkan pelbagai kisah
yang akan mengaibkan bukan sahaja pentadbiran Reagan malahan juga kerajaan
Israel. Dia bercadang mendedahkan betapa mudahnya mengendalikan satu operasi
haram dengan mengenepikan segala peraturan rasmi kerajaan dan membabitkan
beberapa negara lain seperti Afrika Selatan dan Chile. Dia menambah mahu
menulis satu buku yang akan menjadikannya sebagai seorang yang paling berani
membuka pekung Israel dalam sejarahnya. Ari Ben-Menashe telah membuat
temujanji sekali lagi dengan Nir apabila dia pulang daripada membuat lawatan
ke Nucal di Mexico. Pada waktu yang sama, Ari memberi ingatan kepada Nir agar
berwaspada terhadap 'wanita itu' sebaik sahaja Adriana Stanton meninggalkan
majlis pertemuan mereka bertiga. Ben-Menashe enggan memberi penjelasan kepada
amaran itu kecuali bercakap dengan caranya yang selalu berselamba dan
berahsia; 'Aku kenal dia dulu lagi, walaupun Nir tidak mengetahuinya, namanya
sebenar bukanlah Adriana Stanton.' Pada 27 November, 1988 Nir dan Adriana telah terbang ke Madrid dengan nama
samaran. Dia menggunakan nama 'Patrick Weber', kerana itulah nama samarannya
ketika membuat lawatan ke Tehran bersama Oliver North. Adriana dicatat dalam
manifes penerbangan Iberia dengan nama 'Esther Arriyaa'. Kenapa mereka
menggunakan nama samaran untuk tiket pesawat terbang, sedangkan mereka
menggunakan pasport yang menggunakan nama sebenarnya - Israel dan Kanada -
tidak siapa yang mengetahuinya. Satu lagi misteri ialah kenapa mereka
melencong dulu ke Madrid sedangkan banyak penerbangan terus ke Mexico City.
Apakah Nir cuba menunjuk- nunjuk kepada kekasihnya betapa mudahnya membohongi
orang lain setiap masa yang diingininya? Ataupun apakah sudah muncul satu
keraguan yang menakutkan selepas dia didatangi oleh Ben-Menashe? Seperti
banyak hal lagi yang kemudiannya terjadi, semua teka-teki itu tidak terjawab
akhirnya. Mereka tiba di Mexico City pada 28 November. Ketibaan mereka telah dinanti
oleh seorang lelaki yang tidak dapat dikenali sehingga kini. Mereka bertiga
pergi bersama ke Uruapan dan tiba di sana di sebelah tengah hari. Kemudian,
Nir telah menyewa sebuah pesawat Cessna T-210, daripada sebuah syarikat kecil,
Aerotaxis de Uruapan. Sekali lagi Nir bersikap ganjil. Dia menyewa pesawat kecil itu dengan
menggunakan nama 'Patrick Weber', dengan menggunakan kad kredit yang
menggunakan nama itu untuk membayar kos sewaan, dan berurusan dengan seorang
juruterbang untuk menerbangkan mereka ke kilang Nucal dalam masa dua hari
lagi. Di hotel yang ditempahnya sebuah bilik untuk menginap bersama, dia telah
menggunakan nama asalnya. Lelaki yang menemani mereka daripada Mexico itu
tiba-tiba lesap tanpa sesiapa yang menyedarinya.
Pada 30 November, Nir dan Adriana Stanton, telah pergi ke lapangan terbang
Uruapan yang kecil sahaja itu, dengan ditemani oleh seorang lelaki yang baru
pula. Dalam senarai (manifes) penumpang nama lelaki itu telah dirakamkan
sebagai Pedro Espionoza Huntado. Siapa majikannya ketika itu masih kekal satu
misteri. Ada juga satu persoalan kenapakah Nir dan Stanton menggunakan nama
mereka sebenar ketika mengenalkan diri untuk merujuk kepada nama di manifes
itu. Kalaulah juruterbang itu sudah menyedari wujudnya perbezaan nama ketika
menyewa pesawat itu dengan orang yang menggunakannya, sudah tentu keraguannya
itu tidak terjawab. Pesawat itu terbang dengan keadaan yang baik. Pesawat itu membawa seorang
juruterbang bersama pembantu juruterbang, dan tiga orang penumpang. Setelah
terbang sejauh satu ratus batu, secara tiba-tiba pesawat Cessna mengalami
kerosakan enjin, dan terhempas sejurus itu membunuh Nir dan juruterbangnya.
Adariana Stanton mendapat cedera parah, tetapi pembantu juruterbang dan
Huntado mengalami cedera ringan sahaja.
Apabila penyelamat yang pertama, Pedro Cruchet, muncul di tempat kemalangan,
Huntado telah menghilangkan dirinya dan tidak dapat dikesan lagi selepas itu.
Cara Cruchet boleh tiba-tiba muncul di tempat kejadian itupun masih menjadi
satu soalan misteri. Dia mengaku sebagai seorang pegawai Nucal, tetapi
bagaimana dia boleh berada di tempat kemalangan pesawat itu sedangkan kilang
Nucal terletak jauh dari situ, menjadi satu teka-teki juga. Dia tidak mampu
memberikan penjelasan bagaimana dia boleh berada di situ. Apabila polis
meminta kad pengenalannya, dia merayu agar polis mempercayai kehilangan kad
itu dalam satu majlis sabong lembu. Rupanya Cruchet ialah seorang warga
Argentina yang masuk dan tinggal secara haram di Mexico. Ketika pengenalan
sebenarnya dapat diperakukan, Cruchet pun telah menghilangkan diri. Di tempat
kemalangan itu, Cruchet telah mengenali mayat Nir dan dia telah menemani
Adriana Stanton untuk mendapatkan rawatan di hospital. Dia telah berada di
sisi Adriana sehinggalah seorang wartawan tempatan muncul mahukan butiran
lanjut. Joel Bainerman, penerbit majalah perisikan politik Israel telah berkata: 'Ada
seorang wanita melaporkan betapa Cruchet berada di situ. Ketika dia cuba
menemuramah Cruchet, seorang wanita telah muncul di pintu dan memberitahu
waratawan itu betapa Cruchet tidak ada di situ dan beliau sendiripun belum
pernah mendengar nama itu. Wanita itu memberitahu bahawa kehadiran Stanton di
tempat kemalangan adalah satu kebetulan dan dia tidak ada kena mengena dengan
'Israel'. Namun, dia enggan memperkenalkan dirinya selain menyebut bahawa dia
berada di Mexico sebagai seorang pelancong daripada Argentina.'
Kenyataan Stanton telah menyulitkan misteri itu. Ketika beliau disoal oleh
penyiasat kemalangan seperti yang dilaporkan oleh wartawan Israel Ran Edelist
pada tahun 1997, dia berkata: 'Ketika mengalami kecederaan dan sedang terkejut
itu, Adriana Stanton nampak wajah Nir beberapa meter jauhnya dari situ
melambaikan tangan dan suara menenangkannya. 'Semuanya akan selamat.
Pertolongan sedang dalam perjalanan ke sini'. Pernah Adriana menyebut sebanyak
dua kali pada hari berikutnya bahawa 'Nir masih hidup lagi.'
Mayat Nir telah diterbangkan ke Israel untuk pengebumiannya. Lebih satu ribu
pengunjung datang menziarahi mayat itu dan dalam ucapan akhirnya (eology),
Menteri Pertahanan, Yitzshak Rabin telah menyebut betapa Nir 'ketika itu
sedang dalam satu perjalanan yang tidak diketahui destinasi dan tujuannya, dan
segala itu terpaksa tersimpan sebagai satu rahsia yang terus terkunci dalam
kalbunya.? Apakah Amiram Nir telah dibunuh agar dia tidak mendedahkan rahsia yang selama
itu terpendam dalam kalbunya? Apakah betul mayat Nir yang disimpan dalam
keranda itu? Apakah dia sudah dibunuh sebelum berlakunya kemalangan udara?
Oleh siapa? Semua soalan itu telah menghadapi jalan buntu di Washignton dan
Tel Aviv. * * * * Dua hari selepas pesawat itu terhempas, Ari Ben-Menashe muncul daripada pintu
sebuah pejabat pos di Santiagao, Chile. Dia telah diiringi oleh dua orang
pengawal peribadi yang difikirnya memang diperlukan untuk mengawal
keselamatannya. Tiba-tiba: 'Jendela yang baru saya lalui telah pecah
berserpihan. Kemudian satu ledakan mengenai beg bimbit khas yang diperbuat
daripada keluli istimewa yang saya bawa. Saya bersama dua orang pengawal
peribadi telah berbaring di lantai setelah menyedari kami sedang ditembak
ketika itu.' Adriana Stanton merupakan insan yang lagi satu merasakan dirinya dalam bahaya.
Mengikut Edelist, rakan perisikannya memberitahu bagaimana 'Adriana menjadi
orang yang suka bersendirian, dan mendapatkan pembedahan plastik dan mengubah
rupa wajahnya'. Mossad semakin percaya bahawa Nir telah dibunuh oleh CIA. Mengikut pendapat
Ari Ben-Menashe, 'Perisikan Israel sudah lama mengakui betapa semua itu adalah
satu operasi yang dilancarkan oleh CIA dengan jayanya. Kematian Nir menjamin
betapa Reagan dan Bush tidak teraib dalam kes mahkamah membabitkan Oliver
North.' Teori ini telah disokong oleh seorang komander tentera laut AS yang pernah
menemani Nir ke Tehran dalam usaha membebaskan mangsa penculikan di Beirut
dulu. Cerita komander ini berkisar dengan dakwaannya betapa Nir pernah bertemu
timbalan presiden George Bush Sr. pada Julai 29, 1986, di Hotel King David di
Jerussalem. Itulah pertemuan di mana Nir memberikan penjelasannya mengenai
penjualan senjata Amerika melalui Israel kepada Iran. Mengikut penulis Joel
Bainerman, 'Nir telah merakamkan secara berahsia segala perbualan mereka.
Inilah yang menjadi bukti kepadanya yang membabitkan Bush kepada episod
senjata untuk melepaskan tebusan penculikan. Di mesyuarat itu turut hadir
McKee dan Gannon yang turut mati dalam penerbangan Pan Am di Lockerbie'.
Bainerman telah menceritakan satu episod lawatan yang dibuat oleh komander itu
di ibupejabat CIA di Langley. Di sana dia berjumpa Oliver North, beberapa
bulan sebelum Kolonel itu dihadapkan ke mahkamah. Penulis itu telah
menggambarkan dengan tulisannya sendiri bagaimana komander tentera laut itu
telah menyoal Oliver North 'apa yang sudah jadi kepada Nir?' North menjawab
bagaimana Nir telah dibunuh kerana dia telah mengugut untuk mendedahkan
rakaman perbualan mereka di Jerusalem.
Ramai waratawan yang cuba menyoal North akan perkara itu telah diperlekehkan
sahaja. Bush pula membuat satu pendirian, bahawa apa juga yang patut
dicakapkan mengenai hal ehwal Irangate telahpun dibincangkan oleh Presiden
Reagan. Pada Julai 1991, rumah kediaman Judy, balu Nir, telah diceroboh. Rakamannya
dan segala dokumen mengenainya telah merupakan barang yang dicuri orang. Polis
menyebut betapa pencerobohan itu adalah hasil satu kerja kumpulan yang pakar.
Judy Nir menyebut betapa dia yakin, bahan yang dicuri itu mengandungi
'maklumat yang menyerang orang tertentu'. Dia enggan dilibatkan lebih daripada
itu. Barang curian tidakpun dikembalikan. Siapa yang mencurinya pun tidak
dapat dipastikan sehingga kini. Selama empat tahun kemudiannya, Shabtai Shavit telah mengetuai Mossad. Beliau
telah mengusahakan agensi itu tidak menonjol dan menjadi tumpuan tukang canang
sambil meneruskan kerja-kerja mengumpulkan maklumkat
Walaupun jauh dariapda penelitian masyarakat awam, ragam lama di mana
terdapatnya perlumbaan untuk meniti kekuasaan dalam pertubuhan masyarakat
perisikan itu tidak pula pernah tumpul sengatnya. Ahli politik yang
menganggotai Jawatankuasa Penyeliaan Risikan masih ingat bagaimana Shavit
mendahului mereka mengenai keadaan tegang di Perang Teluk. Ingatan manusia
adalah sama sahaja panjangnya di mana sahaja. Inilah yang membuatkan usaha
membisikkan kepincangan kepimpinan Shavit terus bergema: Pandangannya terlalu
sempit, kata mereka. Pintu belakang untuk dirasuk CIA masih terbuka luas, dia
tidak pandai melepaskan tugas kepada orang lain, dia terlalu angkuh untuk
mengikut pandangan orang bawahannya, kerana itu moral kerja mereka semakin
menurun. Shabtai Shavit memilih untuk mengenepikan segala petanda amaran itu. Tiba-tiba
pada satu pagi di musim bunga 1996, dia telah menerima panggilan untuk
menghadirkan diri di pejabat perdana menteri, Benjamin Netanyahu. Perdana
menteri memberitahunya bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi dan sudahpun
ada orang lain sebagai pengganti. Shavit tidak pun membantah, kerana dia sudah
lama bergaul dengan Netanyahu untuk menyedari betapa tidak perlu bertindak
semua itu. Dia cuma bertanyakan satu soalan sahaja: Siapakah penggantinya?
Netanyahu menjawab: Danny Yatom. Bermulalah satu era bagaimana darah orang
Prussia menguasai Mossad. ....Tamat.... Terjemahan: SPAR |