Laman Webantu (M) KM2: 6017 File Size: 7.6 Kb |
|
TAG SP 305: ATimes: Gerakan Reformasi Mungkin Malap Tetapi Tidak Lenyap By Anil Netto 30/9/2001 9:38 pm Sun |
Gerakan Reformasi Mungkin Malap Tetapi Tidak Lenyap
(Reformasi Movement may be down, but not out)
Oleh: Anil Netto Lim Boon Tong adalah seorang yang bersikap sederhana, tetapi nada
suaranya membayangkan kecekalan apabila beliau menegaskan bahawa
gerakan reformasi masih tetap subur dan membara.
Sambil menikmati mi sup berempah, ketua biro penerangan KeADILan
yang berusia 36 tahun itu menekankan bahawa : '(Perdana Menteri)
Mahathir (Mohamad) mahu rakyat melupakan tentang reformasi, tetapi
reformasi masih tetap membara.' Reformasi, sudah tentu, merupakan gerakan kepada pembaharuan yang
luas bidangnya yang tercetus dari peristiwa penyingkiran dan
seterusnya penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim
sejak tiga tahun yang lalu. Namun begitu mereka yang mahu turut
mempercayai apa yang diperkatakan oleh Lim akan mendapati bahawa
dakwaannya itu agak sukar untuk diterima bulat-bulat pada masa
kini. Baru sahaja pada minggu yang lepas, ulangtahun ketiga penahanan
Anwar hampir-hampir berlalu tanpa disedari pada tanggal 20 September
- dipandang sepi oleh media-media aliran utama dan ditenggelami oleh
peristiwa di Amerika Syarikat dan Afghanistan. Seorang kolumnis yang
pro-pemerintah turut mencemuh, 'Anwar who'? (Siapa Anwar?).
Tidak cukup dengan itu, dua hari kemudiannya, barisan pembangkang,
Barisan Alternatif, yang juga terbentuk berikutan dari peristiwa
penahanan Anwar, menerima tamparan yang hebat apabila satu dari
parti komponen di dalam pakatan itu mengumumkan untuk menarik diri.
Parti DAP pelbagai kaum tetapi berteraskan kaum Cina itu memutuskan
untuk keluar dari barisan tersebut berikutan timbulnya percanggahan
dengan komponen parti PAS terhadap matlamat ideologi PAS untuk
menubuhkan sebuah negara Islam. DAP melahirkan kebimbangannya bahawa ia mungkin akan kehilangan
sokongan tradisi dari komuniti Cina, yang menyumbang kepada hampir
suku dari 23 juta populasi negara akibat dari jalinan hubungannya
dengan PAS di dalam pakatan itu. Para penganalisa berkata pemergian DAP akan menghakis sokongan kaum
Cina dan India terhadap BA memandangkan keADILan, yang dipimpin oleh
isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, kini mungkin dilihat sebagai
lebih berhubungan rapat dengan PAS. (Komponen parti lain di dalam
pakatan itu adalah parti kecil berbilang kaum, PRM, yang diramalkan
akan bergabung dengan keADILan tidak lama lagi).
Rintangan Kepada Sistem Dua-Parti :
Toh Kin Woon yang mengetuai portfolio pendidikan kerajaan negeri
Pulau Pinang dan merupakan ahli kepada parti Barisan Nasional yang
memerintah, mempercayai bahawa penarikan diri DAP menjadi satu
rintangan bukan sahaja kepada barisan pembangkang.
'Ia akan mengecewakan rakyat yang mahukan sistem dua-parti,' kata
Toh, satu dari suara-suara yang lebih progresif di dalam Barisan
Nasional. 'Pada saya DAP mengambil pendekatan jangka pendik di dalam perkiraan
politiknya, melihat kepada (pilihan raya akan datang yang
dijangkakan pada) 2004,' tambahnya, menyedari bahawa parti tersebut
kelihatan lebih bimbang untuk dihubungkaitkan dengan elemen-elemen
yang lebih radikal di dalam PAS dari perkara-perkara yang lain.
Para penganalisa juga berkata parti tersebut nampak
bersungguh-sungguh untuk mengambil kesempatan di atas sokongan kaum
Cina, yang akan memainkan peranan yang penting di dalam pilihan raya
pada masa hadapan berdasarkan percanggahan politik di kalangan
bangsa Melayu majoriti. Toh mengatakan bahawa terdapat pengaruh elemen-elemen kesederhanaan
yang agak besar di dalam barisan pembangkang, termasuk PAS, yang
mungkin telah dipupuk oleh DAP. 'Tetapi, ' beliau mengakui, 'Ia
memerlukan masa untuk menyuburkannya.'
Lim, walau bagaimanapun, begitu yakin bahawa keADILan - dan gerakan
reformasi - tidak langsung terjejas berikutan penarikan diri DAP
dari pakatan itu, memberitahu bahawa partinya turut mendapat
sokongan dari kaum Cina. Ramai pensimpati-pensimpati reformasi sendiri, walau bagaimanapun,
tidak begitu pasti. Mereka berkata bahawa dengan penarikan diri DAP
dan Anwar sendiri masih menjalani hukuman penjara untuk 15 tahun,
masa hadapan reformasi tidak dapat ditentukan.
Sekatan terhadap media dan perhimpunan awam :
Lain-lain pendapat mengatakan langkah-langkah rasmi terhadap
reformasi telah memberikan kesan yang besar kepada gerakan itu dan
nampaknya telah melemahkannya. 'Sekiranya reformasi kelihatan semakin dingin, ia mungkin berkait
dengan sekatan terhadap media dan kebebasan untuk berhimpunan,'
penganalisa media Mustafa Anuar berkata.
'Semua ini telah memainkan peranan sehingga menyebabkan
aktiviti-aktiviti reformasi kurang menonjol.'
Memang benar, demonstrasi besar-besaran telah beransur-ansur lenyap
disebabkan sekatan polis yang terlalu ketat. Ceramah-ceramah politik
di seluruh negara - kecuali di Utara Borneo negeri Sarawak, di mana
pilihan raya negeri akan diadakan pada hari Khamis - telah
diharamkan. Pada bulan April yang lepas, 10 aktivis-aktivis utama reformasi
telah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) kerana dikatakan menyokong aktiviti militan reformasi untuk
'menggulingkan kerajaan'. Enam dari aktivis-aktivis ini masih di
bawah penahanan yang tidak pasti. Di universiti-universiti, yang menjadi sarang sentimen
anti-pemerintah, pelajar-pelajar telah ditindas sehingga tidak
langsung boleh bersuara berikutan dari tindakan rasmi yang keras.
Dua pelajar telah ditahan di ISA pada bulan Julai - walaupun mereka
kemudiannya dibebaskan - sementara beberapa yang lain telah diancam
untuk digantung pengajian. Pada bulan Ogos yang baru berlalu pula, pihak polis telah menahan 10
lelaki, kebanyakannya terdiri dari aktivis-aktivi dan
penyokong-penyokong PAS, juga di bawah ISA, kerana dikatakan
terlibat di dalam apa yang dipanggil sebagai Kumpulan Mujahidin
Malaysia. Anwar tidak kehilangan pengaruh :
PAS telah menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan di dalam
sebarang kumpulan yang berkenaan sementara kumpulan-kumpulan hak-hak
asasi telah menggesa agar bukti tentang kewujudan kumpulan tersebut
dikemukakan dan supaya 10 orang yang ditahan itu dihadapkan ke
mahkamah bagi membolehkan mereka mempertahankan diri masing-masing.
Sesetengah pemerhati kini juga berkata bahawa spektra aktiviti
militan di luar negara mungkin menjadikan rakyat Malaysia lebih
berhati-hati untuk memihak kepada sesuatu yang tidak diketahui
hujung pangkalnya. Hakikatnya, ahli-ahli politik veteran seperti Toh
juga mengakui sukar untuk membuat sebarang tanggapan sama ada
gerakan reformasi masih mempunyai sokongan yang besar dari
masyarakat umum. Walau bagaimanapun, Toh percaya bahawa Anwar masih merupakan satu
pengaruh yang perlu dihadapi. Beliau menyebut tentang pemimpin
pembangkang yang terpenjara itu : 'Saya tidak fikir beliau telah
kehilangan pengaruh. Beliau masih memiliki karismanya.'
Begitu juga, masih ramai rakyat Malaysia yang percaya Anwar akan
kembali semula sebaik sahaja Mahathir melepaskan kuasanya. Mereka
menyatakan bahawa sekiranya ada sesiapa yang boleh menyatukan semua
pengaruh yang berbeza-beza itu, orang itu adalah Anwar. Namun yang
menjadi persoalan utamanya kepada sesetengah penganalisa adalah sama
ada beliau akan tetap berpegang teguh kepada agenda reformisnya
itu. Tamat Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6003 |