Laman Webantu (M) KM2: 6013 File Size: 9.0 Kb |
|
TAG SP 303: ZMag: Bila Akan Keringnya Airmata? By John Gerassi 30/9/2001 4:11 pm Sun |
26 September, 2001. Bila Akan Keringnya Airmata? Oleh: John Gerassi Aku tidak dapat menahan lilihan airmata. Setiap kali aku melihat
seseorang di TV menceritakan keperitan nasib tragis kesayangannya
di episod Pusat Dagang Dunia yang musnah itu, airmataku akan
melinang semula. Akan tetapi, terimbau kisah askar kita yang membunuh sekitar
5,000 orang yang daif di perkampungan El Chorillo, Panama ketika
mereka mencari Noriega. Ketika itu aku tidak pun meratapi
kematian mereka. Pemimpin kita sedar Noriega tidak bersembunyi di
situ, tetapi mereka ghairah memusnahkannya kerana para penduduk di
situ adalah berfahaman nasionalis mahukan semua askar AS keluar
daripada Panama. Yang lebih teruk lagi, kenapakah aku tidak menangisi kematian dua
juta orang Vietnam yang kebanyakannya petani yang tidak berrdosa
sedangkan perancang utama peperangan itu, Setiausaha Pertahanan
Robert McNamara, sedar lebih awal lagi betapa kita tidak akan
menang dalam peperangan itu? Ketika aku pergi menderma darah satu hari dulu, aku melihat
seorang rakyat Kamboja, menderma darahnya juga, dan beratur lebih
depan dari giliran aku. Dia mengingatkan aku: kenapakah aku tidak
menangis ketika kerajaan membantu dan membiarkan Pol Pot membunuh
dengan kejam laksana algojo, sekitar satu juta manusia. Bukankah
kerajaan kita yang mengongkosinya dengan wang dan senjata, kerana
dia menentang 'musuh kita' yang kemudiannya berjaya
menghentikan medan berdarah itu?
Untuk bersikap waras tanpa mahu menangis lagi pada petang itu, aku
memilih untuk pergi menonton filem di pawagam. Aku memilih cerita
Lumumba yang ditayangkan di 'Film Forum' dan tiba-tiba sedar
betapa aku tidak pernah menitiskan airmata ketika kerajaan kita
mengaturkan pembunuhan Patrick Lumumba yang ketika itu (sehingga
kini) merupakan hanya seorang pemimpin Congo yang berwibawa. Dia
dibunuh untuk digantikan oleh General Mobuto (Sesi Seiko), seorang
diktator yang tamak, garang dan kejam dengan pembunuhan.
Aku tidak juga menangis apabila CIA mengatur dan menggulingkan
Sukarno di Indonesia, walaupun dia sudah berjuang menumpaskan
Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan menubuhkan sebuah negara yang
bebas dan merdeka. CIA menggulingnya untuk menaikkan General
Suharto yang telah bersekongkolan dengan Jepun, dan yang
kemudiannya membunuh sekurang-kurangnya setengah juta 'Marxist'
(dalam sebuah negara di mana rakyatnya tidak pernah mendengar nama
Marx, selain Groucho, mungkin)? Malam kelmarin aku menonton TV kembali dan menangis lagi melihatkan
wajah seorang bapa yang memanjakan anak yang berusia dua bulan
sebelum si bapa hilang tanpa meninggalkan pesan. Namun, ketika
berlakunya pembunuhan kejam ribuan penduduk Salvador yang dilapurkan
dengan terperinci oleh Ray Bonner dalam The Times, termasuk kisah
agamawan wanita Amerika (nuns and lay sisers) yang dirogol dan
dibunuh oeh agen upahan CIA, tidak pula aku melinangkan airmata.
Aku telah menangis ketika mendengarkan kisah Barbara Olson, isteri
Solicitor General Amerika, yang mempunyai pandangan politik yang
amat aku bencikan. Tetapi, aku tidak menangis apabila Amerika
memusnahkan sebuah pulau kecil di utara Caribbean, yang bernama
Grenada dan membunuh penduduknya yang tidak berdosa. Sedangkan
mereka yang dibunuh itu sedang membina satu lapangan terbang
untuk projek pelancungan, tetapi kerajaan kita menyebutnya
sebagai dalil pembinaan pangkalan Russia. Setelah pulau itu dijajah,
lapangan udara itu disiapkan untuk tujuannya yang asal.
Kenapakah aku tidak menangis ketika Ariel Sharon, perdana menteri
Israel sekarang ini, merancang, dan kemudiannya melancarkan
pembunuhan ngeri terhadap dua ribu rakyat Palestin yang miskin
dalam dua khemah pelarian di Sabra dan Shatila. Inilah Ariel Sharon
yang sama yang bersekongkolan dengan penganass Irgun dan Stern Gang
sudahpun menjadi perdana menteri mengikuti jejak langkah Begin dan
Shamir. Beliaulah yang membunuh isteri dan kanak-kanak pegawai
British dengan meledakkan Hotel King David di mana mereka sedang
menginap ketika itu. Saya agak, kita menangis kerana diri sendiri. Tetapi apakah itu
alasannya untuk menuntut balas dendam terhadap seseorang yang
mungkin tidak sebulu dengan kita? Nampaknya, inilah yang
diingini oleh Amerika. Yang pasti, itu juga minat kerajaan kita dan
media massa. Apakah kita betul dengan pendirian betapa kita ada
hak untuk menganiaya masyarakat dunia yang miskin untuk mencapai
matlamat kita, kerana kita berbangga bahawa kita bebas,
berbanding mereka yang masih terbelenggu?
Kini kita akan pergi ke medan perang. Memang kita berhak menghambat
mereka yang membunuh begitu ramai orang kita yang terkorban. Dan
kita akan menang, pastinya, menentang Osama bin Laden. Menentang
Taliban, Menentang Iraq. Menentang siapa sahaja ataupun apa juga.
Dalam proses peperangan itu kita akan membunuh ramai lagi
kanak-kanak yang tidak berdosa. Inilah kanak-kanak yang tidak mampu
memakai secebis kain baru untuk musim tengkujuh. Tidak ada rumah
yang sempurna untuk mereka berteduh. Tidak ada sekolah untuk
mereka belajar dan mengetahui kenapa mereka bersalah. Ketika
berusia dua ataupun empat ataupun enam tahun. Mungkin juga Padri
Evangelist Falwell dan Robertson mendakwa kematian mereka itu ada
juga baiknya kerana mereka bukan penganut agama Kristian. Mungkin
juga ada jurucakap Jabatan Negara memberitahu dunia betapa
disebabkan kemiskinan adalah lebih baik mereka mati sahaja.
Apa jadinya selepas ini? Apakah kita dapat menguruskan dunia
mengikut cara kita? Bolehkah segala perundangan baru yang
mensyaratkan pemantauan anda dan aku serta semua ketua pegawai
tinggi menjadi ceria dengan tanggapan betapa semua manusia yang
menunjuk perasaan jalanan terhadap globalisasi sudah pun tercengkam
kini. Tidak ada lagi rusuhan di Seattle, Quebec ataupun Genoa kerana
keamanan sudah bertapak akhirnya. Demikianlah sehingga di lain kali. Siapa pula kemudian itu? Apakah
dia seorang pemuda yang berjaya terlepas daripada serangan
membabi-buta terhadap ibubapanya yang terkorban di El Chorillo?
Mungkinkah dia nanti merupakan seorang gadis yang telah mengetahui
cerita sebenar bagaimana ibubapanya yang merupakan doktor
perubatan telah terbunuh oleh keganasan pasukan 'Contras' tajaan
CIA? Bukankah itu pasukan yang mematuhi arahan dan panduan CIA
bahawa cara terbaik memusnahkan kerajaan yang mahu membaiki nasib
bangsanya ialah dengan membunuh guru-guru, pegawai perubatan dan
petugas pertanian kerajaan? Mungkin juga akan muncul nanti seorang warga Chile yang kehilangan
keseluruhan keluarganya kerana dibunuh oleh pemerintahan Nixon di
mana Setiausaha Negara Henry Kissinger tidak dapat mencari
perbezaan antara komunis dan soisialis demokrat ataupun seorang
nasionalis. Sampai bilakah kita rakyat Amerika boleh sedar betapa selagi kita
cuba menjadi polis dunia disebabkan menjaga kepentingan niaga,
kita akan merana apabila ada sesiapa yang menuntut bela? Tidak
ada satu peperangan yang mampu menyekat keganasan selagi kita
menggunakan keganasan untuk berkuasa. Kerana itu aku berhenti
menangis kerana aku berhenti menonton TV.
Aku telah pergi bersiar-siar hanya empat rumah jauhnya dari
rumahku. Di sana satu himpunan manusia kelihatan meletakkan bunga
dan memasang lilin di hadapan balai bomba perumahan kami. Balai
itu tertutup rapat. Ia sudah ditutup sejak hari Selasa kerana para
petugasnya, satu pasukan yang sungguh ceria dan mesra dan dianggap
sahabat oleh penduduk setempat telah berlari begitu pantas ketika
bertugas untuk menyelamatkan setiap mangsa yang cuba menyelamatkan
diri mereka, sehinggalah bangunan itu runtuh dan memangsakan
mereka bersama. Aku menangis sekali lagi.
Aku telah bercakap sendirian ketika menulis ini, tidak payahlah
mengirimkan tulisan ini: beberapa orang pelajarku, teman-teman, dan
jiran tetangga akan membenci dan mencederakan kau. Akupun memasang
semula TV dan terlihat Setiausaha Negara memberitahu betapa tidak
ada salahnya pergi berperang menentang anak-anak ini, kaum miskin
yang melarat, mereka yang membenci Amerika, kerana kita adalah satu
bangsa yang bertamaddun, tidak semacam mereka yang tidak ada adab
langsung. Kerana itu aku mengundang risiko menyiarkan tulisan ini.
Mungkin selepas membaca tulisan ini ada seorang insan yang akan
bertanya: Kenapakah terlalu ramai manusia di dunia ini yang sanggup
menggadai nyawa untuk memberikan kita merasakan apa yang pernah
kita berikan kepada mereka? Terjemahan: SPAR Asal: KM2 6012 |