Laman Webantu (M) KM2: 6010 File Size: 10.9 Kb |
|
TAG SP 302: IUK: Sampai Hati AS Memusnahkan Manusia Yang Teraniaya? By Robert Fisk 30/9/2001 10:54 am Sun |
Independent. Sampai Hati AS Memusnahkan Manusia Yang Teraniaya?
(How Can The US Bomb This Tragic People?)
Oleh: Robert Fisk, Beirut. Kita baru menyaksikan salah satu peristiwa bersejarah sejak Perang
Dunia Kedua, tentunya selepas Vietnam. Saya bukan bercakap mengenai
Puat Dagangan Dunia di New York dan gambaran yang menyayat hati yang
kita lihat pada 11 September, satu keganasan yang telah saya tulis
minggu lalu sebagai satu jenayah terhadap kemanusiaan. Saya tidak juga
merujuk kepada persediaan yang luar biasa dan hampir tidak dapat kita
percaya boleh direncana oleh negara yang sungguh terkuat yang pernah
dilahirkan di dunia ini, untuk melancarkan serangan mengebom sebuah
negara yang paling teraniaya, yang telah dilanda malapetaka silih
berganti dengan rakyatnya yang kebuluran dan merempat setiap hari.
Afghanistan telah dil*wat dan dimusnahkan sehingga menjadi
tonggang-langgang oleh tentera Russia selama 10 tahun, dibiarkan
terkapai-kapai oleh semua rakannya - kita, orangnya yang berbuat
begitu - sebaik sahaja Russia lari dari situ. Kini rakyat Afghan
sedang menanti termangu-mangu untuk diserang kuasa besar yang tinggal
hanya satu. Saya melihat semua perisiwa ini penuh kesangsian, bukan sahaja kerana
saya pernah menjadi seorang saksi kepada penaklukan Russia dan
penjajahannya. Cara mereka berperang bagi pihak kita, orang-orang
Afghan itu telah mengotakan segala kata-kata kita yang mempercayai
mereka. Demikianlah bagaimana mereka begitu mempercayai Presiden
Carter ketika dia menjanjikan sokongan puak Barat. Saya pernah
bertemu seorang petugas CIA di Peshawar yang menayangkan satu paspot
dan dokumen perjalanan seorang juruterbang Soviet. Juruterbang itu
telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu kita - yang telah pun
dicungkil daripada pesawat MIG yang dipandunya. 'Kesian dia,' kata
hantu CIA itu, sebelum menunjukkan kami satu filem menunjukkan askar
Amerika (GI) sedang menyerang Vietcong di pawagam peribadinya. Oh ya,
saya teringatkan kata-kata beberapa pegawai Soviet yang telah menahan
saya di Salang. Mereka menjalankan tugas yang bersifat sejagat di
Afghanistan, demikianlah kata mereka. Mereka 'menghenyak kumpulan
pengganas' yang cuba menggulingkan kerajaan Afghan (komunis) dan
menghancurkan rakyatnya. Bukankah semacam senada sahaja bunyinya?
Saya bertugas dengan The Times pada 1980, dan di bahagian selatan
Kabul saya telah dapat satu bahan berita yang sungguh menyayat hati.
Satu kumpulan pejuang mujahidin telah menyerang sebuah sekolah kerana
regim komunis telah memaksa kanak-kanak perempuan belajar bersaing
kanak-kanak lelaki. Mereka telah mengebom sekolah itu, membunuh
isteri pengetua sekolah, dan telah mengerat kepala suaminya. Semua
itu adalah kisah benar. Tetapi, apabila The Times menerbitkan kisah
itu, Pejabat Luar telah membuat bantahan bahawa lapuran saya itu
memberi sokongan kepada pihak Russia. Ketika itu pejuang Afghan itu
semuanya adalah dianggap orang yang baik-baik. Osama Laden pun
dianggap orang yang baik. Charles Douglas-Home, yang bertugas sebagai
editor The Times kerap mengingatkan kami agar gerila Afghan itu
disebut sebagai pejuang kebebasan dalam tajuk berita. Memang banyak
cara untuk memutarkan perkataan.
Demikianlah pada hari ini. Presiden Bush sudah pun mengugut kumpulan
Taliban yang memencilkan diri, dungu, dan terlalu bersifat
konservatif itu dengan hukuman yang sama jenisnya seperti niatnya
terhadap Osama ben Laden. Pada mulanya Bush bercakap mengenai
'keadilan dan hukuman' dan mengenai 'membawa ke muka penghakiman'
puak yang melalukan kegaganasan. Tetapi dia tidak pun menghantar
anggota polis ke Timur Tengah, dia mengirimkan pesawat pengembom
B-52. Kemudian, pesawat F-16, dan pesawat AWAC (Advance Warning
Aircraft) dan helikopter Apache. Bukannya kita akan menangkap Osama
Laden. Kita akan menghancurkannya. Perkara itu tidak ada sesiapa yang
menentang seandainya Osama Laden memang bersalah. Tetapi, pesawat
B-52 tidak pandai memilih-milih manusia yang memakai serban, ataupun
kanak-kanak ataupun antara lelaki dan perempuan.
Saya pernah menulis (minggu lalu) mengenai budaya penapisan yang kini
mencekik kita, dan segala serangan peribadi yang terpaksa ditanggungi
oleh setiap wartawan yang berani mempersoalkan akar umbi krisis ini.
Minggu lalu, dalam sebuah akhbar utama Eropah, saya dapat membaca
satu contoh terbaru yang mendedahkan apa yang saya maksudkan. Saya
telah dituduh sebagai berpendirian anti-Amerikan dan telah diberitahu
betapa sikap anti-Amerikanisme adalah sama dengan anti-Semitisme.
Sesiapa pun faham dengan tuduhan itu, cuma saya masih sangsi apa
sebenarnya makna anti-Amerikanisme. Sekarang ini kalau kita
mengkritik Amerika Syarikat ia dilihat besamaan dengan mengutuk dan
membenci orang Yahudi. Ada pihak yang lega dengan tajuk 'Keganasan
Islam' ataupun contoh tajuk berbahasa Peranchis yang berbunyi 'Lelaki
Gila Ciptaan Tuhan'. Tetapi, adalah sesuatu yang tidak akan diterima
kalau dipersoalkan kenapakah AS begitu dibenci oleh Arab Muslim di
Timur Tengah. Kita boleh sebut betapa pembunuh itu beragama Islam,
kita boeh menuding jari kepada Timur Tengah sebagai pencetus jenayah
- tetapi kita tidak boleh menulis sebarang andaian yang menyebabkan
jenayah itu. Akan tetapi eloklah kita sorot kembali perkataan keadilan. Kalau
diulang-tayang kembali jenayah dahsyat di New york itu, tentu ramai
orang yang akan berkongsi pendapat saya betapa kerja keji itu adalah
satu jenayah terhadap kemanusian. Lebih 6,000 nyawa terkorban, yang
menyerupai korban Srebrenica. Sedangkan puak Serb dulupun telah
membebaskan kaum wanita dan kanak-kanak ketika mereka membunuh kaum
lelaki (Islam) secara beramai-ramai. Roh mereka yang terkorban di
Srebrenica - kini terbela - setelah tertubuhnya mahkamah pengadilan
antarabangsa di Hague. Tentu sekali apa yang kita perlukan ialah satu
Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menangani kes terhadap para
pembunuh kejam yang menghancurkan New York pada September 11, dulu.
Soalnya sekarang, Amerika mahukan satu bentuk versi pengadilan
bikinan sendiri, seolah-olah inilah satu konsep yang berakar umbi di
era 'Wild West' (zaman peneroka mendulang emas, membuka ladang
ternakan dengan merampas tanah masyarakat Red Indian, dan mencari
minyak di Amerika dulu - penterjemah) dan segala kaedah Perang Dunia
kedua yang diolah oleh Holywood, semula. Presiden Bush menyebut kisah
mengasap-perabun mereka, dan kisah kertas iklan yang dipasang di
Dodge City dengan kata-kata 'Wanted, Dead or Alive'. Tony Blair
pernah memberitahu betapa kita mesti tegap di belakang Amerika,
sepertimana Amerika telah berdiri tegap menyokong 'kita' sewaktu
Perang Dunia Kedua melanda. Memang benar, Amerika membantu 'kita'
membebaskan Eropah Barat. Tetapi, dalam kedua-dua peperangan itu, AS
telah memilih untuk campurtangan hanya apabila perang itu sudah
berlanjutan panjangnya - dalam kisah Perang Dunia Kedua dulu -
Amerika telah meraih banyak keuntungan ketika mengambil pendirian
berkecuali. Apakah roh yang terkorban di Manhattan layak menerima penghormatan
yang lebih besar dari semua ini? Hampir tiga tahun sudah berlalu
sejak kita melancarkan serangan '200-cruise missile' (peluru
berpandu) terhadap Iraq kerana tindakannya mengnyahkan inspektor
senjata PBB. 'Satu habuk' pun tidak tercapai dalam serangan itu.
Lebih ramai rakyat Iraq yang terkorban, para penyiasat senjata PB itu
masih tidak diizinkan bertugas semula di Iraq, dan sekatan ekonomi
masih diteruskan, sehingga semakin ramai kanak-kanak mati kebuluran.
Tidak ada sebarang dasar tertentu, tidak ada perspektifnya. Hanya
tindakan (ganas) tanpa kata-kata.
Demikianlah kita hingga ke hari ini. Bukannya kita membantu
Afghanistan, menghulurkan bantuan yang amat diperlukan sejak 10 tahun
yang lalu, membina kembali bandarayanya dan memberi ruang untuk
budayanya bernafas semula sambil melahirkan satu sistem politik yang
baru yang ada pusatnya yang mampu keluar daripada kepompong
tribalisme (kepuakan). Kita telah biarkan Afghanistan mereput.
Sarajevo boleh dibina semula. Kabul tidak boleh dilakukan seperti
itu. Satu bentuk demokrasi boleh diwujudkan semula di Bosnia, tetapi
tidak boleh dilahirkan di Afghanistan. Sekolah boleh dibuka semula di
Tuzia dan Travnik, tetapi tidak boleh di Jalalabad. Ketika Taliban
muncul dan menonjol, menggantung kepala setiap musuh yang
ditangkapnya, mengudungkan jari dan tangan para perompak, membunuh
wanita yang berzina dengan rejaman batu, Amerika Syarikat menganggap
segala gelagat kejam ini sebagai satu kuasa untuk menstabilkan
keadaan selepas negara itu begitu lama dihenyak anarki.
Ugutan Bush sudahpun memaksa perpindahan setiap petugas bantuan dan
rakyat asing. Kini, rakyat Afghan sudah pun mati kebuluran kerana
ketiadaan mereka. Keadaan kemarau panjang dan kebuluran telah
membunuh sekitar satu jua manusia. Sekitar 20 hingga 25 Afghan
hancur terbunuh setiap hari kerana diledak oleh jerangkap samar yang
berjumlah 10 juta semuanya peninggalan Russia dulu. Russia tidak
pernah memasuki semula Afghanistan untuk memusnahkan bom jerangkap
yang mereka pasang dulu. Saya jangkakan ada juga bom yang digugurkan
oleh B-52 nanti yang berkemungkinan meledakkan perangkap samar Russia
itu. Tetapi itulah sahaja kerja-kerja kemanusiaan yang dapat kita
jangka untuk melihatnya dalam masa yang terdekat.
Cuba perhatikan segala drama yang dipertontonkan sejak minggu lalu.
Pakistan sudahpun menutup pintu masuk di sempadannya dengan
Afghanistan. Begitu juga Iran. Orang Afghan terpenjara di negaranya
sendiri. Kecuali mereka dapat menceroboh Pakistan dan berakhir dengan
terdampar di persisiran pantai Peranchis ataupun Australia atau mampu
menyelinap masuk Terowong 'British Channel' ataupun merampas sebuah
pesawat British untuk dihenyak oleh Menteri Dalam Negeri negara itu.
Apa pun, mereka akan dihantar pulang, dan dinafikan kemasukannya.
Inilah kisah dahsyat yang penuh ironinya, betapa dunia hanya berminat
agar orang Afghanistan menyerahkan kepada mereka insan yang mereka
amat perlukan. Mereka taksub mahukan Osama bin Laden yang dikatakan
si pintar yang merencana malapetaka yang terbesar dalam sejarah
Amerika. Hanya Osma Laden yang mereka inginkan. Yang lain itu
bolehlah merempat dan terus merana untuk mati akhirnya.
Tamat Terjemahan: SPAR. Asal: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=95487
atau KM2: 5506
|