Laman Webantu (M) KM2: 6011 File Size: 9.8 Kb |
|
TJ SP MGG: Di Mana Dato' Seri Mahathir Mohamed? By M.G.G. Pillai 30/9/2001 4:52 pm Sun |
Di Mana Dato' Seri Mahathir Mohamed?
(Where is Dato' Seri Mahathir Mohamed?)
Oleh: M.G.G. Pillai Perdana Menteri telah menghilang daripada pandangan umum sejak sepuluh
hari yang lalu. Dia mahu mengaitkan Kumpulan Militan Malaysia ataupun
(aka: also known as) Kumpulan Mujahidin Malaysia (seperti mana AS
terpaksa menukar nama 'Operation Infinite Justice' {Operasi Keadilan
Abadi} kepada satu nama yang masih dirahsiakan kerana, seperti yang
diketahui oleh Setiausaha Pertahanan, Mr. Donald H. Rumsfield, dalam
Islam hanya Allah, dan bukannya Amerika Syarikat (dan juga seorang
diktator malbari tua - penterjemah) yang berkuasa menentukan keadilan
yang abadi} terhadap serangan yang menggoncangkan akar umbi kewangan,
ketenteraan dan kuasa politik Amerika. RTM dan TV3 telah
mengulang-tayang senario kehancuran Pusat Dagang Dunia New York dan
bangunan Pentagon dengan serangan sindiran terhadap KMM. Tidak ramai
yang termakan umpan itu, kerana Malaysia sendiri sudah menjadi sasaran
histeria yang melanda Amerika Syarikat disebabkan perdebatan mengenai
Osama bin Laden, 'pengganas' jagoan yang begitu dimomokkan untuk
menaikkan kemarahan rakyat Amerika agar memihak kepada Washington yang
ghairah mahu mengbom Afghanistan. Inilah keghairahan yang dicetuskan di
zaman besi untuk menyorot balik ke zaman batu kerana membenarkan Osama
hidup dan menyorok di situ. Adalah sesuatu yang serba mungkin, Osama bin Laden telah merancang
serangan ganas terhadap Amerika Syarikat minggu lalu. Tetapi, tidak ada
satu bukti yang ditonjolkan menunjukkan dia melakukannya, hanya andaian,
sangkaan, pandangan, dan kepercayaan yang tidak boleh diguna pakai di
muka pengadilan. Serangan pengganas menjadi penting hanya apabila yang
diserang itu adalah Amerika Syarikat. Apabila Amerika Syarikat
melakukannya sebagai satu dasar amalan negara, dia diberikan sanjungan
menggunung tingginya. Cuba renung sejenak ketika Washington mengbom
sebuah kilang vaksin di Sudan yang mencetuskan kengerian di negara itu
dan bandingkan dengan apa yang telah berlaku di New York City dan
Washington DC minggu lalu? Ataupun cara Amerika menakluk Grenada kerana
kerakusannya, dulu? Kebenaran sudah meloncat keluar di jendela, segala usaha muslihat
Mahathir untuk menarik minat Washington memenuhi keghairahannya agar
dijemput ke Rumah Putih sudah pun berkecai. Walau pun Malaysia telah
menawarkan penggunaan ruang angkasanya dan kalau perlu pengkalan
persinggahan untuk ketumbukan perang AS dalam perjalanan menuju
Afghanistan. Yang penting ialah kegagalannya, kerana Mahathir sedang
dihenyak oleh keadaan Washington yang mahu bertindak balas sedangkan
Mahathir sendiri pun mahu membalas dendam terhadap PAS, KMM dan dua
menteri besar di Kelantan dan Terengganu. Mahathir sudah terhenyak dalam
usaha untuk mendekati Presiden Bush yang mengenakan syarat agar dia
membebaskan seorang insan yang dia sendiri mahu gambarkan sebagai insan
yang menyerupai Osama bin Laden di Malaysia, bernama Anwar bin Ibrahim,
yang berbeza dengan Osama sedang merengkok di penjara.
Mahathir sudah tidak dapat menjawab soalan bertubi Washington kenapakah
dia membenarkan Osama bin Laden membuka akaun bank di Malaysia, seperti
yang didakwa. Ataupun kenapakah dia membenarkan 'pengganas' (di mata
Amerika) bertemu di Malaysia seperti yang didakwa oleh Amerika? Tidak
kiralah, kalau pun Washington yang telah mengesan pertemuan pengganas
itu di KLIA tahun lalu, telah memberikan visa kepada mereka untuk
menjalani latihan memandu pesawat terbang di Amerika Syarikat. Inilah
yang dikatakan, apa yang dibenarkan kepada dewa Yunani, tidak semestinya
boleh diberikan kepada seekor lembu betina di sini. Tetapi, apakah Dr.
Mahathir boleh membuat pengakuan secara serius sebagai seorang pemimpin
Islam seandainya dia tidak menerima dan memaafkan penderitaan orang Arab
dan kemarahan mereka terhadap Barat? Oleh kerana dia memerlukan sokongan
Saudi dalam memainkan peranan itu, apakah dia boleh menolak kemahuan
Arab Saudi menggalakkan puak Taliban dan orang lain mengamalkan fahaman
Wahabi di dunia ini? (Yang anehnya, Amerika Syarikat tidak pun menyerang
Arab Saudi walau pun ia merupakan salah satu daripada tiga negara - yang
lagi dua ialah Pakistan dan UAE - yang dulunya memperakui Taliban;
tetapi oleh kerana Arab Saudi adalah sebahagian jaringan Amerika, ia
dikecualikan: malahan secara terpaksa.
Dr. Mahathir sudah tidak mampu menyelenggarakan masalah yang menggunung
tinggi di hadapannya setiap hari. Isu Anwar Ibrahim akan muncul lagi
pada persidangan ketua negara Komanwel di Australia bulan hadapan.
Kawannya, Mr. Robert Mugabe, dijangka akan dihenyak kerana dasar
negaranya mengnyahkan orang kulit putih yang memiliki ladang di
Zimbabwe. Besar kemungkinan Mahathir tidak akan menghadiri persidangan
itu dan mewakilkan kepada timbalan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi
sebagai penggantinya. Dia tidak akan menghadiri Puncak Apec di Shanghai.
Presiden Bush tidak ingin berceloteh dengannya di sana. Timbalan perdana
menteri Abdullah Ahmad Badawi akan menggantikannya lagi.
Akan tetapi, bukankah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, insan yang
serupa yang tidak diingini oleh Dr. Mahathir sebagai bakal pengganti
jawatannya? Ada seorang ahli pasukan konspirasi terhadap Anwar Ibrahim,
bekas menteri bernama Megat Junid Megat Ayob, terlalu yakin bahawa
Mahathir mahukan Abdullah Ahmad Badawi diganti oleh menteri pertahanan
Dato' Seri Dr (?) Najib Tun Razak. Seorang bekas komando yang condong
kepada pihak pembangkang telah menceritakan kisah perjumpaan yang
dihadiri oleh semua bekas komando di Melaka, baru-baru ini. Mahathir
telah memberikan ucapan utamanya, dan tajuk perbincangan seterusnya
ialah bagaimana caranya untuk menyekat kemaraan timbalannya itu. Paklah,
mengikut firasat Orang Tua itu, bukannya calon yang cocok untuk
menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Mengikut firasat doktor yang baik itu, anak lelaki bekas seorang perdana
menteri sudah pun dewasa mencapai 50 tahun usianya, dan boleh diberikan
kepercayaan pula. Dato' Abdullah Ahmad Badawi, nampaknya, sudah
bersekongkol dengan kumpulan timbalan perdana menterinya yang dulu-dulu
yang mengikut taksirannya telah menghampakannya, dan dengan itu tidak
layak mengambil tempatnya apabila tiba masanya. Kerana itu dia sudah
ditakdirkan? terhumban di lorong yang dilalui oleh Tan Sri Musa Hitam,
Tun Ghafar Baba, dan Dato Seri Anwar Ibrahim. Seorang lagi lelaki yang
tidak boleh dipercayai untuk memegang jawatan tinggi ialah seorang insan
dalam politik Malaysia, Si Penunggu Langgak Golf, yang satu ketika dulu
memang didesas-desuskan untuk menganggotai kabinet semula, yang
dikatakan sebagai satu muslihat untuk mengenepikan timbalan perdana
menteri yang sedia ada. Tetapi, Dr. Mahathir tidak boleh memaafkannya
kerana keberanian beliau mencabar Mahathir untuk jawatan presiden UMNO
14 tahun yang lalu. Kini, satu masalah baru sudah muncul menghantuinya. Serangan pengganas
(di Amerika) telah mencantas pertumbuhan ekonomi Malaysia,
setidak-tidaknya pertumbuhan yang telah dijanjikan kepada rakyat
Malaysia, yang bertentangan segala bukti, dikatakan memang serba
mungkin. Apabila kerajaan Malaysia mengatakan ekonomi negaranya masih
kukuh dan tidak seperti Singapura, yang terpaksa mengambil langkah
melindungi rakyatnya daripada kegawatan itu, Malaysia berpendirian tidak
perlu berbuat begitu. Kita telah disogokkan dengan satu kepercayaan
bahawa hukum-hakam ekonomi adalah untuk negara lain yang disalah tadbir
dan oleh kerana Malaysia diurus dengan baik oleh Dr. Mahathir rakyat
tidak perlu gusar kerana masa depannya memang cerah sentiasa. Khayalan
yang berunsur temberang kerana pengendalian ekonomi, politik dan dasar
kewangan Mahathir memang sentiasa diulang-ulang untuk menghayun
kepercayaan orang. Petanda malapetaka memang jelas di mana-mana:
kompleks beli-belah yang kosong, pelaburan yang semakin lompong,
penurunan carta segala angka rasmi kerajaan yang selama ini sengaja
disokong. Sudah tidak menjadi satu rahsia lagi kenapa Dr. Mahathir jarang
kelihatan untuk meyakinkan rakyat Malaysia akan keadaan hidup mereka
yang selamat dan sejahtera. Gabenor bank Negara yang keletihan
meyakinkan rakyat betapa ekonomi negara adalah tegap dan sedia naik
mencanak, kini dihenyak oleh kesilapan kenyataannya dulu dan terpaksa
diam membisu apabila indeks komposit BSKL turun meruntun lebih satu
ratus mata dalam jangka masa dua hari sahaja. Mahathir terpaksa
menunjukkan muka pada hari Jumaat yang ketiga pada bulan Oktober,
belanjawan negara terpaksa dibentang kepada Parlimen dan rakyat jelata.
Pembentangan belanjawan negara bukannya masa untuk menyorot ke belakang
akan hal ehwal negara, tetapi dijadikan satu majlis suka-suka untuk
memberikan keyakinan betapa zaman ceria masih lagi ada. Inilah muslihat
kerajaan yang ada untuk mengkhayalkan rakyat jelata. Mahathir mesti
membentang belanjawan negara dalam masa satu bulan, dan semua perangkaan
yang baik-baik yang direncana untuk menaikkan imejnya sudah lesap
ditelan suasana yang penuh bencana. Tetapi, (dia fikir) masih lagi ada
tenaga simpanan pada dirinya untuk mengeluarkan seekor arnab daripada
topi silap-matanya. Apakah nasibnya sebagai seorang pakar songlapan akan
terus dapat bertahan, semestinya, merupakan suatu perkara lain untuk
renungan. M.G.G. Pillai Tamat Terjemahan: SPAR-01-1661 Asal: KM2: 5497 |